Selasa, 2 Februari 2021

2 FEBRUARI 2021 (SELASA)

 2 Feb. 2021 (Selasa)

Sendirian di pejabat memberi ruang seluas-luasnya melunaskan beberapa tugasan yang tertangguh sejak seminggu lepas.  Sepanjang minggu lepas adalah minggu yang sibuk dengan pelbagai kursus dan bengkel online.   Ditambah pula dengan beberapa tugas yang tiba-tiba muncul.  Macam lipas kudung terpaksa terkejar-kejar untuk menyiapkan semuanya satu-satu agar tidak terlepas deadline.

Minggu ini di hujung minggu juga agak sibuk.  Pagi Sabtu 30 Jan. 2021, sedang menyiapkan beberapa tugasan akhir Legasi_abah tiba-tiba dikejutkan dengan berita kematian kakak sepupu sebelah suami.  Pagi Ahad, ketika di pejabat dapat pula berita, kakak sulung dimasukkan ke hospital Kuala Kangsar.  Sepanjang tempoh PKP ini sudah beberapa kali kakak sulungku itu dikejarkan ke hospital. 

Sekali lagi pada pagi Isnin 1 Feb. 2021 mendapat pula khabar suami Kak Ani (Abang Amir) yang memelihara anakku Farah Izzati sejak kecil ditimpa kemalangan.  Allah, sepanjang tempuh tiga hari, tiga berita diterima.  Semoga mereka yang sedang diuji dengan kesakitan akan diberi kesembuhan oleh Allah SWT.

Malam ini, sambil menyiapkan sajak untuk dimuatkan dalam antologi Hujan Januari aku ambil sedkiit masa untuk mencatat dan menulis.  Sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa yang patut aku tulis sepanjang berada di hadapan laptop ini.  Cuma kuajak tangan menari dan aku berharap agar tariannya akan memberi sedikit erti kepada para pembaca.

Hari ini sekali lagi kita menerima berita PKP akan bersambung sehingga 18 Feb. 2021.  Kadar jangkitan Corona Virus dalam kalangan masyarakat masih mencecah angka 4.  Satu angka yang pasti membimbangkan semua orang.  Banyak aktiviti tidak dapat berlangsung secara bersemuka.  Jika ada pun perlu menjaga jarak dan mengikuti SOP seperti mana yang ditetapkan.

Memakai mask ketika berada di luar rumah sudah menjadi kewajipan bagi semua orang orang yang tidak memakai mask ketika berada di luar dianggap luar biasa kerana tidak mematuhi undang-undang dan mungkin dianggap sebagai kebal.  Begitulah, berubahnya kehidupan kita sekarang, 

Kita tidak tahu bilakah wabak ini dapat ditangani dengan berkesan dan dapat dihapuskan.  Pelbagai andaian dibuat sehingga ada yang berkata, dunia hanya akan bebas sepenuhnya dari wabak ini pada tahun 2022 atau mungkin 2023.  Masya’Allah, satu jangka masa yang lama dan pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu.

Rasanya, tanggungjawab membenteras wabak ini tidak hanya terletak di tangan Kementerian Kesihatan.  Tetapi lebih kepada sikap masyarakat yang prihatin dan patuh pada setiap arahan.  Jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing sudah pasti semua ini boleh diatasi dengan lebih berkesan dan lebih cepat lagi.

Namun, setiap orang punya kekangan dan alasan masing-masing.  Pasti ada banyak sebab mengapa sesetengah pihak tidak dapat mengikuti sepenuhnya arahan yang ditetapkan kerajaan.  Apa pun, berfikirlah dengan waras kerana masa depan negara bergantung sepenuhnya pada sikap kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...