Isnin, 31 Mei 2010

GURU : MUTIARA HATI KITA

Saban tahun bila tiba hari guru, saya kerap kali diminta menyediakan teks ucapan untuk dibaca oleh anak-anak saya. Pada tahun ini, perkara yang sama berulang lagi kerana puteri bongsu saya diminta menyampaikan ucapan mewakili rakan-rakan pelajar. Berikut teks penuh ucapan yang disampaikan oleh puteri bongsu saya itu...


Terima kasih tuan pengacara majlis.

Yang berusaha Puan Jelipah bt. Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hutan Kampong.
Yang Berusaha Puan Norlia bt. Mohd. Noor., Penolong Kanan Kurikulum.
Yang Berusaha Pn. Saadiah bt. Ayob, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Berusaha Tuan Haji Nasis bin Bakar, Penolong Kanan Kokurikulum,
guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya warga SK Hutan Kampong sekalian.

Assalamualaikum wbh dan salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru kerana memberi kesempatan kepada saya mewakili teman-rakan yang lain untuk berucap menyampaikan sepatah dua kata sempena sambutan Hari Guru 2010 pada hari ini.

Alhamdulillah, Hari Guru datang lagi. Saban tahun, tarikh keramat ini dinanti terutama oleh para guru serta para pelajar. Pelbagai kegiatan dijalankan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan semata-mata untuk mengimbau semula jasa para guru. Sebenarnya, jika kita bijak menilai, semua guru baik di mana sahaja mereka berada menjadi penyumbang utama kepada pembangunan sahsiah dan akademik para pelajar. Teringat saya sebuah sajak yang tidak asing di telinga kita karya Usman Awang yang berbunyi antara lain;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri Berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sebenarnya teman-rakan sekalian, bait-bait sajak ini secara jelas membuktikan walau siapa pun kita pada masa hadapan, adalah dari acuan seorang guru yang tidak pernah mengenal erti putus asa mendidik, membimbing dan mengajar kita. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Malahan budi mereka tidak mungkin mampu kita membalasnya!!

Teman-teman sekalian,
Pada kesempatan ini 16 Mei 2010, marilah kita sama-sama merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala budi yang telah mereka taburkan untuk kita. Kerana kegagalan atau kejayaan kita lahir dari redha seorang guru walaupun dengan mengajar kita sepatah ayat cuma.
Terima kasih cikgu. Terima kasih guru.
Daun selasih daun pandan
Baunya harum wangi terasa;
Berpisah daging dari badan,
Budimu dikenang sepanjang masa.

Selagi ada rindu
Selagi ada waktu
Hari ini milikmu
Selamat Hari Guru!
Sekian, assalamualaikum wbh.


Farah Izzati Mohammad Sobri
Sempena Hari Guru 16/5/2010

Rabu, 19 Mei 2010

Perbezaan Kesediaan Belajar Dalam Kalangan Pelajar

1. Perbezaan Perkembangan Mental

Setiap individu mempunyai corak perkembangan kercedasan dan intelek yang berbeza-beza walaupun pada usia yang sama. Perbezaan ini mungkin berlaku secara semulajadi atau disebabkan oleh perbezaan latar demografi.

2. Perbezaan Sikap dan Minat

Kesediaan belajar dan pencapaian pelajar dan pembelajaran adalah bergantung kepada sikap dan minat mereka terhadap sesuatu. Murid yang berminat dengan sesuatu subjek akan memberi tumpuan dan cuba sedaya upaya untuk mencapai prestasi cemerlang dalam subjek tersebut berbanding dengan pelajar yang tidak berminat.

3. Perbezaan Kadar Pertumbuhan Fizikal

Setiap individu mempunyai corak pertumbuhan yang unik. Individu yang normal akan mengalami peringkat pertumbuhan yang sama iaitu melalui peringkat bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa namun akan mengalami kadar pertumbuhan dalam aspek fizikal, mental dan sahsiah yang berbeza-beza. Oleh itu, individu dalam kumpulan usia yang sama tidak semestinya mempunyai kebolehan yang sama dalam aktiviti fizikal mahupun akademik.

4. Perbezaan Keyakinan Diri

Setiap individu membina keyakinan diri yang berbeza-beza berdasarkan status sosioekonomi. Ada ketikanya individu daripada status sosioekonomi rendah kan merasa rendah diri dan ini menyebabkan mereka segan melibatkan diri dalam pembelajaran secara aktif.

5. Perbezaan Jantina

Individu lelaki dan perempuan mempunyai perkembangan biologi dan pertumbuhan fizikal yang berbeza. Remaja perempuan akan berkembang lebih cepat berbanding remaja lelaki. Remaja perempuan berfikiran lebih matang ketika berusia 9 tahun hingga 15 tahun berbanding remaja lelaki.

6. Perbezaan Dalam Diri Individu

Setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza dalam bidang-bidang tertentu. Seseorang pelajar yang cerdik dan cemerlang dalam akademik tidak semestinya pandai dan cemerlang juga bidang yang lain

Ahad, 16 Mei 2010

Teks Pengacara Majlis Penutupan Program Pengurusan Bakat Pelajar.

Minggu lepas cikgu telah menghadiri satu program di IAB Cawangan Utara dari 8 hingga 10 Mei 2010. Cikgu telah dipilih sebagai pengacara majlis penutupan program. Berikut teks penuh majlis penutupan tersebut.

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam diiringi Tuan Haji Abdul Ghani Ishak, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan Tuan Haji Razmi b. Abdul Majid, Ketua Jabatan Pengurusan HEM dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.

Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Ghani Ishak, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.

Yang Berusaha Tuan Haji Razmi b. Abdul Majid, Ketua Jabatan Pengurusan HEM dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara merangkap Pengurus Program Pengurusan Bakat Pelajar 2010.

Yang dihormati En. Mohd Zaid Abu, Penghulu Program Bakat Pelajar serta penghuluwati.

Barisan Personalia Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Istitut Aminuddin Baki serta barisan urusetia. Seterusnya rakan-rakan guru Bimbingan dan Kaunseling peserta kursus yang dimuliakan.

Assalamualaikum wbh, salam sejahtera juga salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya bagi pihak majlis mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan ke Negeri Kedah Darul Aman khususnya ke Bandar Darul Aman, Jitra khas untuk menjayakan majlis Penutupan Program Pengurusan Bakat Pelajar yang telah berlangsung dari 8 hingga 10 Mei 2010.

Pucuk Pauh delima batu,
Anak Sembilang di tapak tangan;
Terima kasih tuan sudi bertamu,
Penutupan program yang dijalankan.

Untuk mendapat keberkatan Allah SWT, majlis penutupan Program Pengurusan Bakat Pelajar dimulakan dengan mempersilakan Ustaz Abdullah Hj. Ahmad dari SMK Sik untuk memimpin bacaan doa. Alfadzil ustaz dipersilakan.

Alhamdulillah. Sepanjang 3 hari 2 malam beliau diberi mandat sebagai penghulu untuk kursus ini. Untuk itu sebelum tirai perpisahan berlabuh, majlis dengan sukacitanya menjemput En. Mohd. Zaid b. Abu dari SMK Sayung Kuala kangsar, Perak untuk memberikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih atas ucapan daripada Tok Penghulu kita sebentar tadi. Seterusnya saya bagi pihak majlis mempersilakan Tuan Rumah, Tuan Pengarah Institut Aminuddin Baki (cawangan Utara), Tuan Haji Abdul Ghani Ishak untuk menyampaikan ucapan aluan. Dipersilakan.

Sekalung penghargaan dan terima kasih atas ucapan tuan sebenatar tadi.

Tuan-tuan dan puan-puan, sidang dewan yang dimuliakan,
Bagi melengkapkan acara kita pada petang ini, majlis dengan segala hormatnya menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan Pengarah Bahgian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Penutupan Program Pengurusan bakat Pelajar kali ke-2 bagi tahun 2010. Dengan segala hormatnya tuan dipersilakan.

Terima kasih atas kesudian Yang Berbahagia Dr. memeberikan ucapan dan setersunya merasmikan penutupan program pada hari ini.

Majlis pada petang ini akan diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil dan cenderamata. Untuk itu majlis sekali lagi menjemput Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan untuk menyampaikan sijil kepada wakil urusetia dan peserta dari 4 buah negeri yang terlibat dalam program ini.

Dipersilakan
Tuan haji Razmi b. Abd. Majid wakil IAB untuk menerima sijil bagi pihak urusetia.
En. Mohd. Radzi b. Abdullah – wakil peserta dari Negeri Kedah Darul Aman.
En. Ruzaimi Othman – wakil peserta dari Negeri Perlis Indera Kayangan.
En. Mohd. Zakaria b. Zain - wakil peserta dari Negeri Pulau Pinang.
En. Mohd. Khairul Abd. Hak - wakil peserta dari Negeri Perak Darul Ridzuan.

Seterusnya dipersilakan En. Mohd. Zaid Abu untuk menyampaikan cenderamata. Diperilakan;
Tuan Haji Razmi b. Abd. Majid Ketua Jabatan Pengurusan HEM dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara merangkap Pengurus Program Pengurusan Bakat Pelajar 2010.
Tuan Haji Abdul Ghani Ishak, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.
Dr. Aris Kasan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Terima kasih En. Mohd. Zaid Abu.

Dijemput pula Tuan Haji Abdul Ghani Ishak, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk menyampaikan cenderamata kepada Dr. Aris Kasan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada tuan berdua kerana sudi menyempurnakan majlis.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan berakhirnya acara penyampaian sijil dan cenderamata sebentar tadi, maka berakhirlah Program Pengurusan Bakat Pelajar yang telah berlangsung dari 8 Mei hingga hari ini 10 Mei 2010. Sebelum berakhir izinkan saya sebagai halwa telinga membacakan 3 rangkap pantun untuk tuan-tuan dan puan-puan imbau sebagai kenangan sebelum kaki melangkah pulang;

Shopping-shopping di pekan Nilai,
Singgah di KL naik menara;
Ilmu dan maklumat tidak ternilai,
Jasa dikenang selam-lama.

Di puncak menara di tengah Bandar,
Makan rojak bersama mee;
Ada taklimat, kursus dan seminar,
Selitlah lagi nama kami.

Melangkah pulang anaklah alansannya,
Beli hadiah berkotak-kotak;
Berpisah sementara mudahan tak lama,
Dijemput lagi mesti tak tolak.

Sekian, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berbahagia Dr. Aris Kasan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam diiringi Tuan Haji Abdul Ghani Ishak, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan Tuan Haji Razmi b. Abdul Majid, Ketua Jabatan Pengurusan HEM dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara ke jamuan petang yang disediakan di cafeteria.

Sehingga kita bertemu semula dalam kesempatan yang lain, sesungguhnya yang baik itu dari Allah SWT yang telah mencipta saya dan yang buruk itu dari saya yang telah dicipta oleh-Nya.

Assalmualaikum wbh. Dan salam sejahtera.

Isnin, 10 Mei 2010

KEJAYAAN TIDAK MENGENAL USIA

Sebenarnya malam sudah semakin dinihari. Cikgu baru sahaja sampai ke rumah selepas mengikuti slot malam Program Pengurusan Bakat Pelajar anjuran bersama IAB Cawangan Utara dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Begitu teruja cikgu ingin berkongsi dengan pelajar tentang personalia yang terlibatn dalam slot malam ini. Dengan usia yang begitu muda Encik Mohd. Shafik Firdaus Hasbullah adalah seorang individu yang patut dikagumi oleh bukan sahaja saya sebagai seorang guru, malahan semua pelajar boleh menjadikan beliau sebagai idola. Usianya masih muda - 26 tahun sudah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Skim Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam. Penyampaiannya bersahaja dan cikgu berasa alangkah baiknya jika yang berdiri di hadapan cikgu adalah anak-anak didik cikgu. Begitu besar ertinya kejayaan buat beliau. Di usia muda beliau telah memegang ijazah kedua dalam bidang kejuruteraan.

Anak-anak cikgu, sebenarnya kejayaan tidak pernah mengenal usia. Sesiapa sahaja yang berusaha kejayaan pasti milik mereka. Marilah kita jadikan beliau sebagai penggerak semangat dan idola untuk melangkah lebih jauh ke hadapan. Mari, ayuh dan kita mulakan sekarang..

Sabtu, 8 Mei 2010

PRASYARAT MENJADI INSAN CEMERLANG

Terdapat pelbagai cara yang boleh dimalkan untuk membolehkan seseorang individu mencapai kecemerlangan dalam kehidupannya baik sebagai individu mahupun sebagai seorang pelajar. Berikut merupakan syarat-syarat utama atau cara-cara yang boleh diamalkan untuk mendapat kejayaan dan kecemerlangan.

  • Keazaman yang kukuh
  • Usaha yang gigih, tersusun dan sistematik
  • Mengetahui dan mempraktikkan ‘Study Smart’
  • Disiplin yang kukuh
  • Kemantapan jiwa, mental dan fizikal
  • Tidak mudah berputus asa
  • Mengatur cara hidup berdasarkan SIKAP
  • Membuang sikap dan ungkapan negatif seperti ;
    1. Cemerlang bukan milik aku
    2. Cukuplah dengan apa yang aku ada
    3. Malas berusaha dan rasa sudah tewas
    4. Suka menangguh-nangguh kerja
    5. Kecemerlang tidak memerlukan otak yang geliga
    6. Tidak perlu jadi ‘ulat buku’ dan ‘antisosial’

Isnin, 3 Mei 2010

Membentuk Matlamat Diri

Semua orang ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran. Begitu juga anak-anak cikgu. Kadang-kadang kita berimaginasi untuk mengecap pelbagai kejayaan. Sayangnya kekangan begitu banyak sehingga mengganggu situasi diri. Namun pada cikgu, semua pelajar perlu membentuk matlamat agar dapat mengapai awan di langit. Maksudnya engan matlamat yang jelas, sudah pasti kita dapat meletakkan sasaran ke mana kita hendak pergi. Berikut antara matlamat diri yang boleh dibentuk pelajar untuk mencapai kejayaan.

  1. Pelajar yang cemerlang mempunyai matlamat yang jelas.
  2. Matlamat memberikan kita tenaga untuk bertindak.
  3. Jika kita ada matalamat,kita sering berusaha untuk mencapainya.
  4. Matalamat memberikan kita hala tuju.
  5. Pelajar perlu bertindak mengikut matlamat yang ditetapkan.(Jika matalamatnya untuk mendapatkan 9A dalam SPM @PMR, sudah tentu akan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh.)
  6. Matlamat mendisiplinkan diri kita.(Kamu akan belajar mengikut jadual waktu jika kamu bertekad untuk mencapai matlamat)

Selain itu para pelajar juga perlu mengubah tingkahlaku demi untuk mencapai hasrat di hati. Antara perkara yang perlu dilakukan adalah;

  • Bertindak dengan segera
  • Kikiskan tabiat suka menangguh-nangguhkan kerja.
  • Elakan daripada duduk di depan televisyen berjam-jam atau berbual kosong melalui telefon.
  • Berubahlah dari sekarang.
  • Berikan perhatian teliti ketika guru mengajar.
  • Bertanya guru atau rakan sekiranya tidak memahami mana-mana topik pelajaran
    Mengulangkaji pelajaran setiap hari.
  • Tingkatkan keazaman kamu.
  • Komited terhadap matlamat kamu.

Selamat berjaya...

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...