Isnin, 29 Januari 2024

PERJALANAN PANJANG DALAM SEBUAH IKATAN

 28/1/1990 - 28/1/2024

Suatu perjalanan yang cukup panjang.  Andai diukur dari utara ke selatan, rasanya sudah lebih sepuluh kali hilir-mudik.  Namun, perjalanan itu tentunya melalui pelbagai onak-liku dengan perhentian di beberapa kawasan R&R untuk berehat atau sesekali menarik nafas.  


Banyak yang telah kami lalui dan alami sepanjang tempoh itu.  Dari usia remaja hinggalah kini masuk ke alam warga.  Masing-masing belajar mengenali dan memahami diri, tabiat dan personaliti.  Bukan mudah untuk duduk serumah, sebilik malah sekatil bersama-sama orang yang begitu asing. Berkongsi segala pahit-manis malah kedukaan dan ketakutan.  


Dialah suami yang menjadi tulang belakang kehidupanku.  Yang sentiasa ada ketika susah dan senang.  Yang sentiasa menyediakan bahunya untuk aku berkongsi cerita.  Malah sentiasa berusaha menenang dan menyenangkan.  Mungkin, dia tidak mampu memberi kemewahan namun dia sentiasa bersedia memberi perlindungan.  

Banyak impian dan harapan yang kami bina.  Meskipun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran namun kami berusaha memilikinya dengan pelbagai usaha.  Bersyukur kerana sepanjang tempoh 34 tahun itu, Allah kurniakan kami empat orang cahaya mata yang menjadi pelengkap sebuah keluarga dan cinta.  

Padaku, Dia seorang suami yang terlalu banyak berkorban.  Malah kadang-kala melupakan semua kepentingan dirinya semata-mata untuk kebahagiaan aku dan anak-anaknya.  Sesekali apabila menoleh semula ke belakang, rasanya begitu banyak yang aku tidak syukuri dengan apa yang dilakukannya untuk kami.  Mungkin sesekali aku dilihat sebagai kurang menghargai.  Pun sebenarnya  jauh di sudut hati aku sentiasa mengkagumi setiap apa yang dia korbankan untuk kami.


Peredaran masa dan pertambahan usia, aku melihat dia malah aku sendiri tidak lagi sekuat dahulu.  Masing-masing ada ketika membuat haluan sendiri di rumah.  Ada ketika, seorang duduk di anjung manakala seorang lagi terperap di dapur.  Interaksi dan komunikasi menjadi semakin kurang.  Bukan disebabkan pertelingkahan tetapi mendapatkan ketenangan dan kedamaian dengan cara tersendiri.

Dulu aku pernah berangan-angan sebaik berpencen dan anak-anak sudah berada di luar rumah, kami akan sama-sama berjalan-jalan untuk merehatkan minda.  Barangkali ke rumah anak-anak untuk bercuti atau duduk berdua sambil menikmati kopi di mana-mana.   Ya..., sepanjang tempoh 34 tahun itu, kami jarang bercuti berdua.  Malah mungkin tidak pernah sekali pun bercuti tanpa kehadiran anak-anak di sisi!

Apa pun suamiku, engkau telah menjadi imam terbaik untukku selama ini.  Sering memberi aku harapan dan selalu memberi dorongan.  Barangkali aku tidak akan berada di tahap ini tanpa pengorbanan yang telah engkau lakukan.  Terlalu banyak sehingga tidak mampu untuk kuhitung satu-satu.  Rasanya tidak mungkin juga untuk aku senaraikan segala yang telah kau lakukan untuk aku dan keluarga kita sepanjang tempoh itu.

Sempena hari ini, 28 Januari 2024 - selama 34 tahun menjadi pelindungku, terima kasih untuk setiap jerih-payah dan pengorbananmu.  Semoga Allah sentiasa melindungimu, suamiku Mohammad Sobri bin Daud.  Teruslah menjadi suami yang baik untuk aku, abah yang sentiasa memahami untuk anak-anak dan menantu, juga Tok Wan yang penyayang untuk cucu-cucu kita.  Aku sentiasa menghargaimu.  

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Ke-34.

#Kembaliberduamelayarisebuahkehidupan.  



Ahad, 28 Januari 2024

WARNA-WARNA KEHIDUPAN 2023

Tirai 2023 sudah lama berlabuh. 365 hari, satu perjalanan cukup panjang dan rencam. Sesekali apabila berpaling ke belakang, terasa sukarnya mengharungi liku perjalanan dalam tempoh itu. Namun, akhirnya 365 hari 2023 berlalu dan 365 hari mendatang perlu ditempuhi walau kita tidak pasti bagaimana pula kanvas kehidupan ini bakal dicorakkan.

KEPULANGAN / KEMATIAN
Memang sudah termaktub sejak azali, hidup lawannya mati. Itu pasti. Sungguh, kematian itu tidak akan terlewat atau tercepat walau sedetik. Demikian yang kami lalui sepanjang 2023 – 3 kematian di sebelah keluargaku dan satu kematian di sebelah suamiku Mohd Sobri Daud
Permulaan 2023, kami dikejutkan dengan ‘kepulangan’ anakanda Suriyati Razif pada Isnin, 9 Januari 2023. Almarhumah pergi meninggalkan suami dan 3 orang anak. Lapan bulan berikutnya, kekanda kami Mohidin bin Mahmud menyusuli satu-satu anakanda yang dipunyainya Suriyati Razif. Allahyarham Alang Din (panggilan kami buat beliau) dijemput Illahi pada malam 28 Ogos 2023 (Isnin) dan dikebumikan pada keesokan harinya. Pergi setelah lebih 5 hari dimasukkan ke Hospital Taiping. Dalam kekalutan membuat persiapan majlis walimah anakanda, sempat dua kali aku turun ke Kuala Kangsar dalam tempoh 5 hari.
Kesedihan kehilangan belum mampu dipadam, kami menerima pula perkhabaran kepulangan Aziz (suami adik iparku) pada 5 September 2023 (Selasa) akibat kanser. Dan tirai 2023 ditutup dengan kepulangan seorang lagi ahli keluarga – iaitu abang ipar kami, Azizan bin Ariffin, pada hari Sabtu 30 Disember 2023. Dua hari berturut-turut kami berulang menyantuni Allahyarham saat akhir. Sesungguhnya, Allahyarham meskipun hanya berstatus ipar, namun telah menjadi sebahagian keluarga kami sejak 43 tahun lalu. Sejak usiaku 13 tahun. Allahyarhan Nyah Pian (panggilan kami sekeluarga) banyak menyumbang bakti kepada keluarga kami termasuk menyantuni arwah emak dan pak semasa hayat mereka.
KESIHATAN / PENYAKIT
Sihat lawannya sakit – dari awal tahun sehingga ke akhir tahun 2023, cerita sakit dan penyakit begitu sinonim dalam keluarga kami. Bermula dengan Nahda (puteri sulung Nadia Radoan), dimasukkan ke IJN kerana komplikasi jantung ketika lahir. Diikuti Opahnya Nasitah Mahmud kerana masalah batu karang, kemudian adikku Abdul Rahman Man juga termasuk anakandaku Mawardy Sobree yang mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Semoga tahun 2024, aku dapat melihat kesemua mereka ini pulih sepenuhnya dari segala penyakit yang mereka deritai termasuk cucu-cucuku – Faiq dan Nahda. Sesungguhnya tidak ada yang mampu menyembuhkan melainkan Dia – Kun Fa Ya Kun.
AHLI BARU DALAM KELUARGA
Dalam kita bercerita tentang kesakitan dan kematian, tahun 2023 menjadi tahun pertambahan ahli buat keluarga kami. Alhamdulillah, kami menyambut kelahiran dua orang cucu pada 2 April 2023 (Alfie Eilman) dan 4 November 2023 (Ahmad Faiq Filman). Pertambahan dari dua keempat orang cucu merupakan detik-detik yang sangat membahagiakan. Alfie Eilman anak sulung Farhana Sobri dan Fahmy Abdullah manakala Ahmad Faiq Filman anak ketiga Noornabihah Jan dan Mawardy.
Halim menjadi ahli baru keluarga kami, selepas selamat diijabkabulkan dengan Fatin Naimah pada 31 Ogos 2023. Alhamdulillah, jika dulu hanya berdua, kemudiannya jadi berenam dan sekarang sudah bertambah ke-13 orang. Bersyukur dengan anugerah Allah sepanjang tempoh itu. Semoga kehadiran mereka menambah kebahagiaan dan kegembiraan dalam keluarga.
DIRI DAN KERJAYA
Setelah berkhidmat selama lebih 34 tahun, akhirnya aku memilih bersara secara pilihan pada 1 November 2023. Meninggalkan segala tugas sebagai penjawat awam dan memilih menjadi suri rumah tangga sepenuhnya. Memang bukan mudah mengubah rutin hidup yang telah berdarah daging dalam diri. Namun bagiku inilah pilihan paling tepat dan saat cukup sesuai – meninggalkan dunia kerjaya ketika kita masih dikasihi dan disayangi oleh orang-orang di sekeliling kita!
Rupa-rupanya, bersara awal menjadi satu kejutan kepada sistem badan. Ditambah pula dengan pelbagai peristiwa dan insiden yang berlaku bertubi-tubi. Sehingga aku tertewas untuk menepis dan mengelak dari menghadapinya. Akhirnya aku benar-benar tewas. Hampir 2 bulan lamanya diuji dengan masalah kesihatan. Memaksa diri berada di dalam rumah lebih banyak dari berada di luar. Banyak pergerakan terpaksa dibataskan. Hanya sesekali apabila perlu, mengikut anak-anak membeli sesuatu atau dibawa pusing-pusing Alor Setar – Jitra pada sebelah malam. Itu pun andai terasa kuat dan mampu melakukan.
Kadangkala ketika sakit itu, aku tidak tahu apa yang patut dilakukan. Waktu tidur menjadi tidak menentu. Batuk berterusan. Demam – on off. Malah suara juga turut berubah menjadi lebih ‘rock’ dari selalu. Alhamdulillah, hari ini aku berasa sedikit sihat meskipun saki-baki selsema, gelema, batuk dan beberapa simptom lain belum hilang sepenuhnya. Betullah seperti kata arwah emak dulu, “penyakit ni, pergi macam semut; datang macam ribut.”
Banyak sebenarnya yang aku ingin coretkan rentetan pelbagai peristiwa sepanjang 2023. Namun rasanya, coretan kali ini pun sudah cukup panjang. Nantilah, apabila mood menulis datang semula, pasti cetusan-cetusan idea mampu diterjemahkan dalam susunan kata-kata. Tunggulah, apabila kesihatan semakin pulih dan otak dapat berfungsi sepenuhnya.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...