Khamis, 25 Februari 2021

SEMINGGU INI

 25 Februari 2021 (Khamis)

Hari ini merupakan giliran aku BDR.  Namun, kesempatan itu aku ambil untuk ke dua lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan di bawah tanggungjawabku.  Sebelum bertolak ke lokasi pertama yang terletak kira-kira 16 km dari rumah, aku sempat membuat sedikit laporan berdasarkan servey di dalam google drive.

Sebaik selesai di lokasi pertama, aku meneruskan perjalanan ke lokasi kedua.  Perjalanan lebih kurang 15 km mengambil masa 12 minit.   Jalan kampung yang agak sempit memerlukan ketelitian ketika memandu.  Aku mengambil keputusan berhenti seketika di pinggir jalan, sambil menikmati sekeping roti pizza kerluaran  Gardinia sebagai sarapan pagi aku dan anakku Fatin yang menjadi peneman setia perjalananku ke dua destinasi ini. 

Membuka handphone sambil mencari link yang dihantar ke group whatsapp.  Segera  aku menekan butang ‘join’ untuk mengikuti Program Santapan Minda yang dibuat secara Google Meet. 

Demikian canggihnya kehidupan sekarang ini,  di mana-mana sahaja boleh berinteraksi dan berkongsi ilmu.  Dunia tanpa sempadan – yang memisahkan hanya keinginan dan kesungguhan.

Selesai dua perkara dalam satu masa.  Sebaik mengucapkan terima kasih kepada guard yang menunggu di pagar, aku segera bertolak balik.  Syukur kerana Fatin bersedia menunggu dan menjadi pemanduku hari ini.  Aku dan Fatin sampai di rumah tepat pukul 12.30 tengahari.  Berehat seketika sebelum sambung tugasan menganalisis data.  Sempat juga berhubung dengan Cikgu Salihuddin berkaitan beberapa perkara yang menjadi kemusykilan. 

Jika ada yang berpendapat bekerja dari rumah lebih santai dan rileks, rasanya pendapat itu perlu dilihat semula.  Kadang-kala BDR itu lebih memerlukan tumpuan berbanding bekerja di pejabat.  Cuma untungnya aku tidak perlu menguruskan anak-anak di rumah.  Malah jika tidak sempat menyediakan makanan di sebelah pagi, aku memilih untuk membeli makanan bermasak di luar sahaja.

Memasak sebelum ke tempat kerja sememangnya menjadi rutin sejak dahulu.  Ketika anak-anak masih kecil.  Dan rutin ini diteruskan sehingga kini.  Hanya kadang-kadang, apabila hadirnya rasa malas atau keletihan, aku tidak memasak.  Ketika inilah, aku akan mencari makanan yang dijual di kedai.

Sebenarnya sepanjang minggu ini agak kalut.  Dari 21hb hingga 25 Februari, selain sesi kaunseling, pelbagai kursus dan  bengkel online diadakan.  Ditambah lagi Degnan pemantauan, refleksi, serta taklimat.   Ada sesetengahnya bertindan dua atau tiga aktiviti dalam satu masa.    Sehingga ada ketikanya berebut talian dan aktiviti mana yang perlu diberi keutamaan. 

Dalam situasi sekarang, aku merasakan data internet amat penting bagi merealisasikan sesuatu tugasan.  Kadang-kala terasa agak stress apabila line internet agak lambat dan mengganggu urusan – google meet, webex dan sebagainya.  Tapi itu semua adalah rencah kehidupan.  Pandai-pandailah kita menggayakan bagi memudahkan urusan seharian dan kita tidak pula ketinggalan.

Ahad, 7 Februari 2021

MEMBINA RAPPO DENGAN KOTAK TISU

 7 Februari 2021 (Ahad)

Pagi di ruang kerja, aku keseorangan.  Hari masih awal.  belum ada rakan yang masuk ke pejabat.  Mungkin lewat atau mungkin ada yang BDR.  Tambahan sekarang PKP masih dilaksanakan.

Rutin biasa, sambil membuka buku catatan dan menulis peringatan untuk tugas hari ini, aku menjamah dua biskut Cream Crakers yang sedia ada.  Saat terpandang kotak tisu di sudut tepi meja, tiba-tiba teringat suatu peristiwa hampir setahun dulu. 

“Rasa nak terputus nyawa.” 

Seorang wanita separuh umur mengeluh sebaik memasuki ruang kerjaku.  Nafasnya tercungap-cungap. 

“Ambil nafas dulu puan.”  Sapaku seramah mungkin.

“Duduk dan rileks dulu.”  Pelawaku.

Wanita separuh umur itu duduk.  Diikuti seorang lelaki yang datang bersamanya.  Dia mencapai tisu di atas mejaku.  Mengelap peluh di dahi dan menarik nafas perlahan-lahan. 

Ruang kerjaku terletak di tingkat tiga, aras 4.  Agak tinggi bagi orang yang tidak biasa menaiki tangga.  Kadang-kala tidak sesuai untuk klien yang agak berumur atau klien yang datang ketika dengan kepala berserabut. 

“Tingginya puan.  Kalau tak ada hal, saya tak naik dah.”  Katanya sebaik keadaan semakin selesa.  Lelaki di sebelahnya hanya tersenyum.  Tidak berkata walau sepatah.  Barangkali keletihan mendaki anak-anak tangga belum hilang.  Aku turun tersenyum.

Sejak aku bertugas di sini, keluhan seumpama ini bukan kali pertama.  Aku faham, Cuma tempat yang sesuai di aras lebih bawah belum kami temui.  Beberpa kali permohonan telah dibuat namun, kekangan tempat menyebabkan permohonan kami tidak dapat dipenuhi.

“la…, kotak kasut ke?”  tiba-tiba dia berkata.  Tangannya memegang kotak tisu di atas mejaku.  Membelek-belek beberapa kali sambil mulutnya mengomel perlahan.

“Pandai puan buat.  Nanti bolehlah saya cuba buat di rumah.”  Sambungnya ramah.  Barangkali kepenatan menaiki tangga sudah pun hilang.

Aku tersenyum.  Dengan menggunakan kotak tisu, aku  membina  ‘rappo’  bersama klienku hari itu.  Berbual dalam suasana tenang dan santai  sehingga beberapa isu yang dibawanya dapat dikurangkan dan diselesaikan.  Alhamdulillah.

Pagi ini, ketika melihat semula kotak tisu di atas meja, aku hanya mampu menyusun kenangan  Sekarang, dalam suasana pandemik yang belum selesai, sesi bersemuka amat terbatas untuk dilakukan.  Tiada lagi klien yang datang tercungap-cungap.  Tiada lagi yang berminat untuk menegur kotak tisuku di atas meja.

Hari-hari kita semakin berubah dan kita perlu belajar tabah.

 

Selasa, 2 Februari 2021

2 FEBRUARI 2021 (SELASA)

 2 Feb. 2021 (Selasa)

Sendirian di pejabat memberi ruang seluas-luasnya melunaskan beberapa tugasan yang tertangguh sejak seminggu lepas.  Sepanjang minggu lepas adalah minggu yang sibuk dengan pelbagai kursus dan bengkel online.   Ditambah pula dengan beberapa tugas yang tiba-tiba muncul.  Macam lipas kudung terpaksa terkejar-kejar untuk menyiapkan semuanya satu-satu agar tidak terlepas deadline.

Minggu ini di hujung minggu juga agak sibuk.  Pagi Sabtu 30 Jan. 2021, sedang menyiapkan beberapa tugasan akhir Legasi_abah tiba-tiba dikejutkan dengan berita kematian kakak sepupu sebelah suami.  Pagi Ahad, ketika di pejabat dapat pula berita, kakak sulung dimasukkan ke hospital Kuala Kangsar.  Sepanjang tempoh PKP ini sudah beberapa kali kakak sulungku itu dikejarkan ke hospital. 

Sekali lagi pada pagi Isnin 1 Feb. 2021 mendapat pula khabar suami Kak Ani (Abang Amir) yang memelihara anakku Farah Izzati sejak kecil ditimpa kemalangan.  Allah, sepanjang tempuh tiga hari, tiga berita diterima.  Semoga mereka yang sedang diuji dengan kesakitan akan diberi kesembuhan oleh Allah SWT.

Malam ini, sambil menyiapkan sajak untuk dimuatkan dalam antologi Hujan Januari aku ambil sedkiit masa untuk mencatat dan menulis.  Sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa yang patut aku tulis sepanjang berada di hadapan laptop ini.  Cuma kuajak tangan menari dan aku berharap agar tariannya akan memberi sedikit erti kepada para pembaca.

Hari ini sekali lagi kita menerima berita PKP akan bersambung sehingga 18 Feb. 2021.  Kadar jangkitan Corona Virus dalam kalangan masyarakat masih mencecah angka 4.  Satu angka yang pasti membimbangkan semua orang.  Banyak aktiviti tidak dapat berlangsung secara bersemuka.  Jika ada pun perlu menjaga jarak dan mengikuti SOP seperti mana yang ditetapkan.

Memakai mask ketika berada di luar rumah sudah menjadi kewajipan bagi semua orang orang yang tidak memakai mask ketika berada di luar dianggap luar biasa kerana tidak mematuhi undang-undang dan mungkin dianggap sebagai kebal.  Begitulah, berubahnya kehidupan kita sekarang, 

Kita tidak tahu bilakah wabak ini dapat ditangani dengan berkesan dan dapat dihapuskan.  Pelbagai andaian dibuat sehingga ada yang berkata, dunia hanya akan bebas sepenuhnya dari wabak ini pada tahun 2022 atau mungkin 2023.  Masya’Allah, satu jangka masa yang lama dan pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu.

Rasanya, tanggungjawab membenteras wabak ini tidak hanya terletak di tangan Kementerian Kesihatan.  Tetapi lebih kepada sikap masyarakat yang prihatin dan patuh pada setiap arahan.  Jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing sudah pasti semua ini boleh diatasi dengan lebih berkesan dan lebih cepat lagi.

Namun, setiap orang punya kekangan dan alasan masing-masing.  Pasti ada banyak sebab mengapa sesetengah pihak tidak dapat mengikuti sepenuhnya arahan yang ditetapkan kerajaan.  Apa pun, berfikirlah dengan waras kerana masa depan negara bergantung sepenuhnya pada sikap kita.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...