Ahad, 27 Januari 2013

CATATAN 1

Hari ini saya didatangi seorang anak pelajar.  Seperti selalu apabila dia ke bilik dan ingin berjumpa saya soalan pertama yang diajukan adalah,"Cikgu sibuk tak sekarang?  Saya nakjumpa cikgu".  Kebetulan pula pada ketika yang sama saya baru masuk ke ruangan saya itu.  Baru sahaja menguruskan beberapa hal berkaitan dengan pelajar di pejabat termasuk perbincangan kecil dengan PK HEM.

Seperti selalunya baik dengan dia atau pelajar-pelajar lain, saya akan sentiasa menyediakan ruang cukup luas untuk mereka berinteraksi dengan saya.  Dalam keadaan macam mana sekali pun, saya akan sentiasa bersedia menerima mereka dengan seadanya.  Lantas pelajar itu saya jemput masuk dan kami mengambil masa yang agak lama untuk berkongsi pandangan dan pendapat.  Pertemuan tersebut bukanlah merupakan sesi kaunseling sebenarnya.  Lebih kepada suatu perkongsian idea dan pendapat.

Jika ditanya, saya cukup senang dengan pelajar ini.  Mengenali dia sejak akhir tahun lepas menjadikan saya kagum kerana dia pelajar yang cukup kaya dengan prinsip dan punya semangat diri yang tinggi.  Ralat rasanya saya jika pelajar sebijak ini tidak diberi peluang untuk memanafaatkan kelebihan dan bakat diri yang ada.  Pada saya, dia perlu dimotivasikan, semangatnya hampir pudar lantaran beberapa peristiwa yang berlaku kepadanya ketika di sekolah lama.  Saya tidak senang jika peristiwa itu menjadikan dia putus asa dan putus harap.  Rugilah jika seorang pelajar yang berpotensi seperti itu tidak diberi ruang dan kesempatan untuk mengilap bakat dan kebolehan diri.

Saya ingin melihat dia berada di suatu tahap yang lebih baik.  Sebenarnya jauh di sudut hati saya menaruh keyakinan bahawa dia akan berjaya nanti.  Sebelum dia melangkah meninggalkan bilik saya, sempat saya berpesan kepadanya,"Cikgu ingin melihat salah seorang yang naik ke pentas nanti adalah awak.  Cikgu yakin awak boleh lakukan.  Buktikan pada orang lain." Dia meninggalkan saya selepas tangan saya dicium dan saya merasakan bahawa dia pasti dan pasti akan berjaya.  Yakinlah bahawa kejayaan adalah untuk orang-orang yang sentiasa bersedia berkorban ke arah itu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...