IMAM BUDIMAN : JALUR KETURUNAN ASAL NENEK MOYANG (1)

 


Dijemput masuk ke group wasap Uda Manap + Raja Raba'ayah menjadi satu keterujaan yang tidak terucap.  Tambah teruja apabila dimaklumkan oleh Riduan (dua pupu ku) berkaitan satu perjumpaan keluarga besar yang akan diadakan pada hari Sabtu, 7 November 2026 di Aman Nuansa Event Space, Padang Ampang Kuala Kangsar, Perak.  Perjumpaan Tautan Rumpun Imam Budiman ini akan menghimpunkan beratus-ratus anak-cucu dari keturunan Imam Budiman dari seluruh pelusuk tanah air.  

Siapa Imam Budiman

Inilah persoalan utama yang berlegar di fikiran setiap kami.  Melihat pada nama beliau, kami pasti bahawa moyang kami ini bukanlah calang-calang orangnya.  Banyak cerita yang  belum terungkap perlu digali bagi mengenali susuk hebat ini secara lebih dekat. 

Menurut Ngah Mohd Nor dalam tiktok beliau (berdasarkan catatan Salasilah Jawi Toh Samar Paduka yang ditulis oleh Cikgu Hj. Mohd. Yunus - Salasilah asal tulisan jawi ini disimpan oleh En. Hamdan b. Hj. Md. Noor), Imam Budiman bin Penghulu Muda Terawih bin Penghulu Toh Samar Paduka, hidup sekitar awal 1800-an dan catatan lisan sejarah menunjukkan bahawa Imam Budiman merupakan individu yang bertanggungjawab membuka Kg. Jamuan, di Kuala Kangsar, Perak (Sumber Hjh Teh Sofiah (1866 - 1956) bt Imam Samsudin (suami Chu Nuteh bt. Imam Budiman)).

Mendengar Penceritaan Salasiah 

Rumah Imam Budiman dan isterinya Tok Jerolong terletak di kawasan Jerolong iaitu satu kawasan atau bahagian perkampungan di dalam Kampung Jamuan, Mukim Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.  Kedudukan rumah mereka lebih kurang 500 meter dari Masjid As-Saudah atau nama lamanya Masjid Jamek Kg. Jamuan.

Asal Usul Imam Budiman

Berdasarkan penemuan terkini dari catatan jawi tahun 1967 oleh Allahyarham Hj Mat Esa b Pandak Abdullah b Uda Manap b Alang Adam, mendapati bahawa datuk Imam Budiman iaitu Penghulu Toh Samar Paduka  berasal dari Minangkabau dan menetap di Kedah. (Imam Budiman bin Penghulu Muda Terawih bin Penghulu Toh Samar Paduka).

Anak-anak Imam Budiman dan Tok Jerolong

Bacaan Sajak

Menurut catatan, kedua-dua pasangan ini mempunyai 9 orang anak hasil perkahwinan mereka iaitu Uda Mamat, Alang Adam, Kulob Mat Asyik, Itam Abdullah, Teh, Anjang Mahmud, Pandak Ahmad, Long Lamah dan Chu Nuteh.



1.  Uda Mamat

Berdasarkan catatan salasilah Imam Budiman, Uda Mamat mempunyai 5 orang anak iaitu Salah, Fatimah, Jaliah, Andak Tekah dan Hitam Tipah.  Walau bagaimana pun, susur galur ini belum lengkap sepenuhnya dan usaha mengemaskini sedang giat dilakukan sebaik sahaja selesai Tautan Rumpun Imam Budiman yang telah diadakan pada hari Sabtu, 7 Nov. 2026 yang lalu di Kuala Kangsar, Perak.  Untuk makluman, sehingga kini, pihak usursetia telah berjaya mengemaskini keturunan Uda Mamat sehingga generasi ke-6 dan ke-7.  


2. Alang Adam

Catatan Sejarah menunjukkan bahawa Alang Adam mempunyai 12 orang anak melalui 3 perkahwinan.  Tiga orang anak iaitu Anjang Mat Hassan, Alang Mat Mohsin dan Andak Tok Yah melalui perkahwinan dengan isteri pertama, manakala 9 orang anak iaitu Alang Minah, mereka memperoleh 9 orang anak iaitu Maimunah, Itam Saerah, Teh Aminah, Long Teh, Kulob Marhad, Andak Rakyah, Sitah, Shahabudin (Chu Pawang) dan Uda Manap melalui perkahwinan kedua.  Namun, tidak ada catatan bilangan zuriat untuk perkahwinan dengan isteri ke-3.

Rumpun Alang Adam (Uda Manap dan Raja Raba'ayah)

Berdasarkan catatan dari TikTok Ngah Mohd Nor terdapat beberapa Carta Salasilah Alang Adam yang disimpan oleh anak-cucu keturunan ini.  Antaranya adalah:

a. Carta Salasilah Teh Mat Hassan.  Siapa Teh Mat Hassan?  Belaiu merupakan sumani kepada Andak Rakyah bt. Alang Adam b. Imam Budiman.  Kebanyakan waris asal keturunan ini tinggal di Changkat Che Kampor, Temong Hulu dan sekitarnya.

b. Carta Salasilah Alang Adam juga terdapat dalam catatan buku keluarga Nordin Ali.  Buku catatan ini berada dDalam simpanan Syukur@Samad cucu Pah Hamidah bt Mat Dris+Long Suri.

3. Kulob Mat Asyik

Tidak banyak maklumat yang diperoleh daripada keturunan Kulob Mat Asyik.  Beliau hanya mempunyai seorang anak bernama Jah da seorang cucu bernama Idris.  Mungkin, susur keturunan ini masih boleh diteroka dan dapat dilengkapkan untuk masa-masa yang akan datang.

4. Itam Abdullah

Itam Abdullah hanya memiliki 2 orang anak iaitu Long Ghasiah dan Mansor.  Long Ghasiah mempunyai 7 orang anak, manakala Mansor hanya memiliki 3 orang anak.  Tidak banyak maklumat berkaitan keturunan ini berjaya diteroka namun, ini tidak bererti pencinta sejarah keturunan Imam Budiman akan berhenti untuk terus mencari.  Setakat 7 Nov. 2026, seperti keluarga yang lain, hanya 6 generasi yang berjaya dikesan bermula dari Imam Budiman.  

5.  Teh 

Tiada maklumat berkaitan sejarah perkahwinan dan keluarga setakat 7 Nov. 2026

6.  Anjang Mahmud

Rumpun Anjang Mahmud

Anjang Mahmud mempunyai 6 orang anak Mat Yit, Teh, Muda, Halimah, Abdul Karim dan Halipah.  Berdasarkan catatan, Mat Yit tidak mempunyai sejarah perkahwinan.  Seperti anak-anak dari rumpun yang lain, kemungkinan maklumat berkaitan Mat Yit belum dapat dikesan sepenuhnya.  Manakala Teh mempunyai 2 orang anak, Muda - 3 orang anak, Halimah - 5 orang anak, Abdul Karim - 2 orang anak dan Halipah hanya seorang anak.

7.  Pandak Ahmad

Merupakan anak ke-7, Imam Budiman bersama Tok Jerolong.  Hasil perkahwinannya, Pandak Ahmad dikurniakan 9 orang anak iaitu Long Mesom,, Abdullah, Ngah Kudik, Andak, Itam Mat Alif, Alang Mariah, Kulob Mat Hasan, Ngah Mat Daud dan Alang Tijah. 
 
Rumpun Pandak Ahmad

Meski pun Pandak Ahmad ditakdirkan memiliki anak yang ramai namun, ada dalam kalangan anak-anak beliau hanya memiliki 1 hingga 4 orang zuriat sahaja.  Contohnya  Abdullah  dan Kulob Mat Hasan  memiliki 3 orang anak;  Ngah Kudik,  Andak dan Alang Tijah  seorang anak.    Itam Mat Alif - 2 orang anak manakala Ngah Mat Daud - 4 orang.  Daripada 9 beradik itu, hanya Long Mesom dan Alang Mariah sahaja dikurniakan anak yang ramai iaitu masing-masing 7 dan 8 orang.   

8.  Long Lamah

Long Lamah, waris ke-8 Imam Budiman.  Dikurniakan 5 orang anak, 3 orang perempuan dan 2 orang lelaki iaitu Long Fatimah, Alang Limah, Mariam, Teh Talib dan Pandak Abdul Ghani.  

Catatan menunjukkan bahawa Alang Limah mempunyai 4 orang anak, Mariam dan Pandak Abdul Ghani seorang anak, Teh Talib 2 orang anak manakala Long Fatimah tiada maklumat berkaitan sejarah perkahwinan setakat 7 Nov. 2026. 

9.  Chu Nuteh

Menurut  salasilah keturunan Imam Budiman, Chu Nuteh diletakkan di barisan akhir susunan.  Sesuai dengan panggilan Chu, beliau adalah anak bongsu pasangan Imam Budiman dan Tok Jerolong.  Berkahwin dengan Imam Shamsudin, mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Mamat, Teh Sofiah, Alang Midah, Maimunah dan Azizah.

Catatan menunjukkan Mamat (anak Chu Nuteh) telah berkahwin dengan Long Mesom (anak Pandak Ahmad) dan dikurniakan 7 orang anak.  Manakala Teh Sofiah dikurniakan 7 orang anak (5 perempuan dan 2 orang lelaki). Alang Midah 3 orang anak (2 lelaki; 1 perempuan), Azizah sepasang anak manakala Maimunah tidak mempunyai zuriat.

Berdasarkan catatan salasilah jawi Cikgu Hi Mohd. Yunus, batu nesan cucu Imam Budiman yang ditemui di Simpang Kg. Cerok tercatat nama Hajah Teh Sofiah bt. Haji Samsudin @ Imam Samsudin.  Haji Samsudin @ Imam Samsudin merupakan suami kepada Chu Nuteh bt. Imam Budiman.  Di batu nesan tersebut mencatatkan bahawa Hajah Sofiah telah meninggal dunia pada tahun 1956 ketika berusia 90 tahun.

Persoalannya aku dari keturunan Imam Budiman yang mana?

Persoalan yang menuntut jawapan untuk diteroka dan dihadam.  Sungguh kami adik-beradik teruja apabila melihat dan mengetahui susur jalur keturunan  dari sebelah bapa (Mahmud) dan ibu (Aminah).  Persoalan inilah yang sering bermain-main di fikiran kami adik-beradik  sejak pak dan mak tidak ada.  Kerapkali memori ketika kecil bertandang dan kami ingat-ingat lupa apa yang pernah kami lalui dahulu.

Masih ada dalam ingatan, mak dan pak membawa kami ke Temong, Jamuan, Peroyang dan lain-lain tempat untuk menghadiri majlis kenduri-kendara dan menziarahi keluarga terutama ketika sakit.  Masih terbayang juga, sesekali pak dan mak bercerita tentang asal-usul datuk-nenek yang kami tidak faham ketika itu.  Malah, ada ketika apabila mak atau pak menyebut seseorang maka akan dikaitkan pula dengan orang lain dan kata mereka, "semua tu bukan orang lain.  Adik-beradik kita semua.  Sebut je Panjang Siak atau Uda Manap, taulah deme keturunan siapa."

Hari ini, selepas lebih 20 tahun mak dan 18 tahun pak meninggalkan kami, muncul barisan keluarga yang sebelum ini kami tanya-tanya.  Sedikit demi sedikit memori zaman kanak-kanak itu muncul kembali.  Dan persoalan-persoalan yang dulu bermain-main di fikiran dijawab satu demi satu.  Antaranya;

a.  Siapa lagi keluarga kami di sebelah pak dan emak?
b.  Dari mana asal keturunan kami ini?
c.  Di mana kaum keluarga lain?

Jika dulu di zaman hingusan, arwah pak dan mak selalu bercerita tentang bayangan salasilah keluarganya kami selalu beranggapan itu sebahagian metos yang mungkin direka-reka.  Tambahan apabila pak dan mak bercerita berkaitan keturunan dan darah raja, juga penghijrahan keluarga di Pattani dan juga Kedah.  Kerana ketika itu tidak pernah  terbayang bagaimana mereka boleh menggembara sejauh itu lalu membuka perkampongan di kawasan baru.

Susur Jalur Keturunan Sebelah Mahmud bin Panjang Abd. Hamid 

Inilah carta keluarga (Family Tree) sebelah bapaku Mahmud.  Apabila datukku (bapa kepada Mahmud) berkahwin dengan Alang Fatimah maka lahirkan 5 orang anak iaitu Mahmud, Mariam, Mat Isah, Shuib dan Hashim.  Menurut pak, Hashim meninggal dunia ketika berusia sekitar 6 @ 8 tahun kerana takut dengan tentera Jepun pada ketika itu.  Ketika itu mereka sekeluarga tinggal di Jamuan sebelum berpindah ke Chuar.  

Tok Panjang Abdul Hamid juga dikenali sebagai Panjang Siak merupakan anak kepada Abdul Karim anak Anjang Mahmud anak Imam Budiman.  Manakala isterinya Alang Fatimah merupakan anak kepada Teh Latifah anak Haji Muhammad anak Chu Nuteh anak Imam Budiman.  Ibu Alang Fatimah, Long Mesom (isteri Haji Muhammad @ Mamat) adalah anak kepada Pandak Ahmad dan merupakan anak ke-7 Imam Budiman.  

1. Mahmud bin Panjang Abdul Hamid bin Abdul Karim bin Anjang Mahmud (anak ke-6) bin Imam Budiman.

2. Mahmud anak Alang Fatimah, anak Teh Latifah, anak Hj. Muhammad @ Mamat anak Chu Nuteh (anak ke-9) bin Imam Budiman.

3. Mahmud anak Alang Fatimah, anak Long Mesom (isteri Hj. Muhammad @ Mamat) bin Pandak Ahmad (anak ke-7) bin Imam Budiman.

Ini bermaksud, kami sekeluarga jika dilihat dari sebelah bapa mempunyai ikatan darah yang kuat iaitu dari 3 rumpun utama Imam Budiman melalui 3 anaknya iaitu Anjang Mahmud, Pandak Ahmad dan Chu Nuteh.

Abang Ta (anak Mak Cik Yam) wakil Perodu Anjang Mahmud
Menerima Cenderahati Dalam Perhimpunan Keluarga Pada 7/11/2026


Susur Jalur Keturunan Sebelah Aminah binti Kulob Abdul Rahman


Jika dilihat dari sebelah mak, inilah susur jalur keturunan kami.  Betullah kata mak tentang Opahnya dari kerabat di raja.  Cuma, kami masih kurang jelas Raja Roba'ayah yang berkahwin dengan moyang kami Uda Manap itu dari keturunan sebelah mana.  Berikut adalah susunan kedudukan mak - Aminah binti Kulob Abd. Rahman bin Uda Manap bin Alang Adam bin Imam Budiman (Sebelah Bapa).  

Perjumpaan Keluarga Besar pada 7/11/2026

Penghargaan Dan Terima Kasih

Perjumpaan keluarga besar Rumpun Imam Budiman yang berlangsung pada 7/11/2026 yang lalu berjaya menghimpun lebih 1000 orang anak-cucu dari 9 rumpun keturunan Imam Budiman.  Perkampongan keluarga ini merupakan usaha murni jawatankuasa yang bertungkus-lumus mengumpul maklumat dan mengesan keberadaan anak-cucu Imam Budiman di serata tanah air.  Sesungguhnya perkampongan keluarga ini sememangnya berjaya meskipun aku tahu begitu banyak masa, wang ringgit, keringat yang dikorbankan oleh semua barisan jawatankuasa.  Tahniah buat mereka yang begitu hebat dedikasinya.





Berikut ini adalah aturcara  Majlis Perhimpunan Rumpun Imam Budiman yang telah berlangsung pada 7/11/26 (Sabtu) di Padang Ampang, Kuala Kangsar, Perak. 

MASA

AKTIVITI

8.30 pagi

Pendaftaran

9.00 pagi

Aluan Pengerusi Majlis

9.15 pagi

Tahlil dan Doa

9.45 pagi

Sarapan Pagi

10.00 pagi

Ucapan Oleh Tuan Pengerusi/Penyelaras  - Tuan Hj.Abd Rashid bin Hj Sharif

10.10 pagi

Ucapan Oleh Penasihat Program Tautan IB -Yg    Berbahagia Toh Amar Diwangsa Mohd Helmi bin Jamaludin

10.20 pagi

Pembentangan Salasilah Imam Budiman -    En. Mohd. Nor Setiausaha Program Tautan IB;  - Wakil-wakil perodu (9 Perodu/Rumpun)

11.00 pagi

Deklimasi Sajak - Ijmala MN

11.15 pagi

Penyampaian Cenderamata Dan Saguhati  - Hadiah VVIP (Waris Tertua Setiap Perodu); -  Cenderamata / Hadiah-hadiah lain

12.00 tgh

Jamuan Makan Tengahari

1.00 ptg

Deklarasi IB

1.30 ptg

Sesi Bergambar Kenangan

2.00 ptg

Bersurai


Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kaum keluarga yang turut sama memeriahkan perkampongan keluarga besar ini.  Ada yang kenduri lembu, kambing, makanan, cenderamata dan pelbagai sumbangan termasuk keringat dan wang ringgit.  Sesungguhnya, setiap usaha murni ini tidak dapat kami balas melainkan Allah SWT jugalah yang akan mengiranya sebagai amalan baik.

Semoga akan ada perkampongan seterusnya dan susur keturunan Imam Budiman akan terus mewangi sehingga akhirnya.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLEKSI PIDATO SPONTAN DAERAH

Teks Pengacara Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Asrama

GENERASI BERILMU PEMANGKIN TRANSFORMASI NEGARA