Jumaat, 21 April 2017

KAWAN DAN SAHABAT

Kawan?  Pastinya setiap di antara kita mempunyai kawan.  Pastinya juga kawan kita bukannya seorang.  Malahan mungkin ada lebih daripada sepuluh, seratus  atau pun mungkin juga ribuan orang.  Lihat sahaja bilangannya dalam senarai kawan ‘muka buku’ kita.  Ada yang kita kenal, pernah bertemu muka dan ada juga yang hanya kita kenali di alam maya. Dan pastinya pula kawan-kawan itu ada yang datang dan pergi tanpa kita sedar kewujudan dan kehilangannya.

Kita biasa berkawan dengan semua orang.  Baik di sekolah, di universiti dan juga di pejabat di mana kita bekerja.  Kawan tidak juga terbatas di tiga situasi yang disebutkan di atas tetapi kawan-kawan kita mungkin kita kenali ketika mendaftar di kelas tuisyen, sekampung atau setaman perumahan.  Kawan seringnya tidak melibatkan perasaan atau emosi malah ia termaktub dalam ruang lingkup sebegitu sahaja.

Berbanding dengan kawan, sahabat tentunya pula lebih mengenali dan ada hubungan emosi yang rasanya lebih akrab dan rapat.  Kita mungkin punya ramai kawan tetapi tidak ramai sahabat yang boleh kita kongsi cerita suka dan duka bersama.  Sahabat selalu hadir tika kita sangat-sangat memerlukan bahu mereka untuk kita sandar saat hati resah dan perasaan tidak keruan.



Sahabat yang setia seringnya tidak mengira siapa kita dan dari mana keturunan kita.  Kerana ikatan yang terjalin dalam sebuah persabahatan lahir dari sudut sekeping hati yang ikhlas dan suci. 



Seorang sahabat yang sejati akan sering memaafkan dan tidak berasa iri hati dengan kejayaan dan kejayaan yang dimiliku sahabatnya.  Malahan sahabat yang baik akan terus mendoakan dan berkata yang baik-baik serta berupaya menegur kekurangan sahabatnya jika ada. 


Sebenarnya, kita begitu mudah mendapat kawan – yang boleh bergelak-ketawa dan berbicara dengan kita pada bila-bila masa.  Namun, amat jarang kita boleh menemui seorang sahabat yang akan terus membimbing kita menuju ke jalan benar pada setiap masa.  “Hargailah sabahat walaupun hanya seorang yang kita punya semoga sahabat itulah nanti yang akan membimbing kita jalan ke syurga”.





Khamis, 20 April 2017

JAGALAH LIDAHMU KETIKA BERBICARA


Gambar kata bijak Lidah tidak bertulang tapi lebih tajam dari pedang

Kadang kala kita merasa cukup puas apabila kita berjaya meluahkan sesuatu.  Tambahan pula seseuatu yang ingin kita perkatakan itu sudah begitu lama terbuku di hati.  Resam manusia begitulah.  Sehingga kita terlupa di sekeliling kita adalah manusia atau insan-insan kerdil lain yang juga berperasaan dan punya rasa.

Lidah sifatnya tidak bertulang.  Maka sudah pasti apabila ia dilontarkan untuk mengucapkan kata-kata, tidak ada ruang untuknya berfikir sama ada kata-kata tersebut akan merosakkan orang lain.  Jadi sebaiknya sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan (pendapat, pandangan, idea mahupun untuk menegakkan kebenaran dan kuasa, berfikirlah dahulu jangan sampai kita menzalimi dan menyakiti insan lain.

Dewasa ini, kita sering melihat dan mendengar bagaimana perselisihan boleh berlaku dengan begitu mudah dan cepat.  Kebanyakannya jika dikaji adalah berpunca daripada 'komunikasi' dan komuikasi itu adalah menggunakan lidah.  Ada ketikanya kita begitu seronok (teruja barangkali) bila diminta memberi pendapat atau pandangan oleh orang lain.  Tambahan orang lain itu kemungkinan lebih tinggi statusnya dalam organisasi, sehingga kita lupa bahawa kita ada rakan yang sama labelnya dengan kedudukan kita sendiri.  Begitu juga halnya dengan para pelajar, sehingga kadang-kala tidak sedar kata-kata yang terungkap bukan setakat menjatuhkan maruah seorang individu malahan turut membabitkan institusi kekeluargaan.


Maka sebab itulah, kita sering mendengar pepatah yang menyatakan, "Lidah lebih tajam daripada mata pedang". Kita mungkin pernah mendengar bagaimana sebuah persahabatan terputus hanya kerana kata-kata.  Ada orang putus tunang atau hilang kekasih juga disebabkan pertuturan. Malah sebuah organisasi  mahu pun sebuah negara boleh runtuh dan hancur kerana ketidakpedulian pemimpinnya dalam mengeluarkan kata-kata.


Sehubungan itu, berhati-hatilah dengan lidah masing-masing sekiranya kita mahu diri kita dihormati dan disayangi orang lain.

Gambar kata bijak Lidah tidak bertulang tapi lebih tajam dari pedang

Rabu, 19 April 2017

BELAJAR UNTUK SENYUM TIKA HATI SEDIH DAN RESAH

Lamanya tidak menulis di sini lantaran begitu kalutnya mengejar waktu untuk meneruskan sebuah perjuangan.  Hari ini terasa untuk memuat naik beberapa coretan yang ditemui dan terasa begitu sinonim dengan diri saat ini.


                            

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...