Jumaat, 24 Januari 2020

Ini Ceritaku 2 - 12 Th Di SMK Sultanah Bahiyah

Sepanjang lebih kurang 12 tahun di SMK Sultanah Bahiyah (sebenarnya 11 tahun 6 bulan), inilah barisan kepimpinan yang bayak membentuk diriku.  Aku sangat berterima kasih kepada mereka kerana mengajar dan memberi aku banyak kepercayaan, membentuk diri dan membina keyakinan ini.  Aku ingin sekali mendedikasikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga mantan pengetua SMK Sultanah Bahiyah yang pastinya sangat aku kasihi.  

Sejujurnya aku berasa senang dan sangat berterima kasih kepada mereka.  Memang pada awalnya kita mula-mula aku mengetahui yang aku akan ditempatkan di SMKSB, ada sedikit rasa 'gerun' di dalam hati.  Namun, aku sentiasa percaya bahawa Allah tidak mungkin menzalimi hambaNya dan aku yakin pasti ada hikmah kenapa aku ditempatkan di sekolah sehebat itu. 

Image result for rahinun mohd nor
Pn. Hajah Rahinun binti Mohd. Noor

Pn. Hajah Zaini binti Kamaruddin

Pn. Hajah Noor Ashikin binti Yusoff
Ketiga-tiga insan hebat inilah yang telah banyak membantu aku dalam mengilap potensi diri juga belajar bagaimana muhasabah diri.  Terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga mereka. Tidak ada ucapan terbaik dalam mengenang setiap jasa yang telah mereka lakukan. Hanya sebuah doa sahaja yang mungkin mampu untuk diberikan - Semoga Allah melimpahi mereka rahmat kehidupan di dunia dan akhirat.  Terima kasih cikgu - Jasa cikgu sentiasa akan dikenang sehingga hayat dikandung badan.






.





Khamis, 23 Januari 2020

BEKERJA ITU ADALAH IBADAH

Kadang-kadang kita terlalu leka bekerja sehingga kita terlupa yang kita sudah dimamah usia.  Banyak perkara yang pastinya tidak sama dengan apa yang kita pernah alami ketika mula-mula bekerja.  Perbezaan paling ketara adalah bagaimana bertenaganya generasi muda mendepani kehidupan yang berubah dari segi teknologinya.  Semua itu jika kita biarkan akan menjadikan kita insan yang jauh lebih kebelakang berbanding dengan mereka yang lebih 'celik IT' berbanding kita.

Aku sedar, dulu ketika mula melapor di di SK Bukit Bintang 1 pada tanggal 3 Jan. 1989, aku adalah seorang individu yang cergas dan penuh energi.  Ya.., usia masih muda - 22 tahun, pastinya aku mampu bersaing dengan tenaga-tenaga yang lebih tua daripada aku.  Namun kini, sebaik aku melapor diri di tempat baru dengan jawatan yang baru, usiaku sudah mencecah lebih 5 siries.  Satu jangka usia yang jika diterjemah kepada sebuah pokok tentu hasilnya juga sudah tidak seberapa..

Aku sentiasa sedar dan pastinya tidak pernah pula untuk lupa bahawa kerja itu sebenarnya adalah satu ibadah.  Meski usia sudah semakin banyak, aku perlu berusaha sedaya upaya untuk bersaing dan cuba duduk sama rendah serta bila berdiri sama tinggi dengan orang lain.  Aku sentiasa bedoa semoga perjalanan menunaikan amanah ini akan dipermudahkan Allah.  Aku yakin, ramai sahabat di sekelilingku akan menghulurkan tangan bagi membolehkan aku meneruskan usaha-usaha yang sedang kami lakukan.

Semoga Allah permudahkan.  Doakan agar segala yang aku lakukan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. 

Jumaat, 13 Disember 2019

Ini Ceritaku 1 - 12 Tahun Di SMK Sultanah Bahiyah

Aku mula mendaftar di sekolah ini tanggal 1 Julai 2008 sebaik menamatkan pengajian Ijazah Pertama Bimbingan Kaunseling di Universiti Utara Malaysia.  Sebelum itu, aku telah dimaklumkan oleh En. Anuar Zamani (Pegawai PPD Kaunseling ketika itu) berhubung penempatanku di SMK Sultanah Bahiyah.  Pelbagai persoalan, kerisauan berlegar di ruang fikiran.  Sejujurnya semua orang akan berada dalam situasi yang sama dengan aku.  SMK Sultnah Bahiyah?  Siapa yang tidak kenal SMKSB di Daerah Kota Setar ini?  Sebuah sekolah yang gah namanya selain SMK Sultanah Asma.  Ya lah..., sekolah dengan nama-nama sultan dan sultanah, pastinya hebat di kaca mata semua orang.

Sebagai seorang guru yang bermula dari sekolah rendah, alam persekolahan menengah tentunya amat berbeza.  Pendekatan dengan murid-murid, budaya kerja dan pastinya persekitaran serta seluruh warganya.  Cuma aku bersyukur kerana waktu itu, Cikgu Hasmah Idin banyak membantu aku cepat menyesuaikan diri dengan demografi SMKSB.  Secara umumnya, aku terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan cepat.  Pengetua (Pn. Hjh Rahinun) begitu tegas dalam menjalankan tugas yang disandangnya di sekolah.  Beliau banyak membantu meningkatkan keyakinan diri untuk aku bersaing dengan rakan-rakan guru yang lain.   

Kursus Kepimpinan Pengawas
Sebenarnya, aku kagum dengan budaya kerja yang ada di SMKSB.  Dari pihak pengurusan tertinggi, guru-guru, staf non akademik sehingga anak-anak murid.  Masing-masing menjalankan peranan dan tugas masing-masing.  Itu antara tips yang menyebabkan kenapa SMKSB boleh berada pada tahap yang sepatutnya mereka berada.  Antara yang menarik yang boleh dikongsi adalah sikap semua murid yang sentiasa mencatat apa sahaja yang mereka dengar, baca dan lihat.  Budaya membawa pen dan buku ini menjadi satu budaya yang mampu membangunkan jati diri semua murid.
Mendengar Sambil Mencatat
Aku tidak mungkin dapat melupakan, bagaimana murid-murid akan berlari dan berjalan cepat ke kelas masing-masing apabila didenda kerana tidak membawa buku catatan dalam perhimpunan.  Mendengar suara Cg. Norliza (Guru Disiplin) sahaja sudah membuat murid-murid kecut perut.  Tambahan pula jika mereka didenda kerana kecuaian tidak membawa buku nota dan pen ke dalam dewan.  Budaya mencatat info dalam perhimpunan (ucapan, ceramah dll yang disampaikan) tidak habis begitu sahaja.  Guru-guru boleh menggunakan semula apa yang disampaikan dan bertanya kepada murid apa yang mereka dapat sepanjangkan perhimpunan atau aktiviti dijalankan.  Jadi maksudnya, murid-murid dan guru perlu sama-sama memberi perhatian bagi setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah.

Bakat Murid Digilap
Di sini aku melihat bagaimana bakat murid dicungkil dan digilap.  Bukan setakat murid cemerlang  akademik malahan keupayaan mereka dalam bidang kokurikulum juga dapat diketengahkan.  Jika di padang, ada murid yang aktif bersukan, dan ada murid yang terlibat aktiviti-aktiviti ko-akademik dengan bakat mereka yang sangat menyerlah.  Jika di sekolah-sekolah lain, murid yang berminat dengan bidang muzik didedahkan dengan 'band', di SMKSB murid-murid diberi peluang terlibat dengan orkestra, kumpulan Nasyid serta kumpulan Angklung.  Kesemua ini sebenarnya membantu murid-murid SMKSB sentiasa aktif dan sihat baik di dalam bilik darjah mahu pn di luar bilik darjah.
Aktiviti Hari Guru
Banyak sebenarnya kenangan di SMKSB.  Bila pertama kali datang dan ketika sambutan Hari Guru - aku melihat betapa suramnya sambutan Hari Guru di sini. Pertama kali pada tahun 2010 - sambutan Hari Guru dibuat dengan sedikit kelainan dan aku melihat kesungguhan murid dan guru mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk sama-sama menjayakan sambutan tersebut.  Syukur kerana budaya itu terus kekal hampir 10 tahun selepas itu.  Aku ingat bagaimana aku dipanggil oleh Pn. Rahinun sebaik beliau membaca tulisanku berkaitan Sambutan Hari Guru di blog ini.  Alhamdulillah, beliau akhirnya meminta aku menyusun dan mengatur sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berdasarkan apa yang aku fikir tetapi tidak lari dari skop yang beliau inginkan.  Terima kasih Pn. Rahinun, cikgu terlalu banyak membantu  aku terus yakin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan warga Bahiyah yang pada awalnya sangat aku geruni walaupun hanya mendengar namanya.

Bagaimana aku mungkin melupakan SMK Sultanah Bahiyah terutama anak-anak Pembimbing Rakan Sebaya yang sangat aku kasihi.  Aku masih ingat bagaimana aku berjumpa Pn. Rahinun untuk membentangkan kertas konsep Penubuhan PRS Sekolah dengan memakai baju purple dan designnya kami (Cg, Hasmah, aku dan Cg. Azlina) sediakan.  Alhamdulillah.  Pembentangan kertas konsep dan surat permohonan pemakaian pakaian berwarna purple diluluskan dan pada tahun 2011 aku mendapatkan sekumpulan anak-anak PRS yang dididik dan diasuh dengan acuan kami sehingga mereka mampu membuka mata guru-guru SMKSB saat itu.  

Jamuan PRS
Aku sangat menyintai mereka.  Dan mereka adalah sebahagian kehidupanku di SMKSB.  Aku melihat dari tahun ke tahun PRS SMKSB mula melangkah sedikit demi sedikit.  Adatlah jika ada antara mereka terlibat dengan masalah disiplin (datang lewat, bergaduh dll), namun aku melihat mereka membangun sebagai seorang remaja yang ada wawasan dan jati diri.  Kejayaan-kejayaan anak-anak PRS juga tidak sedikit terutama dalam bidang akademik.  Tahniah untuk semua yang telah mengharumkan nama PRS. Tahniah Amirah Fauzi. Tahniah Ili, Tahniah Hanan. Tahniah Syamimie. Tahniah semua.  Kalian sumber kekuatan cikgu sepanjang cikgu berada di Bahiyah.

Namun hari ini, 12/12/2019 - ternoktah sudah perkhidmatan aku di SMK Sultanah Bahiyah.  Maka tinggal segala kenangan dan memori yang telah menbentuk diri, tingkah laku, personaliti dan sikap aku sepanjang berkhidmat di sini.  Terima kasih untuk setiap detik dan kenangan terindah buat semua.  Mana mungkin aku melupakan kerana kalian sangat membahagiakan.  Terima Kasih semua.



Sabtu, 7 Disember 2019

PERSAHABATAN

Setiap orang pasti punya sahabat.  Yang padanya kita sering berkongsi cerita.  Sama ada cerita suka mahupun cerita duka.  Sahabat itu seringnya pula sentiasa bersedia.  Maksudnya bersedia menadah dan memasang telinga.  Mendengar meskipun tidak berupaya meleraikan.  Sahabat itu akan selalu memberi bahunya untuk disandar.  Atau barangkali menyediakan tangannya untuk didepakan.


Namun, pernah anda berasa kecewa apabila anda punya sahabat tetapi tidak pula dia melegakan malahan dia menyesakkan.  Sesungguhnya sahabat sedemikian rasanya tidak mengerti maksud dan peranannya sehingga dia tegar mengecewakan.



Kita tidak mampu sebenarnya mengubah orang lain untuk menyukai dan menyenangi kita.  Namun, kita sentiasa boleh mengubah diri kita sendiri untuk menjadi seorang manusia yang tentunya disenangi dan disukai oleh orang lain.  Belajarlah untuk menerima kerana penerimaan yang ikhlas itu sudah pasti mampu membina satu hubungan persahabatan yang kekal dan utuh.  

Terima kasih untuk semua sahabatku walau di mana juga mereka berada kerana mereka menjadi tonggak kekuatan diri selama ini.  Barangkali sukar untuk kita ucapkan betapa kasihnya kita kepada para sahabat yang sentiasa dekat di hati meskipun mereka jauh dari sisi.  Sesungguhnya persahabatan itu bukanlah dinilai pada apa yang mereka beri namun, lebih kepada bagaimana mereka menilai dan mengasihi diri kita dan sebaliknya.  







Khamis, 28 November 2019

EPISOD 2 - CERITA RAMADAN 1440H


Saat berulang-alik ke hospital hampir setiap hari pagi dan petang, ada ketikanya tidak terasa melelahkan.  Cuma kerisauan sering melanda menanti kepulangan kedua-dua anakanda dari jauh.  Risau dengan kondisi Kak Bibah.  Yang kerapnya tidak membuka mata.  Namun, 2 hari Sebelum 17 Mei apabila Azril masuk dan membisikkan ke telinganya bahawa Fatin dan Farah akan sampai malam Jumaat 17 Mei 2019; ada sedikit tindakbalas yang dapat kami lihat.  Esoknya Kak Bibah dipindahkan ke wad biasa.  Semua orang menarik nafas lega.  Syukur kerana ada perubahan positif yang ditunjukkan.

Alhamdulillah, Fatin dan Farah sampai juga ke rumah malam tanggal 17 Mei 2019 pukul 10 selepas merentasi benua dan lautan lebih 18 jam.  Nampak keletihan pada wajah keduanya.  Namun, pagi-pagi lagi selepas bersahur dan tidur seketika, kami sudah sampai di pintu wad.  Untuk melawat ketika bukan waktunya bukanlah sesuatu yang mudah.  Perbincangan dengan 'guard' akhirnya membolehkan kedua-dua mereka masuk silih berganti.
September 2018 di KLIA
 Sesungguhnya berpuasa dan berhari raya tahun 2019 terasa tiada serinya.  Kebanyakan masa dan hari kami adalah di hospital.  Kak Bibah hanya bertahan selama 3 malam di wad biasa - Allah seperti memberi ruang untuk dia bertemu dan berbual dengan anak yang dijaganya sejak berusia 40 hari.  Selepas itu, dia dimasukkan semula ke wad kecemasan.  Dipantau dan dijaga doktor dan nurse sepanjang masa.  Keadaan Kak Bibah semakin memburuk.  Banyak organ dalamannya yang rosak.  Doktor memberi pelbagai pandangan sebagai ikhtiar untuk membantu memulihkan kesihatannya.  Semua orang - Abang Zan, serta anak-anak ternyata tidak kuat untuk menerima satu demi satu perkhabaran yang dibawa doktor.  Sebenarnya pada aku, Kak Bibah dan keluarganya telah aku anggap seperti keluarga sendiri meskipun dia hanya mengasuh dan menjaga anakku sejak kecil.

Di KLIA Ketika Menghantar Fatin Kembali Ke Jordan
Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati.  Betapa kita sayangkan seseorang pun kita tidak akan mampu mengubah apa yang telah ditetapkan Allah buat hamba-hambaNya.  9 Jun 2019 keadaan Kak Bibah semakin kritikal.  Semua kami diminta bersedia untuk menerima takdirNya.  Doktor sudah memberhentikan pemberian ubat sepenuhnya memandangkan tiada ubat yang sesuai dan boleh diterima oleh badan Kak Bibah lagi.  Sesungguhnya, kami telah belajar menerima ketentuanNya - dariNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan kembali.

Maka berakhirlah perjalanan Aqibah binti Shafie pada pagi 10 Jun 2019 di hadapan anak-anak dan suaminya di Hospital Sultanah Bahiyah.  Maka tinggallah kami meneruskan perjalanan yang tidak pasti bila pula akan ternoktah.  Semoga Allah tempatkan Kak Bibah dalam kalangan orang-orang yang solehah.  Al-Fatihah untukmu - insan yang banyak membantu menjaga dan memelihara anak-anakku.

Sabtu, 18 Mei 2019

EPISOD 1 – CERITA RAMADAN 1440H


Kehidupan di dunia  ini adalah satu perjalanan.  Perjalanan yang mempunyai pelbagai fasa persinggahan. Persinggahan akhirnya nanti adalah di perhentian akhirat.  Dalam perjalanan jauh dan panjang itu sudah pasti ada likunya.  Kadang-kala selekohnya tajam dan curam.  Ada ketika yang lain, jalannya licin.  Atau mungkin ada juga berlaku ‘trafic jam’ yang sendat dan padat.  Walau apa pun yang kita tempuhi dan lalui di sepanjang perjalanan itu, kita perlu sabar dan  redha.  Sentiasa berlapang dada dengan setiap ujian yang dihantar Allah.  Ya… ujian.  Sekaligus satu peringatan agar sentiasa pula duduk memuhasabah diri.

Kerapnya kedatangan Ramadan mengundang kerinduan.  Rindu pada setiap kenangan yang berakar umbi dalam diri semenjak usia kecil.  Namun kali ini Ramadan datang membawa beberapa cerita dan berita.  Cerita dan berita yang berpahat kemas dalam diri.  Hingga sesekali menjadikan aku kemurungan dalam jangka masa yang agak panjang.  Terkesima. Keliru dan sesekali celaru!!

Malam kedua Ramadan aku mendapat panggilan.  Kakak sulungku sakit dan dimasukkan ke Hospital Taiping bagi mendapat rawatan jantung.  Ini bukanlah kali pertama.  Sudah beberapa kali.  Hospital sudah seperti rumah kedua.  Keluar masuk hospital dalam jangkamasa 3@4 hari itu sudah agak sinonim dengannya. Demikianlah kehidupan kita apabila semakin bertambah usia.  Penyakit ternyata makin sayang dan kita tiada kudrat untuk melawan.  Bila muhasabah semula diri, penyakit ini adalah ruang untuk kita saling mendekatkan diri dengan Tuhan.  Malah mungkin juga membina semula hubungan yang semakin terrenggang.

Ya… terenggang!  Pelbagai punca kerenggangan hubungan berlaku antara mannusia.  Mungkin disebabkan kesilapan komunikasi atau rasa ego barangkali.  Atau jarak untuk saling mengunjungi dan kadang-kala sebab kesihatan juga.  Namun apabila sakit dan demam,  darah kekeluargaan, kerinduan dan keinginan mengunjungi pasti ada.  Kita tidak boleh meletakkan ketidak upayaan kita berada dalam sesuatu situasi untuk memahamkan orang lain.  Namun setiap orang, contohnya aku pasti punya alas an tersendiri tidak mengunjungi kakakku walaupun terasa perlu berada dan menziarahi.  Kekangan Ramadan,  jarak dan kondisi suami yang tidak boleh memandu  jauh menyebabkan pergerakan aku agak terbatas berbanding dahulu.  Pun begitu, tidak pula aku lupa untuk titipkan doa.  Semoga Allah permudahkan urusan kesihatan dan segera menyembuhkan. 

Allah memberi ingatan dalam pelbagai bentuk dan cara.  Malah Allah turut mengajar kita dalam pelbagai suasana.  Baik tika kita seronok mahu pun ketika berduka.  Ramadan ke-4  tika kalut dengan urusan di sekolah, sekali lagi dikejutkan dengan panggilan talifon.  Namun, kali ini dari suamiku.  Kak Bibah (insan yang sedari kecil kutitipkan anak-anak hingga besar) dimasukkan ke hospital.  Pada perkiraanku sakit biasa.  Ya,,apalah sangat jika hanya demam disebabkan bisul.  Pada perkiraanku, mana mungkin boleh memudaratkan atau membawa kesan kepada yang lain.  Ramai sahaja orang yang terkena bisul.  Akhirnya  bisul itu pecah dan demam juga akan hilang.

Aku bergegas  mengunjungi Kak Bibah di Zon Merah Wad Kecemasan HSB sebaik habis persekolahan Khamis itu.  Sungguh aku terkedu.  Bisul biasa tapi kesannya.  Allah…, tiada suatu pun yang mustahil bila Allah katakan, “Kun Fa Ya Kun” – Jadilah, maka akan jadilah.  Kak Bibah terlantar dengan pelbagai alat bantuan dan wayar dipasang berselerakkan.  Beliau ditidurkan dan hanya menunggu bantuan apa yang akan diberi oleh para petugas hospital.  Komunikasi dengannya tidak lagi boleh berlaku.  Hanya dapat menatap wajah dan sekali lagi hanya doa. Ya.., hanya doa.

Episod perjalanan yang agak sukar  bermula dalam kehidupan kami.  Kali ini persinggahan kami adalah di HSB.  Banyak persinggahan lain terpaksa kami lupakan.  Termasuk hasrat mengunjungi Nyah di Kuala Kangsar hujung minggu itu.  Maka hari-hari tanpa selang - kadang tengahari, kadang petang, kadang siang dan ada ketikanya berlarutan hingga ke malam, kami pasti berada di HSB. Menunggu perkhabaran dari para petugas yang bertungkus-lumus memberi bantuan dan pertolongan.  Ada masanya apabila nama dipanggil kami menjadi takut dan trauma.  Saat-saat kritikal itu rasanya setuiap diantara kami saling memerlukan.  Sebenarnya menanti dan menunggu di wad kecamasan ini, banyak mengajar kami bagaimana mengawal dan mengurus emosi.  Terutama emosi hampir 36 jam Kak Bibah ditempatkan di Zon Merah sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).  Seterusnya emosi seluruh keluarga Kak Bibah sebaik operation membuang dua (2) bisul berjaya dilakukan pada malam ketiga di hospital.  Sebenarnya hanya ‘mini operation’. Anggaran masa 30 minit namun,  memakan masa yang lama di wad pembedahan.  (Kak Bibah berada dalam bilik pembedahan lebih kurang 2 jam iaitu dari  pukul 12.30 malam hingga 3.00 pagi).

Sukarnya untuk bercerita pada anak-anak situasi Kak Bibah ketika itu.  Tambahan ketika yang sama adik sedang menghadapi peperiksaan untuk semester kedua.  Manakala Lang baru hari pertama subjek pertama peperiksaan tahun akhir.  Kami berbincang panjang. Mencari alternative untuk memastikan kedua-duanya yang berada jauh beribu batu untuk menghadapi situasi yang cukup kritikal sekarang.  Bercerita perlu berhemah.  Macamana pun kedua-duanya perlu diberitahu.   Cuma perlu ada sedikit kerahsiaan agar tidak menganggu emosi dan tumpuan kedua-duanya menghadapi peperiksaan.

Khamis, 17 Mei 2018

EMAK - IBU, GURU DAN JURURAWATKU



Mei kini datang lagi.  Setiap tahun, Mei datang dan kemudian pergi.  Bulan dengan pelbagai perayaan. Untuk  Hari Ibunya, Hari Jururawat dan juga Hari Guru.  Kedatangan Mei saban tahun sejak lebih 12 tahun lepas, kerapkalinya mengundang rasa rindu dan sayu.  Tambahan bila ketiga-tiga perayaan itu disambut.  Namun, kali ini sayunya berganda.  Kerana Mei datang bersama Ramadan Kareem.

Hanya seorang insan yang kerap menyinggah bila Mei itu tiba.  Emak.  Bagiku dialah ibu, guru dan jururawat terbaik dan terhebat.  Jasanya tidak dapat dibalas walau seribu tahun datang dan pergi. 

Emak guru pertama yang mengajar aku tentang dunia.  Cuma bezanya dia tidak pandai menggunakan pen dan kertas, kapur dan papan kapur.  Namun, apa juga tentang kehidupan, kekeluargaan, persahabatan, kesabaran, keagamaan bermula dari lidah dan tangannya yang saban waktu sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar.  Emak – cintanya pada ikatan dan ukhwah sering meletakkan semua itu ditangga teratas.  Aku kerap diajar untuk beralah dalam banyak situasi.  Memberi ruang untuk yang lebih tua.  Menghulur untuk yang memerlukan terutama saudara sendiri.  Bersyukur dengan apa yang kita ada.  Merendah diri dengan sesiapa sahaja.  Tidak lokek.  Tidak pula menunjuk-nunjuk apa yang kita ada.

Teringat beberapa tahun sebelum emak jatuh sakit dan akhirnya meninggalkan kami 6 beradik pada tahun 2006.  Emak sibuk bercerita tentang kesungguhan dia dan Pak untuk membeli sebidang tanah kebun.   Untuk anak-anak.  Agih sama banyak biar masing-masing ada nama, katanya. Usaha itu entah kenapa aku tidak setuju.  Cukuplah dengan apa yang ada.  Tidak perlu bersusah payah.  Biar anak-anak cari sendiri.  Namun kini, setelah bertahun emak dan Pak tiada, baru aku tahu kenapa.  Ilmu tersirat yang anak-anak tidak pernah terfikir kesannya.   “Bila masing-masing ada bahagian dan hak – anak-anak pasti akan pulang ke kampong walau apa juga yang terjadi.  Rumah pusaka akan dijenguk dan kubur mereka akan terus dilawati”.  Maaf emak, kerana terlambat memahaminya.

Cerita tentang emak sebagai guru hebat terlalu banyak.  Dulu masa anak-anak masih kecil dan gaji aku dan suami agak kecil serta tanggungan besar, aku kerap bersunggut apabila berdua-duaan dengan emak. 
“Gaji Jah tak berkat Mak.”
“Hish… pasal apa kata macam tu”
“Simpanan tak ada.  Tiap-tiap bulan duit habis macam tu saja”.
“Salah tu Jah ooii…. Berkat ni macam-macam.  Tu yang kamu beli susu Adi dengan Farhana tu, berkat la.  Bagi kat Mak dengan Pak lagi.  Bayar duit orang jaga budak-budak tu.  Semua tu berkat”.
“Ada kamu dengan Sobri berkelahi?  Anak-anak kamu pun sihat.  Haaa, berkatlah tu.”

Emak…, terima kasih atas ilmu dan tunjuk ajar.  Tempat untuk aku berkongsi cerita suka dan duka.  Tempat untuk aku luahkan rasa.  Namun, bila emak pergi – patah sayapku untuk terbang lebih tinggi.
Dulu ketika kecil, aku adalah anak emak yang sering alergik bila tersilap makan.  Kerapnya ketika makan daging.  Seluruh badanku akan gatal-gatal dan dipenuhi kelopak garam.  Emaklah jururawat yang akan merawat ‘alergik’ itu sehingga hilang.  Dengan air kelapa (nyior), dengan bedak sejuk dan emak juga akan memastikan aku tidak bergaru sepanjang malam.   Hebatnya emak walaupun tidak tahu membaca dan menulis. 

Selain alergik,  aku kerap juga ditumbuhi ‘bisul’ (tapi dulu-dulu emak tak sebut bisul. Cuma aku lupa nama penyakit itu apa).  Kadang-kadang bisul ini tumbuh di merata tempat – ketiak, kepala, belakang telinga.  Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.  Tambahan ketika malam.  Tapi emak ada cara dan kaedah (Ilmu yang dipelajari entah dari mana) untuk mengatasi masalah dan penyakit aku.  Kulit pokok mempelam yang diasah dicampur dengan sagu rumbia.  Kemudian disapu di sekeliling bisul tersebut.  Dan akhirnya bisul itu akan pecah dengan darah dan nanah esoknya!!  Hebatnya emak sebagai jururawatku meskipun emak tidak pernah mengikuti sebarang kursus perubatan baik moden atau tradisional!!

Emak, jika boleh aku ingin bercerita tentang emak panjang dan berjela.  Tentang ilmu pengurusan emak.  Tentang cita-cita dan harapan emak.  Tentang wawasan emak.  Tentang emak dan puasa.  Tentang kehebatan emak memasak dan berseni. Biar seluruh dunia dan alam tahu tentang hebatnya emak di mata kami.

Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia.  Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi.  Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN.  Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.

PELEURU JEMARI

Memandangkan sajak ini ditolak Juri kerana penggunaan perkataan medsos, maka aku muat naik dalam blog ini untuk tatapan sesiapa yang singgah...