Jumaat, 29 Januari 2021

MENULIS ITU TERAPI DIRI

 29 Januari 2021 (Jumaat)

Jumaat kedua PKP 2.0.  Sudah hari ke-8.  Jumlah kes hari ini mencecah lebih 4.5 ribu.  Satu angka yang sangat mengejutkan.  Terasa kebimbangan untuk berada di luar rumah semakin tinggi.

Dua hari lepas, satu kematian dilaporan di kampung berdekatan kawasan tempat aku tinggal. Jadi lebih baik duduk di dalam rumah sambil meneliti apa-apa yang patut.  Terasa lapar boleh sahaja ringgah di ruang dapur.  atau sesekali order melalui pelbagai kaedah yang terdapat di dalam talian.  Hidup yang cukup mudah sekarang.  Cuma bezanya sesuai atau tidak dengan selera masing-masing.

Hari ini, aku ambil keputusan masak dan makan apa sahaja yang ada di dalam rumah.  Separuh sup labu air dan ikan bawal goreng bersama sambal tumis udang sudah cukup untuk mengenyangkan perut kami tiga beranak. 

Sarapan pagi hari ini aku hanya merebus ubi kayu dari pokok yang aku tanam ketika musim PKP 1.0 dulu.  Sekejap sahaja hasilnya sudah boleh dituai.  Dapatlah juga dikongsi dengan dua tiga orang jemaah yang ke surau awal pagi Jumaat hari ini.  Sedekah kecil di awal subuh.  Sekurang-kurangnya boleh juga membuat orang lain tersenyum gembira.

Hidup ini sebenarnya mudah.  Dapat membuat orang tersenyum itu sudah membuat kita rasa bahagia.  Kebahagiaan itu sebenarnya datang melalui ketenangan.  Dan ketenangan itu dapat dirasai melalui hati.  Maksudnya untuk bahagia kita perlu sentiasa tenang melalui pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan.

Petang dan malam, sambil cari idea untuk menyiapkan beberapa projek penulisan, aku ambil kesempatan menulis sedikit dalam blog ini seperti sekarang.  Aku cuba istiqamah menulis.  Sekurang-kurang untuk tatapan anak-cuma apabila tiba masanya suatu ketika nanti.  Sebenarnya memang aku sudah lama berminat dalam bidang penulisan ini.  Cuma dulu agak terbatas dengan kekangan tugas dan tanggungjawab.

Bila bercerita tetang kekangan, bukanlah bererti sekarang ini aku sudah agak tidak terbeban dengan tugasku di tempat kerja.  Bukan.  Tetapi sekarang aku cuba belajar menyusun jadual kehidupanku agar nampak lebih sempurna dan terancang.  Sudah sampai waktunya aku perlu memberi ruang dan waktu kepada minatku sendiri.  Ya..., untuk ketenangan dan kebahagiaan.

Menulis itu adalah terapi.  Dengan menulis aku mendapat ketenangan diri.  Jom terus menulis, walaupun hanya sepatah perkataan sehari.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...