27 Januari 2021 (Rabu)
Hampir dua hari tidak dapat menulis catatan seperti azam yang telah
ditanam. Banyak sungguh kekangan dalam
sehari dua ini. Paling mencabar apabila
ada bengkel dan kursus online selama tiga hari berturut-turut. Terasa sangat sukar mengikuti kursus dalam
talian apabila terpaksa berperang dengan kesesakan talian internet.
Sepanjang berbengkel dari 25, 26 dan 27 Januari 2021, banyak perkara
yang dipelajari dan diajari. Belajari tentang
kesabaran pastinya yang paling utama. Kadang-kadang
timbul rasa stress bila tiba-tiba terkeluar dari landasan ketika sedang elok
mengikuti kursus. Beberapa kali mencuba
untuk masuk sayangnya pintu tidak juga dibuka.
Teringat dulu zaman belajar, seorang pensyarah sangat pantang apabila
ada student yang masuk lewat ketika beliau sedang mengajar. Kerapnya waktu kecemasan yang diberi adalah 5
minit. Selebih jika seseorang pelajar
tidak masuk juga maka belajarlah dia di luar kelas kerana semua pintu masuk
sudah ditutup.
Pada awalnya memang terasa malu dan marah. Tapi sebenarnya itulah salah satu proses
mendisiplin diri agar lebih patuh pada jadual.
Adat belajar, murid perlu menunggu guru bukan guru yang menunggu murid!
Kelmarin, ketika kalutnya berhadapan dengan kekangan internet hati
sedikit terubat apabila mendapat poskad dari jauh. Teringat dulu zaman kanak-kanak, poskad
adalah antara cenderamata yang akan diberi sekiranya kita pergi ke mana-mana. Dan poskad itulah yang akan dikirim kepada
rakan-rakan lain sebagai bukti kita telah sampai ke sesuatu destinasi.
Sesiapa sahaja yang berminat menyimpan koleksi poskad, pasti tertarik
dengan illustrasi Universiti Edinburgh pada
poskad ini. Cantik dan keterujaan untuk
menjejak kaki ke sana amat terasa. Apa pun didoakan semoga Farah akan dapat
menghabiskan pengajiannya yang berbaki lebih kurang 1 tahun setengah lagi. Doakan semoga segala urusan Farah akan
dipermudahkan dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan