Kuingin sekali menggenggam tanganmu
meniti hari-hari datang dan pergi
meredah onak tanpa resah
menuruni lurah ranjau tanpa gundah
kerana kau sentiasa ada; sentiasa setia.
Kuingin sekali mendakap erat tubuhmu
bercerita tentang malam dan bintang
menghitung titis-titis hujan jauh di dada bumi
lalu coretkan di kanvas putih kehidupan
nyanyian kerinduan dan kehilangan.
Kuingin sekali mendengar suaramu
menyeru namaku dalam doamu penuh syahdu
tika air matamu berjuraian membasahi pipi
kusedar betapa tinggi kasihmu untukku kekasih
terlalu kudus untukku sangsikan
terlalu ikhlas untukku nafikan
mana mungkin kutemui pengganti nan satu
tidak sama seribu yang kunjung datang.
Alor Setar. 24 Januari 2023
Tiada ulasan:
Catat Ulasan