Jumaat, 2 Jun 2017

CERITA TENTANG PAK

Aku hanya punya seorang bapa.  Yang pada pandangan aku sangat baik, hebat, kacak dan bergaya.  Semua kami memanggilnya: Pak.  Panggilan keramat yang kekal sehingga kini.  Bapaku seorang yang sangat tegas dengan anak-anak.  Kata-katanya adalah kata pemutus dalam setiap perkara.  Selalunya kami adik-beradik tidak membantah walaupun keputusan yang dibuat Pak tidak kami senangi.


Pak berkerja keras untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.  Dengan bilangan anak yang ramai - 8 orang - Pak tidak pernah betah duduk di rumah.  Kerja buat Pak macam-macam.  Paginya di kebun manakala petangnya di sawah mengerjakan bendang yang disewa daripada orang kampong.  Ketika musim buah-buahan, Pak menjadi peraih dan selalunya rumah kami akan dipenuhi buah-buahan yang segar dari ladang!   Pak sebahagian daripada ‘public fingure’ di kawasan kediaman kami.  Jadi dalam banyak hal, pergerakan kami adik-beradik sangat terhad dan terkawal.  Jika ada kesalahan yang kami lakukan di luar, pasti perkara itu akan cepat ‘viral’ dan seterusnya sampai ke telinga Pak. Selalunya pula, dalam banyak-banyak perkara yang sampai ke telinga Pak, Nyah dan Coplah yang akan menjadi bahan kemarahan kerana kecuaian dan kelalaian keduanya menjaga adik-adik yang lain.

Pak seorang yang sangat pemurah.  Pasti semua orang bertanya kenapa aku katakan begitu?  Sikap pemurah Pak kadang-kala tidak disenangi kami adik-beradik.  Banyak peristiwa yang boleh dikaitkan dengan sikap pemurah Pak ini.  Tetapi sesetengahnya aku sudah ingat-ingat lupa.  Cuma beberapa cerita dan peristiwa yang kadang-kadang tenggelam timbul dalam kotak fikiran aku tentang kemurahan hati Pak.  Antara yang aku ingat adalah ketika Pak memutuskan untuk menumpangkan adik birasnya di rumah kami yang kecil.  Aku lupa namanya siapa.  Cuma apa yang aku ingat lama jugalah adik ipar Pak Chu menumpang di rumah kami.  3 atau 4 bulan berhimpit-himpit di ruang tamu rumah kami yang telah dihuni oleh 2 orang abangku Yusuf dan Mohidin serta 2 lagi adikku Abdul Rahman dan Bistamam (masa itu Bis masih kecil dan rumah kami adalah di lembah).  Rumah kecil kami itu sebenarnya hanya ada sebuah bilik untuk kami anak-anak perempuan Pak seramai 4 orang itu dan satu anjung yang orang sekarang sebut ruang tamu.

Lainnya, apabila kami berpindah ke rumah baru di tepi jalan raya – sikap pemurah Pak dapat dilihat dengan lebih jelas.  Kadang-kadang kami sendiri tidak tahu siapa yang Pak bawa balik untuk ditumpangkan di rumah kami semalam dua.  Macam-macam orang dari macam-macam tempat.  Suatu hari, aku tidak ingat hari apa - Pak balik dengan tergesa-gesa mencari mak.  Tidak lama selepas itu sekeluarga katanya dari Seremban turun bersama seorang lelaki (aku akhirnya tahu yang lelaki itu sedang sakit), menumpang di rumah kami selama 2 malam atas urusan perubatan di Pekan Kati.  Rumah aku sebenarnya sudah biasa menerima tetamu.  Dari jauh dan juga dekat.  Sehinggakan masyarakat setempat juga turut mencadangkan mencari Pak Mud jika ada musafir yang tidak mempunyai tempat untuk bermalam (kiranya Pak telah memperkenalkan konsep homestay ini sejak awal tahun 80-an lagi.  Cuma bezanya homestay Pak tidak dikenakan bayaran dan pakej yang disediakan termasuk penyediaan makan dan minum.  Hihihi…).

Pak sangat suka kepada kerja-kerja kemasyarakatan.  Kerapnya rumah kami dijadikan pusat perjumpaan anggota masyarakat – tempat bermesyuarat dan tempat usrah.  Rumah atas kami selalunya digunakan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan (usrah, tazkirah dan solat berjemaah).  Rumah kami adalah rumah yang disenangi anggota masyarakat.  Kiranya siang dan malam, tidak pula kami terasa sunyi dan menjadi sesuatu yang luar biasa jika rumah kami tidak dikunjungi orang.  Pak sangat menjaga hubungan dengan orang lain.  Sebab itu, Pak sangat dikasihi masyarakat tua dan muda.  Sebenarnya Pak bukanlah sesiapa, hanya sebahagian komuniti yang disenangi dan menyenangi komuniti yang lain.  Cakap-cakap Pak selalunya diterima pakai masyarakat.  Sebab itulah, dalam urusan perkahwinan (merisik, meminang, bertunang dll), Pak diangkat sebagai wakil orang tua-tua untuk mengemudi majlis.  Pak disenangi kerana mulutnya yang manis, sikap mudah mesranya dan kebolehan komunikasinya yang amat baik.  Selain itu, dalam urusan kematian Pak turut dipilih orang untuk menguruskan jenazah terutama memandikan dan kafan.  Pak sebenarnya sangat ringan tulang dan kerana itulah juga Pak sangat dihormati masyarakat.


Banyak sangat cerita tentang Pak yang boleh dikongsi.  Kalau dengan anak dan cucu, Pak sangat suka bercerita.  Cerita Pak macam-macam - sangat menarik dan ada saja unsur-unsur kecindan yang diselitkan.  Selain kecindan, Pak tidak lupa menyelitkan nasihat dalam ceritanya.  Maka kami adik-beradik akan sama-sama bergelak-ketawa dengan cerita Pak.  Cerita-cerita itulah yang membina hubungan kami dalam keluarga.  Pak juga sangat suka solat berjemaah.  Amalan solat berjemaah 40 waktu kerap juga diamalkan. Kadang-kadang apabila Pak tidak sempat ke masjid atau surau atas beberapa sebab, aku kerap juga diminta menjadi makmumnya terutama ketika tidak ada sesiapa di rumah atau pada masa yang sama emak sedang uzur.  Maka terkebil-kebillah aku bangun sambil menggosok-gosok mata yang masih lagi terpejam jika dikejutkan Pak untuk bersolat subuh.   

Pak sangat cintakan ilmu dan pendidikan.  Sepanjang ingatan, Pak sering menyuruh anak cucunya belajar dan terus belajar.  Ketika aku masih belajar, Pak antara pembakar semangat untuk aku meraih kejayaan.  Pak selalu mengajar kami erti syukur dengan nikmat Allah SWT walaupun hanya sedikit.  Aku dan semua adik-beradik suka berurusan dengan Pak.  Meskipun tegas, Pak boleh menerima pandangan dan pendapat orang lain. Suatu yang aku sangat perasan, Pak sangat rapat dengan emak.  Ke mana Pak di situlah emak.  Ketika emak sakit dan kemudiannya pergi meninggalkan Pak sendirian, aku melihat kesedihan yang tersimpan di mata Pak.    Namun, kesedihan ditinggalkan emak dibawa bersama 2 tahun selepas itu.  Pak mengikuti jejak emak kemudiannya pada Disember 2008 - Bidadari yang menemani hidupnya ketika susah dan senang, suka dan duka!

Arwah Pak ketika sakit
Aku sentiasa merindui Pak - mengenang setiap memori yang dilakar ketika hidupnya. Mengingati betapa susahnya Pak bangun setiap pagi ke kebun menoreh untuk membesarkan 8 anak. Pak adalah sumber inspirasi dan lambang kehebatan seorang lelaki. Aku tidak mungkin akan menemui seorang lelaki hebat, yang tabah dan tenang, yang baik dan penyayang, yang ikhlas dan pemaaf,  yang dihatinya cuma ada kami anak-anaknya, yang terbaik antara yang baik - walaupun di hadapanku di susun berbaris lelaki-lelaki lain.  Pak adalah pemimpin yang berjaya memimpin kami menuju jalan kebenaran di hadapan.  Singgahlah di rumahku Ramadhan ini wahai ayahanda Mahmud kerana rinduku kepadamu rasanya tidak pernah bertepi. Maafkan salah silapku disepanjang menyusuri kehidupan bersamamu.  Ramadhan mengimbau kenangan dan Pak sentiasa mekar dalam ingatan!  

Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...