Khamis, 17 Mei 2018

EMAK - IBU, GURU DAN JURURAWATKU



Mei kini datang lagi.  Setiap tahun, Mei datang dan kemudian pergi.  Bulan dengan pelbagai perayaan. Untuk  Hari Ibunya, Hari Jururawat dan juga Hari Guru.  Kedatangan Mei saban tahun sejak lebih 12 tahun lepas, kerapkalinya mengundang rasa rindu dan sayu.  Tambahan bila ketiga-tiga perayaan itu disambut.  Namun, kali ini sayunya berganda.  Kerana Mei datang bersama Ramadan Kareem.

Hanya seorang insan yang kerap menyinggah bila Mei itu tiba.  Emak.  Bagiku dialah ibu, guru dan jururawat terbaik dan terhebat.  Jasanya tidak dapat dibalas walau seribu tahun datang dan pergi. 

Emak guru pertama yang mengajar aku tentang dunia.  Cuma bezanya dia tidak pandai menggunakan pen dan kertas, kapur dan papan kapur.  Namun, apa juga tentang kehidupan, kekeluargaan, persahabatan, kesabaran, keagamaan bermula dari lidah dan tangannya yang saban waktu sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar.  Emak – cintanya pada ikatan dan ukhwah sering meletakkan semua itu ditangga teratas.  Aku kerap diajar untuk beralah dalam banyak situasi.  Memberi ruang untuk yang lebih tua.  Menghulur untuk yang memerlukan terutama saudara sendiri.  Bersyukur dengan apa yang kita ada.  Merendah diri dengan sesiapa sahaja.  Tidak lokek.  Tidak pula menunjuk-nunjuk apa yang kita ada.

Teringat beberapa tahun sebelum emak jatuh sakit dan akhirnya meninggalkan kami 6 beradik pada tahun 2006.  Emak sibuk bercerita tentang kesungguhan dia dan Pak untuk membeli sebidang tanah kebun.   Untuk anak-anak.  Agih sama banyak biar masing-masing ada nama, katanya. Usaha itu entah kenapa aku tidak setuju.  Cukuplah dengan apa yang ada.  Tidak perlu bersusah payah.  Biar anak-anak cari sendiri.  Namun kini, setelah bertahun emak dan Pak tiada, baru aku tahu kenapa.  Ilmu tersirat yang anak-anak tidak pernah terfikir kesannya.   “Bila masing-masing ada bahagian dan hak – anak-anak pasti akan pulang ke kampong walau apa juga yang terjadi.  Rumah pusaka akan dijenguk dan kubur mereka akan terus dilawati”.  Maaf emak, kerana terlambat memahaminya.

Cerita tentang emak sebagai guru hebat terlalu banyak.  Dulu masa anak-anak masih kecil dan gaji aku dan suami agak kecil serta tanggungan besar, aku kerap bersunggut apabila berdua-duaan dengan emak. 
“Gaji Jah tak berkat Mak.”
“Hish… pasal apa kata macam tu”
“Simpanan tak ada.  Tiap-tiap bulan duit habis macam tu saja”.
“Salah tu Jah ooii…. Berkat ni macam-macam.  Tu yang kamu beli susu Adi dengan Farhana tu, berkat la.  Bagi kat Mak dengan Pak lagi.  Bayar duit orang jaga budak-budak tu.  Semua tu berkat”.
“Ada kamu dengan Sobri berkelahi?  Anak-anak kamu pun sihat.  Haaa, berkatlah tu.”

Emak…, terima kasih atas ilmu dan tunjuk ajar.  Tempat untuk aku berkongsi cerita suka dan duka.  Tempat untuk aku luahkan rasa.  Namun, bila emak pergi – patah sayapku untuk terbang lebih tinggi.
Dulu ketika kecil, aku adalah anak emak yang sering alergik bila tersilap makan.  Kerapnya ketika makan daging.  Seluruh badanku akan gatal-gatal dan dipenuhi kelopak garam.  Emaklah jururawat yang akan merawat ‘alergik’ itu sehingga hilang.  Dengan air kelapa (nyior), dengan bedak sejuk dan emak juga akan memastikan aku tidak bergaru sepanjang malam.   Hebatnya emak walaupun tidak tahu membaca dan menulis. 

Selain alergik,  aku kerap juga ditumbuhi ‘bisul’ (tapi dulu-dulu emak tak sebut bisul. Cuma aku lupa nama penyakit itu apa).  Kadang-kadang bisul ini tumbuh di merata tempat – ketiak, kepala, belakang telinga.  Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.  Tambahan ketika malam.  Tapi emak ada cara dan kaedah (Ilmu yang dipelajari entah dari mana) untuk mengatasi masalah dan penyakit aku.  Kulit pokok mempelam yang diasah dicampur dengan sagu rumbia.  Kemudian disapu di sekeliling bisul tersebut.  Dan akhirnya bisul itu akan pecah dengan darah dan nanah esoknya!!  Hebatnya emak sebagai jururawatku meskipun emak tidak pernah mengikuti sebarang kursus perubatan baik moden atau tradisional!!

Emak, jika boleh aku ingin bercerita tentang emak panjang dan berjela.  Tentang ilmu pengurusan emak.  Tentang cita-cita dan harapan emak.  Tentang wawasan emak.  Tentang emak dan puasa.  Tentang kehebatan emak memasak dan berseni. Biar seluruh dunia dan alam tahu tentang hebatnya emak di mata kami.

Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia.  Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi.  Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN.  Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.

Jumaat, 30 Mac 2018

KETIKA USIA 51

Hari ini genap usiaku 51 tahun.  Izinkan pada kesempatan ini aku merakamkan ribuan terima kasih untuk MGK Kedah juga anak-anak yang selalu menyokongku.
Hadiah Tidak Terduga
2 hari lepas (28/3/2018), aku telah melepaskan jawatanku sebagai Su MGK Kedah. Itulah hadiah terbaik untuk aku tahun ini. Alhamdulillah, doaku dimakbulkan Allah setelah hampir 8 tahun jatuh bangun bersama para sahabat dan adik-adik yang sentiasa hebat.  Jika ditanya pada hati, sejujurnya aku sangat sayangkan MGK Kedah.  Yang nadi dan jiwaku sentiasa ada untuknya.  MGK Kedah adalah sebahagian kerja buatku yang kulakukan diluar waktu kerja.  Selalunya adalah disebelah malam dan kerapnya sehingga lewat pagi.

Barisan MGK 2016/2017
Bagi aku, inilah antara hadiah hari lahir terindah.  Kenapa aku kata begitu? Sedangkan aku MGK Kedah begitu sinonim dengan diriku??

Untuk adik-adik, yang terus memohon untuk aku 'bersama' mereka; ini adalah antara sebab-sebab utama mengapa pilihan ini perlu dibuat.

1.  Menjadi guru pada 3/1/1989.  Bermula detik itu pelbagai tugas yang diamanahkan aku lakukan.  Tinggal anak, tinggal suami semuanya adalah perkara biasa.  Aku terlibat dengan banyak aktiviti baik di sekolah mahu pun di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.  Perkara ini telah berterusan dari 1990 hinggalah ke hari ini.  Sebenarnya banyak tugas di rumah yang tidak sempat diurus dengan baik berbanding tugas-tugas luar yang tuntutannya tidak mengira masa.

2.  Bermula di SK Bukit Bintang (1) dan kemudian terjerumus dalam kancah pendidikan khas - aku terlibat membawa pelajar sehingga beberapa kali meraih Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan pada tahun 1991,1992 dan 1993.  Selain mengajar kanak-kanak buta menari yang orang kata sebagai kerja gila untuk satu persembahan peringkat negeri.

3.  Menjadi pemeriksan Soalan Kertas Bahasa Melayu dari 1993 sehingga tahun 2004 menyebabkan aku sibuk menanda kertas pada hujung tahun tanpa berpeluang bersama anak-anak dalam jangka masa yang panjang.  dan kerapnya mengabaikan makan minum keluarga apabila masa semakin suntuk.

4.  Pengubal Soalan Bahasa Melayu daerah dan negeri hingga 2005

5.  Pengacara Majlis MSSD dan MSSK dari 1994 - 2005

6.  Terlibat dengan aktiviti kaunseling daerah dan negeri termasuk Kem Waja Diri Kebangsaan dari tahun 1994

Daripada Anak2. Tq
7.  Menerajui MGK Daerah Kota Setar dari 2008 hingga 2011

8.  Menerajui MGK Negeri Kedah dari 2011 hingga 2017

Lama sungguh masa yang aku ambil untuk satu kelangsungan dalam dunia pendidikan.  Sehingga banyak kerja dan tugas sebagai isteri dan ibu telah diabaikan.  Izinkan pada sambutan kelahiran ini, aku kembali kepada keluargaku terutama suami yang sering amat ditinggalkan.  Tambahan pula, dalam usia begini serta kesihatannya yang memerlukan aku untuk dia terus ceria dalam kehidupan.

Para Sahabat MGK Kedah

Berundur tanpa memegang jawatan bukan bererti aku sudah 'bosan' dan 'mengalah' tetapi adalah satu era di mana aku akan untuk terus berlari dan mencari.  Berlari mengejar apa yang belum tercapai dalam hidup, mencari apa yang perlu untuk bekalan masa akan datang.  Apa pun, sebenarnya MGK Kedah adalah anugerah terindah yang dikirim Allah untuk aku.  Banyak yang dipelajari terutama berkaitan ilmu mengurus, mengenal manusia, bekerja dalam tekanan  tinggi dan mengawal rasa marah.  Kadang-kadang terlajak sehingga sesat jauh ke hadapan, aku terpaksa berundur kembali ke belakang mencari pangkal jalan.
Yang Sempat Bergambar
Prinsip yang sering aku pegang, adalah sentiasa memudahkan urusan orang, In Sha Allah Allah sentiasa ada pada bila-bila masa untuk memudahkan urusan kita pula.  Untuk adik-adik, jangan harap ganjaran daripada orang atas apa yang kita buat kerana ganjaran dari Allah sentiasa tersedia untuk kita andai kita ajar diri menjadi IKHLAS.  Teruskan berkhidmat kerana khidmat kalian sentiasa diperlukan demi Imej MGK Kedah.