Selasa, 19 Disember 2023

DAIRI SEORANG PESARA 2

DAIRI SEORANG PESARA 2


Usai solat Maghrib dengan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, kami ke Gemilang Kitchen untuk menikmati makan malam.  Kebetulan lokasinya  tidak jauh dari rumah.  Lebih kurang lima minit perjalanan.  Kami jarang ke sini.  Maksudnya restoran ini bukanlah 'port' yang menjadi pilihan kami sekeluarga.  

Sementara menunggu menu yang dipesan sampai, mata galak melihat sekeliling.  Beberapa buah meja di hadapan kami penuh diduduki keluarga yang baru sampai.  Pekerja Gemilang Kicthen kelihatan sibuk menarik meja untuk digabungkan.  Bilangan mereka agak ramai, melebihi sepuluh orang.  Kebanyakannya seusia aku dan suami.  Dari raut wajah, hanya dua orang sahaja kelihatan berusia seawal remaja.

Selain mereka, ada juga beberapa kumpulan keluarga lain bersama-sama ibu bapa dan anak-anak kecil.  Sambil memesan makanan, aku melihat mereka asyik berbual dan bercerita.  Mungkin ini merupakan aktiviti keluarga sempena cuti sekolah.  Masing-masing balik kampong dan mereka merencanakan 'Family Gathering' untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa.

Semua itu mengimbau kenangan ketika mak dan pak masih ada.  Beberapa tahun dulu aku dan keluargaku pun begitu.  Sebaik cuti sekolah, kami akan balik dan berkumpul di rumah mak dan pak.  Selalunya hanya kami 6 beradik akan balik dan berkumpul bersama keluarga masing-masing. Keluarga arwah Chop jarang turut serta kerana mereka tinggal jauh di Pahang.  Manakala keluarga arwah Abang Din hanya sesekali menyertai kami apabila mereka berkelapangan.

Masih terbayang di ruang mataku, ketika kami sama-sama menyediakan makanan  tengahari dan makan malam.  Makanan yang siap dimasak akan dihidang di ruang hadapan rumah.  Selalunya dua baris surat khabar lama  dibentang memanjang sebagai alas makanan yang dihidang.  Setiap baris anggaran 5 keping surat khabar bersaiz besar. Itu pun belum cukup selesa untuk bilangan kami yang ramai.

Ruang hadapan rumah akan dipenuhi anak-menantu dan cucu-cucu. Keadaan akan menjadi lebih kecoh jika kesemua 8 orang anak mak dan pak berkumpul.  Menu paling 'rare' adalah gulai kemahang dicampur dengan siput sedut yang dikutip di sepanjang sungai di lembah.  Tambah berselera jika makan ikan patin atau tenggalan bakar dengan air asam.  Tambahan jika ikan-ikan itu adalah hasil yang dijala arwah Chop dan arwah Abang Din di sungai atau di Empang.



Ketika anak-cucu ada di rumah, mak selalu sediakan 'limas' untuk kami.  Kalau setakat sekilo tepung, limas yang dimasak mak akan habis dengan sekali hadap sahaja!  Sesekali bagi meraikan selera cucu-cucu, mak dan pak akan menikmati burger, nugget, sosej atau ayam goreng yang mereka sediakan.  

Itulah 'gathering' cara kami pada ketika itu berbanding sekarang.  Walau bagaimana pun caranya, aku menikmati saat-saat bahagia dan menyeronokkan sepanjang tempoh bersama-sama mereka.  Tidak ada yang paling membahagiakan ketika melihat orang-orang yang kita sayang tersenyum penuh kepuasan saat kita berada di sisi mereka.  

Ya..., aku tahu mak dan pak sangat gembira ketika kami memenuhi ruang rumah mereka setiap kali cuti.  Dan aku tahu mak dan pak sentiasa menantikan manisnya detik-detik 'gathering' bersama keluarga.

*********************************************************

Kami menikmati makan malam yang dipesan - sup ayam (untuk 3 orang) dan sepinggan nasi.  Itu pun setelah lebih 30 minit menunggu.  Bagi aku, ini bukanlah makan malam sebenarnya - hanya mengisi perut agar tidak lapar dan 'mampu tarik selimut' seperti mana yang selalu disebut oleh arwah ayahandaku Mahmud suatu ketika dahulu. 

"Tak tahulah bila kita dapat berkumpul beramai-ramai macam keluarga-keluarga tu..."


Farah dan Fatin memandang wajahku.  Terasa dinginnya malam.  Dan hati  bagaikan dibasahi rintik-rintik hujan kerinduan.  Sungguh aku dibuai sebuah kerinduan nan panjang.  Entah bila akan berulang!


Selasa. 19122023


Isnin, 11 Disember 2023

DAIRI SEORANG PESARA 1

Dairi Pesara 1

Hari ini Isnin, 11 Dis. 2023. Bererti sudah 41 hari bergelar pesara.  Meninggalkan tugas-tugas rasmi sebagai seorang penjawat awam.  Meninggalkan segala kesibukan yang dulunya membelenggu diri sama ada secara sedar atau sebaliknya.  


Sejarah perkhidmatan bermula pada 3 Jan. 1989 di SK Bukit Bintang 1.  Itu pun bukanlah lama.  Hanya kurang dua minggu sebelum ditempatkan semula di SK Jalan Batu, Kuala Lumpur.  Di sini segalanya bermula.  Belajar menyantuni kanak-kanak istimewa bersama rakan-rakan guru yang baru tamat latihan perguruan asas.  Seronok tetapi agak mencabar dengan semangat guru baru habis bergraduat.

Cuma, aku tidak lama di situ.  Sebaik berkahwin, aku mengikut suami ke utara tanah air.  Di sinilah aku menabur bakti sebagai guru bermula 1 Mac 1990 hingga ke noktah terakhir sebagai penjawat awam - 31 Okt. 2023!  Berpencen pilihan setelah berkhidmat selama 34 tahun 10 bulan bersamaan 418 bulan.

Selain dua buah sekolah di atas, aku juga telah berkhidmat di beberapa buah sekolah.  Antaranya adalah SK Jabi, SK Tunku Abdul Halim, SK Hj. Abu Bakar, SMK Sultanah Bahiyah dan PPD Kota Setar.  


Pelbagai pengalaman pahit-manis aku rasai sepanjang tempoh menggalas tanggungjawab sebagai guru.  Syukurlah kerana aku berjaya melalui liku-liku perjalanan ini sehingga ke akhirnya.  Bersyukurlah kerana s aku dikelilingi para sahabat yang sangat banyak membantu selain anak-anak murid yang sentiasa mewarnai kehidupanku.

Hari ini, setelah lebih sebulan sebagai pesara, lingkaran kehidupan rasanya semakin mengecil.  Rutin kehidupan dahulu berubah 360°.  Bangun pagi tidak lagi tergesa-gesa bersiap-siap untuk ke pejabat.  Malah tidak ada lagi kebimbangan terlewat kerana  'trafic jam'.  Tidak juga dikejar 'dateline' atau kebimbangan mengurus klien dirujuk atau 'walk in'.  Semuanya berjalan mengikut aturan sendiri.  

Terima kasih alam pekerjaan kerana mengajar banyak perkara dan mematangkan diri dalam banyak hal.  Terima kasih para sahabat yang sering mendoakan.

Isnin.  10.52 pagi.  Alor Setar.


Jumaat, 1 Disember 2023

Tb : Sabtu - 14 Oktober 2023 SMK Tun Sharifah Rodziah

Menerima mesej ketika dalam perjalanan ke Langkawi tanggal 25 September 2023. Puas berfikir patut atau tidak namun, terasa tidak sampai hati untuk menolak. Tambahan masa diperuntukkan cuma dua jam. Lama berfikir akhirnya lamaran itu diterima juga.


Bukan satu tugas yang mudah. Meski hanya dua jam, beberapa persiapan perlu dibuat. Alhamdulillah, akhirnya di Digital Library Kedah buat pertama kali aku bertemu muka dengan hampir 60 orang guru dan AKP SMK Tun Sharifah Rodziah.


Terima kasih Cikgu Liyana Izzati SULDP yang sudi menjemput aku menyantuni guru-guru hebat ini. Terima kasih Puan Pengetua, Puan Sariza Md Salleh serta barisan pentadbir kerana sudi bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti - bukti kebersamaan cikgu dengan seluruh anak buah di sekolah. Hebat dan tahniah.



Terima kasih dan tahniah buat semua guru dan staf SMK Tun Sharifah Rodziah. Kalian merupakan aset yang berharga berdasarkan kekuatan dan potensi yang kalian ada. Teruslah berganding bahu membina kecemerlangan anak bangsa.


Sejujurnya 2 jam yang diberi terasa begitu cepat berlalu. Banyak yang ingin dikongsi. Ada aktiviti tidak dapat dilaksanakan. Masa begitu terhad. Tambahan ada acara lain selepas itu. Penceramah juga sudah menunggu. Maka terpaksalah sesi ditamatkan dengan segera. Apa pun semoga perkongsian singkat itu bermanfaat buat semua. Mohon maaf atas segala kekurangan.




LDP : SK PENDIDIKAN KHAS ALOR SETAR (TB : 28 OKT. 2023)



Aku menerima undangan mengisi slot LDP di SK Pendidikan Khas Alor Setar, Sabtu 28 Okt. 2023 melalui panggilan telefon tengahari kelmarin.  Awalnya ingin menolak kerana pada hari yang sama terdapat banyak undangan perkahwinan dari rakan dan sahabat.  Namun, permintaan KPN JPN Kedah, En. Mohamad Nasir rasanya tidak upaya ditolak.  Kebetulalan aku tahu, jadual beliau  sepanjang minggu ini sehingga minggu hadapan amat padat.  Rasanya tidak wajar untuk aku menolak tambahan  aku tidak mempunyai sebarang urusan dalam tempoh 3 hari sebelum meninggalkan perkhidmatanku sebagai penjawat awam.

Aku dan anakku Farah tiba di perkarangan dewan sekolah 15 minit sebelum slot untuk aku bermula.  Kami  menjenguk ke ruang dewan, kesemua guru dan staf sedang asyik mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan pertama.  Aku dan anakku kemudiannya diminta menunggu di bilik tetamu sementara menunggu slot pertama selesai.

15 minit telah berlalu.  Bagiku biasalah andai penceramah terlajak masa 10 ke 15  minit.  Namun kalau sudah  1 jam, aku yang menunggu terasa bahang kepanasan. Hahaha....  Inilah skenangan menunggu paling lama dalam sejarah.  Slot aku bermula 1 jam
lewat dari waktu yang dijadualkan.  Maksudnya, aku perlu mengambil tambahan masa sejam andai mahu menghabiskan keseluruhan bahan penyampaian!

Dalam waktu sebegini, aku perlu berusaha semaksima mungkin untuk meningkatkan momentum para guru dan staf.  Jam menunjukkan pukul 11.32 minit.  Sudah menghampiri tengahari dan tadi, mereka hanya menerima input yang disampaikan.  Seperti yang komen ditulis peserta, awalnya aku sedikit gementar (bimbang melihat jam sambil otak berfikir ligat untuk memastikan penyampaian aku difahami dan tidak tergantung).

Alhamdulillah dengan izin-Nya, aku berjaya berkongsi idea bersama-sama 56 orang kakitangan (guru dan staf) SK Pendidikan Khas Alor Setar dan menamatkan slotku pada pukul 1.30 petang.  Bersyukur kerana tidak ada seorang pun yang keluar meninggalkan dewan.  Ternyata semua guru dan warga sekolah begitu komited meskipun masa rehat mereka pada hari Sabtu ini terpaksa dilepaskan.

Bagiku, perkongsian ilmu ini mungkin khidmat terakhirku sebagai Kaunselor Pendidikan Daerah (KPD), Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar.  Kerana pada 31 Okt. 2023 aku akan menamatkan perkhidmatanku sebagai penjawat awam.  

Terima kasih warga sekolah SK Pendidikan Khas.   Komitmen anda menjadikan hari-hari terakhirku begitu indah dan bermakna.  Terima kasih atas sokongan.  Terima kasih atas tumpuan.  Terima kasih kerana mengambil bahagian.  

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...