31 Januari 2021 (Ahad)
Selesai sudah tugasan yang dipikul selama
beberapa hari ini. Alhamdulillah,
akhirnya siap juga projek tahun 2021, menulis secebis kisah benar bersama para
sahabat Legasi_abah. Semoga usaha ini
akan menjadi bahan rujukan anak-cucu apabila tiba waktunya kelak.
Banyak cabaran ketika menulis kisah ini. Terutama apabila air mata tidak dapat ditahan ketika mengimbau pelbagai peristiwa yang telah berlaku sepanjang hidup bersama arwah pak. Pasti air mata setiap yang menulis dalam legasi ini turut tumpah seperti mana aku juga.
Kesedihan kedua berlaku ketika aku mencari
semula gambar-gambar lama untuk kuabadikan sebagai kenangan seperti mana yang
diminta oleh Puan Pengetua, Puan sri Diah.
Rupanya tidak banyak pak dan mak bergambar berdua. Hanya sekeping yang ditemui itupun terakam ketika
mereka hendak menunaikan umrah pada tahun 1997.
Menulis kisah hidup ini sebenarnya mengajak
kita kembali ke zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Segalanya berputar bagai cakera filem
berputar menayangkan semula filem lama. Sungguh
kadang-kadang terkedu sehingga tidak mampu untuk lena sepanjang malam. Semua memori itu berputar seperti putaran
roda – ada ketikanya laju dan ada ketikanya turut perlahan.
Semoga setiap apa yang aku lakukan akan memberi impak buat diriku dan orang lain. Terutama kepada seluruh anak-cucu Tok Mud dan Opah Minah. Suatu hari, jika diberi peluang dan ada kekuatan, akan aku coretkan pula bagaimana tabahnya emak melayari kehidupan membesarkan 8 anak dengan hanya membantu pak di kebun getah.
Pak dan mak, dua insan dan dua jiwa yang sangat
kental. Semangat juang merekalah yang
aku cuba bawa untuk kuturunkan pula kepada anak-cucu. Semoga ada sifat kental dan tabah yang
dimiliki keduanya akan diwarisi anak-cucu dalam mendepani kemelut kehidupan
yang semakin mencabar.
Al-Fatihah buat pak dan mak. Semoga sentiasa dalam dakapan rahmat Allah di negeri abadi!