Inilah sebahagian cerita zaman kanak-kanak dan remajaku. Cerita yang pastinya mampu mengulang-imbau sejarah kehidupan ketika meningkat remaja. Kehidupan penuh rencam dan warna. Ia menjadi sebahagian kenangan yang membawa seribu makna dalam kehidupan.
Aku tidak dilahirkan dalam sebuah keluarga berada. Malah, kesusahan kehdiupan kami dahulu banyak memberi impak positif kepada kehidupanku masa kini. Mak dan pak, dua watak yang begitu sinonim dalam hidupku. Insan yang tidak pernah mengeluh kepenatan malahan sentiasa bekerja keras membanting tulang membesarkan kami 8 beradik. Kerana itulah aku sentiasa meyaksikan kedua-dua mereka melakukan pelbagai kerja tidak kira waktu siang atau pun malam. Aku menjadi saksi kehebatan kedua-dua insan ini mendepani onak-ranjau dan liku kehidupan zaman itu.
Mak dan pak masing-masing mengusahakan sebidang tanah pinggir yang dipenuhi pokok-pokok getah. Kebun getah ini kami panggil bukit. Di situlah hampir setiap hari (pagi dan petang, mak dan pak membanting tulang. Selain menoreh, mak dan pak turut bercucuk tanam di dalam kawasan tanah masing-masing.
Kedua-dua kebun mak dan pak terletak di tempat yang berbeza. Kebun pak di bahagian darat manakala kebun mak di bahagian lembah. Setiap pagi jika tidak hujan, seawal 6.30 pagi atau sebaik sahaja cerah-cerah tanah, kedua-dua mereka sudah bergegas ke kebun. Pak mengayuh basikal tuanya manakala mak berjalan kaki. Agak jauh, lebih 30 - 40 minit jarak perjalanan dari rumah. Itulah sahaja cara untuk membolehkan kami ke sana sama ada melalui denai dan melintasi kebun-kebun getah orang lain, atau melalui jalan besar.
Aku kerap ke kebun setiap kali hujung minggu. Selain membantu mak dan pak mengutip sekerap, aku juga menolong mereka memesin getah keping yang telah dibekukan. Sebenarnya, sebelum getah-getah itu dimesin menjadi kepingan-kepingan empat segi, beberapa proses aiantaranya telah dilakukan. Pengalaman itu tidak mungkin dinikmati oleh anak-anak remaja zaman sekarang. Cukup indah dan amat berharga buatku.
Mak dan pak, dua insan yang tidak tahu duduk diam. Sementara menunggu susu getah penuh di dalam 'pot', mereka akan menanam sayur-sayuran di sekeliling pondok tempat kami berehat. Banyak juga sayur yang emak tanam. Antaranya kacang panjang, bayam, maman, petola, jagung, labu dan beberapa jenis sayuran lain.
Kesemua sayur yang dituai, aku hantar ke kedai Pak Usup dan Wan Dah di jalan besar. Sayur-sayur kampung ini dijual dengan harga 20 sen hingga 30 sen seikat. Ramai juga pelanggan Pak Usup dan Wan Dah membeli sayur-sayur segar mak. Kadang-kadang jumlah yang dihantar tidak mencukupi dengan permintaan.
Wan Dah dan Pak Usup adalah ibu dan bapa saudara aku kerana Wan Dah merupakan kakak sepupu mak. Mak dan Wan Dah berkongsi datuk dan nenek. Sebab itulah mereka rapat tambhan mereka telah berkawan sejak kecil. Jadi aku antara anak mak yang kerap singgah di kedai dan rumah Wan Dah. Aku paling suka ais kepal dan rojak yang mereka jual.
Di kebun, selain sayur-sayuran, pak dan mak turut menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan. Paling banyak pastinya pokok durian. Pelbagai jenis durian ada di kebun kami - ada durian isi kuning, tebal, putih, gebu dan macam-macam. Pak memang mahir berkaitan buah durian. Melihat duri dan bentuk durian sahaja, sudah membolehkan pak tahu sama ada durian itu sedap atau sebaliknya. Sebab itulah apabila tiba musim durian, pak menjadi peraih dan rumah kami dipenuhi buah durian dari seluruh pelusuk kampong.
Aku paling suka melihat pak membersihkan buah-buah durian dengan seikat lidi. Semua durian dibersihkan untuk menarik perhatian para pembeli. Daun-daun kering termasuk tanah yang melekat pada duri durian akan dibersihkan dahulu sebelum dijual. Semuanya bertujuan untuk meningkatkan kualiti durian selain menentukan harganya di pasaran.
Buah-buah durian yang kurang elok (ditebuk tupai atau busuk) diasingkan untuk dibuat tempoyak. Mak memang mahir membuat tempoyak dan beberapa makanan lain daripada durian termasuk lempok. Tempoyak dan lempok tahan lebih lama dan menjadi sebahagian hidangan menyelerakan orang-orang Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan