Khamis, 28 Januari 2021

PULUT KUNING, NASI BERIANI

 28 Januari 2021 (Khamis)

Bangun awal pagi.  Sempat sediakan sambal tumis bawal untuk suami sebelum ke tempat kerja.  Sambil-sambil bersembang di dalam kereta, sengaja aku bertanya;

“Hari ni hari apa bang?”

“Hari apa?  Pasal apa pulak?”

Seperti biasa suamiku selalu sahaja serius.  Jawapan dan tingkahlaku.  

“Sajalah nak peringat.”

“Hari Khamis kan selalu balik awal.”  aku segera mengubah topik.  Kalau diulang dan ditanya takut mood pagi berubah menjadi tegang.

“Nanti abang lupa pulak…” Aku menutup perbualan dengan peringatan.

Singgah di gerai nasi lemak yang biasa.  Alhamdulillah, dapat 2 bungkus nasi lemak percuma.  Dari tabungan sedekah bulanan, aku beli beberapa bungkus nasi lagi.  Niat untuk sedekahkan kepada kawan-kawan.   Rezeki bagi sesiapa yang datang awal.  Tidak banyak tapi bolehlah dirasa sedikit seorang.

Sebenarnya pada tarikh ini 31 tahun lepas dengan ijab dan qabul aku sah menjadi isteri suamiku Mhammad sobri bin Daud.  Sepanjang tempoh perkahwinan ini pelbagai peristiwa pahit manis telah kami lalui bersama.  Tentunya setiap yang berlaku itu menjadi penguat dalam setiap langkah dan gerak.

Kalau dapat untukku ucapkan terima kasih, izinkan aku ucapkan itu kepada suamiku.  Dialah suami yang sangat penyabar, penyayang dan sangat memahami.   Aku, bersifat agak kasar.  Kadang-kadang perengus juga.  Tapi Allah mentakdirkan yang perengus dan pemarah itu lawannya adalah penyabar dan pemaaf.  Banyak aku menekuni sifat-sifat itu dari suamiku.  Perlahan-lahan aku cuba mendidik hati dan diri agar turut menjadi seorang penyabar dan pemaaf sepertinya.

Alhamdulillah.  Allah menghadirkan insan sehebat dia.   Memberi aku seluas-luas ruang untuk belajar dan menambah ilmu dengan anak empat dan gaji tinggal zero!  Sekali pun tidak pernah dia bersunggut susah.  Jarang baju dan seluarnya berganti waktu itu.  Sama-sama kami struggle untuk kelangsungan hidup.  Namun  Allah tidak pernah mungkir dengan hambaNya.  Tidak pernah  sekali pun kami kelaparan.  Cuma kami tidak semewah orang.

Terima kasih Allah kerana memberi aku peluang berkongsi kehidupan dengan suamiku.  Meski ada kekurangan namun yang kurang itulah sebenarnya nafas kehidupan.  Mana mungkin kita melihat yang kurang sedangkan di hadapan kita terhidang beribu kebaikan!

Allah, Kauberikanlah dia kesihatan yang baik, akal yang waras, idea yang sentiasa bernas dan kudrat yang boleh dimanafaatkan selagi nyawa dikandung badan.  Permudahkanlah segala urusannya dan bukakanlah seluas-luas rezeki untuknya.

Petang sebaik sampai ke rumah di atas meja ada makanan yang dikirm jauh.  Pulut kuning ,  pulut durian dan pulut pelam selain makan tengahari nasi beriani.  Terima kasih untuk semua yang mengingati.  Walau pun tiada sebarang sambutan tapi bagi aku ini sudah cukup indah.  Sekurang-kurangnya aku tahu, di sekelilingku masih ada orang-orang yang sentiasa dekat dan sentiasa ingat.

Untuk suamiku Sobri,   Terima kasih sepanjang 31 tahun melayari bahtera kehidupan.  Aku cuba menjadi lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.  Semoga Allah permudahkan urusan kita pada hari-hari yang mendatang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...