Dingin pagi Jumaat terasa amat. Kebetulan pula hujan yang turun sejak subuh menyebabkan teasa begitu malasnya diri untuk meninggalkan keempukan tilam. Tambahan sepanjang minggu mulai Ahad sehinggalah semalam Khamis, tidak berhenti-henti dengan mesyuarat dan perjumpaan. Hujan yang turun dan cuti hujung minggu terasa ingin pula dimanafaatkan sepenuhnya. Lepak, guling-guling sambil membaca semuka dua artikel dari majalah Solusi yang belum sempat dikhatam.
Deringan telefon yang menjerit berkali-kali menyebabkan otak memaksa diri untuk bangun. Sebaik mencapai handphone yang baru dicas, si pemanggil sudah menghentikan panggilannya. Tertanya-tanya pula di lubuk hati, siapakah yang menelefon seawal ini kerana jam belum menunjukkan pukul 7.00 pagi. Pasti ada yang penting, jika tidak mana mungkin ada pemanggil yang sengaja menghubungi seawal ini. Sebaik melihat pada skrin telefon tertara nama yang cukup sinonim dengan diri. Seorang sahabat dari tempat bertugas. Tidak pula mengambil masa yang lama, jejari dengan pantas mendail semula. Namun panggilan saya pula yang tidak berjawab.
Dingin pagi yang tadi mengajak diri bermalas-malas bertukar kepada kerisauan dan sejuta pertanyaan. Mengapa pula Ustazah Norazlin menelefon sebegini awal. Pasti ada sesuatu yang penting. Dalam hati berkata-kata, sekali lagi telefon saya berdering. Tidak pula saya menunggu lama, segera panggilan itu saya jawab.
Memanglah benar kata orang, setiap kali telefon berbunyi pada waktu-waktunya yang tidak sepatutnya pasti ada berita yang dibawa. Dan selalunya pula berita itu adalah berita yang menyediahkan. Tiba-tiba terbayang di ruang mata saya wajah anak murid saya yang berada di Tingkatan 5 itu. Kerap juga sebenarnya dia berada di bilik saya semenjak di Tingkatan 4 lagi. Dia agak rapat sebenarnya dengan saya. Selalu bercerita dan kerap pula berkongsi apa sahaja yang dirasa dan dihadapinya. Cuma kebelakangan ini, ya kebelakangan ini dia kelihatan sedikit berubah. Penyakit ibunya yang sudah sampai ke tahap kritikal menjadikan dia seorang yang cukup pendiam. Kadang-kala dia juga tidak hadir ke sekolah kerana kesibukan menjaga ibunya yang sakit. Saya sememangnya bersimpati dengannya. Dengan usianya yang muda dan ketika peperiksaan SPM makin menghampir. Tiba-tiba Allah SWT menguji dengan mengambil ibunya kembali.
Terbayang di mata saya wajah anak murid saya itu - dengan matanya yang cantik, dengan senyumnya yang manis menawan. Saya takut jika kesedihan ini akan menghilangkan segala-gala yang ada pada wajahnya. Cuma saya hanya mampu berdoa agar ibunya di tempatkan bersama-sama orang yang solehah. Saya juga hanya mampu berdoa agar anak saya itu akan tabah dan kuat menghadapi setiap yang berlaku itu. Sesungguhnya kasih-sayang Allah itu tiada batasnya. Saya tahu dan dia juga perlu tahu bahawa Allah sangat sayangkan ibunya. Kuatkan semangatmu, saya sentiasa bersedia dan sentiasa ada untuk kamu. Tolong jangan lupa itu!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan