Ahad, 24 Januari 2021

AKU, ALANG DAN KAIZAN

 

24 Januari 2021 (Ahad)

Alhamdulillah.  Mulakan pagi dengan rasa syukur kerana Allah SWT masih memberi kita peluang bernafas.  Hari bekerja walaupun BDR.  Buka laptop.  Susun beberapa dokumen yang perlu digunakan untuk pengisian data online. 

Seperti hari-hari biasa, pagi ini selepas subuh sempat menyediakan sarapan.  Bihun goreng rasanya sudah cukup sebagai bekal untuk kenyang sampai tengahari atau petang! 

Kelmarin 23 Januari adalah hari jadi abangku.  Abang ke-2 tapi anak no. 3 dalam keluarga.  Sempat jugalah aku hantar chicken chop dengan nasi goreng walaupun hari sudah malam.  Biasalah bila rancangan ‘last minute’, mencari orang yang boleh hantar makanan hingga depan pintu bukanlah sesuatu yang mudah.  Apa pun terima kasih kepada En. Syamil dari TE RASI Western Food Delivery Kuala Kangsar yang sudi ambil order walaupun ‘last call’ katanya.

Bukan mudah sebenarnya kita hendak mengubah sesuatu yang tidak biasa kita lakukan.  Aku akui agak rapat dengan abang-abang, kakak-kakak dan adik-adikku.  Tetapi aku jarang meraikan hari lahir mereka dengan kejutan demi kejutan.  Sambutan hari lahir selalunya hanya untuk suami dan anak-anak.  Sekarang ini ditambah dengan dua orang cucu.  Tetapi malam tadi ego aku telah aku cuba pecahkan.  Terima kasih kakakku Nasitah yang telah mencetus satu norma baru dalam otak fikirku.

Malam tadi juga  aku sempat memuatnaik hasil kerjaku ke  akaun facebook.  Resensi buku Travelog Usahawan Muda karya Kaizan Nazlan sempena Pertandingan Resensi Buku; Sebarkan Ilmu anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Buku yang dihadiahkan penulis kepadaku kira-kira dua tahun lepas.  Buku yang telah dua kali aku khatam.  Tetapi kali ini khas untuk resensi buku yang aku sertai.

Aku sejujurnya suka membaca karya santai  penulis muda yang bijak mengguna bahasa.  Aku menyenangi tulisan Kaizan kerana tulisannya hidup dan jujur.  Barangkali tulisan beliau mampu memberi motivasi kepada aku sendiri untuk belajar menulis seperti mana mereka.

Kadang-kadang kita hidup perlu ada angan-angan.  Mana tahu, suatu hari angan-angan itu akan menjadi sebuah kenyataan yang sangat membahagiakan.  Jom sambung kerja.  Ada laporan yang belum aku siapkan!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...