Ahad, 3 Mei 2020

Covit 19 & Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sudah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan di seluruh negara. Bermula 18 Mac 2020 dan kini sudah masuk fasa ke-4.  Cepat sungguh masa berlalu.  Amat lama rasanya kita lalui detik-detik mengawal diri dari kebiasaan yang pernah kita dilakukan.  Namun yang pasti hingga saat ini, rutin  biasa  yang kerap kita lakukan lebih sebulan lepas  sudah berubah.  Ternyata sangat berubah. 

Sebenarnya sepanjang tempoh itu, aku tidak pernah menulis sesuatu berkaitan dengan Covit 19 atau PKP ini.  Tidak.  Walaupun jauh di sudut hati aku terasa ingin mencoretkan sesuatu berkaitan Covit 19 yang menyerang negara.  Namun, kekuatan untuk menulis tentang itu sebenarnya tiada.  Kerapnya aku cuba menyesuaikan diri.  Cuba memahami dan selebihnya cuba juga menenangkan diri.  Tambahan perkara seperti ini belum pernah kita lalui.  Ye..., sehingga ke usia 53 tahun, inilah kali pertama PKP dilaksanakan di negara kita.  Pertama kali juga wabak  seumpama ini menular  ke seluruh dunia.  Semua yang berlaku tiba-tiba nyata bagai mimpi.  Sedikit sebanyak turut memberi kesan ke atas emosi dan aku cuba belajar memuhasabah diri.

Jika dapat diungkap semula apa yang berlaku, rasanya baru semalam  aku dan  keluargaku sama-sama menjalani rutin hidup biasa.  Makan, minum, bervideo call atau kerapnya berbalas-balas mesej juga melakukan riadah santai di hadapan rumah.  Hari-hari aku dan suami bermula seawal 5 pagi.  Kerapnya aku akan memasak  sedikit juadah untuk sarapan sambil menyediakan sejenis-dua menu tengahari untuk suami sebelum  bergegas ke pejabat dalam pukul 7.20 pagi.  Petangnya bila balik, selalunya kami akan makan apa sahaja yang ada di rumah.  Atau  kami (aku, suami dan seorang anak) akan keluar sekejap pusing-pusing bandaraya Alor Setar atau terus ke pekan Jitra dan singgah makan-makan sebelum melelapkan mata.  Aktiviti yang sama ini berulang semula esok dan esoknya.  Begitulah hari-hari yang kami lalui sebelum PKP ini diwartakan.

Sejujurnya aku ingin sekali merakam semula apa yang berlaku dari  awal Mac hingga kini. Sekurang-kurangnya sebagai kenangan untuk beberapa tahun akan datang.  Atau mungkin untuk dibaca semua oleh anak-cucu apabila tiba masanya.  Ceritanya, 18 hari sebelum PKP  Fasa 1 diumumkan, aku dan beberapa rakan setugas dihantar mengikuti kursus Transformasi Minda di Putrajaya. Berkamponglah kami di tengah kota batu selama 3 hari 2 malam. Dalam masa yang sama ketika itu sudah ada individu yang telah dijangkiti wabak Covit 19 di sini. Tapi, seperti orang lain kami juga tidak menganggap wabak ini sebagai satu yang serius.  Perjalanan jauh ratusan kilometer membolehkan kami berempat berkongsi  pelbagai cerita.  Tetapi sedikit sangat  berbual berkaitan  Covit 19.  Ya lah, tiada siapa pun antara kami pada ketika itu merasakan yang wabak ini akan  menular dengan begitu cepat dari sehari ke sehari.


Balik dari Putrajaya, aku sempat pula menyantuni beberapa orang anak pelajar yang berkongsi kegembiraan mereka ketika keputusan SPM 2019 diumumkan.  Seronok melayan dan berkongsi hasil titik peluh yang dituai selepas mereka bertungkus-lumus selama 5 tahun di peringkat sekolah menengah.  Teruja aku mendengar mereka bercerita tentang Si Polan dan Si Polan mendapat banyak A dalam SPM.  Malah hari khamis sebelum bermula cuti pertengahan penggal, aku masih sempat mengikuti Kem Kepimpinan Pemimpin Pelajar di Kem Sala - bertemu dengan anak-anak PRS yang sangat aku rindui  serta ahli-ahli Rakan Surau yang mengikuti perkhemahan selama 2 hari 1 malam di sana.  Sempat juga aku bertemu dengan beberapa orang guru - Cikgu Fautie Kazlinda, Ustazah Fauziah, Ustazah Bushro serta Cikgu Fairuz.  Pertemuan lebih 2 jam itu memberi kami ruang untuk sembang-sembang santai setelah agak lama tidak dapat berbuat demikian kerana perubahan tempat bertugas.

Dan sebenarnya minggu kedua bulan Mac, rutin tugas harian aku masih berjalan seperti biasa.  Sehinggalah minggu ke-3 ketika cuti persekolahan bermula pada 13 Mac 2020.  Ahad dan Isnin berikutnya, aku turut bercuti selama 2 hari  untuk sama-sama menyantuni anak-cucu yang balik  kampung.  Yang pasti cuti kali ini anak-anak tidak lagi ghairah mengajak kami keluar makan dan bersantai-santai seperti lazimnya. Banyak aktiviti kami lakukan di rumah sahaja.  Main layang-layang bersama dan makan-makan di rumah walaupun makanan dihidang sebenarnya dibeli di luar. Abang dan kakak banyak memahamkan aku dan suami tentang kesan dan akibat jangkitan Covit 19 terutama bagi golongan berusia seperti kami. Masa inilah aku sudah merasakan bahawa wabak ini akan memberi impak kepada seluruh dunia.  Tambahan pula bila suatu  petang (aku tidak ingat tarikh dan hari tapi 1 atau 2  hari sebelum PKP Fasa 1 diumumkan),  aku dihubungi anakku Farah Izzati yang sedang belajar di Edinburgh, Scotland. 


"Semua kuliah dan peperiksaan dibatalkan kecuali untuk pelajar Tahun Akhir. Macam mana mak? Adik perlu balik ke?"


Allah... jantungku berdebar kencang tiba-tiba.  Macam-macam perkara bermain di fikiran.  Jauh beribu batu. Risau dan bimbang. Masa inilah aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula apabila kerajaan mengumumkan PKP Fasa 1 pada 16 Mac 2020.  Namun seperti orang lain, aku tidak menyangka bahawa tempoh PKP ini kan mengambil masa yang begini panjang.  Malahan turut pula meragut pelbagai keistimewaan yang biasa kita kecapi sebelum ini.  Dalam tempoh 3 hari (15 Mac - 17 Mac) pelbagai perkara berlaku.  Paling membimbangkan apabila nama Farah Izzati tiada dalam senarai penumpang ketika check in.  Tiket penerbangan Edinburgh - KLIA  melalui Syarikat Penerbangan Turkey dibatalkan tanpa notis walaupun bayaran telah dibuat!!  Bayangkan bagaimana seorang pelajar perempuan terkontang-kanting di negara orang sedang belajar membuat keputusan.

Alhamdulillah, dalam keadaan  kelam-kabut, akhirnya tiket baru dapat dibeli dengan syarikat penerbangan lain walaupun harganya sudah melebihi paras biasa.  Syukur akhirnya anakku  Farah Izzati  selamat sampai ke tanah air pada hari ke-2 PKP Fasa 1.  Sepanjang waktu lebih 18 jam perjalanannya kembali ke Malaysia, hanya doa yang mampu aku titipkan.  Aku cuba membuang jauh-jauh semua pemikiran negatif dan memasukkan elemen positif dalam minda.  Aku cuba sembunyikan kerisauan dan kebimbangan dan pada saat ini hanya pada Allah tempat aku berserah.  Tika melihat dan menjemputnya di airport terasa air mata jatuh berderai namun, seperti yang disarankan (dan anakku juga mematuhi arahan), kami tidak langsung bersalaman atau bersentuhan.  Sebaik sampai di rumah - mandi, bersihkan semua barang yang dibawa dan seterusnya bermulalah episod kuarantin diri selama 14 hari.  14 hari yang sangat mencemaskan.  Kalau ada yang bertanya,  aku tidak tahu bagaimana ingin kugambarkan keresahan dan kebimbangan yang menghantui kami semua saat itu. Risau jika ... Semoga Allah jauhi dan menyelamatkan kami semua. Sepanjang tempoh 14 hari kami tidak keluar walau pun hanya di halaman rumah!

Aku cuba mencari hikmah dalam musibah.  Sepanjang tempoh PKP Fasa 1 hingga Fasa 3 ramai jiran tetangga yang datang terutama ibu-ibu tunggal menceritakan tentang kegusaran mereka.  Tambahan ketika membaca bermacam-macam mesej yang disebarluas melalui whasap, telegram dan lain-lain.  Ramai diantara mereka yang agak tertekan apabila memikirkan anak-anak yang jauh selain kesukaran  mereka bergerak mendapatkan keperluan harian.  Ya.., sekurang-kurangnya saat ini aku masih ada suami dan anak-anak yang sentiasa sedia membantu serta berkongsi cerita pada setiap saat dan ketika.  Paling tidak aku boleh berkongsi apabila terasa stress atau buntu.  Bagaimana agaknya dengan sahabat dan jiran tetanggaku yang tinggal sendirian?  Siapa yang yang boleh diharap  mendengar keluhan dan kegusaran mereka??


Sepanjang PKP aku mendapat semula seluas-luas ruang untuk mengasah kembali minat dan bakat yang aku miliki.  Sejak kecil aku sememangnya sangat suka memasak dan menulis. Namun, kekangan tugas harian menyebabkan kedua-dua aktiviti ini jarang aku lakukan dengan jiwa.  Lebih-lebih lagi apabila di rumah hanya tinggal kami berdua sahaja.  Memasak bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan sebab selalunya makanan yang dimasak tidak habis dimakan.  Jadi kerapnya aku hanya memasak di waktu pagi sebelum bekerja.  Selebihnya, apabila malam aku hanya 'order' sedikit makanan dari luar.  Namun, PKP ini mengajak aku mahu atau tidak menyajikan makanan yang digemari suami dan anak-anak.  Sesekali mencuba resepi-resepi yang sudah bertahun tidak dicuba.  Malah kerap pula mencuba semula menu-menu lama yang dulu selalu disediakan oleh arwah bonda.  Begitu juga dengan bakat dalam bidang penulisan.  PKP memberi ruang untuk aku mengasah semula bakat menulis dan mengarang, bermain dengan emosi juga membaca dan menulis  resensi buku.  Sekurang-kurangnya bakat yang semakin berkarat dapat digilap semula.

Selain itu, aku rasa dengan PKP ini aku mampu melihat dunia di kelilingku dengan lebih terbuka dan peka.  Ramai rupanya insan di luar sana yang memerlukan bantuan untuk kita kongsikan apa yang Allah rezekikan kepada kita.  Seringkali ketika makan, aku bertanya kepada dua anakku - bagaimana agaknya orang lain yang putus rezekinya ketika ini?  Sedang kita tidak sedikit pun nikmat makan ditarik Allah.  Malah makin bertambah dengan menu pelbagai yang dicuba.  Sedangkan di luar kita melihat dan membaca ramai yang hilang punca pendapatan.  Ada yang menjaja makanan dari Changloon hingga Alor Setar atau mungkin hingga Kuala Kedah.  Masuk ke taman-taman dan kampong-kampong.  Tidak balik ke rumah meskipun matahari sudah mula terbenam. Kasihan apabila mereka berkongsi cerita dan aku melihat masih banyak baki jualan di dalam kereta.  Allah..., bersyukurlah dengan apa yang kita miliki dan kongsilah sedikit nikmat yang kita ada dengan mereka.

Sesuai dengan tugasku, Covit 19 juga mengajak aku menjadi lebih prihatin.  Aku dan beberapa orang rakan telah mendaftar dan seterusnya terpilih sebagai  sukarelawan Talian e-Kasih anjuran bersama JKM dan KPM.  Selain menyediakan perkhidmatan atas talian untuk warga PPD Kota Setar, aku juga bersedia mendengar dan membantu orang awam juga secara atas talian.  Menjawab mesej dan whasap atau dihubungi sehingga larut malam bukan menjadi kudis untuk aku berkongsi dan membantu orang lain.  Perkhidmatan ini bermula dari 18 Mac hingga ke hari ini.  Ramai juga tapi tidaklah terlalu banyak, insan-insan yang terjejas emosi mereka akibat Covit 19 dan PKP.  Gaya hidup baru, pendekatan juga pastinya berubah ke arah yang baru.


Sesungguhnya aku sangat berharap (orang lain juga aku yakin) agar semua ini akan berakhir dengan segera.  Sungguh aku rindu pada anak-anakku (Mawardi, Farhana dan Nabihah) malah kedua-dua cucuku (Faiz dan Fateh).  Terasa begitu lama tidak dapat bersua muka dengan mereka. Pasti kedua-dua cucuku itu sudah semakin fasih dan petah berkata-kata. Pasti. Namun, isinkan aku mengucapkan ribuan terima kasih untuk dua orang anakku Fatin dan Farah juga suamiku Sobri yang sentiasa ada dalam saat-saat sukar kita ini.   Aku sentiasa berdoa semoga semua ini berakhir  kerana aku sangat rindu kepada kerusi dan meja di pejabat malahan terlalu rindu juga kepada rakan-rakan sekerja (SMKSB, PPD, MGK Kota Setar, MGK Negeri Kedah, UUM malahan seluruh kaum keluarga).  AKU RINDU KAMU.  Allah... aku pasti ada hikmah di sebalik setiap musibah.

Izinkan juga aku merakamkan ucapan terima kasih untuk semua Frontliner Malaysia yang bertugas tanpa henti sepanjang PKP ini.  Berilah ganjaran sebaik-baiknya untuk mereka Ya Allah kerana mereka telah memudahkan segala urusan kami.  Tiada  yang mampu  aku bayar melainkan hanya sebuah ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk mereka. Terima kasih juga untuk semua saudara mara, sahabat handai dan anak-anak muridku yang menjadi doktor, jururawat, polis, tentera, imegresen, kastam, pos dan lain-lain. Anda hebat.



#stayathome
#kitajagakita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...