Ahad, 31 Januari 2021

MENULIS UNTUK ANAK-CUCU

 31 Januari 2021 (Ahad)

Selesai sudah tugasan yang dipikul selama beberapa hari ini.  Alhamdulillah, akhirnya siap juga projek tahun 2021, menulis secebis kisah benar bersama para sahabat Legasi_abah.  Semoga usaha ini akan menjadi bahan rujukan anak-cucu apabila tiba waktunya kelak.

Banyak cabaran ketika menulis kisah ini.  Terutama apabila air mata tidak dapat ditahan ketika mengimbau pelbagai peristiwa yang telah berlaku sepanjang hidup bersama arwah pak.  Pasti air mata setiap yang menulis dalam legasi ini turut tumpah seperti mana aku juga.

Kesedihan kedua berlaku ketika aku mencari semula gambar-gambar lama untuk kuabadikan sebagai kenangan seperti mana yang diminta oleh Puan Pengetua, Puan sri Diah.  Rupanya tidak banyak pak dan mak bergambar berdua.  Hanya sekeping yang ditemui itupun terakam ketika mereka hendak menunaikan umrah pada tahun 1997.

Menulis kisah hidup ini sebenarnya mengajak kita kembali ke zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.  Segalanya berputar bagai cakera filem berputar menayangkan semula filem lama.  Sungguh kadang-kadang terkedu sehingga tidak mampu untuk lena sepanjang malam.  Semua memori itu berputar seperti putaran roda – ada ketikanya laju dan ada ketikanya turut perlahan.

Semoga setiap apa yang aku lakukan akan memberi impak buat diriku dan orang lain.  Terutama kepada seluruh anak-cucu Tok Mud dan Opah Minah.  Suatu hari, jika diberi peluang dan ada kekuatan, akan aku coretkan pula bagaimana tabahnya emak melayari kehidupan membesarkan 8 anak dengan hanya membantu pak di kebun getah.

Pak dan mak, dua insan dan dua jiwa yang sangat kental.   Semangat juang merekalah yang aku cuba bawa untuk kuturunkan pula kepada anak-cucu.  Semoga ada sifat kental dan tabah yang dimiliki keduanya akan diwarisi anak-cucu dalam mendepani kemelut kehidupan yang semakin mencabar.


Al-Fatihah buat pak dan mak.  Semoga sentiasa dalam dakapan rahmat Allah di negeri abadi!

Jumaat, 29 Januari 2021

MENULIS ITU TERAPI DIRI

 29 Januari 2021 (Jumaat)

Jumaat kedua PKP 2.0.  Sudah hari ke-8.  Jumlah kes hari ini mencecah lebih 4.5 ribu.  Satu angka yang sangat mengejutkan.  Terasa kebimbangan untuk berada di luar rumah semakin tinggi.

Dua hari lepas, satu kematian dilaporan di kampung berdekatan kawasan tempat aku tinggal. Jadi lebih baik duduk di dalam rumah sambil meneliti apa-apa yang patut.  Terasa lapar boleh sahaja ringgah di ruang dapur.  atau sesekali order melalui pelbagai kaedah yang terdapat di dalam talian.  Hidup yang cukup mudah sekarang.  Cuma bezanya sesuai atau tidak dengan selera masing-masing.

Hari ini, aku ambil keputusan masak dan makan apa sahaja yang ada di dalam rumah.  Separuh sup labu air dan ikan bawal goreng bersama sambal tumis udang sudah cukup untuk mengenyangkan perut kami tiga beranak. 

Sarapan pagi hari ini aku hanya merebus ubi kayu dari pokok yang aku tanam ketika musim PKP 1.0 dulu.  Sekejap sahaja hasilnya sudah boleh dituai.  Dapatlah juga dikongsi dengan dua tiga orang jemaah yang ke surau awal pagi Jumaat hari ini.  Sedekah kecil di awal subuh.  Sekurang-kurangnya boleh juga membuat orang lain tersenyum gembira.

Hidup ini sebenarnya mudah.  Dapat membuat orang tersenyum itu sudah membuat kita rasa bahagia.  Kebahagiaan itu sebenarnya datang melalui ketenangan.  Dan ketenangan itu dapat dirasai melalui hati.  Maksudnya untuk bahagia kita perlu sentiasa tenang melalui pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan.

Petang dan malam, sambil cari idea untuk menyiapkan beberapa projek penulisan, aku ambil kesempatan menulis sedikit dalam blog ini seperti sekarang.  Aku cuba istiqamah menulis.  Sekurang-kurang untuk tatapan anak-cuma apabila tiba masanya suatu ketika nanti.  Sebenarnya memang aku sudah lama berminat dalam bidang penulisan ini.  Cuma dulu agak terbatas dengan kekangan tugas dan tanggungjawab.

Bila bercerita tetang kekangan, bukanlah bererti sekarang ini aku sudah agak tidak terbeban dengan tugasku di tempat kerja.  Bukan.  Tetapi sekarang aku cuba belajar menyusun jadual kehidupanku agar nampak lebih sempurna dan terancang.  Sudah sampai waktunya aku perlu memberi ruang dan waktu kepada minatku sendiri.  Ya..., untuk ketenangan dan kebahagiaan.

Menulis itu adalah terapi.  Dengan menulis aku mendapat ketenangan diri.  Jom terus menulis, walaupun hanya sepatah perkataan sehari.



Khamis, 28 Januari 2021

PULUT KUNING, NASI BERIANI

 28 Januari 2021 (Khamis)

Bangun awal pagi.  Sempat sediakan sambal tumis bawal untuk suami sebelum ke tempat kerja.  Sambil-sambil bersembang di dalam kereta, sengaja aku bertanya;

“Hari ni hari apa bang?”

“Hari apa?  Pasal apa pulak?”

Seperti biasa suamiku selalu sahaja serius.  Jawapan dan tingkahlaku.  

“Sajalah nak peringat.”

“Hari Khamis kan selalu balik awal.”  aku segera mengubah topik.  Kalau diulang dan ditanya takut mood pagi berubah menjadi tegang.

“Nanti abang lupa pulak…” Aku menutup perbualan dengan peringatan.

Singgah di gerai nasi lemak yang biasa.  Alhamdulillah, dapat 2 bungkus nasi lemak percuma.  Dari tabungan sedekah bulanan, aku beli beberapa bungkus nasi lagi.  Niat untuk sedekahkan kepada kawan-kawan.   Rezeki bagi sesiapa yang datang awal.  Tidak banyak tapi bolehlah dirasa sedikit seorang.

Sebenarnya pada tarikh ini 31 tahun lepas dengan ijab dan qabul aku sah menjadi isteri suamiku Mhammad sobri bin Daud.  Sepanjang tempoh perkahwinan ini pelbagai peristiwa pahit manis telah kami lalui bersama.  Tentunya setiap yang berlaku itu menjadi penguat dalam setiap langkah dan gerak.

Kalau dapat untukku ucapkan terima kasih, izinkan aku ucapkan itu kepada suamiku.  Dialah suami yang sangat penyabar, penyayang dan sangat memahami.   Aku, bersifat agak kasar.  Kadang-kadang perengus juga.  Tapi Allah mentakdirkan yang perengus dan pemarah itu lawannya adalah penyabar dan pemaaf.  Banyak aku menekuni sifat-sifat itu dari suamiku.  Perlahan-lahan aku cuba mendidik hati dan diri agar turut menjadi seorang penyabar dan pemaaf sepertinya.

Alhamdulillah.  Allah menghadirkan insan sehebat dia.   Memberi aku seluas-luas ruang untuk belajar dan menambah ilmu dengan anak empat dan gaji tinggal zero!  Sekali pun tidak pernah dia bersunggut susah.  Jarang baju dan seluarnya berganti waktu itu.  Sama-sama kami struggle untuk kelangsungan hidup.  Namun  Allah tidak pernah mungkir dengan hambaNya.  Tidak pernah  sekali pun kami kelaparan.  Cuma kami tidak semewah orang.

Terima kasih Allah kerana memberi aku peluang berkongsi kehidupan dengan suamiku.  Meski ada kekurangan namun yang kurang itulah sebenarnya nafas kehidupan.  Mana mungkin kita melihat yang kurang sedangkan di hadapan kita terhidang beribu kebaikan!

Allah, Kauberikanlah dia kesihatan yang baik, akal yang waras, idea yang sentiasa bernas dan kudrat yang boleh dimanafaatkan selagi nyawa dikandung badan.  Permudahkanlah segala urusannya dan bukakanlah seluas-luas rezeki untuknya.

Petang sebaik sampai ke rumah di atas meja ada makanan yang dikirm jauh.  Pulut kuning ,  pulut durian dan pulut pelam selain makan tengahari nasi beriani.  Terima kasih untuk semua yang mengingati.  Walau pun tiada sebarang sambutan tapi bagi aku ini sudah cukup indah.  Sekurang-kurangnya aku tahu, di sekelilingku masih ada orang-orang yang sentiasa dekat dan sentiasa ingat.

Untuk suamiku Sobri,   Terima kasih sepanjang 31 tahun melayari bahtera kehidupan.  Aku cuba menjadi lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.  Semoga Allah permudahkan urusan kita pada hari-hari yang mendatang.


Rabu, 27 Januari 2021

SEKEPING POSKAD DARI SCOTLAND

 27 Januari 2021 (Rabu)

Hampir dua hari tidak dapat menulis catatan seperti azam yang telah ditanam.  Banyak sungguh kekangan dalam sehari dua ini.  Paling mencabar apabila ada bengkel dan kursus online selama tiga hari berturut-turut.  Terasa sangat sukar mengikuti kursus dalam talian apabila terpaksa berperang dengan kesesakan talian internet.

Sepanjang berbengkel dari 25, 26 dan 27 Januari 2021, banyak perkara yang dipelajari dan diajari.  Belajari tentang kesabaran pastinya yang paling utama.  Kadang-kadang timbul rasa stress bila tiba-tiba terkeluar dari landasan ketika sedang elok mengikuti kursus.  Beberapa kali mencuba untuk masuk sayangnya pintu tidak juga dibuka.

Teringat dulu zaman belajar, seorang pensyarah sangat pantang apabila ada student yang masuk lewat ketika beliau sedang mengajar.  Kerapnya waktu kecemasan yang diberi adalah 5 minit.  Selebih jika seseorang pelajar tidak masuk juga maka belajarlah dia di luar kelas kerana semua pintu masuk sudah ditutup.

Pada awalnya memang terasa malu dan marah.  Tapi sebenarnya itulah salah satu proses mendisiplin diri agar lebih patuh pada jadual.  Adat belajar, murid perlu menunggu guru bukan guru yang menunggu murid!

Kelmarin, ketika kalutnya berhadapan dengan kekangan internet hati sedikit terubat apabila mendapat poskad dari jauh.  Teringat dulu zaman kanak-kanak, poskad adalah antara cenderamata yang akan diberi sekiranya kita pergi ke mana-mana.  Dan poskad itulah yang akan dikirim kepada rakan-rakan lain sebagai bukti kita telah sampai ke sesuatu destinasi.


Menerima poskad dalam suasana pandemik ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.  Walaupun sebenarnya berhubung secara maya itu kerap dilakukan namun, aura poskad terasa ada kelainan.  Biasalah bila kita berjauhan dengan anak-anak, tahap kerinduan itu pasti terubat apabila menerima sesuatu.

Sesiapa sahaja yang berminat menyimpan koleksi poskad, pasti tertarik dengan  illustrasi Universiti Edinburgh pada poskad ini.  Cantik dan keterujaan untuk menjejak  kaki ke sana amat terasa.  Apa pun didoakan semoga Farah akan dapat menghabiskan pengajiannya yang berbaki lebih kurang 1 tahun setengah lagi.  Doakan semoga segala urusan Farah akan dipermudahkan dari semasa ke semasa.

Isnin, 25 Januari 2021

KURSUS ONLINE

 25 Januari 2021 (Isnin)

Sudah di mengadap laptop yang sudah pun siap berpasang.   Sebentar sahaja lagi ada kursus online sehingga petang.  Begitu kehidupan sekarang.  Berkursus tidak perlu lagi bergegas ke sana sini yang kadang kala jauhnya berbatu-batu.  Cukup sediakan secangkir kopi, buka laptop, tunggu pintu dibuka dan kita akan dijemput masuk.

Mudahnya hanya menghadap skrin computer, yang kadang-kala 4 – 5 jam.  Sebaik habis, mata tua seperti aku akan berpinar-pinar dan tadi yang diterang ‘speaker’ hanya tinggal 10% - 30% sahaja dalam kantung ingatan.  (Biasalah orang sudah banyak usia, focus dan daya ingatan juga semakin berkurangan)

Seronoknya berkursus atas talian ini, boleh sahaja diam tidak takut kalua-kalau nama tiba-tiba dipanggil penceramah seperti selalunya.  Kursus bersemuka ruang untuk mengantuk dan menguap selalunya amat minima.  Tambahan jika memiliki untuk duduk di lokasi paling hadapan. 

sebenarnya setiap hari walaupun hanya BDR ada sahaja kursus dan kerja yang perlu disertai dan disiapkan.  Begitulah kehidupan apabila kita memilih untuk bekerja walaupun tidak apa sesiapa yang memerhati kita namun, penilai paling utama adalah kita dan Tuhan. 

Berlaku adil kepada diri sendiri juga nikmat gaji yang kita terima dan kita makan setiap bulan akan menjadikan kita sedar bahawa apapun yang kita buat perlu berpaksikan kepada kejujuran dan disiplin diri.

Hanya sempat menulis sebentar kerana ruang kursus sudah hampir dipenuhi peserta dari seluruh tanah air.  Jangan sampai terlewat masuk takut-takut nanti pintu ditutup dan kita hanya menjadi peserta di tepi pintu menunggu orang bergerak pulang.  Jom berkursus!

#kitajagakita

Ahad, 24 Januari 2021

AKU, ALANG DAN KAIZAN

 

24 Januari 2021 (Ahad)

Alhamdulillah.  Mulakan pagi dengan rasa syukur kerana Allah SWT masih memberi kita peluang bernafas.  Hari bekerja walaupun BDR.  Buka laptop.  Susun beberapa dokumen yang perlu digunakan untuk pengisian data online. 

Seperti hari-hari biasa, pagi ini selepas subuh sempat menyediakan sarapan.  Bihun goreng rasanya sudah cukup sebagai bekal untuk kenyang sampai tengahari atau petang! 

Kelmarin 23 Januari adalah hari jadi abangku.  Abang ke-2 tapi anak no. 3 dalam keluarga.  Sempat jugalah aku hantar chicken chop dengan nasi goreng walaupun hari sudah malam.  Biasalah bila rancangan ‘last minute’, mencari orang yang boleh hantar makanan hingga depan pintu bukanlah sesuatu yang mudah.  Apa pun terima kasih kepada En. Syamil dari TE RASI Western Food Delivery Kuala Kangsar yang sudi ambil order walaupun ‘last call’ katanya.

Bukan mudah sebenarnya kita hendak mengubah sesuatu yang tidak biasa kita lakukan.  Aku akui agak rapat dengan abang-abang, kakak-kakak dan adik-adikku.  Tetapi aku jarang meraikan hari lahir mereka dengan kejutan demi kejutan.  Sambutan hari lahir selalunya hanya untuk suami dan anak-anak.  Sekarang ini ditambah dengan dua orang cucu.  Tetapi malam tadi ego aku telah aku cuba pecahkan.  Terima kasih kakakku Nasitah yang telah mencetus satu norma baru dalam otak fikirku.

Malam tadi juga  aku sempat memuatnaik hasil kerjaku ke  akaun facebook.  Resensi buku Travelog Usahawan Muda karya Kaizan Nazlan sempena Pertandingan Resensi Buku; Sebarkan Ilmu anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Buku yang dihadiahkan penulis kepadaku kira-kira dua tahun lepas.  Buku yang telah dua kali aku khatam.  Tetapi kali ini khas untuk resensi buku yang aku sertai.

Aku sejujurnya suka membaca karya santai  penulis muda yang bijak mengguna bahasa.  Aku menyenangi tulisan Kaizan kerana tulisannya hidup dan jujur.  Barangkali tulisan beliau mampu memberi motivasi kepada aku sendiri untuk belajar menulis seperti mana mereka.

Kadang-kadang kita hidup perlu ada angan-angan.  Mana tahu, suatu hari angan-angan itu akan menjadi sebuah kenyataan yang sangat membahagiakan.  Jom sambung kerja.  Ada laporan yang belum aku siapkan!!

Sabtu, 23 Januari 2021

MENULIS AGAR BERMANFAAT

23 Januari 2021 (Sabtu)

Hari Sabtu, hari kedua PKP 2.0  Kebetulan malam tadi tidur agak lewat kerana menyiapkan beberapa tugasan, maka pagi ini pun kelewatan juga menyediakan sarapan. 

Biasalah bila berhadapan dengan komputer di tengah malam yang sunyi, selalunya idea datang dengan mudah.  Sebenarnya kegiatan menulis ini telah aku mulai sejak di bangku sekolah menengah lagi.  Guru Bahasa Melayu ku ketika itu, Cikgu Mariam Berjaya mengcungkil bakalku dalam bidang ini.

Kesungguhan Cikgu Mariam membantu aku mengembangkan bakat.  Hampir setiap minggu karyaku akan terpampang di Sudut Karya papan kenyataan SM Temenggong Kati.  Masa itulah juga akum ula berjinak-jinak menghantar karya ke beberapa majalah remaja.  Alhamdulillah, karyaku akhirnya tersiar juga di akhbar Utusan Pelajar beberpa kali.

Memang ketika usia begitu aku bercita-cita untuk menjadi penulis.  Sayangnya apabila berkahwin dan menetap di Kedah aku mula mengurangkan aktiviti tersebut.  Kekalutan dengan keluarga, pekerjaan dan anak-anak antara sebab aku melupakan cita-cita yang lama tersimpan. 

Aku tidak meninggalkan sepenuhnya bidang yang aku minati.  Cumanya aku tidak bergerak aktif sehingga menerbitkan buku.  Aku hanya mengikuti perkembangan penulisan dan sesekali menyertai pertandingan jika berkesempatan.  Kerapnya aku menulis dalam blog Cikgujah09.blogspot.com sebagai melepas ketagihan untuk menulis.

Apa pun takdir Allah telah mengatur segala-galanya.  PKP 1.0 telah menemukan aku dengan ramai penulis atas talian.  Di sinilah aku berjanji akan terus mencuba.  Mana tahu jika ini antara cara Allah memakbulkan cita-cita yang telah tertangguh sebegitu lama.

Janji dengan diri – tulis dan terus menulis walaupun hanya sebaris ayat sehari.  Pastikan tidak akan tertinggal ilmu yang bermanfaat untuk dikongsi sebagai sebahagian amal jariahku untuk semua.  Janji dengan diri – aku tidak akan membiarkan ruang yang telah dibuka seluas-luasnya untukku sebagai sebahagian sahamku untuk akhirat.  Mulakan menulis, semoga bermanfaat!!


Jumaat, 22 Januari 2021

MENSYUKURI NIKMAT TUHAN

 

22 Januari 2021 (Jumaat)

PKP hari pertama.  Menu sarapan pagi hari Jumaat yang barakah hanya mee goreng.  Tidak banyak yang disediakan.  Hanya satu pertiga daripada sebungkus mee.  Apabila dicampur dengan sayur dan sedikit udang sudah cukup untuk kami makan bertiga. 

Di rumah ini sebenarnya tidak ramai.  Selepas anakanda Farah balik ke Scotland pada 27 Disember 2020, hanya tinggal kami bertiga sahaja.  Syukur masih ada kawan bersembang sejak Fatin menamatkan pengajiannya.  Kalau tidak aku akan terceratuk seorang diri andai suamiku ada urusan di luar.

Jumaat dulu-dulu sebelum pandemic Covid menyerang negara,  adalah hari menyantuni ibu mertuaku di kampung.  Seawal 7.00 pagi sudah ke pasar mencari ikan dan sayur.  Kemudian singgah di mana-mana kedai untuk membeli barangan kering seperti gula, beras dan roti.  Semua barangan kering dan basah ini disediakan untuk  memudahkan urusan ibu mertuaku sepanjang minggu. 

Ibu mertuaku itu umurnya sudah melebihi 80 tahun. Tinggal sendirian sejak bapa mertuaku meninggal  2o tahun lalu.  Pergerakannya banyak dibantu dengan tongkat.  Yang menemaninya baik di luar atau di dalam rumah. 

Jumaat bagiku adalah hari untuk bersantai.  Hari merehatkan diri setelah penat bekerja seminggu.  Selain melapangkan fikiran, Jumaat juga adalah hari untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan keluarga dan rumah.

Jom lapangkan minda.  Kita lupakan dulu segala yang berserabut dalam fikiran.  Tengok pokok, tengok alam, tengok sekeliling kita.  Terlalu banyak nikmat Allah yang patut kita syukuri!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...