Isnin, 29 Januari 2024

PERJALANAN PANJANG DALAM SEBUAH IKATAN

 28/1/1990 - 28/1/2024

Suatu perjalanan yang cukup panjang.  Andai diukur dari utara ke selatan, rasanya sudah lebih sepuluh kali hilir-mudik.  Namun, perjalanan itu tentunya melalui pelbagai onak-liku dengan perhentian di beberapa kawasan R&R untuk berehat atau sesekali menarik nafas.  


Banyak yang telah kami lalui dan alami sepanjang tempoh itu.  Dari usia remaja hinggalah kini masuk ke alam warga.  Masing-masing belajar mengenali dan memahami diri, tabiat dan personaliti.  Bukan mudah untuk duduk serumah, sebilik malah sekatil bersama-sama orang yang begitu asing. Berkongsi segala pahit-manis malah kedukaan dan ketakutan.  


Dialah suami yang menjadi tulang belakang kehidupanku.  Yang sentiasa ada ketika susah dan senang.  Yang sentiasa menyediakan bahunya untuk aku berkongsi cerita.  Malah sentiasa berusaha menenang dan menyenangkan.  Mungkin, dia tidak mampu memberi kemewahan namun dia sentiasa bersedia memberi perlindungan.  

Banyak impian dan harapan yang kami bina.  Meskipun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran namun kami berusaha memilikinya dengan pelbagai usaha.  Bersyukur kerana sepanjang tempoh 34 tahun itu, Allah kurniakan kami empat orang cahaya mata yang menjadi pelengkap sebuah keluarga dan cinta.  

Padaku, Dia seorang suami yang terlalu banyak berkorban.  Malah kadang-kala melupakan semua kepentingan dirinya semata-mata untuk kebahagiaan aku dan anak-anaknya.  Sesekali apabila menoleh semula ke belakang, rasanya begitu banyak yang aku tidak syukuri dengan apa yang dilakukannya untuk kami.  Mungkin sesekali aku dilihat sebagai kurang menghargai.  Pun sebenarnya  jauh di sudut hati aku sentiasa mengkagumi setiap apa yang dia korbankan untuk kami.


Peredaran masa dan pertambahan usia, aku melihat dia malah aku sendiri tidak lagi sekuat dahulu.  Masing-masing ada ketika membuat haluan sendiri di rumah.  Ada ketika, seorang duduk di anjung manakala seorang lagi terperap di dapur.  Interaksi dan komunikasi menjadi semakin kurang.  Bukan disebabkan pertelingkahan tetapi mendapatkan ketenangan dan kedamaian dengan cara tersendiri.

Dulu aku pernah berangan-angan sebaik berpencen dan anak-anak sudah berada di luar rumah, kami akan sama-sama berjalan-jalan untuk merehatkan minda.  Barangkali ke rumah anak-anak untuk bercuti atau duduk berdua sambil menikmati kopi di mana-mana.   Ya..., sepanjang tempoh 34 tahun itu, kami jarang bercuti berdua.  Malah mungkin tidak pernah sekali pun bercuti tanpa kehadiran anak-anak di sisi!

Apa pun suamiku, engkau telah menjadi imam terbaik untukku selama ini.  Sering memberi aku harapan dan selalu memberi dorongan.  Barangkali aku tidak akan berada di tahap ini tanpa pengorbanan yang telah engkau lakukan.  Terlalu banyak sehingga tidak mampu untuk kuhitung satu-satu.  Rasanya tidak mungkin juga untuk aku senaraikan segala yang telah kau lakukan untuk aku dan keluarga kita sepanjang tempoh itu.

Sempena hari ini, 28 Januari 2024 - selama 34 tahun menjadi pelindungku, terima kasih untuk setiap jerih-payah dan pengorbananmu.  Semoga Allah sentiasa melindungimu, suamiku Mohammad Sobri bin Daud.  Teruslah menjadi suami yang baik untuk aku, abah yang sentiasa memahami untuk anak-anak dan menantu, juga Tok Wan yang penyayang untuk cucu-cucu kita.  Aku sentiasa menghargaimu.  

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Ke-34.

#Kembaliberduamelayarisebuahkehidupan.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...