Selasa, 9 September 2025

Catatan Seorang Pesara : Cakap Sorang-Sorang

Usai bertemu seorang sahabat bersama suami dan anaknya di perkarangan Masjid Aman, Alor Setar, aku dan suami terus ke Pasar Besar Billion.  Aku turun membeli 2 bungkus Mee Suria, fish cake dan fish ball serta sayur sawi dan taugeh.  Selalunya, aku akan singgah di gerai ini setiap kali ke Pasar Besar Billion.  Selain menjual hasil produk keluaran Muslim, pilihan produk yang dijual juga pelbagai.  Seronok membeli sehingga kadang-kala terlupa yang kami hanya tinggal berdua sahaja

Sebelum balik, kami singgah untuk makan di sebuah restoran yang terletak berhampiran pasar.  Kebetulan kedua-dua kami belum sarapan sedangkan jam sudah melebihi pukul 10.30 pagi.

"Kita makan nasi terus lah,"  ujarku memberi cadangan.

"Balik sat lagi terus masak untuk petang ni je.." Tambahku mengukuhkan cadangan.  Sebenarnya petang ini  AJK Surau Al-Muttaqin akan mengadakan perbincangan kecil di rumah.  Aku bercadang untuk memasak mee goreng sebagai hidangan meraikan tetamu yang datang selain buah tembikai dan kek pisang.  

Tanpa banyak soal, kami masuk ke ruangan  makanan tersaji.  Aku dan suami makan sebaik harga makanan dikira oleh juru jual.  Sedang asyik makan, mataku tertarik dengan aksi seorang lelaki yang sedang membuka bonet keretanya sambil menjual petai.  Sekejap sahaja, beberapa orang  lelaki dan perempuan datang berkerumun membelek dan membeli petai yang dibawa.  Dari jarak tidak sampai 10 meter aku melihat petai-petai yang diangkat pembeli.  Nampak ulasnya yang besar dan segar.  Terdetik hati untuk menyertai kemeriahan mereka berebut-rebut membeli.




"Nampak elok petai yang pak cik tu jual,"  kataku.

"Teringin pi beli 2@3 papan sudah," balas suamiku.


Selesai makan dan membuat bayaran di meja cashier, aku bergerak untuk menyertai mereka yang sedang berebut-rebut memilih petai dari tadi.  

"Jah pi sat na tengok depa jual petai.  Seronok pula.  Tak beli dapat tengok pun jadilah."  Aku bercakap sambil berjalan tanpa melihat ke arah suami yang masih duduk sambil menghabiskan air minumannya yang masih bersisa.  

"Hah..., cakap dengan siapa sorang-sorang?  Awat??"   Seorang wanita yang agak berusia tiba-tiba menjerkah aku.  Wanita itu berhenti betul-betul di depanku.  Tergamam aku dibuatnya.

"Suami. Ni suami saya."  Kataku sambil memegang bahu suami yang masih duduk.  Suami memandang aku dengan sedikit perasaan terkejut.

"Awat?"  Tanyaku kembali kepada wanita itu dan dia terus berjalan tanpa sebarang jawapan. 

"Kenapa dia tanya macam tu?  Dia ingat aku gila ke apa nak cakap sorang-sorang?"  Sambil berjalan keluar ke kereta, otak ligat berfikir.  

Kadang-kadang kita terlalu banyak membuat andaian sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang lain.  Peringatan untuk diri sendiri, pandang dulu kiri-kanan sebelum memberi teguran.  Teguran tanpa berfikir panjang akan menyebabkan orang lain terasa hati dan ada ketika memalukan diri sendiri.  

Tapi itulah yang terjadi pagi tadi.  Mungkin niat kakak itu baik dan aku yang salah membuat tafsiran.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Seorang Pesara : Cakap Sorang-Sorang

Usai bertemu seorang sahabat bersama suami dan anaknya di perkarangan Masjid Aman, Alor Setar, aku dan suami terus ke Pasar Besar Billion.  ...