Jumaat, 13 September 2013

PROGRAM PENGANTARABANGSAAN BUDAYA

SMK Sultanah Bahiyah terus mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan mengetengahkan Program Pengantarabangsaan Budaya bersama Maktab Duli, Brunei dan SMK Bekenu, Miri, Sarawak bermula pada 28 - 31 Ogos yang lalu.  Tahniah atas komitmen semua.  Semoga SMK Sultanah Bahiyah terus berkembang menjadi salah sebuah sekolah terkemuka.


 Sesi perkongsian Program Penerapan Nilai di ruangan VVIP Maktab Duli.  SMK Sultanah Bahiyah memperkenalkan Program-Program Penerapan Nilai yang disampaikan oleh Pn. Hajah Rahinun Mohd. Noor (Pengetua Cemerlang SMKSB).  Maktab Duli berkaitan Program Mentor-Mentee yang disampaikan oleh Penolong Kanan HEM maktab berkenaan.
Menikmati nasi lemak berwarna hijau sebaik selesai taklimat dan perkongsian ilmu.  Enak!!  Terima kasih warga Maktab Duli.



 

 Kenangan sebelum meninggalkan Bandar Seri Bagawan yang pasti kekal dalam ingatan.  Bandar yang bersih dengan aura keislaman yang begitu tinggi.  Semoga berpeluang untuk datang lagi bersama keluarga suatu ketika nanti.



Di Gua Niah dan SMK Bekenu, Miri, Sarawak.  Bangga denagn sambutan warga SMK Bekenu.  Segala jasa dan budi baik kalian pasti akan dikenang selamanya.  Indahnya kenangan, moga Allah SWT akan terus memberkati persaudaraan ang sudah terjalin.

Tahniah warga SMK Sultanah Bahiyah.  Terima kasih Maktab Duli dan SMK Bekenu serta seluruh warganya.

Sabtu, 10 Ogos 2013

HARI RAYA KALI INI

Raya kali ini kami hanya berjaya mengumpul 3 beradik daripada 6 beradik yang sepatutnya kami punya.  Kebetulan kedua-dua adik lelaki kami mempunyai urusan masing-masing.  Seorang berhari raya di rumah keluarga mertuanya di Sungai Petani Kedah.  Manakala seorang lagi terpaksa bertugas di hari raya demi kebajikan semua pengguna Lebuhraya PLUS memandangkan tugas yang ditanggungnya sebagai salah seorang kakitangan PROPEL.  Manakala abangku pula menerima kunjungan tetamu sehingga menggagalkan dirinya untuk turut serta.

Sebenarnya selepas kepergian Allahyarhamah bondaku Aminah dan kemudian diikuti ayahandaku Mahmud 2 tahun kemudian, selalunya kami akan berkumpul di rumah kakak sulungku yang kami panggil 'Nyah'.  Di sinilah kami sering berkongsi cerita malah kadangkala mengimbau nostalgia bersama seluruh anak-anak buah yang semakin meningkat dewasa.  Banyak sebenarnya kenangan suka duka sepanjang membesar dan seterusnya membina keluarga yang sepatutnya menjadikan kami lebih matang dalam setiap tindak dan perbuatan.

Sehari berada di Kuala Kangsar - mengunjungi emak-emak saudara sebelah ibu dan ayah, mengunjungi keluarga abang dan adikku menjadikan setiap hari raya yang kami sambut sangat bermakna.  Meskipun setelah ketiadaan kedua-dua insan yang sangat besar maknanya dalam kehidupan kami namun, kami masih mampu menyambut kedatangan Syawal dengan cara tersendiri meskipun rentaknya mungkin sedikit berbeza.  

Untuk bondaku, ayahandaku juga kedua-dua kekandaku - Yusuf dan Latifah; kehadiran Syawal sentiasa menjadikan ingatan kami tidak pernah padam buat kalian.  Semoga kalian tenang di sana dan Hari Raya kali ini tidak pernah memadamkan ingatan kami kepada kalian. 

Salam Syawal buat seluruh keluarga. 

BERAKHIR SUDAH RAMADHAN

Sudah lengkap sebulan berpuasa dan kini Ramadhan memohon untuk mengundur diri.  Demikian cepatnya masa berlalu meninggalkan kita meskipun kita berasa tidak berkeupayaan untuk membiarkan 'dia' meninggalkan kita.  Syawal datang membawa seribu cerita.  Ada cerita yang seronok untuk dikenang dan ada juga yang cukup meruntun jiwa.  

Seperti mana rutin setiap awal Syawal, selepas 'ketiadaan' Allahyarhamah bondaku Aminah serta ayahanda mertuaku Daud bin Ahmad - kami kerap kali berhari raya di Kedah.  Awal pagi seawal 4, kerapnya aku sibuk menyediakan juadah untuk tetamu yang hadir.  Memandangkan jarak rumah yang begitu hampir dengan surau, kerapkali rumah kami dipenuhi jemaah surau sebaik selesai solat sunat Hari Raya.  Dan kunjungan tetamu para jemaah ini akan berterusan sehingga lewat tengahari.  Begitu juga dengan kehadiran 1 Syawal kali ini.

Begitulah suasana Syawal yang kami raikan sepanjang lebih 10 tahun dahulu sehingga kini.  Acara untuk keluarga hanya akan bermula seawal 5 petang dan diikuti pada hari raya ke-2 atau ke-3.  Namun sebenarnya bagi aku , dengan berakhirnya Ramadhan maka bermulalah suatu episod kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan menjalin hubungan ukhwah bersama seluruh jemaah.  Itulah sebenarnya rahmat dari sebuah kehidupan. Sesungguhnya aku sentiasa berharap agar kepergian Ramadhan akan sentiasa menjanjikan keutuhan hubungan antara seluruh masyarakat sekitar kediaman kami serta seluruh keluarga besar kami.  Insya'Allah.


Selasa, 30 Julai 2013

PROGRAM SEKOLAH PENYAYANG - BERSAMA MENGIMARAHKAN RAMADHAN

 Alhamdulullah, berakhirlah sudah Program Sekolah Penyayang - Bersama Mengimarahkan Ramadhan.  Suatu program mengumpul barang-barang kering untuk disumbangkan kepada warga SMKSB yang berkelayakan untuk menerimanya.
 Terima kasih kepada semua penyumbang, guru-guru dan seluruh masyarakat yang terlibat.  Terima kasih waris yang menghulurkan pelbagai bentuk barangan kering.  Kemudian disusuli sumbangan besar daripada Buraqoil bersama Pengarah Urusan En. Mohd. Khilmi dan duta produk En. Aziz Desa kerana sudi datang.
 Terima kasih kepada En. Nurun Ihsan bin Abdullah dari JPN Kedah yang turut serta memeriahkan majlis.  Bangga sungguh dengan kehadiran tuan-puan untuk datang.
 Barisan anak-anak yang dipilih menerima sumbangan termasuk duit raya RM50 seorang.  Alhamduillah.


 Barisan pengurusan tertinggi SMKSB.  Bangga atas kerjasama dan keperihatinan semua.


Inilah gambaran barisan waris yang hadir.  Anda hebat!!

Ahad, 30 Jun 2013

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS FASA 2



Merancang untuk mengadakan Kursus Kepimpinan Pengawas dan PRS Fasa 2 itu sebenarnya sudah lama.  Kebetulan kesemua perancangan tersebut sebenarnya juga telah dicatat dalam Perancangan Strategik Tahunan.  Namun penolakan saat akhir Kem Tentera menyebabkan banyak kekalutan timbul.   Sebagai seorang yang telah menerima amanah, terpaksalah pula aku mencari alternative lain untuk menjadikan setiap yang telah dirancang menjadi sebuah reality.  Sayangnya, setelah tempat ditempah dan segala persiapan dibuat, timbul pula cerita lain gara-gara seorang waris yang tidak mahu anaknya turut serta.  Semuanya lantaran terlalu sayang barangkali.
Sukar sebenarnya untuk membatalkan semua perancangan apabila kem, bas dan penceramah telah ditempah.  Terpaksanlah juga menahan telinga dan memejamkan mata menerima komplen dari pelbagai pihak termasuk kawan-kawan dan rakan-rakan.  Masih boleh bersabar dan program tetap dapat dilaksanakan dalam masa yang cukup singkat  - 2 hari semalam!
Ada ketikanya kita suka menimbulkan onar sehingga menyusahkan orang lain.  Banyak saluran yang boleh digunapakai untuk menyelesaikan sebarang kekusutan.  Kadang-kala sikap tidak profesioanal walaupun mempunyai pendidikan dan berjawatan tinggi boleh menyebabkan orang lain sakit jiwa dan rasa jengkel.  Demikian, aku cuba berhadapan dengan waris yang sebegitu.  Bukanlah maksudku, kita tidak boleh memberi pendapat atau pandangan.  Cuma kadang-kala sebelum membuat sesuatu tindakan perlu juga kita memikirkan risiko baik buruk dari tindakan yang dilakukan itu.
Sebenarnya, aku cukup kasihan dengan para peserta Kem Kepimpinan Pengawas Fasa 2.  Mereka merupakan ‘duta’ sekolah – yang dipilih atas dasar kehebatan masing-masing.  Sepatutnya mereka dilayan sebagaimana selayaknya mereka sebagai ‘duta kecil’ sekolah.  Bakat dan kehebatan diri mereka perlu digilap sebaik-baiknya untuk membolehkan mereka berkembang sejajar seperti mana yang kita harapkan.  Namun, kursus itu yang dijalankan dalam masa cukup pendek bagai mengehukum mereka sebagai seorang pesalah.  Semuanya terpaksa dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan pantas.  Tidak ada kenikmatan walaupun hasil yang dibuahkan amat memberansangkan.
Itulah sebenarnya kancah sebuah kehidupan.  Yang kadang-kala kita nampak sangat manis dan menyeronokkan.  Numun,  di sebalik setiap yang menyeronokkan itu tersirat satu ketidakselesaan yang perlu dipendam.  Sesungguhnya, rasa bersalah itu akan tetap menghantui diri jika kita berjaya melihat ke dalam diri sendiri dan merasa sakitnya memakai kasut orang! 
Kerana kita tidak semestinya sama seperti mereka!  KENAL DIRI ANDA UNTUK MENGENALI DIRI ORANG LAIN JUGA.
Terima kasih semua pengawas SMK Sultanah Bahiyah kerana komitmen anda yang hebat.  Saya bangga mempunyai dan mengenali anda.  (Nanti saya muatnaik gambar-gambar yang pastinya menarik minat anda)

Selasa, 18 Jun 2013

Kekakangan Atau Kekalutan

Ikrar Pelajar - Perhimpunan Kaunseling Bulan Mei
 

Taklimat Pn. Pengetua Untuk Program Merealisasikan ETR PMR 2013

Situasi Bilik Bimbingan dan Kaunseling Saya

Bersama Pn. Pengetua - Program Merealisikan ETR Tingkatan 3
Beberapa kali sebenarnya saya cuba menulis dalam laman blog ini selepas memuat turun gambar sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei yang lalu.  Namun, saya sendiri kurang pasti mengapa kadang-kala usaha untuk mencoretkan beberapa idea menjadi begitu hambar dan ternyata tidak menyenangkan.  Barangkali kerana kekakangan demi kekakangan menjadikan saya begitu 'malas' untuk mencungkil idea walaupun ada ketikanya saya merasakan idea di minda saya begitu sarat dan padat.
Ada ketikanya, situasi di sekolah, yang saban masa menghambat dengan pelbagai aktiviti dan program, kemudian ditambah aktiviti-aktiviti  peringkat daerh dan negeri menjadikan siang dan malam saya tidak dapat diisi dengan keinginan menulis yang tinggi.  Begitulah sebenarnya rutin sebuah kehidupan yang senantiasa menghimpit kita untuk belajar menjadi bijak mengawal situasi.  Pun banyak ketikanya kita tidak berupaya pula menjadikan situasi itu sebagai pemangkin menggerakkan motivasi agar bergerak lebih laju lagi....

Khamis, 16 Mei 2013

Catatan Kerinduan Di Hari Guru





















Hari Guru - 16 Mei 2013 
Aktiviti Sukaneka dan Sebelum Perarakan Masuk ke Dewan SMKSB.   Selamat Hari Guru semua guru semoga Allah SWT memberi ganjaran buat semua yang bergelar guru.

IMBAS SEMULA - SELAMAT PETANG DUNIA NOSTALGIA

  Imbas Semula (Catatan ini sebenarnya sudah lama ditulis cuma tidak berkesempatan untuk dimuatnaik ke laman blog ini ketika itu.  Barangkal...