RUTIN PETANG
Aku anak
perempuan bongsu dalam keluarga. Kerja-kerja luar ini jarang yang aku
suka. Setiap petang, sambil melihat Kak
Tipah dan Kak Na membelai pokok bunga di halaman rumah, aku akan duduk menunggu di atas anak tangga. Aku hanya akan turut serta jika disuruh atau
diminta membuat sesuatu kerja.
Rumah kami terletak di lereng bukit jalan Kuala Kangsar – Gerik. Selalunya jika kami duduk di halaman rumah,
tiada orang yang nampak melainkan mereka turun sehingga ke bawah. Jadinya, kami selesa bergerak di sekeliling
halaman tanpa gangguan sesiapa.
Selain terletak di lereng bukit, pak dan mak menanam pokok teh sebagai
pagar rumah kami. Pokok teh itu naik
tinggi merimbun. Oleh sebab itu, kami
tidak dapat melihat apa yang berlaku di luar kawasan rumah kami.
Kak Tipah hobinya menanam pokok bunga.
Setiap petang, Kak Tipah akan menyantuni pokok-pokok bunga yang
ditanamnya. Selain membuang rumput-rampai
yang tumbuh meliar di sekeliling pokok, Kak Tipah turut membersihkan kawasan
halaman. Sesekali Kak Na akan menolong
Kak Tipah menyiram dan menanam pokok bunga baru.
Nyah kakak sulungku kurang berminat menanam pokok bunga. Setiap petang, Nyah lebih suka mengemas rumah
termasuk menyapu sampah dan mengutip pakaian di jemuran. Selain Nyah, Kak Na juga akan mengutip kain
baju di ampaian. Kedua-dua mereka turut melipat kain baju
tersebut sebelum maghrib atau di sebelah malam.
Aku lebih suka membantu emak menyediakan minum petang. Sesekali menyibukkan diri di dapur sambil
menyusun dan mengutip pinggan-mangkuk yang telah digunakan. Emak memang rajin memasak. Setiap petang, ada sahaja juadah yang mak
sediakan untuk kami sekeluarga. Mungkin disebabkan
itu, banyak kemahiran memasak yang
dimiliki oleh mak dapat aku kuasai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan