Selasa, 5 Mei 2020

ZAMAN KANAK-KANAK, KATI DAN KUAK

Setiap individu bermula dari fasa bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya usia tua.  Dalam setiap fasa itu pasti ada  cerita yang sangat menarik untuk dikenang.  Atau mungkin dalam satu-satu fasa tersebut, ada saat-saat sedih dan sukar sehingga tidak upaya untuk diingati.  
Namun semua itu adalah lumrah bagi sebuah kehidupan yang membantu mengembangkan potensi diri setiap individu.  Seperti  orang lain, aku juga punya cerita yang menarik untuk dikongsi ketika zaman kanak-kanakku.  Aku tahu, cerita yang aku lalui itu sudah cukup lama.   Menelan masa lebih 40 tahun.  Apa yang pasti, aku tidak pernah melupakan semua itu. Biarlah aku coretkan di sini, sebagai kenangan dan peringatan diri.

Sejujurnya aku bukan berasal dari keluarga yang senang (have-have kata orang sekarang).  Arwah bapaku hanyalah seorang penoreh getah - yang membanting tulang empat keratnya  setiap pagi dan petang.  
Emak pada pandangan mataku bukan seorang wanita calang-calang.  Tidak pernah aku melihat emak duduk diam di rumah.  Ada sahaja kerja yang dilakukannya.  Dari apa yang aku ingat emak turut membantu kerja-kerja di kebun. Selain menoreh, emak juga bercucuk tanam.  Macam-macam sayur yang emak tanam  sebagai salah satu cara menambah pendapatan keluarga.  

Keluarga kami agak besar.  Aku ada 8 orang adik beradik.  4 lelaki dan 4 perempuan.  Aku  anak ke-enam.  Dua adik di bawahku lelaki.   Jadi dengan bilangan isi rumah yang ramai, emak dan bapaku mempunyai tanggungjawab  berat untuk membesarkan kami berlapan.  Setiap pagi, bapa dan emak akan ke kebun.  Jauhnya dari rumah lebih kurang 30-40 minit berjalan kaki.  Petangnya pula, bapa dan emak akan turun ke bendang.  Mengerjakan sawah yang disewa dari orang.  Kerapnya kami adik beradik akan turut turun bendang apabila petang.  Seronoknya bermain lumpur dan paling seronok bagi aku apabila dapat mengutip buah mempelam yang tumbuh di tepi bendang.

Aku amat suka pada zaman kanak-kanakku.  Zaman bermain dan berseronok-seronok.  Tamabahan aku punya 3 kakak dan 2 abang.  Pasti rumah kami meriah dan riuh rendah.  Rumah kami terletak berdekatan dengan tali air.  Airnya sentiasa mengalir deras dan sangat jernih.   Selain itu, airnya juga sangat sejuk dan kesejukannya terasa sampai ke tulang hitam.  Air inilah menjadi punca utama kami sekeluarga untuk membasuh dan mandi-manda. (Sebenarnya bukan kami sahaja, semua keluarga di kampung kami menggunakan air ini). Air minum selalunya diambil dari telaga.  Masa itu rumah kami tidak ada paip air.  Paip air di rumah hanya kami miliki apabila berpindah ke rumah baru.  Jadi memang teruk juga tugas mengangkat dan mengangkut air dari telaga balik ke rumah.  Tugas-tugas ini kerapnya dilakukan oleh kakak-kakak dan abang-abangku yang besar.  Aku dan 2 lagi adik lelaki  jarang membantu.  Maklumlah, masa itu kami masih kecil.   

Kerapnya bila petang, aku akan mengikut kakak-kakak dan abang-abangku bermain di sekitar kampong.  Masuk ke kawasan kejiranan dan mengutip buah-buah kopi untuk dijadikan peluru senapang bagi kanak-kanak lelaki. 
Kami akan bergerak beramai-ramai.  Seronok apabila dapat memanjat pokok rambutan dan makan ramai-ramai di bawah pokok walapun sebenarnya rambutan itu bukan kepunyaan kami.  Tapi.., biasalah kehidupan di kampong zaman itu semua  kejiranan adalah saudara-mara.   Itulah cerita zaman kanak-kanak ketika tinggal di Lembah.  Seronoknya zaman itu pasti tidak dapat ditukarganti.  Sekarang, zaman berlari dan bermain kejar-kejar ketika di Lembah hanya tinggal sebagai memori yang kadang-kala tenggelam timbul dalam fikiran.  Sesekali apabila duduk sendirian, aku sangat suka jika memori itu datang dan berlegar-legar di fikiran.  Kisah  kanak-kanak dengan demografi keluarga petani yang miskin harta namun kaya bahasa, sentiasa bermain segar dalam mindaku.

Apabila tiba masa untuk memulakan persekolahan peringkat rendah, aku dihantar belajar di SK Kati.   SK Kati untuk murid-murid Darjah 1 dan 2 adalah di bangunan lama  betul-betul di tengah Pekan Kati. 
Manakala untuk Darjah 3 - 6 adalah di kawasan lain, agak jauh sedikit dan perlu berjalan kaki (sama kawasan dengan bangunan sekarang).  Alam persekolahan ini adalah situasi baru bagi aku.  Mungkin juga bagi rakan-rakan yang lain.  Dengan badan yang kecil, manja di rumah dengan kakak-kanak dan abang-bang, aku rasa aku hanyalah seorang kanak-kanak perempuan kecil yang dhaif dan kerdil.  Kerap juga aku dibuli oleh rakan-rakan yang lebih besar badannya.  Ketika ini aku tidak ada kudrat untuk melawan atau bersuara.  Hanya sesekali aku menangis lantaran ketidakupayaanku itu.  Dan, tempat paling mujarab sebagai terapi adalah bercerita dengan emak sebaik sampai di rumah.

Di sinilah sebenarnya aku mula membina diri.  Meskipun kadang-kadang dibuli rakan-rakan yang lebih besar namun, aku sangat seronok dapat bertemu dan bergaul dengan kawan-kawan dari kampung-kampung sekitar.  Ketika Darjah 1 dan 2 memori yang paling kukuh dalam ingatanku adalah majlis perarakan sempena persaraan Cikgu Zainah.  Beliau diarak dengan meriahnya dari sekolah ke rumahnya. Ramainya murid-murid di sepanjang jalan mengibar bendera mengucapkan selamat jalan.   Selan itu, di sekolah rendah ini aku belajar banyak perkara baru selain  menyertai banyak acara sehingga mewakili sekolah ke beberapa pertandingan hingga ke Kuala Kangsar. Aku juga belajar  keluar dari kepompong keluarga yang terikat dengan adat dan agama.  Belajar membina cita-cita dan bersemangat untuk berjaya dalam keadaan serba kekurangan. 

Aku menjadi seorang yang berjiwa  kental apabila  aku diserah emak kepada Toki Karim dan kemudian meyambung pengajian rendahku di SK Raban.  Aku tidak tahu kenapa aku bersetuju menerima tawaran emak untuk tinggal bersama Toki Karim dan Pan Saodah di Kuak.  Walau pun tidak lama tetapi, di situ aku belajar banyak tentang hidup, tentang berdikari, tentang rendah diri dan tentang ketabahan.  Banyak kenangan dan peristiwa di sana menjadikan aku kuat hingga kini.

Pan Saodah dan Toki Karim bukanlah orang lain dengan arwah emak.  Disebabkan Pan dan Toki tidak mempunyai anak perempuan,  aku diambil sebagai salah satu cara untuk membolehkan mereka mendapat anak perempuan!! (kepercayaan orang tua-tua tapi Allah takdirkan  akhirnya mereka mendapat seorang anak perempuan).  Pan dan Toki bukan orang senang.  Untuk ke sekolah aku perlu berjalan kaki lebih  8 km sehari.   Sebenarnya ketika itu, semua orang berjalan kaki ke sekolah.  Bukan aku seorang.  Malah kawan-kawan aku dari Kampung Kelantan, Kampung Tengah malah Kampung Pelagut semua  berjalan kaki.  Hanya  2, 3 orang sahaja berbasikal.


Di Kuak aku mengenali ramai kawan.  Kak Zaharah anak Pak Long Ibrahim menjadi kawan zaman kecil di Kg. Pelagut.  Kerapnya kami ke sekolah bersama-sama.  Selian itu aku juga berkawan dengan Hassan anak Pan dan anak-anak jiran tetangga yang berhampiran dengan rumah Pan dan Toki.  Selain ke sekolah, kerapnya hujung minggu atau sebelah petang aku akan membantu Pan.  Selain memasak, mengemas dan membasuh, aku juga membantu Pan menanam jagung.  Aku tidak ingat nama pulau kecil di tengah Sungai Perak itu.  Namun yang aku ingat, aku dan Pan akan menaiki sampan yang didayungnya ke pulau kecil ini. Aku akan duduk diam-diam di sambil membuang air yang masuk ke dalam sampan.  Pan akan mendayung melawan arus dengan kudrat perempuannya sehingga kami sampai ke destinasi.  Di situ ada 'dangau' kecil tempat melepaskan lelah.  Pan akan kutip buah jagung dan aku akan turut sama membantu.  Itu antara tugas yang perlu aku lakukan bersama Pan apabila ada masa terluang.


Selalunya hujung minggu apabila aku balik ke Kati, aku akan menumpang Cikgu Khairi (arwah Cikgu Khairi).  Naik bas dari Pekan Kuak dan turun di Pekan Kati.  Dari Kati  aku akan menumpang Cikgu Khiri yang berbasikal untuk balik ke rumah ibu ayahku di Berala.  Cikgu Khairi itu sebenarnya juga bukan orang lain dengan keluarga kami.  Seperti yang aku katakan dari awal sememangnya hampir 90% masyarakat kampong ini adalah saudara mara kami.  Maka setiap kali balik ke Berala, aku akan membonceng basikalnya untuk balik ke rumah.  Tidak pula aku rasa kekok atau malu.   (malunya bila diingat kisah ini, apapun terima kasih cikgu semoga syurgalah tempatmu).  


Aku tidak tinggal lama dengan Pan dan Toki di Kuak.   Selepas bahagian atas alis mata kiriku cedera 'dituju' buah limau (aku pun sebenarnya sudah lupa terkena buah apa, namun parut yang ada menyebabkan kisah itu kekal dalam ingatan),  aku diambil semula oleh emak dan bapa.  Kisah dituju buah limau hingga luka dan berdarah ini mendatangkan trauma dalam diri.  Aku tidak tahu ingin bercerita dengan Pan dan Toki bagaimana.  Pan terus memarahi aku tanpa usul periksa.  Banyak kata-katanya yang meninggalkan impak dan yang paling utama aku tidak berupaya membela diri.  Pan dan Toki tidak tahu perkara sebenar sehinggalah tengahari esoknya apabila ibu kepada kawan sepermainanku menceritakan kepada mereka. Waktu inilah, aku melihat Pan dan Toki serba salah.  Sejujurnya, aku tidak menyalahkan Pan mahupun Toki atas apa yang berlaku.  Ada hikmahnya dan akhirnya aku kembali menyambung pengajian di SK Kati.  Menyambung semula silaturahim dan bertemu semula rakan-rakan yang telah ditinggalkan.  Ketika ini, bangunan baru SK Kati telah siap dibina.  

Banyak kenangan yang berlaku di zaman kanak-kanakku.  Zaman di mana aku mula mengenal dunia dan seluruh isinya.  Aku berterima kasih kepada semua yang membantu membina karektor diriku seperti adanya sekarang.  Terima kasih untuk arwah Pan dan Toki yang bersusah-payah menjaga aku dari kecil meskipun dalam masa yang singkat namun sangat memberi manfaat.  Terima kasih untuk arwah cikgu-cikguku di SK Raban dan SK Kati yang telah membentuk diriku.  Juga terima kasih untuk kedua-dua arwah ibu dan bapaku (Aminah dan Mahmud) yang bertungkus-lumus membesarkan 8 anak tanpa sebarang kekurangan.  Semoga Allah menganugerahkan kepada semua mereka ganjaran syurga.  Tidak akan lahir seorang HALIJAH tanpa semua insan hebat ini.  Terima kasih semua.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...