Rabu, 27 Januari 2021

SEKEPING POSKAD DARI SCOTLAND

 27 Januari 2021 (Rabu)

Hampir dua hari tidak dapat menulis catatan seperti azam yang telah ditanam.  Banyak sungguh kekangan dalam sehari dua ini.  Paling mencabar apabila ada bengkel dan kursus online selama tiga hari berturut-turut.  Terasa sangat sukar mengikuti kursus dalam talian apabila terpaksa berperang dengan kesesakan talian internet.

Sepanjang berbengkel dari 25, 26 dan 27 Januari 2021, banyak perkara yang dipelajari dan diajari.  Belajari tentang kesabaran pastinya yang paling utama.  Kadang-kadang timbul rasa stress bila tiba-tiba terkeluar dari landasan ketika sedang elok mengikuti kursus.  Beberapa kali mencuba untuk masuk sayangnya pintu tidak juga dibuka.

Teringat dulu zaman belajar, seorang pensyarah sangat pantang apabila ada student yang masuk lewat ketika beliau sedang mengajar.  Kerapnya waktu kecemasan yang diberi adalah 5 minit.  Selebih jika seseorang pelajar tidak masuk juga maka belajarlah dia di luar kelas kerana semua pintu masuk sudah ditutup.

Pada awalnya memang terasa malu dan marah.  Tapi sebenarnya itulah salah satu proses mendisiplin diri agar lebih patuh pada jadual.  Adat belajar, murid perlu menunggu guru bukan guru yang menunggu murid!

Kelmarin, ketika kalutnya berhadapan dengan kekangan internet hati sedikit terubat apabila mendapat poskad dari jauh.  Teringat dulu zaman kanak-kanak, poskad adalah antara cenderamata yang akan diberi sekiranya kita pergi ke mana-mana.  Dan poskad itulah yang akan dikirim kepada rakan-rakan lain sebagai bukti kita telah sampai ke sesuatu destinasi.


Menerima poskad dalam suasana pandemik ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.  Walaupun sebenarnya berhubung secara maya itu kerap dilakukan namun, aura poskad terasa ada kelainan.  Biasalah bila kita berjauhan dengan anak-anak, tahap kerinduan itu pasti terubat apabila menerima sesuatu.

Sesiapa sahaja yang berminat menyimpan koleksi poskad, pasti tertarik dengan  illustrasi Universiti Edinburgh pada poskad ini.  Cantik dan keterujaan untuk menjejak  kaki ke sana amat terasa.  Apa pun didoakan semoga Farah akan dapat menghabiskan pengajiannya yang berbaki lebih kurang 1 tahun setengah lagi.  Doakan semoga segala urusan Farah akan dipermudahkan dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...