Ahad, 24 Mei 2026

MENGENALI SUSUR-GALUR KETURUNAN KULOB KUMBANG

Bukan kali pertama Mak Ngah Lin menyuarakan hasratnya untuk aku membantu mencari dan menyusun semula susur-galur keturunan Kulob Kumbang.  Berkali-kali namun,  aku masih tidak ambil peduli.  Kenduri Omai dan Jai 27 Dis. 2025, sekali lagi Mak Ngah termasuk adiknya Mak Cik Ani memujuk aku mengumpul maklumat berkaitan.  Seperti biasa, aku ambil pendekatan diam dan senyap.  Malas sebenarnya nak serabutkan otak berfikir dan buat semua itu.

"Kamu kan suka sejarah Jah?" Mak Ngah memancing aku dalam perbualan kami.

"Hish..., mana ada.  Sejarah tak pernah lulus dulu."  Cepat aku membalas dengan ketawa berderai.  Memang dulu aku selalu 'kalah' dengan subjek Sejarah.  

Bergambar Dengan Mak Nagh Ketika Majlis Perkahwinan Izhan di Kuala Kangsar


Namun, awal April 2026, ketika masih dalam suasana berhari raya, aku dihubungi melalui wasap oleh anak saudaraku, Izhan.  Keterujaannya untuk mengetahui susur-galur keturunan Tok Nyang Kulob Kumbang membuat aku berfikir sejenak.  Ya... delegasi yang ditinggalkan datuk-nenek, mengapa tidak kita ketengahkan untuk tatapan anak-cucu yang akan datang.  Kebetulan, Izhan (anak adik aku - Bistamam)  begitu berminat dan nampak kesungguhannya untuk mengenali asal keturunan berbanding anak-anak yang lain.

Lama berfikir, aku akhirnya menyatakan persetujuan untuk menyediakan deraf awal selain meletakkan beberapa nama yang boleh dihubungi bagi mendapat maklumat berkaitan keturuan Kulob Kumbang.  Pada asasnya kerja ini bukanlah kerja  mudah.  Aku tahu, tidak semua anak-cucu akan memberi bekerja sama dalam usaha pengumpulan maklumat tersebut.  Aku yakin akan ada yang beranggapan perkara itu tidak penting.  Tambahan, tidak ada sebarang keuntungan dari segi fizikal atau material jika susur-galur keturunan ini berjaya disiapkan.  Cuma impaknya mungkin pada sejarah keluarga - mengenali dan mengetahui dari mana asal-usul dan keturunan kita.

Untuk tidak mengecewakan semua yang menaruh harapan, maka bermulalah usaha  aku, Izhan dan Faridah (anak Mak Ngah Lin)  mencari dan menghubungi saudara-mara yang ada pertalian darah dengan Kulob Kumbang terutama dari generasi ketiga, keempat dan kelima.  

Untuk rekod aku dan Faridah merupakan generasi ke-empat manakala Izhan generasi ke-lima.  Sebenarnya, mengikut penelitian keturunan Kulob Kumbang sudah sampai ke generasi ke-6 dan ke-7 atau mungkin juga sudah memasuki generasi ke-8.  Bayangkan, bagaimana keturunan Kulob Kumbang telah berkembang dari satu generasi ke satu generasi tanpa kami sedari.  Sedihnya apabila mengingatkan bahawa aliran darah dari keturunan yang sama itu, ada yang tidak  kami kenali dan tidak pernah berjumpa seumur hidup!

Aku tidak mahu bercerita tentang kesukaran mengumpul dan mendapatkan maklumat dari para waris yang ditinggalkan.  Aku cuma mahu berkongsi dapatan dari apa yang telah kami temui sepanjang lebih dua bulan menghubungi, bermesej, berwasap dan mengejar saudara-mara yang sebelum ini tidak kami kenali langsung.   Mengikut catatan, Kulob Kumbang mempunyai lima (5) orang anak iaitu Haji Ali, Haji Abdullah, Karim, Ngah Ensah dan Alang Fatimah.  Cuma kami tidak tahu meletakan siapa yang lahir terlebih dahulu dan terkemudian dalam kelima-lima orang tersebut.  Insya-Allah, kedudukan ini akan dikemaskini setelah disahkan oleh Mak Ngah dan Cik Ani dalam masa terdekat.

Berikut aku turunkan apa yang kami perolehi sebagai rujukan anak-cucu akan datang.

Haji Ali bin Kulob Kumbang

Aku tidak tahu Haji Ali anak ke berapa dalam keluarga Kulob Kumbang.  Tetapi mengikut firasatku, dari usia anak-cucu, cicit dan piut yang ada, aku yakin Haji Ali adalah anak sulung Kulob Kumbang.  

Wan Chu / Cik Nori Berhariraya Di Rumah Mak Cik Ani

Berikut adalah maklumat yang telah berjaya dikumpul berkaitan keturunan sebelah Haji Ali;

  • Mempunyai 7 orang anak hasil  dari dua perkahwinan.  
  • Isteri pertama meninggal dunia sebelum berkahwin untuk kali kedua.  
  • Memiliki 4 orang anak perempuan (Rafeah, Hamidah, Fatimah dan Noriah) serta 3 orang anak lelaki (Osman, Tarmizi dan Alias)
  • Semasa hayat, Haji Ali menetap dan berkeluarga di Kg. Berala, Kati, Kuala Kangsar, Perak.
  • Beliau sangat mencintai agama sehingga membina sebuah surau dalam kawasan kediaman beliau 
  • Untuk rekod, sehingga kini Surau Aliah masih diguna pakai oleh penduduk-penduduk Kg. Berala dan surau ini turut dikenali dengan  Surau Kayu bagi penduduk asal.
  • Sesuai dengan perubahan masa, keturunan Haji Ali bin Kulob Kumbang  telah berhijrah selepas berjaya dalam kerjaya masing-masing.
  • Hanya 2 orang generasi ketiga dari keluarga ini yang masih hidup iaitu Tarmizi dan Noriah.
  • Kulob Kumbang memiliki berbelas orang cucu, cicit dan piut dari keturunan Haji Ali dan maklumat berkaitan keturunan ini akan terus dikemaskini sebaik  mendapat maklumbalas dari keluarga yang masih ada.

Haji Abdullah  bin Kulob Kumbang

Seperti anak-anak yang lain, aku juga tidak pasti, Haji Abdullah merupakan anak ke berapa dalam keluarga Kulob Kumbang.  Namun berdasarkan info dan panggilan Tok Anjang Dolah, aku yakin beliau merupakan anak ke-4 daripada 5 beradik.  Berikut merupakan sedikit info yang kami perolehi berkaitan Tok Anjang Dolah.

  • Dilahirkan pada 1914.
  • mesra dipanggil Pak Anjang Dolah atau Tok Anjang Dolah atau Tok Dolah oleh anak dan cucu saudara Kulup Kumbang 
  • Beliau mempunyai 3 anak perempuan dan 3 anak lelaki. Namun 3 anak lelaki telah meninggal sejak dari kecil.
  • Berikut adalah maklumat berkaitan anak-anak Haji abdullah

  1. Anak Sulong: Noor Hayati (Yati)  1951 - panggilan anak buah KK Mak Long Yati
  2. Anak Kedua: Noor Len (Lin) 1953 - panggilan anak buah KK Mak Ngah Lin
  3. Anak Ketiga: Yahya 1954 - meninggal semasa kecil
  4. Anak Keempat & Kelima: Anuar & Kamarudin 1955 - kembar, meninggal semasa kecil
  5. Anak Keenam: Noor Aini (Ani) 1956 - panggilan anak buah KK  Cik Ani

 

Anak Cucu Aminah Berhari raya di Rumah Mak Cik Ani

  • Pekerjaan pertama adalah sebagai Guru di Grik. Pekerjaan terakhir pula adalah sebagai peniaga laksa di Kuala Kangsar
  • Beliau tidak berkesempatan menunaikan haji semasa hayatnya. 
  • Beliau pernah tinggal di istana Jalan Douglas. 
  • Dikhabarkan beliau pernah di tawar oleh Sultan  menjadi pemain nobat namun ditolak
  • Meninggal dunia pada Jun 1956 pada usia 42 tahun. Meniggalkan tiga orang anak perempuan berusia 3 bulan  hingga 5 tahun.
Karim bin Kulob Kumbang

Kemungkinan besar, Karim merupakan anak bongsu dari 5 beradik.  Berdasarkan cerita-cerita yang pernah aku dengar dari arwah emakku Aminah, Karim merupakan bapa saudara emak yang dimanjakan dan sering diberi perhatian lebih dalam kalangan adik-beradiknya yang lain.  Mungkin ini disebabkan kedudukannya sebagai adik dan anak bongsu dalam keluarga.

Karim telah berkahwin dengan Pan Saodah, seorang janda beranak satu ketika usia agak lanjut.  Selepas berkahwin dengan Pan Saodah, Karim telah menetap di Kg. Pelagut, Kuak, Lenggong, Perak.   Aku kurang pasti sama ada perkahwinan ini merupakan perkahwinan pertama atau perkahwinan kedua bagi Karim.   Namun, apa yang aku tahu melalui perkahwinan ini, Karim telah dikurniakan tiga orang anak, 2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan iaitu Hamdan, Ahmad Daus dan Rohana.  Berdasarkan rekod, Hamdan, Ahmad Daus dan Rohana meruapakan generasi ke-3 keturunan Kulob Kumbang seperti mana kedudukan Mak Ngah Lin dan Mak Cik Ani (anak Haji Abdullah) serta Pak Tarmizi dan Cik Noriah (anak Haji Ali).

Karim dijemput menemui penciptanya pada tahun 90-an di Hospital Taiping dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taiping,  akibat sakit tua.

Ngah Ensun binti Kulob Kumbang

Aku tidak mendapat banyak maklumat tentang Ngah Ensun.  Cuma pada pandanganku, Ngah Ensun kemungkinan besar anak ke-2 daripada 5 beradik.  Ini kerana menurut pengamatan sejarah perkataan Ngah @ Nyah kerap digunakan untuk anak kedua bagai orang Perak.  Insya-Allah sebaik sahaja mendapat maklumat jelas dari waris terdekat aku akan kemaskini maklumat berkaitan.

Ahmad Supian (Abang Ta) anak Raja Zabidah

Menurut apa yang diceritakan, Ngah Ensun telah berkahwin Raja Ismail dan pasangan ini telah dikurniakan seorang anak Raja Zabidah (Raja Midah).  Raja Midah telah berkahwin dengan Yusof.      Raja Midah selepas berkahwin telah menetap di Kampong Padang Lalang iaitu sebuah kampung bersebelahan dengan Kg. Berala dalam kawasan Kati daerah Kuala Kangsar.  Raja Midah dan Yusof telah dikurniakan 3 orang anak; 2 lelaki dan seorang perempuan iaitu Ahmad Sufian, Kak Mah dan Fazdhil (2 nama ini juga akan dikemaskini setelah mendapat maklumat lengkap daripada Ahmad Supian kelak).

Kedua-dua pasangan ini telah meninggal dunia di mana Raja Midah mendahului suaminya Yusof dalam tempoh yang agak lama. Aku kurang ingat tarikh kematian Raja Midah (kami panggil Wan Dah) tetapi, memori bersama-samanya tetap segar dalam ingatan aku sepanjang zaman.  Sejak kecil aku sering singgah di rumah Wan Dah ketika dalam perjalanan ke kebun emak dan pak di bukit.  Malah sayur-sayuran yang mak dan pak tanam di kebun akan aku hantar di kedai Wan Dah dan Pak Usof hampir setiap pagi atau petang apabila cuti sekolah.  Kadang-kadang, apabila balik dari sekolah (berjalan kaki), aku akan singgah minum ais kacang atau ais kepal yang dibuat mereka khas untuk aku.  Wan Dah adalah orang pertama yang begitu teruja dan menghulurkan duit ketika aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru suatu ketika dahulu.  Allahu..., aku rindu!!

Alang Fatimah binti Kulob Kumbang

Inilah Opah aku, emak kepada ibuku Aminah.  Opah yang tidak pernah aku kenali sejak kecil.  Malah kami 8 beradik tidak pernah berjumpa dia meski pun arwah kabangku Yusof.  Opah kami Alang Fatimah meninggal sebelum ibuku Aminah berkahwin dengan bapaku Mahmud.  Sejak kematian Opah, ibuku Aminah mengambil tanggungjawab menjaga dan memelihara adiknya Rubiah.  Hingga sesetengah orang berkata, Chu Ah (Rubiah) itu umpama anak sulung emak kerana perhatian dan kasih emak terhadapnya melebihi kasih seorang kakak.

Alang Fatimah telah berkahwin dengan Kulob Abdul Rahman dan dikurniakan 3 orang anak; seorang lelaki dan 2 orang perempuan.  Selain Aminah dan Rubiah, anak sulung Alang Fatimah adalah Abdul Rani.  

Abdul Rani mempunyai 3 orang anak dari perkahwinan pertama dan 7 orang anak melalui perkahwinan kedua.  Selepas kematian isteri pertama, Abdul Rani telah berkahwin dengan adik isterinya (ganti tikar) dan perkahwinan tersebut kekal sehingga Abdul Rani meninggal dunia.  Daripada 10 orang anak tersebut, Abudl Rani memilik seramai 33 orang cucu.  

Aminah dan Mahmud dikuriakan 8 orang anak - 4 lelaki dan 4 orang perempuan.  Aminah telah pergi meninggalkan kami semua pada tahun 2006 dan diikuti Mahmud pada tahun 2008.  Empat (4) daripada anak Aminah telah mengikut jejak kedua-dua mereka - Yusof meninggal pada tahun 1996, Latifah (2007), Alimatun Saadiah (2020) dan Mohidin (2023).  Hanya tinggal empat (4) orang anak Aminah yang masih hidup iaitu Nasitah, Halijah, Abdul Rahman dan Ahmad Bistaman.  Untuk rekod, Aminah mempunyai 29 orang cucu di mana 2 daripadanya telah kembali kepada pencipta iaitu anak sulung Alimatun Sadiah (Meninggal semasa dilahirkan) dan Nor Suriyati binti Mohidin (8 bulan mendahului ayahandanya Mohidin).  Jika masih hidup, Aminah pasti berbangga memiliki 29 orang cicit dari perkahwinan cucu-cucunya.


Sebahagian Anak Cucu dan Cicit Aminah dan Mahmud

Rubiah merupakan anak bongsu Alang Fatimah memiliki 7 orang anak hasil perkahwinannya dengan Mohd Halidi.  Seorang lelaki anaknya Zulkarnain, telah meninggal dunia di usia muda.  Melalui perkahwinan 3 orang anaknya iaitu Nazri, Zulkefli dan Maimon, Rubiah dikurniakan 12 orang cucu.  Rubiah telah dijemput mengikuti kakaknya Aminah dan abangnya Abdul Rani kembali kepada penciptanya pada tahun 2000 (rekod ini akan diperbetulkan).

Penutup

Rencana ini bukan dokumen lengkap salasilah keturunan Kulob Kumbang.  Ini merupakan maklumat awal melalui dapatan sama ada perbualan, penceritaan dan perkongsian dari waris terdahulu dan yang masih ada sehingga sekarang.  Aku sangat berharap agar maklumat ini dapat kami dokumenkan menjadi bahan sejarah penting kepada anak-cucu-cicit  serta  generasi akan datang.  Jika pada peringkat awal aku beranggapan pengumpulan maklumat ini tidak membawa apa-apa erti, tidak berkepentingan malah mungkin agak melecehkan namun, kini aku akui bahawa kerja kecil  sepanjang 2 bulan membuahkan hasil yang tidak sedikit.  

Selama ini aku hanya mengetahui mak aku Aminah mempunyai seorang abang dan seorang adik. Selain tahu siapa itu Wan Dah, siapa anak-anak Tok Haji Ali dari isteri keduanya Pan Tijah, anak-anak Toki Karim (Hamdan, Daus dan Rohana) malah rapat dengan Mak Ngah Lin. Mak Cik Ani serta arwah Mak Long Yati.  Tetapi selepas pengumpulan maklumat ini aku tahu aku mempunyai juraian keturunan dan keluarga yang begitu ramai terlalu ramai.  Allah..., andai keluarga besar Kulob Kumbang ini disatukan pasti tidak ada perkataan yang mampu untuk kami ucapkan.  

Sebagai anak dan cucu, aku serahkan kepada ibu-ibu dan bapa-bapa saudara, sepupu-sepapat untuk mengatur strategi pertemuan keluarga besar Arwah Kulob Kumbang.  Jadikanlah ia sebuah realiti - mungkin pertemuan ringkas untuk menghadiahkan al-Fatihah buat mereka yang telah berkongsi darahnya dengan kita!  

Jom kita mulakan.  



MENGENALI SUSUR-GALUR KETURUNAN KULOB KUMBANG

Bukan kali pertama Mak Ngah Lin menyuarakan hasratnya untuk aku membantu mencari dan menyusun semula susur-galur keturunan Kulob Kumbang.  B...