Selasa, 2 Oktober 2012

KESIBUKAN

Semakin sekolah menghampiri cuti akhir tahun terasa pula kesibukan dengan pelbagai aktiviti di sekolah semakin ketara.  Bermula pertengahan September hingga ke saat saya menulis di blog ini, saya terus merasakan kesibukan dan terasa pula bagaikan masa yang ada tidak mencukupi.  Sepanjang minggu ini bermula Ahad 30 September, setiap hari ada sahaja mesyuarat dijalankan.  Ini bermakna sepanjang minggu ini terpaksalah saya balik petang - 5.00 atau 5.30 petang!

Selalunya pula apabila sampai di rumah, keupayaan badan sudah berada di tahap yang maksimum.  Hinggakan hendak menjengah dapur pun sudah tidak bermaya.  Syukurlah kerana suami saya cukup bertimbang rasa.  Maka sepanjang waktu itu dapur saya kerapnya berubah-ubah dari satu kedai ke kedai yang lain! 

Dalam kekalutan mengurus pelbagai aktiviti, terdapat pula beberapa aktiviti selingan yang diselit bersama.  Esok 3 Oktober 2012, kami akan menerima 80 orang guru-guru Bimbingan dan Kaunseling dari Kuala Muda Yan.  Terfikir jauh di sudut hati, apalah yang menarik yang ingin kami persembahankan untuk mereka.  Tiadalah apa yang istimewa untuk mereka kongsikan.  Namun, atas nama arahan daripada PPD Kota Setar maka kami bersedia menerima kunjungan tersebut - 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'.   Andai ada kekurangan di mana-mana, tinggalkan di pagar sekolah kami, jika ada pula kelebihan yang boleh dikongsi maka bawalah balik untuk kebaikan semua pihak.

Selain kekalutan menerima tetamu, Sabtu 6 Oktober 2012 sekolah kami dan saya serta beberapa orang guru terpilih pula menjadi jawatankuasa untuk Program Ekplorasi DMS bersama Berita Harian.  Demikianlah kesibukan sekolah, ditambah pula dengan aktiviti selama 15 hari sebaik tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan bermula dari 9 - 16 Oktober 2012.  Ini bererti Program selepas PMR akan bermula selama 15 hari bermula 17 Oktober 2012 hingga 8 November 2012.

Sepanjang kekalutan tersebut, saya sangat-sangat berharap agar seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah diberi kekuatan dan kesihatan untuk terus menempuh hari-hari yang mendatang termasuk kekuatan anak-anak murid kami untuk berhadapan dengan tiga peperiksaan beasar iaitu PMR, SPM dan juga STPM.  Moga anda akan terus berjaya walaupun kesibukan itu terus menerjah kami para guru kerana sesungguhnya kesibukan itu hanyalah sebahagian warna-warna kehidupan untuk kita terus berjaya.  Insya'Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...