Khamis, 1 Jun 2017

MENGHITUNG RINDU DI BULAN RAMADHAN

Cepat sungguh masa berlalu dari tahun ke tahun.  Dari zaman kanak-kanak, ke zaman remaja dan seterusnya menginjak ke zaman dewasa.  Begitu cepatnya masa meninggalkan kita dengan sejuta kenangan dan nostalgia.  Rindu saat itu.  Tambah rindu apabila Ramadhan ini datang membawa pelbagai kenangan - yang rasanya begitu mengimbau dan mengusik jiwa.


Aku anak ke-6 dari 8 beradik semuanya.  Kiranya kalau yang perempuan, aku adalah anak perempuan paling kecil sekali.  Jadi, tidak hairanlah kalau aku agak ‘manja’ dengan kakak-kakak dan juga dua orang abangku.  Dua lagi adik di bawahku adalah lelaki.  Namun, manja anak lelaki ini tidak sama dengan manjanya anak perempuan.  (Hehehe…, kiranya aku ni perasan juga la..)

Ramadhan adalah hari-hari yang paling menyeronokkan bagi budak kampong seperti aku.  Yalah, masa bulan Ramadhan seperti inilah selalunya emak akan menyediakan juadah yang sedap-sedap.  Sebenarnya emak (arwah emak – meninggalkan aku pada awal tahun 2006.  Al-Fatihah buat arwah bonda yang begitu kami sayangi), seorang yang pandai memasak.  Emak juga suka menyediakan menu-menu baru yang dipelajarinya dari jiran tetangga atau sesiapa saja yang mengajarnya secara tidak langsung.

Emak paling suka buat kuih Limas.  Setiap kali puasa, Limas pasti jadi menu utama keluarga.  Arwah Pak (mengikuti jejak emak 2 tahun selepas itu), selalu saja minta emak menyediakan kuih Limas untuk dikongsi ke surau.  Maka kamilah (aku suka tengok-tengok dan kacau saja sebab ada kakak 3 orang yang rajin tolong emak) yang membantu emak menyediakan keronsang (bekas daripada daun pisang).  Aku seronok sekali bila emak mengait daun Pisang Abu, melayurnya dengan api yang disediakan di tepi rumah dan seterusnya membuat sama-sama keronsang kuih limas.  Tangan emak memang cekap.  Bekas limas yang sediakan cantik-cantik.  Sama sahaja bentuknya walaupun tidak ada ukuran dibuat.

Kuih Limas ini sudah menjadi menu wajib keluarga.  Bukan sahaja bulan puasa, kalau bukan puasa pun emak suka sangat menyajikannya untuk kami.  Selain limas, emak suka juga buat nasi kerabu.  Seronoknya bila emak menydiakan bahan-bahan untuk nasi kerabu.  Aku tidak tahu kenapa, nasi kerabu emak sememangnya sedap.  Tapi, kalau hari ini orang suruh aku buat nasi kerabu seperti yang emak sediakan – memang aku tak tahu.  Macam mana aku nak tahu menyediakan semua itu kerana zaman kanak-kanak dan remaja aku jarang memberi tumpuan kepada apa yang emak buat.  Seperti yang aku katakana, aku ada tiga orang kakak dan merekalah yang lebih mewarisi bakat memasak yang emak ada terutama sekali Nyah (kakak sulungku yang pastinya rapat dengan emak dan kerap mencuir-curi resepi emak yang sedap-sedap).

Sebenarnya bagi kami keluarga kampong ini, bulan puasa adalah bulan yang dinanti-nanti.  Masa inilah Pak akan menyembelih ayam untuk kami sekeluarga terutama pada awal dan akhir Ramadhan.  Aku suka sekali bila Pak bagi tahu, “Jah.., sat lagi tolong Pak pegang ayam.  Nak sembelih”.  Maka, tahulah aku menu utama kami hari itu adalah rendang ayam kampong yang akan disediakan oleh emak.  Paling seronok adalah ketika aku dan adik-adik sama-sama ‘mengejar’ ayam untuk disembelih.  Selalunya emak akan menyediakan beras sebagi umpan memudahkan ayam-ayam peliharaan emak ditangkap.  Berkiuk-kiuk bunyi ayam sebaik sahaja berjaya ditangkap dan dikurung dalam serkap (dibuat daripada buluh). Selalunya ayam lain yang sepatutnya dikorbannya tetapi ayam lain pula yang disembelih sebab sukarnya untuk menangkap ayam-ayam emak yang lari sekeliling kampong apabila dikejar kami tiga beradik.


Kerja-kerja untuk menyediakan rendang ayam tidak berhenti setakat itu sahaja.  Sebaik disembelih, semua ayam perlu pula dicelur untuk memudahkan bulu-bulunya dibuang.  Selepas dicelur, perlu pula dilayur sedikit bagi membuang semua bulu halus yang ada.  Seronok juga bila dikenang saat-saat ini.  Tapi selalunya, aku memang antara yang malas nak tolong bab-bab ini sebab makan masa yang lama dan sangat merenyahkan.   Emak sebenarnya sangat rajin.  Semua bahan-bahan untuk rendang akan dimayang halus (dulu mana blander, yang ada cuma lesung batu dan selalunya emak akan menumbuk semua bahan termasuk cabai dengan lesung batu atau digiling dengan batu penggiling).  Rendang ayam ini akan dimasak emak dalam kuali besar di tungku khas luar rumah.  Seronoknya masa mengacau sambil menunggu rendang ayam masak.  Baunya yang semerbak (wangi dengan bau serai, lengkuas, daun kunyit dan kerisik) kadang-kadang menggugat juga puasa aku zaman kanak-kanak.  Hidangan ayam rendang emak sememangnya dinanti-nanti.  Tapi selalunya bila makan emak akan menyiat-nyiat daging ayam dan dimasukkan ke dalam pinggan aku (aku jenis yang lambat dan tidak suka berebut-rebut – jadi emak yang selaunya ambil dan letakkan dalam pinggan).   Seronok sungguh masa itu,  tambahan pula semasa berhadapan dengan makanan Pak akan memberi tazkirah pendek sebelum berbuka puasa.  Kata-kata Pak sememangnya menjadi kenangan buat kami,  “Alhamdulillah, syukur.  Sat sangat kita posa ni, dah habis sehari dah”. “Posa ini bukanya lapo sangat pun.  Sat jer., tido, main dah maghrib.  Ni dah habis makan kita Jemaah sama-sama.  Sat lagi Bis dengan Man bentang sejadah.” (Yei!  Syoknya nama aku tak kena sebut.  Hehehe).  “Alhamdulillah.  Dah cukup sebulan posa.  Doalah moga tahun depan kita boleh posa lagi.”  Allahu.., rindunya pada kenangan itu.

Satu lagi menu emak yang sedap, yang jadi kenangan kami adik-beradik adalah sup ikan.  Sedapnya bila emak menyediakan sup ikan untuk kami sekeluarga.  Aku sampai hari ini pun tak tahu bagaimana emak boleh menyediakan sup ikan yang sedap. Tidak pula aku tahu apa resepi dan bahan-bahan yang emak sediakan.  Apa yang aku tahu, aku suka bila emak buat sup ikan sebagai sajian untuk keluarga.   Selalunya apabila emak ke pekan Kuala Kangsar (kami orang Perak sebut Pekan Kuala), emak tidak akan lupa beli beberapa ketul ikan (aku tak tahu ikan apa tapi yang pasti bukan isi ikan – kepala dan juga bahagian ekor).  Ikan itulah yang emak akan sediakan sebagai sup.  Sedapnya sup ikan emak sampai sekarang terasa enaknya.  Baunya semerbak dengan serai yang dititik serta beberapa herba lain yang emak akan tumbuk atau giling halus.  Selalunya sup ikan ini akan jadi rebutan semua dan yang ini aku tidak perlu menunggu emak atau Pak letakkan ke dalam pinggan aku ketika makan. 

Paling seronok lagi seminggu nak raya.  Emak sangat rajin buat kuih bakar (Kuih bangkit), kuih baulu, kerepek pisang dan juga kuih tiram.  Seronoknya bila emak kata hari ini kita buat kuih.  Rasanya macam nak melompat tinggi-tinggi.  Paling syok bila kena pukul telur dalam pasu.  Habis lenguh tangan-tangan.  Tapi paling tak seronok kena tunggu api masa bakar kuih baulu dan kuih bangkit.  Mak bakar kuih dalam tin atau periuk lama.  Bukan guna oven macam sekarang.  Guna sabut atas dan bawah.  Kalau terlebih sabut dan terbesar api, kuih cepat hangit.  Inilah bahagian aku dan adik-adik masa buka puasa.  Kadang-kadang kami curi-curi makan masa emak tidak nampak (hihihi… hari itu selalunya puasa kami tiga beradik ke laut.  Masing-masing simpan rahsia jangan cerita pada emak atau Pak.  Kalau tidak masa berbuka kami kena duduk jauh daripada hidangan.  Tak boleh makan sehingga habis semua orang berbuka!!).


Hari bakar lemang juga adalah hari yang sangat meletihkan.  Macam-macam kerja kena buat dari awal pagi hinggalah ke Maghrib.  Tapi dalam ramai-ramai, emak dan Nyahlah yang paling letih.  Abang-abang aku dan Pak selalunya bahagian bakar lemang sahaja.  Tunggu dan jaga api,  jangan sampai lemang mentah atau terlalu garing.  Emak, Nyah, Tak Do (arwah kakak aku yang ke-2, meninggal tahun 2007) dan Tak Na (kakak ke-3) sibuk di dapur.  Aku tolong sikit-sikit sahaja (sesuailah dengan kedudukan aku sebagai anak perempuan bongsu.  Hihihihi).   Lepas semua urusan dapur selesai, Tak Do dan Tak Na sibuk pula menyediakan kuih-muih untuk dihidang.  Sebab selalunya slepas Isyak orang-orang surau akan turun takbir dari rumah ke rumah.  Rumah aku antara rumah yang awal dikunjungi Jemaah surau.  Maka urusan dapur ini sebenarnya tidak tamat selepas Maghrib tetapi akan selesai sehingga pukul 11 atau 12 malam.  Masa inilah juga, aku, Man dan Bis akan memasang pelita panjut di luar rumah.  Pelita panjut ini selalunya telah dipasang mulai 27 likur (malam 27 Ramadhan).  Pelita ini asalnya dibuat daripada buluh yang ditebuk dan diletakkan sumbu dan minyak tanah.  Tapi apabila masa berubah, panjut turut berubah kepada pelita minyak tanah.  Dipasang keliling rumah dengan tiang-tiang buluh.  Tiang-tiang buluh ini pula selalunya disediakan oleh arwah Cop (abang sulung yang telah pergi meninggalkan kami pada Disember 1996) dan juga abang Din atau oleh Pak sendiri. 


Ramdhan pergi dan datang silih berganti saban tahun.  Memori zaman kanak-kanak meskipun berpuluh-puluh tahun ditinggalkan tidak mungkin akan terhakis begitu sahaja.  Rindunya pada arwah emak dan Pak yang sentiasa berkorban untuk anak-anak walaupun dalam susahnya mereka membesarkan aku adik-beradik.  Emak – bagi aku adalah wanita yang sangat hebat.  Didikannya, budi bahasa dan tingkahlakunya, tuturkatanya.  Malah segala-galanya tentang emak bagi aku sangat hebat.  Emak sangat menghormati Pak.  Walaupun kadang-kadang Pak sangat tegas, emak tidak pula melawan atau berkata balas.  Emak sifatnya sangat pemaaf dan sangat penyimpan.  Rahsia hidupnya (susah dan senangnya) disimpan begitu kemas. Emak sebenarnya sangat kreatif.  Pandai dalam banyak perkara.  Susah hidupnya dari zaman muda namun, hatinya sentiasa ikhlas dan redha.  Pak – pemimpin keluarga yang tegas tapi lembut dan penyayang.  Sangat penyabar dan ikhlas.  Dalam apa juga kerja buatnya Pak sangat bersungguh-sungguh.  Suaranya lunak sehingga diangkat menjadi bilal masjid.  Sangat berseni dan jiwanya begitu halus sehingga boleh berbahasa kias dan berpantun spontan. Ahhh…., begitu besar dan agungnya kasih kedua mereka sehingga setiap datangnya Ramadhan, rindu kepada keduanya tidak pula menjadi padam malahan semakin membesar.  Salam rindu buat keduanya. Al-Fatihan buat Bondaku Aminah dan Ayahandaku Mahmud.  Kalin sentiasa kami kenangan dalam ingatan dan doa!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...