Khamis, 28 November 2019

EPISOD 2 - CERITA RAMADAN 1440H


Saat berulang-alik ke hospital hampir setiap hari pagi dan petang, ada ketikanya tidak terasa melelahkan.  Cuma kerisauan sering melanda menanti kepulangan kedua-dua anakanda dari jauh.  Risau dengan kondisi Kak Bibah.  Yang kerapnya tidak membuka mata.  Namun, 2 hari Sebelum 17 Mei apabila Azril masuk dan membisikkan ke telinganya bahawa Fatin dan Farah akan sampai malam Jumaat 17 Mei 2019; ada sedikit tindakbalas yang dapat kami lihat.  Esoknya Kak Bibah dipindahkan ke wad biasa.  Semua orang menarik nafas lega.  Syukur kerana ada perubahan positif yang ditunjukkan.

Alhamdulillah, Fatin dan Farah sampai juga ke rumah malam tanggal 17 Mei 2019 pukul 10 selepas merentasi benua dan lautan lebih 18 jam.  Nampak keletihan pada wajah keduanya.  Namun, pagi-pagi lagi selepas bersahur dan tidur seketika, kami sudah sampai di pintu wad.  Untuk melawat ketika bukan waktunya bukanlah sesuatu yang mudah.  Perbincangan dengan 'guard' akhirnya membolehkan kedua-dua mereka masuk silih berganti.
September 2018 di KLIA
 Sesungguhnya berpuasa dan berhari raya tahun 2019 terasa tiada serinya.  Kebanyakan masa dan hari kami adalah di hospital.  Kak Bibah hanya bertahan selama 3 malam di wad biasa - Allah seperti memberi ruang untuk dia bertemu dan berbual dengan anak yang dijaganya sejak berusia 40 hari.  Selepas itu, dia dimasukkan semula ke wad kecemasan.  Dipantau dan dijaga doktor dan nurse sepanjang masa.  Keadaan Kak Bibah semakin memburuk.  Banyak organ dalamannya yang rosak.  Doktor memberi pelbagai pandangan sebagai ikhtiar untuk membantu memulihkan kesihatannya.  Semua orang - Abang Zan, serta anak-anak ternyata tidak kuat untuk menerima satu demi satu perkhabaran yang dibawa doktor.  Sebenarnya pada aku, Kak Bibah dan keluarganya telah aku anggap seperti keluarga sendiri meskipun dia hanya mengasuh dan menjaga anakku sejak kecil.

Di KLIA Ketika Menghantar Fatin Kembali Ke Jordan
Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati.  Betapa kita sayangkan seseorang pun kita tidak akan mampu mengubah apa yang telah ditetapkan Allah buat hamba-hambaNya.  9 Jun 2019 keadaan Kak Bibah semakin kritikal.  Semua kami diminta bersedia untuk menerima takdirNya.  Doktor sudah memberhentikan pemberian ubat sepenuhnya memandangkan tiada ubat yang sesuai dan boleh diterima oleh badan Kak Bibah lagi.  Sesungguhnya, kami telah belajar menerima ketentuanNya - dariNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan kembali.

Maka berakhirlah perjalanan Aqibah binti Shafie pada pagi 10 Jun 2019 di hadapan anak-anak dan suaminya di Hospital Sultanah Bahiyah.  Maka tinggallah kami meneruskan perjalanan yang tidak pasti bila pula akan ternoktah.  Semoga Allah tempatkan Kak Bibah dalam kalangan orang-orang yang solehah.  Al-Fatihah untukmu - insan yang banyak membantu menjaga dan memelihara anak-anakku.

Sabtu, 18 Mei 2019

EPISOD 1 – CERITA RAMADAN 1440H


Kehidupan di dunia  ini adalah satu perjalanan.  Perjalanan yang mempunyai pelbagai fasa persinggahan. Persinggahan akhirnya nanti adalah di perhentian akhirat.  Dalam perjalanan jauh dan panjang itu sudah pasti ada likunya.  Kadang-kala selekohnya tajam dan curam.  Ada ketika yang lain, jalannya licin.  Atau mungkin ada juga berlaku ‘trafic jam’ yang sendat dan padat.  Walau apa pun yang kita tempuhi dan lalui di sepanjang perjalanan itu, kita perlu sabar dan  redha.  Sentiasa berlapang dada dengan setiap ujian yang dihantar Allah.  Ya… ujian.  Sekaligus satu peringatan agar sentiasa pula duduk memuhasabah diri.

Kerapnya kedatangan Ramadan mengundang kerinduan.  Rindu pada setiap kenangan yang berakar umbi dalam diri semenjak usia kecil.  Namun kali ini Ramadan datang membawa beberapa cerita dan berita.  Cerita dan berita yang berpahat kemas dalam diri.  Hingga sesekali menjadikan aku kemurungan dalam jangka masa yang agak panjang.  Terkesima. Keliru dan sesekali celaru!!

Malam kedua Ramadan aku mendapat panggilan.  Kakak sulungku sakit dan dimasukkan ke Hospital Taiping bagi mendapat rawatan jantung.  Ini bukanlah kali pertama.  Sudah beberapa kali.  Hospital sudah seperti rumah kedua.  Keluar masuk hospital dalam jangkamasa 3@4 hari itu sudah agak sinonim dengannya. Demikianlah kehidupan kita apabila semakin bertambah usia.  Penyakit ternyata makin sayang dan kita tiada kudrat untuk melawan.  Bila muhasabah semula diri, penyakit ini adalah ruang untuk kita saling mendekatkan diri dengan Tuhan.  Malah mungkin juga membina semula hubungan yang semakin terrenggang.

Ya… terenggang!  Pelbagai punca kerenggangan hubungan berlaku antara mannusia.  Mungkin disebabkan kesilapan komunikasi atau rasa ego barangkali.  Atau jarak untuk saling mengunjungi dan kadang-kala sebab kesihatan juga.  Namun apabila sakit dan demam,  darah kekeluargaan, kerinduan dan keinginan mengunjungi pasti ada.  Kita tidak boleh meletakkan ketidak upayaan kita berada dalam sesuatu situasi untuk memahamkan orang lain.  Namun setiap orang, contohnya aku pasti punya alas an tersendiri tidak mengunjungi kakakku walaupun terasa perlu berada dan menziarahi.  Kekangan Ramadan,  jarak dan kondisi suami yang tidak boleh memandu  jauh menyebabkan pergerakan aku agak terbatas berbanding dahulu.  Pun begitu, tidak pula aku lupa untuk titipkan doa.  Semoga Allah permudahkan urusan kesihatan dan segera menyembuhkan. 

Allah memberi ingatan dalam pelbagai bentuk dan cara.  Malah Allah turut mengajar kita dalam pelbagai suasana.  Baik tika kita seronok mahu pun ketika berduka.  Ramadan ke-4  tika kalut dengan urusan di sekolah, sekali lagi dikejutkan dengan panggilan talifon.  Namun, kali ini dari suamiku.  Kak Bibah (insan yang sedari kecil kutitipkan anak-anak hingga besar) dimasukkan ke hospital.  Pada perkiraanku sakit biasa.  Ya,,apalah sangat jika hanya demam disebabkan bisul.  Pada perkiraanku, mana mungkin boleh memudaratkan atau membawa kesan kepada yang lain.  Ramai sahaja orang yang terkena bisul.  Akhirnya  bisul itu pecah dan demam juga akan hilang.

Aku bergegas  mengunjungi Kak Bibah di Zon Merah Wad Kecemasan HSB sebaik habis persekolahan Khamis itu.  Sungguh aku terkedu.  Bisul biasa tapi kesannya.  Allah…, tiada suatu pun yang mustahil bila Allah katakan, “Kun Fa Ya Kun” – Jadilah, maka akan jadilah.  Kak Bibah terlantar dengan pelbagai alat bantuan dan wayar dipasang berselerakkan.  Beliau ditidurkan dan hanya menunggu bantuan apa yang akan diberi oleh para petugas hospital.  Komunikasi dengannya tidak lagi boleh berlaku.  Hanya dapat menatap wajah dan sekali lagi hanya doa. Ya.., hanya doa.

Episod perjalanan yang agak sukar  bermula dalam kehidupan kami.  Kali ini persinggahan kami adalah di HSB.  Banyak persinggahan lain terpaksa kami lupakan.  Termasuk hasrat mengunjungi Nyah di Kuala Kangsar hujung minggu itu.  Maka hari-hari tanpa selang - kadang tengahari, kadang petang, kadang siang dan ada ketikanya berlarutan hingga ke malam, kami pasti berada di HSB. Menunggu perkhabaran dari para petugas yang bertungkus-lumus memberi bantuan dan pertolongan.  Ada masanya apabila nama dipanggil kami menjadi takut dan trauma.  Saat-saat kritikal itu rasanya setuiap diantara kami saling memerlukan.  Sebenarnya menanti dan menunggu di wad kecamasan ini, banyak mengajar kami bagaimana mengawal dan mengurus emosi.  Terutama emosi hampir 36 jam Kak Bibah ditempatkan di Zon Merah sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).  Seterusnya emosi seluruh keluarga Kak Bibah sebaik operation membuang dua (2) bisul berjaya dilakukan pada malam ketiga di hospital.  Sebenarnya hanya ‘mini operation’. Anggaran masa 30 minit namun,  memakan masa yang lama di wad pembedahan.  (Kak Bibah berada dalam bilik pembedahan lebih kurang 2 jam iaitu dari  pukul 12.30 malam hingga 3.00 pagi).

Sukarnya untuk bercerita pada anak-anak situasi Kak Bibah ketika itu.  Tambahan ketika yang sama adik sedang menghadapi peperiksaan untuk semester kedua.  Manakala Lang baru hari pertama subjek pertama peperiksaan tahun akhir.  Kami berbincang panjang. Mencari alternative untuk memastikan kedua-duanya yang berada jauh beribu batu untuk menghadapi situasi yang cukup kritikal sekarang.  Bercerita perlu berhemah.  Macamana pun kedua-duanya perlu diberitahu.   Cuma perlu ada sedikit kerahsiaan agar tidak menganggu emosi dan tumpuan kedua-duanya menghadapi peperiksaan.

Khamis, 17 Mei 2018

EMAK - IBU, GURU DAN JURURAWATKU



Mei kini datang lagi.  Setiap tahun, Mei datang dan kemudian pergi.  Bulan dengan pelbagai perayaan. Untuk  Hari Ibunya, Hari Jururawat dan juga Hari Guru.  Kedatangan Mei saban tahun sejak lebih 12 tahun lepas, kerapkalinya mengundang rasa rindu dan sayu.  Tambahan bila ketiga-tiga perayaan itu disambut.  Namun, kali ini sayunya berganda.  Kerana Mei datang bersama Ramadan Kareem.

Hanya seorang insan yang kerap menyinggah bila Mei itu tiba.  Emak.  Bagiku dialah ibu, guru dan jururawat terbaik dan terhebat.  Jasanya tidak dapat dibalas walau seribu tahun datang dan pergi. 

Emak guru pertama yang mengajar aku tentang dunia.  Cuma bezanya dia tidak pandai menggunakan pen dan kertas, kapur dan papan kapur.  Namun, apa juga tentang kehidupan, kekeluargaan, persahabatan, kesabaran, keagamaan bermula dari lidah dan tangannya yang saban waktu sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar.  Emak – cintanya pada ikatan dan ukhwah sering meletakkan semua itu ditangga teratas.  Aku kerap diajar untuk beralah dalam banyak situasi.  Memberi ruang untuk yang lebih tua.  Menghulur untuk yang memerlukan terutama saudara sendiri.  Bersyukur dengan apa yang kita ada.  Merendah diri dengan sesiapa sahaja.  Tidak lokek.  Tidak pula menunjuk-nunjuk apa yang kita ada.

Teringat beberapa tahun sebelum emak jatuh sakit dan akhirnya meninggalkan kami 6 beradik pada tahun 2006.  Emak sibuk bercerita tentang kesungguhan dia dan Pak untuk membeli sebidang tanah kebun.   Untuk anak-anak.  Agih sama banyak biar masing-masing ada nama, katanya. Usaha itu entah kenapa aku tidak setuju.  Cukuplah dengan apa yang ada.  Tidak perlu bersusah payah.  Biar anak-anak cari sendiri.  Namun kini, setelah bertahun emak dan Pak tiada, baru aku tahu kenapa.  Ilmu tersirat yang anak-anak tidak pernah terfikir kesannya.   “Bila masing-masing ada bahagian dan hak – anak-anak pasti akan pulang ke kampong walau apa juga yang terjadi.  Rumah pusaka akan dijenguk dan kubur mereka akan terus dilawati”.  Maaf emak, kerana terlambat memahaminya.

Cerita tentang emak sebagai guru hebat terlalu banyak.  Dulu masa anak-anak masih kecil dan gaji aku dan suami agak kecil serta tanggungan besar, aku kerap bersunggut apabila berdua-duaan dengan emak. 
“Gaji Jah tak berkat Mak.”
“Hish… pasal apa kata macam tu”
“Simpanan tak ada.  Tiap-tiap bulan duit habis macam tu saja”.
“Salah tu Jah ooii…. Berkat ni macam-macam.  Tu yang kamu beli susu Adi dengan Farhana tu, berkat la.  Bagi kat Mak dengan Pak lagi.  Bayar duit orang jaga budak-budak tu.  Semua tu berkat”.
“Ada kamu dengan Sobri berkelahi?  Anak-anak kamu pun sihat.  Haaa, berkatlah tu.”

Emak…, terima kasih atas ilmu dan tunjuk ajar.  Tempat untuk aku berkongsi cerita suka dan duka.  Tempat untuk aku luahkan rasa.  Namun, bila emak pergi – patah sayapku untuk terbang lebih tinggi.
Dulu ketika kecil, aku adalah anak emak yang sering alergik bila tersilap makan.  Kerapnya ketika makan daging.  Seluruh badanku akan gatal-gatal dan dipenuhi kelopak garam.  Emaklah jururawat yang akan merawat ‘alergik’ itu sehingga hilang.  Dengan air kelapa (nyior), dengan bedak sejuk dan emak juga akan memastikan aku tidak bergaru sepanjang malam.   Hebatnya emak walaupun tidak tahu membaca dan menulis. 

Selain alergik,  aku kerap juga ditumbuhi ‘bisul’ (tapi dulu-dulu emak tak sebut bisul. Cuma aku lupa nama penyakit itu apa).  Kadang-kadang bisul ini tumbuh di merata tempat – ketiak, kepala, belakang telinga.  Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.  Tambahan ketika malam.  Tapi emak ada cara dan kaedah (Ilmu yang dipelajari entah dari mana) untuk mengatasi masalah dan penyakit aku.  Kulit pokok mempelam yang diasah dicampur dengan sagu rumbia.  Kemudian disapu di sekeliling bisul tersebut.  Dan akhirnya bisul itu akan pecah dengan darah dan nanah esoknya!!  Hebatnya emak sebagai jururawatku meskipun emak tidak pernah mengikuti sebarang kursus perubatan baik moden atau tradisional!!

Emak, jika boleh aku ingin bercerita tentang emak panjang dan berjela.  Tentang ilmu pengurusan emak.  Tentang cita-cita dan harapan emak.  Tentang wawasan emak.  Tentang emak dan puasa.  Tentang kehebatan emak memasak dan berseni. Biar seluruh dunia dan alam tahu tentang hebatnya emak di mata kami.

Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia.  Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi.  Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN.  Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.

Jumaat, 30 Mac 2018

KETIKA USIA 51

Hari ini genap usiaku 51 tahun.  Izinkan pada kesempatan ini aku merakamkan ribuan terima kasih untuk MGK Kedah juga anak-anak yang selalu menyokongku.
Hadiah Tidak Terduga
2 hari lepas (28/3/2018), aku telah melepaskan jawatanku sebagai Su MGK Kedah. Itulah hadiah terbaik untuk aku tahun ini. Alhamdulillah, doaku dimakbulkan Allah setelah hampir 8 tahun jatuh bangun bersama para sahabat dan adik-adik yang sentiasa hebat.  Jika ditanya pada hati, sejujurnya aku sangat sayangkan MGK Kedah.  Yang nadi dan jiwaku sentiasa ada untuknya.  MGK Kedah adalah sebahagian kerja buatku yang kulakukan diluar waktu kerja.  Selalunya adalah disebelah malam dan kerapnya sehingga lewat pagi.

Barisan MGK 2016/2017
Bagi aku, inilah antara hadiah hari lahir terindah.  Kenapa aku kata begitu? Sedangkan aku MGK Kedah begitu sinonim dengan diriku??

Untuk adik-adik, yang terus memohon untuk aku 'bersama' mereka; ini adalah antara sebab-sebab utama mengapa pilihan ini perlu dibuat.

1.  Menjadi guru pada 3/1/1989.  Bermula detik itu pelbagai tugas yang diamanahkan aku lakukan.  Tinggal anak, tinggal suami semuanya adalah perkara biasa.  Aku terlibat dengan banyak aktiviti baik di sekolah mahu pun di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.  Perkara ini telah berterusan dari 1990 hinggalah ke hari ini.  Sebenarnya banyak tugas di rumah yang tidak sempat diurus dengan baik berbanding tugas-tugas luar yang tuntutannya tidak mengira masa.

2.  Bermula di SK Bukit Bintang (1) dan kemudian terjerumus dalam kancah pendidikan khas - aku terlibat membawa pelajar sehingga beberapa kali meraih Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan pada tahun 1991,1992 dan 1993.  Selain mengajar kanak-kanak buta menari yang orang kata sebagai kerja gila untuk satu persembahan peringkat negeri.

3.  Menjadi pemeriksan Soalan Kertas Bahasa Melayu dari 1993 sehingga tahun 2004 menyebabkan aku sibuk menanda kertas pada hujung tahun tanpa berpeluang bersama anak-anak dalam jangka masa yang panjang.  dan kerapnya mengabaikan makan minum keluarga apabila masa semakin suntuk.

4.  Pengubal Soalan Bahasa Melayu daerah dan negeri hingga 2005

5.  Pengacara Majlis MSSD dan MSSK dari 1994 - 2005

6.  Terlibat dengan aktiviti kaunseling daerah dan negeri termasuk Kem Waja Diri Kebangsaan dari tahun 1994

Daripada Anak2. Tq
7.  Menerajui MGK Daerah Kota Setar dari 2008 hingga 2011

8.  Menerajui MGK Negeri Kedah dari 2011 hingga 2017

Lama sungguh masa yang aku ambil untuk satu kelangsungan dalam dunia pendidikan.  Sehingga banyak kerja dan tugas sebagai isteri dan ibu telah diabaikan.  Izinkan pada sambutan kelahiran ini, aku kembali kepada keluargaku terutama suami yang sering amat ditinggalkan.  Tambahan pula, dalam usia begini serta kesihatannya yang memerlukan aku untuk dia terus ceria dalam kehidupan.

Para Sahabat MGK Kedah

Berundur tanpa memegang jawatan bukan bererti aku sudah 'bosan' dan 'mengalah' tetapi adalah satu era di mana aku akan untuk terus berlari dan mencari.  Berlari mengejar apa yang belum tercapai dalam hidup, mencari apa yang perlu untuk bekalan masa akan datang.  Apa pun, sebenarnya MGK Kedah adalah anugerah terindah yang dikirim Allah untuk aku.  Banyak yang dipelajari terutama berkaitan ilmu mengurus, mengenal manusia, bekerja dalam tekanan  tinggi dan mengawal rasa marah.  Kadang-kadang terlajak sehingga sesat jauh ke hadapan, aku terpaksa berundur kembali ke belakang mencari pangkal jalan.
Yang Sempat Bergambar
Prinsip yang sering aku pegang, adalah sentiasa memudahkan urusan orang, In Sha Allah Allah sentiasa ada pada bila-bila masa untuk memudahkan urusan kita pula.  Untuk adik-adik, jangan harap ganjaran daripada orang atas apa yang kita buat kerana ganjaran dari Allah sentiasa tersedia untuk kita andai kita ajar diri menjadi IKHLAS.  Teruskan berkhidmat kerana khidmat kalian sentiasa diperlukan demi Imej MGK Kedah.  

Sabtu, 19 Ogos 2017

BERDOA DAN BERSABAR

Kehidupan adalah putaran bagi sebuah perjalanan.  Ada ketika kita atau mungkin orang yang hampir dengan kita tiba-tiba diserang keuzuran.  Jarak waktu dan masa ada ketikanya tidak pula mengizinkan kita menziarahi saudara-mara atau pun sahabat handai yang sedang menderita sakit.  Maka ambillah kesempatan dalam seminit dua mendokan agar Allah SWT memberi kesembuhan kepada mereka, meringankan kesakitan dan menghilangkan segala kesusahan yang dihadapi termasuk kepada sanak-saudara terdekat atau rakan taulan mereka.  Sesungguhnya doa itu adalah senjata yang paling berkesan. 


Janganlah pula kita berhenti berdoa untuk kebaikan setiap individu yang kita kenal dan sayang.  Alangkah baiknya jika doa itu tidak pula diketahui mereka.  Kerana sesungguhnya doa yang ikhlas In Sha Allah akan mudah dimakbulkanNya lantaran kita tidak pernah mengharapkan balasan apa-apa.


Bagi sesiapa sahaja, yang ketika ini diuji Allah dengan pelbagai bentuk ujian, baik dari segi kesihatan, kekeluargaan, kehilangan, kemurungan, bersendirian termasuk yang lain-lainnya, maka terimalah segalanya sebagai satu cara untuk meningkatkan kesabaran dan keimanan lancaran kesabaran itu akan menghasilkan buah yang manis untuk dinikmati bila tiba ketika nanti.  Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai sebabNya yang tersendiri dalam setiap sesuatu yang berlaku.


Lantaran itu, setiap kita sebenarnya saling berhubung-kait dalam mewarni sebuah kehidupan.  Maka bersangka-baiklah demi menikmati kemanisan yang dijanjikan Allah SWT untuk kita.  Berdoa dan teruskan berdoa lantaran doa itu pasti akan termakbul juga meskipun kita tidak tahu bila.  Kerana hanya Dia yang maha mengetahui bila masanya yang paling sesuai bagiNya memberi kepada kita yang tidak pernah berhenti untuk meminta! 

Isnin, 14 Ogos 2017

ANDAI MEMORI ITU DATANG

Andai masih mampu kaupungut 
memori silam
ambillah dengan tangan kananmu
lalu
kaubawa perlahan-lahan melintasi ruang fikir
berputar dan berlegar
indah namun hadirnya hanya untuk kau kenang.

Jika kau masih waras berfikir
pasti kau sedar semua itu hanya
sekadar singgah seketika membuka lapisan 
dari helaian demi helaian
kalam dairi yang dulu kautulis dengan tintanya kasih
penanya maruah dan tunjang ukhwah
namun
jika hari ini kauingin coretkan lagi memori-memori semalam itu
akan dapatkah kau pastikan
lenggok tarinya segemalai dahulu?

Andai masih ada lagi memori semalam 
yang mampu kaupungut
lalu kau genggam kuat di tangan kananmu
panasnya akan terasa lagikah hingga ke tulang
lantaran 
dulu itu tidak seperti sekarang
hanya yang ada kesakitan demi kesakitan
menyusuk bagai duri yang tajam.

Jika kau masih merindu pada sebuah kenangan
bangun dan mulakan langkahmu 
kembali ke semua jalan 
dan ambillah satu kesempatan memadam
agar hilang semua kenangan yang pernah kau susun dan simpan
yang pastinya kerap mengganggu 
tidur dan jagamu siang malam.

Ahad, 13 Ogos 2017

USIA DAN EMOSI

Kita hanya dipinjamkan
usia pun laksana sebuah persingahan
hari ke hari
menghitungnya ke alam abadi.

Bisakah kita menjadi dewasa
akal dan fikiran
selari jalannya dengan usia yang bertambah
tanpa menyakitkan?

Kadang-kala kita menjadi emosi
rupanya kita lupa
emosi dan usia itu selari
bertambahnya usia
bertambahnya sensitif diri
namun di luar sana fahamkah mereka
kerana apa yang kita rasa
tidak mungkin sampai di minda mereka.

Usia itu hanyalah satu angka
bukan melambangkan matang
atau dewasanya kita
dan emosi itu hanyalah rasa
kerana gagalnya kita mengawal
merendahkan luka dan kecewa.

Sebenarnya kita bukanlah sesiapa 
tambahan tika usia sudah semakin meniti ke hujung dunia
tiada manusia akan mengingat kembali siapakah kita dulunya
walaupun pernah memberi dan tidak pernah meminta
walau pernah menangis dan tiada siapa mengelapnya
walaupun pernah berkorban dan tiada ada pula catatannya
lantaran kita hanya seorang manusia
yang semakin meniti usia-usia tua
dan semakin cuba dilupa
hanya satu sahaja yang mungkin kita punya
emosi
sedih dan sebaknya hanya kita yang rasa
namun satu yang kita harus ingat dan jangan terus lupa
Allah pastinya ada untuk kita!!

PELEURU JEMARI

Memandangkan sajak ini ditolak Juri kerana penggunaan perkataan medsos, maka aku muat naik dalam blog ini untuk tatapan sesiapa yang singgah...