Ahad, 7 Jun 2026

IMBAS SEMULA - SELAMAT PETANG DUNIA NOSTALGIA

 Imbas Semula

(Catatan ini sebenarnya sudah lama ditulis cuma tidak berkesempatan untuk dimuatnaik ke laman blog ini ketika itu.  Barangkali, Allah tetapkan hari ini dan petang ini adalah yang terbaik untuk dikongsi.)

30 Mac 2021 Selasa

54 tahun dahulu, sepasang suami isteri Mahmud dan Aminah menyambung kelahiran cahayamata keenam dalam keluarga besar mereka.  Anak perempuan keempat dan kelahirannya melengkapkan jumlah keseluruhan anak perempuan dalam keluarga. 

Membesar dalam sebuah keluarga petani, hari lahir tidak pernah sekali pun disambut.  Barangkali kedua-dua ibubapaku (arwah pak dan emak) sendiri tidak pernah sekalipun menyambut hari lahir mereka.  Hanya setelah meningkat dewasa, kemudiannya bekerja, bekerluarga dan punya anak-anak aku mula belajar tentang sambutan hari lahir, meraikannya dan menghargai orang-orang di sekelilingku pula.

Meskipun tiada sambutan hari lahir yang diajar oleh mereka berdua namun, aku sangat berterima kasih kerana dilahrikan dari rahim seorang ibu, Aminah.  Arwah emak dan pak kerap meletakan ikatan kekeluargaan dan kasih sayang dalam setiap denyut nafas mereka.  Kami diajar melebihkan orang lain dalam setiap tindakan.  Belajar beralah dan belajar menghargai orang-orang di sekeliling kita. 

Sungguh tidak ada nilaian terima kasih untuk keduanya.  Kerana kasih mereka tidak pernah dapat ditukar ganti. 

Hari ini jika emak dan pak masih ada pasti mereka adalah orang pertama yang akan akan aku ziarahi.  Akan kukucup dahi kedua-duanya dan aku kuucapkan  terima kasih untuk segala yang telah mereka lakukan.  Terima kasih kerana telah melahir, membesar dan memelihara aku sehingga ke usia ini. 

Hari ini, pasti emak dan pak akan terkedu melihat bagaimana begitu ramai orang keliling yang turut meraikan aku..  Ramai yang mengirimkan ucapan dan menitipkan doa.  Dari suami dan anak-anak, diikuti Ketua Jabatan dan teman-teman dari satu jabatan malahan sahabat handai yang dekat dan jauh.  Terasa begitu indahnya sebuah persaudaraan yang diikatkan dengan kejujuran dan kasih-sayang.

Benarlah kata orang, “Selagi kita merendahkan diri dan hati untuk menyayangi orang lain nescaya kita juga akan disayangi”.   Sungguh aku mesyukuri segala nikmay yang diberi Allah SWT sepanjang usia ini.  Semua ini pastinya bermula dari didik-asuh arwah ibuku dan bapaku.  Mereka berdualah yang telah mewarnai kehidupanku malah mengatur jalan untuk aku bergerak sehingga sekarang.

Terima kasih yang tidak terhingga untuk para sahabat terutama KKPN Tuan Haji Azit Selamat, En. Mohd Nazir  serta rakan-rakan dari Sektor Psikologi dan Kaunseling JPN Kedah.  Terima kasih tidak terhingga untuk  Puan Murni kerana bersusah-payah menghantar kek Coklat Walnut yang sedap dan sejambak bunga kain yang cantik.  Sungguh terasa nikmatnya pemberian kerana ramai rakan di PPD Kota Setar yang dapat menikmati keenakan kek yang dibawa.

Apa pun aku turut bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang begitu penyayang.  Mereka saban tahun tidak pernah terlupa untuk meraikan hari lahirku -  Terima kasih untuk suamiku, anak-anakku dan kedua-dua cucuku.  Terima kasih untuk set periuk dessini yang cantik dengan warna hijau menawan dan juga pakej bermalam di Hotel Royal Signature pasti diluar jangkaan.

Aku berdoa semoga Allah memberiku kesihatan yang baik untuk aku terus melayari kehidupan pada tahun-tahun mendatang.  Juga Allah sentiasa membuka ruang untuk aku memperbaiki diri dan seterusnya aku akan terus istiqamah dalam mencari redha-Mu Tuhan.

10 April 2021 (Ahad)

Entah kenapa ‘mood’ menulis ke laut sejak beberapa hari lepas.  Sedaya upaya cuba mengadap komputer namun, padangan mata hanya terlekat pada skrin tanpa sebarang ayat.  Barangkali kepenatan dengan tugas yang pelbagai sehingga idea walaupun ada tidak upaya dijana dengan baik dan berkesan.

Beberapa hari kebelakangan ini banyak tugas yang perlu diselesaikan segera.  Barangkali kerana keletihan dan kekurangan rehat aku tidak dapat menulis dan mengarang dengan baik.  Sesekali badan perlu direhatkan apabila minda sudah semakin sarat.

Alhamdulillah, pada 4 – 6 April 2021 aku bersama beberapa rakan KPD terpilih menyertai Kursus Kompetensi Generik Kemahiran Penyelidikan Dalam Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi Kementerian Pendidikan Malaysia di SSPN JPN Negeri Kedah.  Bersyukur kerana berpeluang menemui sahabat dan adikku Norrosni setelah beberapa kali pertemuan yang diatur tidak dapat dipenuhi sejak tahun lepas. 

Kali terakhir bertemu pada bulan Mac 2020 juga ketika kami sama-sama menyertai kursus yang dianjurkan oleh BPsK di Putrajaya.  Sebaik kembali ke lokasi masing-masing seluruh negara diistiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1.  Sejak itu kami hanya berhubung melalui telefon.  Bayangkan jarak antara aku dan dia bukanlah jauh tetapi sempadan daerah memisahkan kami.

Namun, janji Allah sentiasa indah.  Selain berpeluang bertemu Norrosni  aku turut berpeluang menadah ilmu dengan Tok Guru ketika belajar di Universiti Utara Malaysia iaitu Prof. Dr. Noor Aniza serta Prof. Madya Siti Razaina.  Saat inilah kenangan ketika berada di dewan kuliah bersama para sahabat muncul dalam ingatan.  Saat kami sama-sama meredah kepekatan malam untuk pulang sebaik kuliah malam selesai dari UUM Sintok hingga ke Alor Setar.

Petang itu sebaik menyantuni kawan-kawan, aku dan sahabat diminta menghadiri satu majlis di The Jerai Hotel Alor Setar.  Kami berdua terpilih untuk mengikuti Seminar Advokasi Kepekaan Gender anjuran bersama Pejabat Pembangunan Negeri Kedah dan Kesatuan Pegawai Eksekutif (KEPAK), Negeri Kedah.  Dua personality hebat dengan tajuk menarik mengisi slot petang itu adalah Ts. Dr. Aisa Azira binti Hj. Abdul Azizi, Pengarah PPW Negeri Kedah serta Dr. Ahmad Rostam bin Md. Zin, Pakar Perunding Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

7 -  8 April 2021, setelah hampir tiga hari meninggalkan pejabat – beberapa tugasan perlu diselesaikan segera.  Memandangkan ada beberapa kerja yang patut diberi keutamaan, rakan setugas Cikgu Salihuddin bergerak ke lapangan manakala aku menyelesaikan beberapa keperluan yang patut di selesaikan di pejabat.  Kebetulan aku mempunyai temujanji dengan beberapa klien termasuk yang dirujuk dan datang secara sukarela,  menyediakan bahan untuk  mesyuarat AKRAB kali pertama, membuat pelaporan aktiviti dan menyelesaikan beberapa kerja lain.

Alhamdulillah, Khamis 8 April - meskipun terdapat pelbagai kekangan Allah atur pula pertemuan dengan mantan pengetuaku Cikgu Shikin, Dr. Zuraidah, Cg. Wan Farahuna dan Cikgu Tahiroh.  Walaupun hanya sempat berbual seketika kerana masing-masing ada tugasan lain namun, pertemuan itu besar makna bagi sebuah persahabatan.  Tahniah para sahabat guruku kerana berjaya mendapat pengiktirafan peringkat Daerah Kota Setar dalam kategori yang diceburi.  Semoga terus cemerlang pada masa-masa akan datang.

Hari ini Ahad – tujuan dan objektif utama adalah untuk menyiapkan Website Sektor Psikologi dan Kaunseling.  Namun, dalam masa yang sama satu kertas cadangan juga perlu disiapkan.  Manakala sebelah petangnya aku didatangi pula seorang klien secara sukarela.  Mana mungkin aku menyatakan tidak, jika klien tersebut sudah berada di hadapan pintu bilikku.

Ternyata, tugas dan kerja yang kita sandang dan lakukan tidak hanya selesai di pejabat.  Ada ketika, tugas itu mengikut kita sehingga berada di rumah.  Demikian juga aku, kadang-kala cuba mengelak namun, masih ada juga yang datang mengetuk pintu handphone ku sehingga tidak upaya untuk kutolak. 

___________________________________*******___________________________________


Barangkali, kekalutan dan kekangan-kekangan itulah antara punca mengapa idea aku tidak dapat diketengahkan. 

Namun, mana mungkin kita mengalah dengan keadaan andai kita kita sentiasa berusaha untuk menghadapi segala kekangan.  Sekurang-kurangnya malam ini aku berjaya juga menulis walaupun aku sendiri tidak pasti apa yang sedang aku perkatakan…

Selamat Petang Dunia Nostalgia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

IMBAS SEMULA - SELAMAT PETANG DUNIA NOSTALGIA

  Imbas Semula (Catatan ini sebenarnya sudah lama ditulis cuma tidak berkesempatan untuk dimuatnaik ke laman blog ini ketika itu.  Barangkal...