Mei kini datang lagi. Setiap
tahun, Mei datang dan kemudian pergi. Bulan
dengan pelbagai perayaan. Untuk Hari
Ibunya, Hari Jururawat dan juga Hari Guru.
Kedatangan Mei saban tahun sejak lebih 12 tahun lepas, kerapkalinya mengundang
rasa rindu dan sayu. Tambahan bila
ketiga-tiga perayaan itu disambut.
Namun, kali ini sayunya berganda.
Kerana Mei datang bersama Ramadan Kareem.
Hanya seorang insan yang kerap menyinggah bila Mei itu tiba. Emak.
Bagiku dialah ibu, guru dan jururawat terbaik dan terhebat. Jasanya tidak dapat dibalas walau seribu
tahun datang dan pergi.
Emak guru pertama yang mengajar aku tentang dunia. Cuma bezanya dia tidak pandai menggunakan pen
dan kertas, kapur dan papan kapur.
Namun, apa juga tentang kehidupan, kekeluargaan, persahabatan,
kesabaran, keagamaan bermula dari lidah dan tangannya yang saban waktu sentiasa
bersedia memberi tunjuk ajar. Emak – cintanya
pada ikatan dan ukhwah sering meletakkan semua itu ditangga teratas. Aku kerap diajar untuk beralah dalam banyak
situasi. Memberi ruang untuk yang lebih
tua. Menghulur untuk yang memerlukan
terutama saudara sendiri. Bersyukur dengan
apa yang kita ada. Merendah diri dengan
sesiapa sahaja. Tidak lokek. Tidak pula menunjuk-nunjuk apa yang kita ada.
Teringat beberapa tahun sebelum emak jatuh sakit dan akhirnya
meninggalkan kami 6 beradik pada tahun 2006.
Emak sibuk bercerita tentang kesungguhan dia dan Pak untuk membeli
sebidang tanah kebun. Untuk anak-anak. Agih sama banyak biar masing-masing ada nama, katanya.
Usaha itu entah kenapa aku tidak setuju.
Cukuplah dengan apa yang ada.
Tidak perlu bersusah payah. Biar anak-anak
cari sendiri. Namun kini, setelah
bertahun emak dan Pak tiada, baru aku tahu kenapa. Ilmu tersirat yang anak-anak tidak pernah
terfikir kesannya. “Bila masing-masing ada bahagian dan hak –
anak-anak pasti akan pulang ke kampong walau apa juga yang terjadi. Rumah pusaka akan dijenguk dan kubur mereka
akan terus dilawati”. Maaf emak, kerana
terlambat memahaminya.
Cerita tentang emak sebagai guru hebat terlalu banyak. Dulu masa anak-anak masih kecil dan gaji aku
dan suami agak kecil serta tanggungan besar, aku kerap bersunggut apabila
berdua-duaan dengan emak.
“Gaji Jah tak berkat Mak.”
“Hish… pasal apa kata macam tu”
“Simpanan tak ada. Tiap-tiap
bulan duit habis macam tu saja”.
“Salah tu Jah ooii…. Berkat ni macam-macam. Tu yang kamu beli susu Adi dengan Farhana tu,
berkat la. Bagi kat Mak dengan Pak
lagi. Bayar duit orang jaga budak-budak
tu. Semua tu berkat”.
“Ada kamu dengan Sobri berkelahi? Anak-anak kamu pun sihat. Haaa, berkatlah tu.”
Emak…, terima kasih atas ilmu dan tunjuk ajar. Tempat untuk aku berkongsi cerita suka dan
duka. Tempat untuk aku luahkan
rasa. Namun, bila emak pergi – patah sayapku
untuk terbang lebih tinggi.
Dulu ketika kecil, aku adalah anak emak yang sering alergik
bila tersilap makan. Kerapnya ketika
makan daging. Seluruh badanku akan gatal-gatal
dan dipenuhi kelopak garam. Emaklah
jururawat yang akan merawat ‘alergik’ itu sehingga hilang. Dengan air kelapa (nyior), dengan bedak sejuk
dan emak juga akan memastikan aku tidak bergaru sepanjang malam. Hebatnya emak walaupun tidak tahu membaca
dan menulis.
Selain alergik, aku
kerap juga ditumbuhi ‘bisul’ (tapi dulu-dulu emak tak sebut bisul. Cuma aku
lupa nama penyakit itu apa).
Kadang-kadang bisul ini tumbuh di merata tempat – ketiak, kepala,
belakang telinga. Sakitnya Tuhan sahaja
yang tahu. Tambahan ketika malam. Tapi emak ada cara dan kaedah (Ilmu yang
dipelajari entah dari mana) untuk mengatasi masalah dan penyakit aku. Kulit pokok mempelam yang diasah dicampur
dengan sagu rumbia. Kemudian disapu di
sekeliling bisul tersebut. Dan akhirnya
bisul itu akan pecah dengan darah dan nanah esoknya!! Hebatnya emak sebagai jururawatku meskipun
emak tidak pernah mengikuti sebarang kursus perubatan baik moden atau
tradisional!!
Emak, jika boleh aku ingin bercerita tentang emak panjang dan berjela. Tentang ilmu pengurusan emak. Tentang cita-cita dan harapan emak. Tentang wawasan emak. Tentang emak dan puasa. Tentang kehebatan emak memasak dan
berseni. Biar seluruh dunia dan alam tahu tentang hebatnya emak di mata kami.
Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia. Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi. Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN. Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.
Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia. Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi. Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN. Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan