Isnin, 11 Mei 2020

NASI ULAM RESEPI EMAK

Alhamdulillah.  Terima kasih kepada kakakku Nasitah dan anak-anaknya yang sudi hantar 'parcel' susu Nelofa untuk aku dan anak-anak beberapa hari lepas.    Selain susu, ada juga kirim lain yang disertakan.  Dalam  keghairahan membuka parcel tersebut, mata tiba-tiba terhenti pada seikat ulam-ulaman. 
Nasi Ulam Dari Daun-Daun Kiriman Kakakku
Allah... .  Segera minda terfokus kepada resepi nasi ulam turun-temurun yang kerap disediakan arwah emak.  Terima kasih kerana sudi menghantar ulam-ulaman ini kepada aku dan keluarga.  Tangan segera membelek daun-daun ulaman yang dihantar.  Ada beberapa helai daun yang hampir kekeringan.  Kepanasan sepanjang tempoh pengeposan, barangkali.  Apa pun terima kasih daun keladi!!😀

Aku tidak tahu mengapa ada rasa sebak ketika memegang kiriman kakakku ini.  Nasi ulam ini sebenarnya sudah terlalu lama tidak kujamah.  Sejak kepergian emak pada tahun 2006.  Mungkin kali terakhir aku makan nasi ulam ini adalah pada tahun 2005, setahun sebelum kepulangan emak menemui penciptanya.  Sebenarnya aku sangat teringin untuk menikmati nasi ulam resepi emak setiap kali Ramadan tiba.  Ini merupakan antara resepi istimewa arwah emakku.  Resepi yang sangat istimewa dan rasanya lain daripada yang lain.  Cuma, aku tidak berkesempatan mempelajari bagaimana nasi ulam ini perlu disediakan.  Memang tidak pernah sekali pun belajar menyediakannya.

Sepanjang tempoh membesar, nasi ulam  hanya boleh kami rasa apabila tiba bulan puasa.  Sayangnya aku telah meninggalkan rumah sejak usiaku 18 tahun!!   Kesempatan untuk belajar menyediakan asi ulam tidak pernah aku miliki.  Sesekali balik bercuti ada sahaja perkara lain yang perlu dibuat.  Tambahan pula menu nasi ulam hanya menjelma pada bulan Ramadan sahaja.  Selalunya apabila tiba bulan puasa, baik ketika belajar, bekerja dan seterusnya berkahwin menu nasi ulam hanya sesekali dapat dijamah jika berkesempatan berpuasa bersama keluarga di kampong.  Dan aku tidak pernah sesekali meminta emak menyediakan khas untuk aku walaupun kadang-kadang keinginan itu tetap ada.  Cuma selalunya, bahan-bahan nasi ulam ini pasti akan tersedia di dalam peti ais ketika aku balik ke rumah dalam tempoh Ramadan dan awal Syawal. Ketika inilah aku akan dapat menikmati keenakan nasi ulam buatan emakku ini.

Sayur Keladi Kedah 
Resepi nasi ulam emak pastinya sangat berbeza dengan nasi-nasi ulam orang lain.  Daun-daunnya dikutip dari pelbagai jenis daun yang biasa dimakan sebagai ulaman (Ada yang kata 30  hingga 44 jenis ulam-ulaman).  Aku memang tidak tahu bagaimana untuk menyediakan hidangan ini untuk keluarga.  Tidak pernah sekali pun aku sediakan menu ini sepanjang usia perkahwinan aku dengan suami.  Malah anak-anak pun tidak aku dedahkan dengan resepi ini.  Pun begitu, keinginan untuk menikmatinya tiba-tiba membuak sebaik mendapat kiriman yang dihantar oleh kakakku ini.  Tanpa malu, aku bertanya bagaimana resepi ini disediakan.  Dan inilah sajian pertama aku sepanjang tempoh usia.  Anak-anak (Fatin dan Farah)   ternyata sangat teruja menikmati nasi ulam yang disediakan (siap tambah meskipun baru pertama kali mencuba).  Sebagai gabungan Perak dan Kedah, aku turut sediakan juga Asam Pedas Keladi untuk dinikmati bersama resepi keluarga pada petang Ramadan ke 16.  

Aku tidak mahu kehilangan resepi ini.  Barangkali nanti bolehlah anak-anak dan cucu-cucuku mencuba pula apabila tekak terasa ingin  menikmati keenakan Nasi Ulam Perak ini.  Untuk yang mahu menikmati resepi Nasi Ulam Perak dan supaya dapat dimanfaatkan oleh semua sebagai sedekah buat emak, kukongsikan  buat pertama kalinya - NASI ULAM RESEPI EMAK

Bahan A
Antara Daun Ulaman
Daun limau purut, daun timba tasik, daun belalai gajah, pegaga, daun kesom, daun ketumbar, daun gajus, daun kunyit, daun dakap anak, daun jambu batu, ulam raja, daun selom, daun mengkudu, daun sekentut, cekur, cemumar, daun putat, bunga kantan, daun selasih, dan lain-lain.  Ada orang kata sebanyak 44 jenis ulam-ulaman yang disediakan sebagai ramuan nasi ulam perak.  


Bahan B

Serai, lengkuas, halia, bawang merah dan bawang putih 


Bahan C
Isi ikan kering (goreng@bakar) - ikan tenggiri antara yang sedap
Cabai melaka (5 - 6 biji ikut kepedasan yang disukai masing-masing)

Bahan D
Kerisik dan sedikit santan

Nasi 2 mangkuk (Ikut banyak mana sesuai untuk dimakan bagi sesebuah keluarga) - disejukkan terlebih dahulu.

Cara Penyediakan
1.  Mayang halus-halus bahan A dan B.  Lagi halus lagi cantik.  
2.  Goreng @ bakar ikan kering.  Ambil isi sahaja.
3.  Blend No. 2 bersama cabai melaka
4.  Campurkan semua bahan yang dimayang dan diblend dalam satu mangkuk
5.  Campur  kerisik dan sedikit santan 
6.  Gaul semua bahan.  Boleh tambah garam jika kurang masin.
7.  Ambil sedikit ramuan (No. 6 agak-agak nak buat banyak mana) dan gaul bersama nasi yang telah disejukkan.
8.  Sedia dimakan bersama Asam Pedas keladi.


Semoga syurgalah tempatmu emakku.  Banyak sungguh ilmu yang kaukongsikan untuk kelangsungan hidup kami.  Terima kasih emak kerana menjadi insan yang terbaik dalam hidup kami.

Selasa, 5 Mei 2020

ZAMAN KANAK-KANAK, KATI DAN KUAK

Setiap individu bermula dari fasa bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya usia tua.  Dalam setiap fasa itu pasti ada  cerita yang sangat menarik untuk dikenang.  Atau mungkin dalam satu-satu fasa tersebut, ada saat-saat sedih dan sukar sehingga tidak upaya untuk diingati.  
Namun semua itu adalah lumrah bagi sebuah kehidupan yang membantu mengembangkan potensi diri setiap individu.  Seperti  orang lain, aku juga punya cerita yang menarik untuk dikongsi ketika zaman kanak-kanakku.  Aku tahu, cerita yang aku lalui itu sudah cukup lama.   Menelan masa lebih 40 tahun.  Apa yang pasti, aku tidak pernah melupakan semua itu. Biarlah aku coretkan di sini, sebagai kenangan dan peringatan diri.

Sejujurnya aku bukan berasal dari keluarga yang senang (have-have kata orang sekarang).  Arwah bapaku hanyalah seorang penoreh getah - yang membanting tulang empat keratnya  setiap pagi dan petang.  
Emak pada pandangan mataku bukan seorang wanita calang-calang.  Tidak pernah aku melihat emak duduk diam di rumah.  Ada sahaja kerja yang dilakukannya.  Dari apa yang aku ingat emak turut membantu kerja-kerja di kebun. Selain menoreh, emak juga bercucuk tanam.  Macam-macam sayur yang emak tanam  sebagai salah satu cara menambah pendapatan keluarga.  

Keluarga kami agak besar.  Aku ada 8 orang adik beradik.  4 lelaki dan 4 perempuan.  Aku  anak ke-enam.  Dua adik di bawahku lelaki.   Jadi dengan bilangan isi rumah yang ramai, emak dan bapaku mempunyai tanggungjawab  berat untuk membesarkan kami berlapan.  Setiap pagi, bapa dan emak akan ke kebun.  Jauhnya dari rumah lebih kurang 30-40 minit berjalan kaki.  Petangnya pula, bapa dan emak akan turun ke bendang.  Mengerjakan sawah yang disewa dari orang.  Kerapnya kami adik beradik akan turut turun bendang apabila petang.  Seronoknya bermain lumpur dan paling seronok bagi aku apabila dapat mengutip buah mempelam yang tumbuh di tepi bendang.

Aku amat suka pada zaman kanak-kanakku.  Zaman bermain dan berseronok-seronok.  Tamabahan aku punya 3 kakak dan 2 abang.  Pasti rumah kami meriah dan riuh rendah.  Rumah kami terletak berdekatan dengan tali air.  Airnya sentiasa mengalir deras dan sangat jernih.   Selain itu, airnya juga sangat sejuk dan kesejukannya terasa sampai ke tulang hitam.  Air inilah menjadi punca utama kami sekeluarga untuk membasuh dan mandi-manda. (Sebenarnya bukan kami sahaja, semua keluarga di kampung kami menggunakan air ini). Air minum selalunya diambil dari telaga.  Masa itu rumah kami tidak ada paip air.  Paip air di rumah hanya kami miliki apabila berpindah ke rumah baru.  Jadi memang teruk juga tugas mengangkat dan mengangkut air dari telaga balik ke rumah.  Tugas-tugas ini kerapnya dilakukan oleh kakak-kakak dan abang-abangku yang besar.  Aku dan 2 lagi adik lelaki  jarang membantu.  Maklumlah, masa itu kami masih kecil.   

Kerapnya bila petang, aku akan mengikut kakak-kakak dan abang-abangku bermain di sekitar kampong.  Masuk ke kawasan kejiranan dan mengutip buah-buah kopi untuk dijadikan peluru senapang bagi kanak-kanak lelaki. 
Kami akan bergerak beramai-ramai.  Seronok apabila dapat memanjat pokok rambutan dan makan ramai-ramai di bawah pokok walapun sebenarnya rambutan itu bukan kepunyaan kami.  Tapi.., biasalah kehidupan di kampong zaman itu semua  kejiranan adalah saudara-mara.   Itulah cerita zaman kanak-kanak ketika tinggal di Lembah.  Seronoknya zaman itu pasti tidak dapat ditukarganti.  Sekarang, zaman berlari dan bermain kejar-kejar ketika di Lembah hanya tinggal sebagai memori yang kadang-kala tenggelam timbul dalam fikiran.  Sesekali apabila duduk sendirian, aku sangat suka jika memori itu datang dan berlegar-legar di fikiran.  Kisah  kanak-kanak dengan demografi keluarga petani yang miskin harta namun kaya bahasa, sentiasa bermain segar dalam mindaku.

Apabila tiba masa untuk memulakan persekolahan peringkat rendah, aku dihantar belajar di SK Kati.   SK Kati untuk murid-murid Darjah 1 dan 2 adalah di bangunan lama  betul-betul di tengah Pekan Kati. 
Manakala untuk Darjah 3 - 6 adalah di kawasan lain, agak jauh sedikit dan perlu berjalan kaki (sama kawasan dengan bangunan sekarang).  Alam persekolahan ini adalah situasi baru bagi aku.  Mungkin juga bagi rakan-rakan yang lain.  Dengan badan yang kecil, manja di rumah dengan kakak-kanak dan abang-bang, aku rasa aku hanyalah seorang kanak-kanak perempuan kecil yang dhaif dan kerdil.  Kerap juga aku dibuli oleh rakan-rakan yang lebih besar badannya.  Ketika ini aku tidak ada kudrat untuk melawan atau bersuara.  Hanya sesekali aku menangis lantaran ketidakupayaanku itu.  Dan, tempat paling mujarab sebagai terapi adalah bercerita dengan emak sebaik sampai di rumah.

Di sinilah sebenarnya aku mula membina diri.  Meskipun kadang-kadang dibuli rakan-rakan yang lebih besar namun, aku sangat seronok dapat bertemu dan bergaul dengan kawan-kawan dari kampung-kampung sekitar.  Ketika Darjah 1 dan 2 memori yang paling kukuh dalam ingatanku adalah majlis perarakan sempena persaraan Cikgu Zainah.  Beliau diarak dengan meriahnya dari sekolah ke rumahnya. Ramainya murid-murid di sepanjang jalan mengibar bendera mengucapkan selamat jalan.   Selan itu, di sekolah rendah ini aku belajar banyak perkara baru selain  menyertai banyak acara sehingga mewakili sekolah ke beberapa pertandingan hingga ke Kuala Kangsar. Aku juga belajar  keluar dari kepompong keluarga yang terikat dengan adat dan agama.  Belajar membina cita-cita dan bersemangat untuk berjaya dalam keadaan serba kekurangan. 

Aku menjadi seorang yang berjiwa  kental apabila  aku diserah emak kepada Toki Karim dan kemudian meyambung pengajian rendahku di SK Raban.  Aku tidak tahu kenapa aku bersetuju menerima tawaran emak untuk tinggal bersama Toki Karim dan Pan Saodah di Kuak.  Walau pun tidak lama tetapi, di situ aku belajar banyak tentang hidup, tentang berdikari, tentang rendah diri dan tentang ketabahan.  Banyak kenangan dan peristiwa di sana menjadikan aku kuat hingga kini.

Pan Saodah dan Toki Karim bukanlah orang lain dengan arwah emak.  Disebabkan Pan dan Toki tidak mempunyai anak perempuan,  aku diambil sebagai salah satu cara untuk membolehkan mereka mendapat anak perempuan!! (kepercayaan orang tua-tua tapi Allah takdirkan  akhirnya mereka mendapat seorang anak perempuan).  Pan dan Toki bukan orang senang.  Untuk ke sekolah aku perlu berjalan kaki lebih  8 km sehari.   Sebenarnya ketika itu, semua orang berjalan kaki ke sekolah.  Bukan aku seorang.  Malah kawan-kawan aku dari Kampung Kelantan, Kampung Tengah malah Kampung Pelagut semua  berjalan kaki.  Hanya  2, 3 orang sahaja berbasikal.


Di Kuak aku mengenali ramai kawan.  Kak Zaharah anak Pak Long Ibrahim menjadi kawan zaman kecil di Kg. Pelagut.  Kerapnya kami ke sekolah bersama-sama.  Selian itu aku juga berkawan dengan Hassan anak Pan dan anak-anak jiran tetangga yang berhampiran dengan rumah Pan dan Toki.  Selain ke sekolah, kerapnya hujung minggu atau sebelah petang aku akan membantu Pan.  Selain memasak, mengemas dan membasuh, aku juga membantu Pan menanam jagung.  Aku tidak ingat nama pulau kecil di tengah Sungai Perak itu.  Namun yang aku ingat, aku dan Pan akan menaiki sampan yang didayungnya ke pulau kecil ini. Aku akan duduk diam-diam di sambil membuang air yang masuk ke dalam sampan.  Pan akan mendayung melawan arus dengan kudrat perempuannya sehingga kami sampai ke destinasi.  Di situ ada 'dangau' kecil tempat melepaskan lelah.  Pan akan kutip buah jagung dan aku akan turut sama membantu.  Itu antara tugas yang perlu aku lakukan bersama Pan apabila ada masa terluang.


Selalunya hujung minggu apabila aku balik ke Kati, aku akan menumpang Cikgu Khairi (arwah Cikgu Khairi).  Naik bas dari Pekan Kuak dan turun di Pekan Kati.  Dari Kati  aku akan menumpang Cikgu Khiri yang berbasikal untuk balik ke rumah ibu ayahku di Berala.  Cikgu Khairi itu sebenarnya juga bukan orang lain dengan keluarga kami.  Seperti yang aku katakan dari awal sememangnya hampir 90% masyarakat kampong ini adalah saudara mara kami.  Maka setiap kali balik ke Berala, aku akan membonceng basikalnya untuk balik ke rumah.  Tidak pula aku rasa kekok atau malu.   (malunya bila diingat kisah ini, apapun terima kasih cikgu semoga syurgalah tempatmu).  


Aku tidak tinggal lama dengan Pan dan Toki di Kuak.   Selepas bahagian atas alis mata kiriku cedera 'dituju' buah limau (aku pun sebenarnya sudah lupa terkena buah apa, namun parut yang ada menyebabkan kisah itu kekal dalam ingatan),  aku diambil semula oleh emak dan bapa.  Kisah dituju buah limau hingga luka dan berdarah ini mendatangkan trauma dalam diri.  Aku tidak tahu ingin bercerita dengan Pan dan Toki bagaimana.  Pan terus memarahi aku tanpa usul periksa.  Banyak kata-katanya yang meninggalkan impak dan yang paling utama aku tidak berupaya membela diri.  Pan dan Toki tidak tahu perkara sebenar sehinggalah tengahari esoknya apabila ibu kepada kawan sepermainanku menceritakan kepada mereka. Waktu inilah, aku melihat Pan dan Toki serba salah.  Sejujurnya, aku tidak menyalahkan Pan mahupun Toki atas apa yang berlaku.  Ada hikmahnya dan akhirnya aku kembali menyambung pengajian di SK Kati.  Menyambung semula silaturahim dan bertemu semula rakan-rakan yang telah ditinggalkan.  Ketika ini, bangunan baru SK Kati telah siap dibina.  

Banyak kenangan yang berlaku di zaman kanak-kanakku.  Zaman di mana aku mula mengenal dunia dan seluruh isinya.  Aku berterima kasih kepada semua yang membantu membina karektor diriku seperti adanya sekarang.  Terima kasih untuk arwah Pan dan Toki yang bersusah-payah menjaga aku dari kecil meskipun dalam masa yang singkat namun sangat memberi manfaat.  Terima kasih untuk arwah cikgu-cikguku di SK Raban dan SK Kati yang telah membentuk diriku.  Juga terima kasih untuk kedua-dua arwah ibu dan bapaku (Aminah dan Mahmud) yang bertungkus-lumus membesarkan 8 anak tanpa sebarang kekurangan.  Semoga Allah menganugerahkan kepada semua mereka ganjaran syurga.  Tidak akan lahir seorang HALIJAH tanpa semua insan hebat ini.  Terima kasih semua.








Ahad, 3 Mei 2020

Covit 19 & Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sudah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan di seluruh negara. Bermula 18 Mac 2020 dan kini sudah masuk fasa ke-4.  Cepat sungguh masa berlalu.  Amat lama rasanya kita lalui detik-detik mengawal diri dari kebiasaan yang pernah kita dilakukan.  Namun yang pasti hingga saat ini, rutin  biasa  yang kerap kita lakukan lebih sebulan lepas  sudah berubah.  Ternyata sangat berubah. 

Sebenarnya sepanjang tempoh itu, aku tidak pernah menulis sesuatu berkaitan dengan Covit 19 atau PKP ini.  Tidak.  Walaupun jauh di sudut hati aku terasa ingin mencoretkan sesuatu berkaitan Covit 19 yang menyerang negara.  Namun, kekuatan untuk menulis tentang itu sebenarnya tiada.  Kerapnya aku cuba menyesuaikan diri.  Cuba memahami dan selebihnya cuba juga menenangkan diri.  Tambahan perkara seperti ini belum pernah kita lalui.  Ye..., sehingga ke usia 53 tahun, inilah kali pertama PKP dilaksanakan di negara kita.  Pertama kali juga wabak  seumpama ini menular  ke seluruh dunia.  Semua yang berlaku tiba-tiba nyata bagai mimpi.  Sedikit sebanyak turut memberi kesan ke atas emosi dan aku cuba belajar memuhasabah diri.

Jika dapat diungkap semula apa yang berlaku, rasanya baru semalam  aku dan  keluargaku sama-sama menjalani rutin hidup biasa.  Makan, minum, bervideo call atau kerapnya berbalas-balas mesej juga melakukan riadah santai di hadapan rumah.  Hari-hari aku dan suami bermula seawal 5 pagi.  Kerapnya aku akan memasak  sedikit juadah untuk sarapan sambil menyediakan sejenis-dua menu tengahari untuk suami sebelum  bergegas ke pejabat dalam pukul 7.20 pagi.  Petangnya bila balik, selalunya kami akan makan apa sahaja yang ada di rumah.  Atau  kami (aku, suami dan seorang anak) akan keluar sekejap pusing-pusing bandaraya Alor Setar atau terus ke pekan Jitra dan singgah makan-makan sebelum melelapkan mata.  Aktiviti yang sama ini berulang semula esok dan esoknya.  Begitulah hari-hari yang kami lalui sebelum PKP ini diwartakan.

Sejujurnya aku ingin sekali merakam semula apa yang berlaku dari  awal Mac hingga kini. Sekurang-kurangnya sebagai kenangan untuk beberapa tahun akan datang.  Atau mungkin untuk dibaca semua oleh anak-cucu apabila tiba masanya.  Ceritanya, 18 hari sebelum PKP  Fasa 1 diumumkan, aku dan beberapa rakan setugas dihantar mengikuti kursus Transformasi Minda di Putrajaya. Berkamponglah kami di tengah kota batu selama 3 hari 2 malam. Dalam masa yang sama ketika itu sudah ada individu yang telah dijangkiti wabak Covit 19 di sini. Tapi, seperti orang lain kami juga tidak menganggap wabak ini sebagai satu yang serius.  Perjalanan jauh ratusan kilometer membolehkan kami berempat berkongsi  pelbagai cerita.  Tetapi sedikit sangat  berbual berkaitan  Covit 19.  Ya lah, tiada siapa pun antara kami pada ketika itu merasakan yang wabak ini akan  menular dengan begitu cepat dari sehari ke sehari.


Balik dari Putrajaya, aku sempat pula menyantuni beberapa orang anak pelajar yang berkongsi kegembiraan mereka ketika keputusan SPM 2019 diumumkan.  Seronok melayan dan berkongsi hasil titik peluh yang dituai selepas mereka bertungkus-lumus selama 5 tahun di peringkat sekolah menengah.  Teruja aku mendengar mereka bercerita tentang Si Polan dan Si Polan mendapat banyak A dalam SPM.  Malah hari khamis sebelum bermula cuti pertengahan penggal, aku masih sempat mengikuti Kem Kepimpinan Pemimpin Pelajar di Kem Sala - bertemu dengan anak-anak PRS yang sangat aku rindui  serta ahli-ahli Rakan Surau yang mengikuti perkhemahan selama 2 hari 1 malam di sana.  Sempat juga aku bertemu dengan beberapa orang guru - Cikgu Fautie Kazlinda, Ustazah Fauziah, Ustazah Bushro serta Cikgu Fairuz.  Pertemuan lebih 2 jam itu memberi kami ruang untuk sembang-sembang santai setelah agak lama tidak dapat berbuat demikian kerana perubahan tempat bertugas.

Dan sebenarnya minggu kedua bulan Mac, rutin tugas harian aku masih berjalan seperti biasa.  Sehinggalah minggu ke-3 ketika cuti persekolahan bermula pada 13 Mac 2020.  Ahad dan Isnin berikutnya, aku turut bercuti selama 2 hari  untuk sama-sama menyantuni anak-cucu yang balik  kampung.  Yang pasti cuti kali ini anak-anak tidak lagi ghairah mengajak kami keluar makan dan bersantai-santai seperti lazimnya. Banyak aktiviti kami lakukan di rumah sahaja.  Main layang-layang bersama dan makan-makan di rumah walaupun makanan dihidang sebenarnya dibeli di luar. Abang dan kakak banyak memahamkan aku dan suami tentang kesan dan akibat jangkitan Covit 19 terutama bagi golongan berusia seperti kami. Masa inilah aku sudah merasakan bahawa wabak ini akan memberi impak kepada seluruh dunia.  Tambahan pula bila suatu  petang (aku tidak ingat tarikh dan hari tapi 1 atau 2  hari sebelum PKP Fasa 1 diumumkan),  aku dihubungi anakku Farah Izzati yang sedang belajar di Edinburgh, Scotland. 


"Semua kuliah dan peperiksaan dibatalkan kecuali untuk pelajar Tahun Akhir. Macam mana mak? Adik perlu balik ke?"


Allah... jantungku berdebar kencang tiba-tiba.  Macam-macam perkara bermain di fikiran.  Jauh beribu batu. Risau dan bimbang. Masa inilah aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula apabila kerajaan mengumumkan PKP Fasa 1 pada 16 Mac 2020.  Namun seperti orang lain, aku tidak menyangka bahawa tempoh PKP ini kan mengambil masa yang begini panjang.  Malahan turut pula meragut pelbagai keistimewaan yang biasa kita kecapi sebelum ini.  Dalam tempoh 3 hari (15 Mac - 17 Mac) pelbagai perkara berlaku.  Paling membimbangkan apabila nama Farah Izzati tiada dalam senarai penumpang ketika check in.  Tiket penerbangan Edinburgh - KLIA  melalui Syarikat Penerbangan Turkey dibatalkan tanpa notis walaupun bayaran telah dibuat!!  Bayangkan bagaimana seorang pelajar perempuan terkontang-kanting di negara orang sedang belajar membuat keputusan.

Alhamdulillah, dalam keadaan  kelam-kabut, akhirnya tiket baru dapat dibeli dengan syarikat penerbangan lain walaupun harganya sudah melebihi paras biasa.  Syukur akhirnya anakku  Farah Izzati  selamat sampai ke tanah air pada hari ke-2 PKP Fasa 1.  Sepanjang waktu lebih 18 jam perjalanannya kembali ke Malaysia, hanya doa yang mampu aku titipkan.  Aku cuba membuang jauh-jauh semua pemikiran negatif dan memasukkan elemen positif dalam minda.  Aku cuba sembunyikan kerisauan dan kebimbangan dan pada saat ini hanya pada Allah tempat aku berserah.  Tika melihat dan menjemputnya di airport terasa air mata jatuh berderai namun, seperti yang disarankan (dan anakku juga mematuhi arahan), kami tidak langsung bersalaman atau bersentuhan.  Sebaik sampai di rumah - mandi, bersihkan semua barang yang dibawa dan seterusnya bermulalah episod kuarantin diri selama 14 hari.  14 hari yang sangat mencemaskan.  Kalau ada yang bertanya,  aku tidak tahu bagaimana ingin kugambarkan keresahan dan kebimbangan yang menghantui kami semua saat itu. Risau jika ... Semoga Allah jauhi dan menyelamatkan kami semua. Sepanjang tempoh 14 hari kami tidak keluar walau pun hanya di halaman rumah!

Aku cuba mencari hikmah dalam musibah.  Sepanjang tempoh PKP Fasa 1 hingga Fasa 3 ramai jiran tetangga yang datang terutama ibu-ibu tunggal menceritakan tentang kegusaran mereka.  Tambahan ketika membaca bermacam-macam mesej yang disebarluas melalui whasap, telegram dan lain-lain.  Ramai diantara mereka yang agak tertekan apabila memikirkan anak-anak yang jauh selain kesukaran  mereka bergerak mendapatkan keperluan harian.  Ya.., sekurang-kurangnya saat ini aku masih ada suami dan anak-anak yang sentiasa sedia membantu serta berkongsi cerita pada setiap saat dan ketika.  Paling tidak aku boleh berkongsi apabila terasa stress atau buntu.  Bagaimana agaknya dengan sahabat dan jiran tetanggaku yang tinggal sendirian?  Siapa yang yang boleh diharap  mendengar keluhan dan kegusaran mereka??


Sepanjang PKP aku mendapat semula seluas-luas ruang untuk mengasah kembali minat dan bakat yang aku miliki.  Sejak kecil aku sememangnya sangat suka memasak dan menulis. Namun, kekangan tugas harian menyebabkan kedua-dua aktiviti ini jarang aku lakukan dengan jiwa.  Lebih-lebih lagi apabila di rumah hanya tinggal kami berdua sahaja.  Memasak bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan sebab selalunya makanan yang dimasak tidak habis dimakan.  Jadi kerapnya aku hanya memasak di waktu pagi sebelum bekerja.  Selebihnya, apabila malam aku hanya 'order' sedikit makanan dari luar.  Namun, PKP ini mengajak aku mahu atau tidak menyajikan makanan yang digemari suami dan anak-anak.  Sesekali mencuba resepi-resepi yang sudah bertahun tidak dicuba.  Malah kerap pula mencuba semula menu-menu lama yang dulu selalu disediakan oleh arwah bonda.  Begitu juga dengan bakat dalam bidang penulisan.  PKP memberi ruang untuk aku mengasah semula bakat menulis dan mengarang, bermain dengan emosi juga membaca dan menulis  resensi buku.  Sekurang-kurangnya bakat yang semakin berkarat dapat digilap semula.

Selain itu, aku rasa dengan PKP ini aku mampu melihat dunia di kelilingku dengan lebih terbuka dan peka.  Ramai rupanya insan di luar sana yang memerlukan bantuan untuk kita kongsikan apa yang Allah rezekikan kepada kita.  Seringkali ketika makan, aku bertanya kepada dua anakku - bagaimana agaknya orang lain yang putus rezekinya ketika ini?  Sedang kita tidak sedikit pun nikmat makan ditarik Allah.  Malah makin bertambah dengan menu pelbagai yang dicuba.  Sedangkan di luar kita melihat dan membaca ramai yang hilang punca pendapatan.  Ada yang menjaja makanan dari Changloon hingga Alor Setar atau mungkin hingga Kuala Kedah.  Masuk ke taman-taman dan kampong-kampong.  Tidak balik ke rumah meskipun matahari sudah mula terbenam. Kasihan apabila mereka berkongsi cerita dan aku melihat masih banyak baki jualan di dalam kereta.  Allah..., bersyukurlah dengan apa yang kita miliki dan kongsilah sedikit nikmat yang kita ada dengan mereka.

Sesuai dengan tugasku, Covit 19 juga mengajak aku menjadi lebih prihatin.  Aku dan beberapa orang rakan telah mendaftar dan seterusnya terpilih sebagai  sukarelawan Talian e-Kasih anjuran bersama JKM dan KPM.  Selain menyediakan perkhidmatan atas talian untuk warga PPD Kota Setar, aku juga bersedia mendengar dan membantu orang awam juga secara atas talian.  Menjawab mesej dan whasap atau dihubungi sehingga larut malam bukan menjadi kudis untuk aku berkongsi dan membantu orang lain.  Perkhidmatan ini bermula dari 18 Mac hingga ke hari ini.  Ramai juga tapi tidaklah terlalu banyak, insan-insan yang terjejas emosi mereka akibat Covit 19 dan PKP.  Gaya hidup baru, pendekatan juga pastinya berubah ke arah yang baru.


Sesungguhnya aku sangat berharap (orang lain juga aku yakin) agar semua ini akan berakhir dengan segera.  Sungguh aku rindu pada anak-anakku (Mawardi, Farhana dan Nabihah) malah kedua-dua cucuku (Faiz dan Fateh).  Terasa begitu lama tidak dapat bersua muka dengan mereka. Pasti kedua-dua cucuku itu sudah semakin fasih dan petah berkata-kata. Pasti. Namun, isinkan aku mengucapkan ribuan terima kasih untuk dua orang anakku Fatin dan Farah juga suamiku Sobri yang sentiasa ada dalam saat-saat sukar kita ini.   Aku sentiasa berdoa semoga semua ini berakhir  kerana aku sangat rindu kepada kerusi dan meja di pejabat malahan terlalu rindu juga kepada rakan-rakan sekerja (SMKSB, PPD, MGK Kota Setar, MGK Negeri Kedah, UUM malahan seluruh kaum keluarga).  AKU RINDU KAMU.  Allah... aku pasti ada hikmah di sebalik setiap musibah.

Izinkan juga aku merakamkan ucapan terima kasih untuk semua Frontliner Malaysia yang bertugas tanpa henti sepanjang PKP ini.  Berilah ganjaran sebaik-baiknya untuk mereka Ya Allah kerana mereka telah memudahkan segala urusan kami.  Tiada  yang mampu  aku bayar melainkan hanya sebuah ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk mereka. Terima kasih juga untuk semua saudara mara, sahabat handai dan anak-anak muridku yang menjadi doktor, jururawat, polis, tentera, imegresen, kastam, pos dan lain-lain. Anda hebat.



#stayathome
#kitajagakita

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...