Ahad, 3 Mei 2020

Covit 19 & Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sudah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan di seluruh negara. Bermula 18 Mac 2020 dan kini sudah masuk fasa ke-4.  Cepat sungguh masa berlalu.  Amat lama rasanya kita lalui detik-detik mengawal diri dari kebiasaan yang pernah kita dilakukan.  Namun yang pasti hingga saat ini, rutin  biasa  yang kerap kita lakukan lebih sebulan lepas  sudah berubah.  Ternyata sangat berubah. 

Sebenarnya sepanjang tempoh itu, aku tidak pernah menulis sesuatu berkaitan dengan Covit 19 atau PKP ini.  Tidak.  Walaupun jauh di sudut hati aku terasa ingin mencoretkan sesuatu berkaitan Covit 19 yang menyerang negara.  Namun, kekuatan untuk menulis tentang itu sebenarnya tiada.  Kerapnya aku cuba menyesuaikan diri.  Cuba memahami dan selebihnya cuba juga menenangkan diri.  Tambahan perkara seperti ini belum pernah kita lalui.  Ye..., sehingga ke usia 53 tahun, inilah kali pertama PKP dilaksanakan di negara kita.  Pertama kali juga wabak  seumpama ini menular  ke seluruh dunia.  Semua yang berlaku tiba-tiba nyata bagai mimpi.  Sedikit sebanyak turut memberi kesan ke atas emosi dan aku cuba belajar memuhasabah diri.

Jika dapat diungkap semula apa yang berlaku, rasanya baru semalam  aku dan  keluargaku sama-sama menjalani rutin hidup biasa.  Makan, minum, bervideo call atau kerapnya berbalas-balas mesej juga melakukan riadah santai di hadapan rumah.  Hari-hari aku dan suami bermula seawal 5 pagi.  Kerapnya aku akan memasak  sedikit juadah untuk sarapan sambil menyediakan sejenis-dua menu tengahari untuk suami sebelum  bergegas ke pejabat dalam pukul 7.20 pagi.  Petangnya bila balik, selalunya kami akan makan apa sahaja yang ada di rumah.  Atau  kami (aku, suami dan seorang anak) akan keluar sekejap pusing-pusing bandaraya Alor Setar atau terus ke pekan Jitra dan singgah makan-makan sebelum melelapkan mata.  Aktiviti yang sama ini berulang semula esok dan esoknya.  Begitulah hari-hari yang kami lalui sebelum PKP ini diwartakan.

Sejujurnya aku ingin sekali merakam semula apa yang berlaku dari  awal Mac hingga kini. Sekurang-kurangnya sebagai kenangan untuk beberapa tahun akan datang.  Atau mungkin untuk dibaca semua oleh anak-cucu apabila tiba masanya.  Ceritanya, 18 hari sebelum PKP  Fasa 1 diumumkan, aku dan beberapa rakan setugas dihantar mengikuti kursus Transformasi Minda di Putrajaya. Berkamponglah kami di tengah kota batu selama 3 hari 2 malam. Dalam masa yang sama ketika itu sudah ada individu yang telah dijangkiti wabak Covit 19 di sini. Tapi, seperti orang lain kami juga tidak menganggap wabak ini sebagai satu yang serius.  Perjalanan jauh ratusan kilometer membolehkan kami berempat berkongsi  pelbagai cerita.  Tetapi sedikit sangat  berbual berkaitan  Covit 19.  Ya lah, tiada siapa pun antara kami pada ketika itu merasakan yang wabak ini akan  menular dengan begitu cepat dari sehari ke sehari.


Balik dari Putrajaya, aku sempat pula menyantuni beberapa orang anak pelajar yang berkongsi kegembiraan mereka ketika keputusan SPM 2019 diumumkan.  Seronok melayan dan berkongsi hasil titik peluh yang dituai selepas mereka bertungkus-lumus selama 5 tahun di peringkat sekolah menengah.  Teruja aku mendengar mereka bercerita tentang Si Polan dan Si Polan mendapat banyak A dalam SPM.  Malah hari khamis sebelum bermula cuti pertengahan penggal, aku masih sempat mengikuti Kem Kepimpinan Pemimpin Pelajar di Kem Sala - bertemu dengan anak-anak PRS yang sangat aku rindui  serta ahli-ahli Rakan Surau yang mengikuti perkhemahan selama 2 hari 1 malam di sana.  Sempat juga aku bertemu dengan beberapa orang guru - Cikgu Fautie Kazlinda, Ustazah Fauziah, Ustazah Bushro serta Cikgu Fairuz.  Pertemuan lebih 2 jam itu memberi kami ruang untuk sembang-sembang santai setelah agak lama tidak dapat berbuat demikian kerana perubahan tempat bertugas.

Dan sebenarnya minggu kedua bulan Mac, rutin tugas harian aku masih berjalan seperti biasa.  Sehinggalah minggu ke-3 ketika cuti persekolahan bermula pada 13 Mac 2020.  Ahad dan Isnin berikutnya, aku turut bercuti selama 2 hari  untuk sama-sama menyantuni anak-cucu yang balik  kampung.  Yang pasti cuti kali ini anak-anak tidak lagi ghairah mengajak kami keluar makan dan bersantai-santai seperti lazimnya. Banyak aktiviti kami lakukan di rumah sahaja.  Main layang-layang bersama dan makan-makan di rumah walaupun makanan dihidang sebenarnya dibeli di luar. Abang dan kakak banyak memahamkan aku dan suami tentang kesan dan akibat jangkitan Covit 19 terutama bagi golongan berusia seperti kami. Masa inilah aku sudah merasakan bahawa wabak ini akan memberi impak kepada seluruh dunia.  Tambahan pula bila suatu  petang (aku tidak ingat tarikh dan hari tapi 1 atau 2  hari sebelum PKP Fasa 1 diumumkan),  aku dihubungi anakku Farah Izzati yang sedang belajar di Edinburgh, Scotland. 


"Semua kuliah dan peperiksaan dibatalkan kecuali untuk pelajar Tahun Akhir. Macam mana mak? Adik perlu balik ke?"


Allah... jantungku berdebar kencang tiba-tiba.  Macam-macam perkara bermain di fikiran.  Jauh beribu batu. Risau dan bimbang. Masa inilah aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula apabila kerajaan mengumumkan PKP Fasa 1 pada 16 Mac 2020.  Namun seperti orang lain, aku tidak menyangka bahawa tempoh PKP ini kan mengambil masa yang begini panjang.  Malahan turut pula meragut pelbagai keistimewaan yang biasa kita kecapi sebelum ini.  Dalam tempoh 3 hari (15 Mac - 17 Mac) pelbagai perkara berlaku.  Paling membimbangkan apabila nama Farah Izzati tiada dalam senarai penumpang ketika check in.  Tiket penerbangan Edinburgh - KLIA  melalui Syarikat Penerbangan Turkey dibatalkan tanpa notis walaupun bayaran telah dibuat!!  Bayangkan bagaimana seorang pelajar perempuan terkontang-kanting di negara orang sedang belajar membuat keputusan.

Alhamdulillah, dalam keadaan  kelam-kabut, akhirnya tiket baru dapat dibeli dengan syarikat penerbangan lain walaupun harganya sudah melebihi paras biasa.  Syukur akhirnya anakku  Farah Izzati  selamat sampai ke tanah air pada hari ke-2 PKP Fasa 1.  Sepanjang waktu lebih 18 jam perjalanannya kembali ke Malaysia, hanya doa yang mampu aku titipkan.  Aku cuba membuang jauh-jauh semua pemikiran negatif dan memasukkan elemen positif dalam minda.  Aku cuba sembunyikan kerisauan dan kebimbangan dan pada saat ini hanya pada Allah tempat aku berserah.  Tika melihat dan menjemputnya di airport terasa air mata jatuh berderai namun, seperti yang disarankan (dan anakku juga mematuhi arahan), kami tidak langsung bersalaman atau bersentuhan.  Sebaik sampai di rumah - mandi, bersihkan semua barang yang dibawa dan seterusnya bermulalah episod kuarantin diri selama 14 hari.  14 hari yang sangat mencemaskan.  Kalau ada yang bertanya,  aku tidak tahu bagaimana ingin kugambarkan keresahan dan kebimbangan yang menghantui kami semua saat itu. Risau jika ... Semoga Allah jauhi dan menyelamatkan kami semua. Sepanjang tempoh 14 hari kami tidak keluar walau pun hanya di halaman rumah!

Aku cuba mencari hikmah dalam musibah.  Sepanjang tempoh PKP Fasa 1 hingga Fasa 3 ramai jiran tetangga yang datang terutama ibu-ibu tunggal menceritakan tentang kegusaran mereka.  Tambahan ketika membaca bermacam-macam mesej yang disebarluas melalui whasap, telegram dan lain-lain.  Ramai diantara mereka yang agak tertekan apabila memikirkan anak-anak yang jauh selain kesukaran  mereka bergerak mendapatkan keperluan harian.  Ya.., sekurang-kurangnya saat ini aku masih ada suami dan anak-anak yang sentiasa sedia membantu serta berkongsi cerita pada setiap saat dan ketika.  Paling tidak aku boleh berkongsi apabila terasa stress atau buntu.  Bagaimana agaknya dengan sahabat dan jiran tetanggaku yang tinggal sendirian?  Siapa yang yang boleh diharap  mendengar keluhan dan kegusaran mereka??


Sepanjang PKP aku mendapat semula seluas-luas ruang untuk mengasah kembali minat dan bakat yang aku miliki.  Sejak kecil aku sememangnya sangat suka memasak dan menulis. Namun, kekangan tugas harian menyebabkan kedua-dua aktiviti ini jarang aku lakukan dengan jiwa.  Lebih-lebih lagi apabila di rumah hanya tinggal kami berdua sahaja.  Memasak bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan sebab selalunya makanan yang dimasak tidak habis dimakan.  Jadi kerapnya aku hanya memasak di waktu pagi sebelum bekerja.  Selebihnya, apabila malam aku hanya 'order' sedikit makanan dari luar.  Namun, PKP ini mengajak aku mahu atau tidak menyajikan makanan yang digemari suami dan anak-anak.  Sesekali mencuba resepi-resepi yang sudah bertahun tidak dicuba.  Malah kerap pula mencuba semula menu-menu lama yang dulu selalu disediakan oleh arwah bonda.  Begitu juga dengan bakat dalam bidang penulisan.  PKP memberi ruang untuk aku mengasah semula bakat menulis dan mengarang, bermain dengan emosi juga membaca dan menulis  resensi buku.  Sekurang-kurangnya bakat yang semakin berkarat dapat digilap semula.

Selain itu, aku rasa dengan PKP ini aku mampu melihat dunia di kelilingku dengan lebih terbuka dan peka.  Ramai rupanya insan di luar sana yang memerlukan bantuan untuk kita kongsikan apa yang Allah rezekikan kepada kita.  Seringkali ketika makan, aku bertanya kepada dua anakku - bagaimana agaknya orang lain yang putus rezekinya ketika ini?  Sedang kita tidak sedikit pun nikmat makan ditarik Allah.  Malah makin bertambah dengan menu pelbagai yang dicuba.  Sedangkan di luar kita melihat dan membaca ramai yang hilang punca pendapatan.  Ada yang menjaja makanan dari Changloon hingga Alor Setar atau mungkin hingga Kuala Kedah.  Masuk ke taman-taman dan kampong-kampong.  Tidak balik ke rumah meskipun matahari sudah mula terbenam. Kasihan apabila mereka berkongsi cerita dan aku melihat masih banyak baki jualan di dalam kereta.  Allah..., bersyukurlah dengan apa yang kita miliki dan kongsilah sedikit nikmat yang kita ada dengan mereka.

Sesuai dengan tugasku, Covit 19 juga mengajak aku menjadi lebih prihatin.  Aku dan beberapa orang rakan telah mendaftar dan seterusnya terpilih sebagai  sukarelawan Talian e-Kasih anjuran bersama JKM dan KPM.  Selain menyediakan perkhidmatan atas talian untuk warga PPD Kota Setar, aku juga bersedia mendengar dan membantu orang awam juga secara atas talian.  Menjawab mesej dan whasap atau dihubungi sehingga larut malam bukan menjadi kudis untuk aku berkongsi dan membantu orang lain.  Perkhidmatan ini bermula dari 18 Mac hingga ke hari ini.  Ramai juga tapi tidaklah terlalu banyak, insan-insan yang terjejas emosi mereka akibat Covit 19 dan PKP.  Gaya hidup baru, pendekatan juga pastinya berubah ke arah yang baru.


Sesungguhnya aku sangat berharap (orang lain juga aku yakin) agar semua ini akan berakhir dengan segera.  Sungguh aku rindu pada anak-anakku (Mawardi, Farhana dan Nabihah) malah kedua-dua cucuku (Faiz dan Fateh).  Terasa begitu lama tidak dapat bersua muka dengan mereka. Pasti kedua-dua cucuku itu sudah semakin fasih dan petah berkata-kata. Pasti. Namun, isinkan aku mengucapkan ribuan terima kasih untuk dua orang anakku Fatin dan Farah juga suamiku Sobri yang sentiasa ada dalam saat-saat sukar kita ini.   Aku sentiasa berdoa semoga semua ini berakhir  kerana aku sangat rindu kepada kerusi dan meja di pejabat malahan terlalu rindu juga kepada rakan-rakan sekerja (SMKSB, PPD, MGK Kota Setar, MGK Negeri Kedah, UUM malahan seluruh kaum keluarga).  AKU RINDU KAMU.  Allah... aku pasti ada hikmah di sebalik setiap musibah.

Izinkan juga aku merakamkan ucapan terima kasih untuk semua Frontliner Malaysia yang bertugas tanpa henti sepanjang PKP ini.  Berilah ganjaran sebaik-baiknya untuk mereka Ya Allah kerana mereka telah memudahkan segala urusan kami.  Tiada  yang mampu  aku bayar melainkan hanya sebuah ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk mereka. Terima kasih juga untuk semua saudara mara, sahabat handai dan anak-anak muridku yang menjadi doktor, jururawat, polis, tentera, imegresen, kastam, pos dan lain-lain. Anda hebat.



#stayathome
#kitajagakita

Sabtu, 28 Mac 2020

CARA MENGAWAL STRES

Stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami oleh seseorang apabila tuntutan tidak dapat dipenuhi.  Stres boleh juga dialami bila berdepan dengan rangsangan yang tidak menyenangkan seperti bau yang busuk, bunyi yang kuat dan kata-kata yang kesat.
Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres.  Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi. Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.
Walau bagaimanapun, stres yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.  Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri atau pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.  Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah 10B
Kaedah 10B ini adalah :-
  1. Bertenang
  2. Bernafas dengan dalam
  3. Berkata 'Rilekslah'/tak mengapa
  4. Beribadat
  5. Bercakap dengan seseorang
  6. Berurut
  7. Berehat dan mendengar muzik
  8. Beriadah
  9. Bersenam
  10. Berfikiran positif
Bertenang.
Setiap kali anda berasa stress atau berasa ketegangan,  bawalah bertenang. Dengan bertenang ia boleh membantu mengurangkan kitaran stres negatif pada peringkat permulaan.

Bernafas dengan dalam.

Lakukan latihan pernafasan yang boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida  dalam sel tubuh bagi mengurangkan ketegangan.

Berkata, ` Relakslah’.

Cuba katakan pada diri sendiri,  saya ni stres, ‘Relakslah’, Tak mengapa atau Tak pe lah, Oklah tu .  Bawalah bersabar.  Kata-kata ni sedikit sebanyak dapat menenteramkan perasaan dan mengurangkan stres.

Beribadat. 
Sekiranya anda mengalami tekanan atau stres anda boleh melakukan ibadat  seperti berzikir dan sembahyang mengikut kepercayaan masing-masing.  Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasan seseorang.

Berkongsi perasaan dengan seseorang
Bercakaplah dengan ahli keluarga atau  kawan-kawan rapat anda yang anda percayai dan dapat memahami perasaan anda .  Luahkanlah dan kongsi perasaan anda dengan mereka.
Apabila anda berkongsi perasaan dengan orang lain , anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan tekanan yang anda hadapi.  Anda akan merasai bahawa masih ada orang yang sayang dan ambil berat tentang diri anda.

Berurut. 

Apabila anda stres pada kebiasaannya otot-otot di bahagian leher dan bahu akan menjadi tegang.  Belajarlah cara urut leher dan bahu kerana urutan ini boleh melegakan tegangan otot dan melancarkan perjalanan darah. urutan kaki juga boleh dilakukan untuk mengurangkan stres.

Berehat dan mendengar muzik.

Apabila anda stres berehatlah sambil mendengar alunan muzik yang  lembut.  Muzik  dapat membantu mengurangkan denyutan jantung yang laju dan tubuh badan anda akan mula relak serta  pernafasan anda akan kembali normal. Ini membuat anda   berasa tenang.  Pilihlah muzik yang lembut dan menenangkan.

Beriadah.

Luangkan sedikit masa anda untuk melakukan aktiviti  di luar rumah sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan.  Lakukanlah aktiviti yang anda sukai.  Beriadah dapat menenangkan fikiran dan membuat anda berasa gembira serta menghilangkan stres.

Bersenam. 


Bersenam juga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres. Dengan bersenam  ia dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin dan anda akan berasa lega dan tegang. Antara aktiviti senaman yang boleh anda lakukan ialah berjalan dan bersenam robik.

Berfikiran positif.
Stres  juga boleh berlaku disebabkan prasangka dan salah tafsir kita terhadap sesuatu situasi.  Cubalah berfikiran secara positif di mana anda cuba  melihat kebaikan atau keadaan positif dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif.  Kita perlu berfikiran positif untuk meningkat harga diri sendiri.  Pelajarilah cara berfikiran positif kerana ia akan dapat membantu kita menangani stres dengan lebih berkesan.


Dengan melakukan kaedah 10B,  kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh dapat dikurangkan. Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda.  Walau bagaimanapun, kaedah 10B hanya boleh mengawal stres untuk jangka masa pendek.
Punca stres perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres tersebut. Anda juga boleh mengamalkan kemahiran daya tindak yang bersesuaian untuk menangani stres anda.

Jumaat, 24 Januari 2020

Ini Ceritaku 2 - 12 Th Di SMK Sultanah Bahiyah

Sepanjang lebih kurang 12 tahun di SMK Sultanah Bahiyah (sebenarnya 11 tahun 6 bulan), inilah barisan kepimpinan yang bayak membentuk diriku.  Aku sangat berterima kasih kepada mereka kerana mengajar dan memberi aku banyak kepercayaan, membentuk diri dan membina keyakinan ini.  Aku ingin sekali mendedikasikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga mantan pengetua SMK Sultanah Bahiyah yang pastinya sangat aku kasihi.  

Sejujurnya aku berasa senang dan sangat berterima kasih kepada mereka.  Memang pada awalnya kita mula-mula aku mengetahui yang aku akan ditempatkan di SMKSB, ada sedikit rasa 'gerun' di dalam hati.  Namun, aku sentiasa percaya bahawa Allah tidak mungkin menzalimi hambaNya dan aku yakin pasti ada hikmah kenapa aku ditempatkan di sekolah sehebat itu. 

Image result for rahinun mohd nor
Pn. Hajah Rahinun binti Mohd. Noor

Pn. Hajah Zaini binti Kamaruddin

Pn. Hajah Noor Ashikin binti Yusoff
Ketiga-tiga insan hebat inilah yang telah banyak membantu aku dalam mengilap potensi diri juga belajar bagaimana muhasabah diri.  Terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga mereka. Tidak ada ucapan terbaik dalam mengenang setiap jasa yang telah mereka lakukan. Hanya sebuah doa sahaja yang mungkin mampu untuk diberikan - Semoga Allah melimpahi mereka rahmat kehidupan di dunia dan akhirat.  Terima kasih cikgu - Jasa cikgu sentiasa akan dikenang sehingga hayat dikandung badan.






.





Khamis, 23 Januari 2020

BEKERJA ITU ADALAH IBADAH

Kadang-kadang kita terlalu leka bekerja sehingga kita terlupa yang kita sudah dimamah usia.  Banyak perkara yang pastinya tidak sama dengan apa yang kita pernah alami ketika mula-mula bekerja.  Perbezaan paling ketara adalah bagaimana bertenaganya generasi muda mendepani kehidupan yang berubah dari segi teknologinya.  Semua itu jika kita biarkan akan menjadikan kita insan yang jauh lebih kebelakang berbanding dengan mereka yang lebih 'celik IT' berbanding kita.

Aku sedar, dulu ketika mula melapor di di SK Bukit Bintang 1 pada tanggal 3 Jan. 1989, aku adalah seorang individu yang cergas dan penuh energi.  Ya.., usia masih muda - 22 tahun, pastinya aku mampu bersaing dengan tenaga-tenaga yang lebih tua daripada aku.  Namun kini, sebaik aku melapor diri di tempat baru dengan jawatan yang baru, usiaku sudah mencecah lebih 5 siries.  Satu jangka usia yang jika diterjemah kepada sebuah pokok tentu hasilnya juga sudah tidak seberapa..

Aku sentiasa sedar dan pastinya tidak pernah pula untuk lupa bahawa kerja itu sebenarnya adalah satu ibadah.  Meski usia sudah semakin banyak, aku perlu berusaha sedaya upaya untuk bersaing dan cuba duduk sama rendah serta bila berdiri sama tinggi dengan orang lain.  Aku sentiasa bedoa semoga perjalanan menunaikan amanah ini akan dipermudahkan Allah.  Aku yakin, ramai sahabat di sekelilingku akan menghulurkan tangan bagi membolehkan aku meneruskan usaha-usaha yang sedang kami lakukan.

Semoga Allah permudahkan.  Doakan agar segala yang aku lakukan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. 

Jumaat, 13 Disember 2019

Ini Ceritaku 1 - 12 Tahun Di SMK Sultanah Bahiyah

Aku mula mendaftar di sekolah ini tanggal 1 Julai 2008 sebaik menamatkan pengajian Ijazah Pertama Bimbingan Kaunseling di Universiti Utara Malaysia.  Sebelum itu, aku telah dimaklumkan oleh En. Anuar Zamani (Pegawai PPD Kaunseling ketika itu) berhubung penempatanku di SMK Sultanah Bahiyah.  Pelbagai persoalan, kerisauan berlegar di ruang fikiran.  Sejujurnya semua orang akan berada dalam situasi yang sama dengan aku.  SMK Sultnah Bahiyah?  Siapa yang tidak kenal SMKSB di Daerah Kota Setar ini?  Sebuah sekolah yang gah namanya selain SMK Sultanah Asma.  Ya lah..., sekolah dengan nama-nama sultan dan sultanah, pastinya hebat di kaca mata semua orang.

Sebagai seorang guru yang bermula dari sekolah rendah, alam persekolahan menengah tentunya amat berbeza.  Pendekatan dengan murid-murid, budaya kerja dan pastinya persekitaran serta seluruh warganya.  Cuma aku bersyukur kerana waktu itu, Cikgu Hasmah Idin banyak membantu aku cepat menyesuaikan diri dengan demografi SMKSB.  Secara umumnya, aku terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan cepat.  Pengetua (Pn. Hjh Rahinun) begitu tegas dalam menjalankan tugas yang disandangnya di sekolah.  Beliau banyak membantu meningkatkan keyakinan diri untuk aku bersaing dengan rakan-rakan guru yang lain.   

Kursus Kepimpinan Pengawas
Sebenarnya, aku kagum dengan budaya kerja yang ada di SMKSB.  Dari pihak pengurusan tertinggi, guru-guru, staf non akademik sehingga anak-anak murid.  Masing-masing menjalankan peranan dan tugas masing-masing.  Itu antara tips yang menyebabkan kenapa SMKSB boleh berada pada tahap yang sepatutnya mereka berada.  Antara yang menarik yang boleh dikongsi adalah sikap semua murid yang sentiasa mencatat apa sahaja yang mereka dengar, baca dan lihat.  Budaya membawa pen dan buku ini menjadi satu budaya yang mampu membangunkan jati diri semua murid.
Mendengar Sambil Mencatat
Aku tidak mungkin dapat melupakan, bagaimana murid-murid akan berlari dan berjalan cepat ke kelas masing-masing apabila didenda kerana tidak membawa buku catatan dalam perhimpunan.  Mendengar suara Cg. Norliza (Guru Disiplin) sahaja sudah membuat murid-murid kecut perut.  Tambahan pula jika mereka didenda kerana kecuaian tidak membawa buku nota dan pen ke dalam dewan.  Budaya mencatat info dalam perhimpunan (ucapan, ceramah dll yang disampaikan) tidak habis begitu sahaja.  Guru-guru boleh menggunakan semula apa yang disampaikan dan bertanya kepada murid apa yang mereka dapat sepanjangkan perhimpunan atau aktiviti dijalankan.  Jadi maksudnya, murid-murid dan guru perlu sama-sama memberi perhatian bagi setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah.

Bakat Murid Digilap
Di sini aku melihat bagaimana bakat murid dicungkil dan digilap.  Bukan setakat murid cemerlang  akademik malahan keupayaan mereka dalam bidang kokurikulum juga dapat diketengahkan.  Jika di padang, ada murid yang aktif bersukan, dan ada murid yang terlibat aktiviti-aktiviti ko-akademik dengan bakat mereka yang sangat menyerlah.  Jika di sekolah-sekolah lain, murid yang berminat dengan bidang muzik didedahkan dengan 'band', di SMKSB murid-murid diberi peluang terlibat dengan orkestra, kumpulan Nasyid serta kumpulan Angklung.  Kesemua ini sebenarnya membantu murid-murid SMKSB sentiasa aktif dan sihat baik di dalam bilik darjah mahu pn di luar bilik darjah.
Aktiviti Hari Guru
Banyak sebenarnya kenangan di SMKSB.  Bila pertama kali datang dan ketika sambutan Hari Guru - aku melihat betapa suramnya sambutan Hari Guru di sini. Pertama kali pada tahun 2010 - sambutan Hari Guru dibuat dengan sedikit kelainan dan aku melihat kesungguhan murid dan guru mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk sama-sama menjayakan sambutan tersebut.  Syukur kerana budaya itu terus kekal hampir 10 tahun selepas itu.  Aku ingat bagaimana aku dipanggil oleh Pn. Rahinun sebaik beliau membaca tulisanku berkaitan Sambutan Hari Guru di blog ini.  Alhamdulillah, beliau akhirnya meminta aku menyusun dan mengatur sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berdasarkan apa yang aku fikir tetapi tidak lari dari skop yang beliau inginkan.  Terima kasih Pn. Rahinun, cikgu terlalu banyak membantu  aku terus yakin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan warga Bahiyah yang pada awalnya sangat aku geruni walaupun hanya mendengar namanya.

Bagaimana aku mungkin melupakan SMK Sultanah Bahiyah terutama anak-anak Pembimbing Rakan Sebaya yang sangat aku kasihi.  Aku masih ingat bagaimana aku berjumpa Pn. Rahinun untuk membentangkan kertas konsep Penubuhan PRS Sekolah dengan memakai baju purple dan designnya kami (Cg, Hasmah, aku dan Cg. Azlina) sediakan.  Alhamdulillah.  Pembentangan kertas konsep dan surat permohonan pemakaian pakaian berwarna purple diluluskan dan pada tahun 2011 aku mendapatkan sekumpulan anak-anak PRS yang dididik dan diasuh dengan acuan kami sehingga mereka mampu membuka mata guru-guru SMKSB saat itu.  

Jamuan PRS
Aku sangat menyintai mereka.  Dan mereka adalah sebahagian kehidupanku di SMKSB.  Aku melihat dari tahun ke tahun PRS SMKSB mula melangkah sedikit demi sedikit.  Adatlah jika ada antara mereka terlibat dengan masalah disiplin (datang lewat, bergaduh dll), namun aku melihat mereka membangun sebagai seorang remaja yang ada wawasan dan jati diri.  Kejayaan-kejayaan anak-anak PRS juga tidak sedikit terutama dalam bidang akademik.  Tahniah untuk semua yang telah mengharumkan nama PRS. Tahniah Amirah Fauzi. Tahniah Ili, Tahniah Hanan. Tahniah Syamimie. Tahniah semua.  Kalian sumber kekuatan cikgu sepanjang cikgu berada di Bahiyah.

Namun hari ini, 12/12/2019 - ternoktah sudah perkhidmatan aku di SMK Sultanah Bahiyah.  Maka tinggal segala kenangan dan memori yang telah menbentuk diri, tingkah laku, personaliti dan sikap aku sepanjang berkhidmat di sini.  Terima kasih untuk setiap detik dan kenangan terindah buat semua.  Mana mungkin aku melupakan kerana kalian sangat membahagiakan.  Terima Kasih semua.



Sabtu, 7 Disember 2019

PERSAHABATAN

Setiap orang pasti punya sahabat.  Yang padanya kita sering berkongsi cerita.  Sama ada cerita suka mahupun cerita duka.  Sahabat itu seringnya pula sentiasa bersedia.  Maksudnya bersedia menadah dan memasang telinga.  Mendengar meskipun tidak berupaya meleraikan.  Sahabat itu akan selalu memberi bahunya untuk disandar.  Atau barangkali menyediakan tangannya untuk didepakan.


Namun, pernah anda berasa kecewa apabila anda punya sahabat tetapi tidak pula dia melegakan malahan dia menyesakkan.  Sesungguhnya sahabat sedemikian rasanya tidak mengerti maksud dan peranannya sehingga dia tegar mengecewakan.



Kita tidak mampu sebenarnya mengubah orang lain untuk menyukai dan menyenangi kita.  Namun, kita sentiasa boleh mengubah diri kita sendiri untuk menjadi seorang manusia yang tentunya disenangi dan disukai oleh orang lain.  Belajarlah untuk menerima kerana penerimaan yang ikhlas itu sudah pasti mampu membina satu hubungan persahabatan yang kekal dan utuh.  

Terima kasih untuk semua sahabatku walau di mana juga mereka berada kerana mereka menjadi tonggak kekuatan diri selama ini.  Barangkali sukar untuk kita ucapkan betapa kasihnya kita kepada para sahabat yang sentiasa dekat di hati meskipun mereka jauh dari sisi.  Sesungguhnya persahabatan itu bukanlah dinilai pada apa yang mereka beri namun, lebih kepada bagaimana mereka menilai dan mengasihi diri kita dan sebaliknya.  







Khamis, 28 November 2019

EPISOD 2 - CERITA RAMADAN 1440H


Saat berulang-alik ke hospital hampir setiap hari pagi dan petang, ada ketikanya tidak terasa melelahkan.  Cuma kerisauan sering melanda menanti kepulangan kedua-dua anakanda dari jauh.  Risau dengan kondisi Kak Bibah.  Yang kerapnya tidak membuka mata.  Namun, 2 hari Sebelum 17 Mei apabila Azril masuk dan membisikkan ke telinganya bahawa Fatin dan Farah akan sampai malam Jumaat 17 Mei 2019; ada sedikit tindakbalas yang dapat kami lihat.  Esoknya Kak Bibah dipindahkan ke wad biasa.  Semua orang menarik nafas lega.  Syukur kerana ada perubahan positif yang ditunjukkan.

Alhamdulillah, Fatin dan Farah sampai juga ke rumah malam tanggal 17 Mei 2019 pukul 10 selepas merentasi benua dan lautan lebih 18 jam.  Nampak keletihan pada wajah keduanya.  Namun, pagi-pagi lagi selepas bersahur dan tidur seketika, kami sudah sampai di pintu wad.  Untuk melawat ketika bukan waktunya bukanlah sesuatu yang mudah.  Perbincangan dengan 'guard' akhirnya membolehkan kedua-dua mereka masuk silih berganti.
September 2018 di KLIA
 Sesungguhnya berpuasa dan berhari raya tahun 2019 terasa tiada serinya.  Kebanyakan masa dan hari kami adalah di hospital.  Kak Bibah hanya bertahan selama 3 malam di wad biasa - Allah seperti memberi ruang untuk dia bertemu dan berbual dengan anak yang dijaganya sejak berusia 40 hari.  Selepas itu, dia dimasukkan semula ke wad kecemasan.  Dipantau dan dijaga doktor dan nurse sepanjang masa.  Keadaan Kak Bibah semakin memburuk.  Banyak organ dalamannya yang rosak.  Doktor memberi pelbagai pandangan sebagai ikhtiar untuk membantu memulihkan kesihatannya.  Semua orang - Abang Zan, serta anak-anak ternyata tidak kuat untuk menerima satu demi satu perkhabaran yang dibawa doktor.  Sebenarnya pada aku, Kak Bibah dan keluarganya telah aku anggap seperti keluarga sendiri meskipun dia hanya mengasuh dan menjaga anakku sejak kecil.

Di KLIA Ketika Menghantar Fatin Kembali Ke Jordan
Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati.  Betapa kita sayangkan seseorang pun kita tidak akan mampu mengubah apa yang telah ditetapkan Allah buat hamba-hambaNya.  9 Jun 2019 keadaan Kak Bibah semakin kritikal.  Semua kami diminta bersedia untuk menerima takdirNya.  Doktor sudah memberhentikan pemberian ubat sepenuhnya memandangkan tiada ubat yang sesuai dan boleh diterima oleh badan Kak Bibah lagi.  Sesungguhnya, kami telah belajar menerima ketentuanNya - dariNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan kembali.

Maka berakhirlah perjalanan Aqibah binti Shafie pada pagi 10 Jun 2019 di hadapan anak-anak dan suaminya di Hospital Sultanah Bahiyah.  Maka tinggallah kami meneruskan perjalanan yang tidak pasti bila pula akan ternoktah.  Semoga Allah tempatkan Kak Bibah dalam kalangan orang-orang yang solehah.  Al-Fatihah untukmu - insan yang banyak membantu menjaga dan memelihara anak-anakku.

PELEURU JEMARI

Memandangkan sajak ini ditolak Juri kerana penggunaan perkataan medsos, maka aku muat naik dalam blog ini untuk tatapan sesiapa yang singgah...