Isnin, 11 Disember 2023

DAIRI SEORANG PESARA 1

Dairi Pesara 1

Hari ini Isnin, 11 Dis. 2023. Bererti sudah 41 hari bergelar pesara.  Meninggalkan tugas-tugas rasmi sebagai seorang penjawat awam.  Meninggalkan segala kesibukan yang dulunya membelenggu diri sama ada secara sedar atau sebaliknya.  


Sejarah perkhidmatan bermula pada 3 Jan. 1989 di SK Bukit Bintang 1.  Itu pun bukanlah lama.  Hanya kurang dua minggu sebelum ditempatkan semula di SK Jalan Batu, Kuala Lumpur.  Di sini segalanya bermula.  Belajar menyantuni kanak-kanak istimewa bersama rakan-rakan guru yang baru tamat latihan perguruan asas.  Seronok tetapi agak mencabar dengan semangat guru baru habis bergraduat.

Cuma, aku tidak lama di situ.  Sebaik berkahwin, aku mengikut suami ke utara tanah air.  Di sinilah aku menabur bakti sebagai guru bermula 1 Mac 1990 hingga ke noktah terakhir sebagai penjawat awam - 31 Okt. 2023!  Berpencen pilihan setelah berkhidmat selama 34 tahun 10 bulan bersamaan 418 bulan.

Selain dua buah sekolah di atas, aku juga telah berkhidmat di beberapa buah sekolah.  Antaranya adalah SK Jabi, SK Tunku Abdul Halim, SK Hj. Abu Bakar, SMK Sultanah Bahiyah dan PPD Kota Setar.  


Pelbagai pengalaman pahit-manis aku rasai sepanjang tempoh menggalas tanggungjawab sebagai guru.  Syukurlah kerana aku berjaya melalui liku-liku perjalanan ini sehingga ke akhirnya.  Bersyukurlah kerana s aku dikelilingi para sahabat yang sangat banyak membantu selain anak-anak murid yang sentiasa mewarnai kehidupanku.

Hari ini, setelah lebih sebulan sebagai pesara, lingkaran kehidupan rasanya semakin mengecil.  Rutin kehidupan dahulu berubah 360°.  Bangun pagi tidak lagi tergesa-gesa bersiap-siap untuk ke pejabat.  Malah tidak ada lagi kebimbangan terlewat kerana  'trafic jam'.  Tidak juga dikejar 'dateline' atau kebimbangan mengurus klien dirujuk atau 'walk in'.  Semuanya berjalan mengikut aturan sendiri.  

Terima kasih alam pekerjaan kerana mengajar banyak perkara dan mematangkan diri dalam banyak hal.  Terima kasih para sahabat yang sering mendoakan.

Isnin.  10.52 pagi.  Alor Setar.


Jumaat, 1 Disember 2023

Tb : Sabtu - 14 Oktober 2023 SMK Tun Sharifah Rodziah

Menerima mesej ketika dalam perjalanan ke Langkawi tanggal 25 September 2023. Puas berfikir patut atau tidak namun, terasa tidak sampai hati untuk menolak. Tambahan masa diperuntukkan cuma dua jam. Lama berfikir akhirnya lamaran itu diterima juga.


Bukan satu tugas yang mudah. Meski hanya dua jam, beberapa persiapan perlu dibuat. Alhamdulillah, akhirnya di Digital Library Kedah buat pertama kali aku bertemu muka dengan hampir 60 orang guru dan AKP SMK Tun Sharifah Rodziah.


Terima kasih Cikgu Liyana Izzati SULDP yang sudi menjemput aku menyantuni guru-guru hebat ini. Terima kasih Puan Pengetua, Puan Sariza Md Salleh serta barisan pentadbir kerana sudi bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti - bukti kebersamaan cikgu dengan seluruh anak buah di sekolah. Hebat dan tahniah.



Terima kasih dan tahniah buat semua guru dan staf SMK Tun Sharifah Rodziah. Kalian merupakan aset yang berharga berdasarkan kekuatan dan potensi yang kalian ada. Teruslah berganding bahu membina kecemerlangan anak bangsa.


Sejujurnya 2 jam yang diberi terasa begitu cepat berlalu. Banyak yang ingin dikongsi. Ada aktiviti tidak dapat dilaksanakan. Masa begitu terhad. Tambahan ada acara lain selepas itu. Penceramah juga sudah menunggu. Maka terpaksalah sesi ditamatkan dengan segera. Apa pun semoga perkongsian singkat itu bermanfaat buat semua. Mohon maaf atas segala kekurangan.




LDP : SK PENDIDIKAN KHAS ALOR SETAR (TB : 28 OKT. 2023)



Aku menerima undangan mengisi slot LDP di SK Pendidikan Khas Alor Setar, Sabtu 28 Okt. 2023 melalui panggilan telefon tengahari kelmarin.  Awalnya ingin menolak kerana pada hari yang sama terdapat banyak undangan perkahwinan dari rakan dan sahabat.  Namun, permintaan KPN JPN Kedah, En. Mohamad Nasir rasanya tidak upaya ditolak.  Kebetulalan aku tahu, jadual beliau  sepanjang minggu ini sehingga minggu hadapan amat padat.  Rasanya tidak wajar untuk aku menolak tambahan  aku tidak mempunyai sebarang urusan dalam tempoh 3 hari sebelum meninggalkan perkhidmatanku sebagai penjawat awam.

Aku dan anakku Farah tiba di perkarangan dewan sekolah 15 minit sebelum slot untuk aku bermula.  Kami  menjenguk ke ruang dewan, kesemua guru dan staf sedang asyik mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan pertama.  Aku dan anakku kemudiannya diminta menunggu di bilik tetamu sementara menunggu slot pertama selesai.

15 minit telah berlalu.  Bagiku biasalah andai penceramah terlajak masa 10 ke 15  minit.  Namun kalau sudah  1 jam, aku yang menunggu terasa bahang kepanasan. Hahaha....  Inilah skenangan menunggu paling lama dalam sejarah.  Slot aku bermula 1 jam
lewat dari waktu yang dijadualkan.  Maksudnya, aku perlu mengambil tambahan masa sejam andai mahu menghabiskan keseluruhan bahan penyampaian!

Dalam waktu sebegini, aku perlu berusaha semaksima mungkin untuk meningkatkan momentum para guru dan staf.  Jam menunjukkan pukul 11.32 minit.  Sudah menghampiri tengahari dan tadi, mereka hanya menerima input yang disampaikan.  Seperti yang komen ditulis peserta, awalnya aku sedikit gementar (bimbang melihat jam sambil otak berfikir ligat untuk memastikan penyampaian aku difahami dan tidak tergantung).

Alhamdulillah dengan izin-Nya, aku berjaya berkongsi idea bersama-sama 56 orang kakitangan (guru dan staf) SK Pendidikan Khas Alor Setar dan menamatkan slotku pada pukul 1.30 petang.  Bersyukur kerana tidak ada seorang pun yang keluar meninggalkan dewan.  Ternyata semua guru dan warga sekolah begitu komited meskipun masa rehat mereka pada hari Sabtu ini terpaksa dilepaskan.

Bagiku, perkongsian ilmu ini mungkin khidmat terakhirku sebagai Kaunselor Pendidikan Daerah (KPD), Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar.  Kerana pada 31 Okt. 2023 aku akan menamatkan perkhidmatanku sebagai penjawat awam.  

Terima kasih warga sekolah SK Pendidikan Khas.   Komitmen anda menjadikan hari-hari terakhirku begitu indah dan bermakna.  Terima kasih atas sokongan.  Terima kasih atas tumpuan.  Terima kasih kerana mengambil bahagian.  

Sabtu, 18 November 2023

MUNAJATKU NAN SATU



Terkadang aku sendiri tidak mengerti hatiku

dalam diam ada rembesan air mata gugur tanpa sedar

dan esakan itu semakin sukar dikawal

meski tangan menyeka perlahan namun

titisannya mengalir tanpa bisa ditahan.


Sungguh kadangkala aku masih tidak memahami diriku

dalam marah masih ada gumpalan rindu

sakitnya terasa menikam hatiku berdarah luka

meski ramuan kuminum saban hari

parutnya terasa sukar kering menyembuh.


Terkadang tidak kufahami mengapa aku

masih terus membilang hari-hari datang dan pergi

mengimbau berkali-kali saat  hadirnya semua itu

hingga dadaku sesak dan nafasku bagaikan terhenti

mampukah nanti

kuhirup  wanginya sebuah memori

dulunya mengajar aku erti kehidupan

menyegarkan malamku dalam kepenatan

memanaskan siangku penuh kebahagiaan.


Terkadang aku masih terus mencari diri

dalam resah juraian air mata tanpa mampu kukesat 

lalu kebimbanganku tidak mampu kunoktahkan tiba-tiba

kerana hadirmu dulu adalah nafas kasihku

yang tidak mungkin kupadam meski beredarnya waktu

lalu munajatku hanya pada-Mu Yang Satu

kembalikanlah sinar dalam kamar hatiku.


Sabtu.  18112023




Ahad, 20 Ogos 2023

ANDAI WAKTU ITU MAMPU KUPUTAR

Andai aku mampu putarkan waktu

Ingin sekali aku kembali menyusuri liku kehidupan dulu

Mesti tidak mewah namun indah

Meski tidak sempurna namun bahagia.


Aku tidak mampu lagi Allah

melalui onak berduri tajam

sakitnya bukan hanya melukai kaki

tetapi hatiku juga

berdarah dan bernanah.


Jika aku mampu putarkan waktu

izinkan aku membetulkan semula segalanya

akukah yang tersadung akar hingga tersasar

atau dilambung gelombang ombak besar

lalu Kau pimpinlah aku kembali 

menuju jalanMu yang benar.


 Aku sudah cukup lelah Allah

menyapu derai air mata yang semakin kontang

memujuk hati dengan debaran dada melanda tanpa diundang

mengesat darah dari luka yang berulang-ulang

Namun aku tidak akan terus mengalah

membiarkan kesakitanku semakin parah.

Selasa, 24 Januari 2023

KEKASIHKU YANG PERGI






Kuingin sekali menggenggam tanganmu 

meniti hari-hari datang dan pergi

meredah onak tanpa resah

menuruni lurah ranjau tanpa gundah

kerana kau sentiasa ada; sentiasa setia.


Kuingin sekali mendakap erat tubuhmu

bercerita tentang malam dan bintang

menghitung titis-titis hujan jauh di dada bumi

lalu coretkan di kanvas putih kehidupan

nyanyian kerinduan dan kehilangan.


Kuingin sekali mendengar suaramu

menyeru namaku dalam doamu penuh syahdu

tika air matamu berjuraian membasahi pipi

kusedar betapa tinggi kasihmu untukku kekasih

terlalu kudus untukku sangsikan

terlalu ikhlas untukku nafikan

mana mungkin kutemui pengganti nan satu

tidak sama seribu yang kunjung datang.


Alor Setar. 24 Januari 2023


Sabtu, 15 Oktober 2022

RENDANG RAGI OPAH

RENDANG RAGI OPAH

Bahan A

·       Sekilo daging dipotong ikut cara masing-masing.

Bahan B

·       Kulit kayu manis

·       Bunga Lawang

·       Buah pelaga

Bahan C – Kisar Hingga Halus

·       3 biji bawang besar

·       5 ulas bawang putih

·       1 inci halia

·       2 sudu besar cili kisar

·       2 paket serbuk kari daging (10g)

Bahan D

·       ½ cawan Minyak

·       Garam (ikut rasa)

·       ½ cawan gula (ikut rasa)

Cara-Cara

1.     Panaskan minyak. Tumis Bahan B.

2.     Masukkan Bahan C. Tunggu sehingga naik minyak, baru masukkan daging.

3.     Tambah air jika daging belum empuk. Keringkan sehingga rempah membaluti daging.

4.     Suaikan rasanya manis-manis, pedas.

Ini adalah menu yang sering disediakan arwah emak  terutama pada musim hari raya.  Rendang Ragi ini bukan sahaja disukai arwah Pak malah menjadi pilihan kami untuk dimakan bersama lemang.  sungguh aku merindui masakan emak yang tiada tandingannya.  Banyak resepi emak yang menarik dan sedap tetapi kami adik-beradik tidak mengambil peluang mempelajarinya semasa emak ada.

Aku masih ingat kehebatan emak membuat halwa betik, halwa belimbing buluh dan sejenis halwa dari buah di tepi sungai.  Aku sudah lupa buah apa.  Tapi kata emak, kalau salah ambil buah tersebut boleh menjadi racun.  

Terima kasih emak, banyak legasi yang kau tinggalkan buat kami dan sekarang aku cuba merakamkan segala-galanya di sini sebagai warisan anak-cucu suatu hari akan datang.
 

PELEURU JEMARI

Memandangkan sajak ini ditolak Juri kerana penggunaan perkataan medsos, maka aku muat naik dalam blog ini untuk tatapan sesiapa yang singgah...