Belajar untuk memberi dan selalu pula bersedia menerima. Untuk kita hanya dipinjamkan sementara!
Khamis, 23 Februari 2012
KURSUS PRS FASA 3 : SERONOKNYA MASAK
Selasa, 21 Februari 2012
MUTIARA HATIKU - PERBINCANGAN KELOMPOK ANTARA INDIVIDU
Petang ini, ketika orang lain (pelajar-pelajar lain sebenarnya) sudah mula meninggalkan perkarangan sekolah, mereka masih lagi bersemangat. Malah ada yang tidak mahu meninggalkan kawasan sekolah. Saya melihat warna-warna kegembiraan di setiap wajah mereka. Mungkin ‘approach’ yang digunakan dapat memenangi hati mereka dan ‘approach’ itu perlu dipelajari oleh semua pihak baik ibu bapa mahu pun guru-guru. Namun sebenarnya jauh di sudut hati saya sedar, tidak semua guru mampu menangani 40 kerenah anak-anak yang pelbagai sedangkan seorang ibu juga tidak berupaya untuk menangani 4 orang anak di rumah!
Khamis, 16 Februari 2012
SYUKUR ATAS SEGALA NIKMAT
Barangkali doa kami diangkat Allah SWT. Tika resah semakin meninggi seorang teman sepejabat suami bercerita tentang tokoh ini. Walaupun terasa kurang percaya, namun jika Allah SWT memberi perantaraannya dia untuk Mawardi kami rela. Asalkan cara perubatannya tidak lari dari kehendak Islam. Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan dan hari ini ketika dirawat semula Mawardi didapati sihat. Struktur kakinya (lutut) didapati kuat. Pembedahan tidak perlu dijalankan untuk masa terdekat.
Apa lagi yang dapat saya nyatakan selain bersyukur. Jika sebelum ini tidak boleh berlari, Mawardi dengan penuh ceria bercerita, “Abang dah boleh lari mak! Dah boleh bertinggung untuk buang air besar. Dah rasa lebih ringan. Ibu jari abang dah boleh mengepit benda..”Alhamdulillah. Syukur amat. Dan yang paling bersyukur kerana Mawardi tidak perlu menjalani pembedahan kedua (untuk repair semula lututnya yang terkoyak).
Saya sebenarnya sudah membuat persediaan. Sudah juga berjumpa pengetua untuk memohon CRK pada hari Ahad depan. Malah sudah juga berbincang dengan doctor untuk pembedahan yang bakal dilaksanakan pada hari Jumaat. Namun saya sedar, inilah nikmat Allah SWT jika Dia izinkan. Terima kasih Allah kerana memberi kami suatu nikmat. Dan saya amat bersyukur atas nikmat tersebut. Moga selepas ini, Mawardi akan pulih sepenuhnya. Insya’allah.
Selasa, 14 Februari 2012
TEKS UCAPAN GURU BESAR SK. HJ. IDRIS
بِسْمِ اللهِ الرَّحْـمَـنِ الرَّحِيْمِ الحمد لله رب العـلـمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبـياء والمرسـلين و على أله وصحـبه أجـمـعين
Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis,
Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Penolong-penolong Kanan, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.
Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh
Pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG Sek. Keb. Hj Idris.Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang tinggi sehingga mejlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka.
Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘memberi’, agar para pelajar bersedia untuk ‘menerima’. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Dato’ Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato’ Syeikh Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan sebagai waris.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran dan pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada para pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,
Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. Insya’Allah.
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Haji Idris pada hari ini.
Sekian, terima kasih.
Sabtu, 11 Februari 2012
JATI DIRI
Sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, atau disebut jua identiti.
Sejati asli, murni, tulen, tidak bercampur, yg. Sebenarnya. Jati diri bermakna identiti diri, keperibadian diri yang masih utuh dengan nilai-nilai adat, budaya, agama, bangsa dan negara. Ia boleh digunakan mengikut kesesuaian situasi.
Bahasa Inggeris bagi jati diri ialah "identity".
Mengetaui dengan jelas apakah keunikan (kelebihan dan kekurangan) yang kita miliki berbanding dengan orang lain.
Jika ada kekurangan kita perlu perbaiki agar dapat menambah ke arah yang lebih positif. Macam mana caranya? Dengan mengenali :
1. Sifat-sifat atau karakter diri – jangan tiru sikaf dan karakter orang lain
2. Hasrat dan keinginan – dengan hasrat dan keinginan kita boleh membentuk motivasi diri termasuk melawan apa juga risiko yang datang
3. Kemampuan – apa yang mampu kita kuasai (jadilah individu hebat bagi sesuatu perkara)
Terdapat 9 peribadi orang yang mempunyai jati diri cemerlang
i. Amanah
ii. Bijak
iii. Cergas
iv. Dedikasi
v. Elok
vi. Faham
vii. Gigih
viii. Hasrat
ix. Iman
4 langkah ke arah menjadi individu yang mempunyai jati diri cemerlang
i. Kukuhkan benteng dalaman anda
ii. Elak diri dari melakukan perkara-perkara tidak baik (dosa)
iii. Amalkan budaya hidup cemerlang (sahsiah dan juga akademik) belajar menghargai dan menepati masa
iv. Gunakan akal yang dikurniakan Allah SWT sebelum melakukan sesuatu tindakan atau perbuatan.
Jati Diri itu adalah Diri anda sesungguhnya, dimana anda harus menunjukkan anda sebagai seorang manusia yang memang bermoral, bertanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.
Rabu, 8 Februari 2012
TEKS PENGACARA MAJLIS : MALAM PERHIMPUNAN PERDANA
Malam Perhimpunan Perdana Pelajar-Pelajar
Bimbingan Dan Kaunseling 2007
Ketibaan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.
Sebagai Pembuka Tirai Majlis, Sidang Dewan Diminta Berdiri Untuk Menyanyikan Lagu “Biru Warna”
Assalamualaikum Wrh Dan Salam Sejahtera.
Bagi Memperoleh Keberkatan Serta Payung Rahmat Illahi, Majlis Pada Malam Ini Dimulakan Dengan Mempersilakan Ustaz Mazlan Bin Yusuf Mahasiswa Dari Program Pkpg Bimbingan Dan Kaunseling Semester 4 Untuk Bacaan Doa. Dipersilakan.
Majlis Merakamkan Ucapan Terima Kasih Kepada Ustaz Mazlan Bin Yusuf.
Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.
Yang Berusaha Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Abdul Razak Chik, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa.
Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ahmad, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi.
Yang Berusaha Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Dekan Pembangunan Pelajar.
Yang Dihormati En. Mohamad Shuib B. Abu Bakar, Pengarah Hal Ehwal Pelajar.
Para Dekan, Timbalan-Timbalan Dekan, Penyelaras Pkpg, Ketua Jabatan Bimbingan Dan Kaunseling Institut Perguruan Perlis, Perlis, Penasihat Malam Perhimpunan Perdana Pelajar-Pelajar Bimbingan Dan Kaunseling, Prof.-Prof. Madya, Pensyarah-Pensyarah, Pengarah Projek Serta Ahli-Ahli Jawatankuasa , Tuan-Tuan, Puan-Puan Serta Hadirin Sekalian.
Terlebih Dahulu Saya Bagi Pihak Majlis Mengalu-Alukan Kehadiran Sidang Dewan Untuk Sama-Sama Menjayakan Malam Perhimpunan Perdana Pelajar-Pelajar Bimbingan Dan Kaunseling Yang Julung-Julung Kali Diadakan. Ucapan Terima Kasih Yang Tidak Terhingga Kepada Yang Berbahagia Dato’ Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Kerana Sudi Meluangkan Masa Bersama-Sama Kita Menyerikan Lagi Majlis Ini. Untuk Pengetahuan Sidang Dewan, Program Ini Dirancang Bertujuan Untuk Mengeratkan Perhubungan Antara Bakal-Bakal Kaunselor Dengan Seluruh Warga Universiti Yang Mempunyai Hubungan Secara Langsung Atau Sebaliknya Dengan Bimbingan Dan Kaunseling. Bagi Memperincikan Lagi Matlamat Serta Visi Program, Saya Bagi Pihak Majlis Mempersilakan Pengarah Projek, Saudara Khairul Nizar Bin Mohd. Zaki Naik Ke Pentas Untuk Memberikan Ucapan. Saudara Khairul Nizar Dipersilakan.
Terima Kasih Saudara Khairul. Jika Tadi Kita Mendengar Ucapan Daripada Pengarah Projek Yang Penuh Dengan Harapan, Tidak Berseri Rasanya Majlis Jika Kita Tidak Mendengar Pandangan, Nasihat Atau Mungkin Teguran Membina Daripada Orang Yang Cukup Sinonim Dalam Bidang Kaunseling Iaitu Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Untuk Itu Majlis Dengan Segala Hormatnya Mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Untuk Memberikan Ucapan. Dipersilakan.
Saya Bagi Pihak Majlis, Merakamkan Ucapan Terima Kasih Atas Ucapan Yang Berbahagia Dato’ Sebentar Tadi.
Hadirin-Hadirat, Sidang Dewan Yang Saya Muliakan,
Selain Untuk Mengeratkan Perhubungan Atau Ukhuwah Seperti Yang Dikatakan Saudara Khairul Sebentar Tadi, Majlis Pada Malam Ini Juga Mempunyai Beberapa Agenda Tersendiri Seperti Yang Tertera Dalam Buku Program. Untuk Itu, Majlis Mempersilakan Yang Berusaha Dr. Abdull Sukor Shaari Penyelaras Pkpg Dan Saudara Khairul Nizar Bin Mohd. Zaki, Pengarah Projek Untuk Menjemput Dan Mengiringi Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi Melancarkan Laman Web Pkpg Universiti Utara Malaysia. Dipersilakan.
Demikian Tadi Pelancaran Laman Web Pkpg Oleh Yang Berbahagia Dato’. Seterusnya Majlis Sekali Lagi Menjemput Dan Mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Untuk Mendaftar Sebagai Ahli Di Laman Web Pkpg. Dipersilakan.
Majlis Merakamkan Ucapan Terima Kasih Atas Kesudian Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi Menjayakan Acara Kita Sebentar Tadi.
Sidang Dewan Yang Dimuliakan,
Untuk Meneruskan Aturcara Program Kita Pada Malam Ini, Saya Bagi Pihak Majlis Dengan Berbesar Hati Memperilakan Encik Azemi Bin Shaari Selaku Penasihat Program Pada Malam Ini Serta Saudara Mokhtar Bin Mohd. Yusuf Pengerusi Pkpg Bimbingan Dan Kaunseling Menjemput Dan Mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi Naik Ke Pentas Utama.
Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian,
Majlis Pada Malam Ini Akan Melakarkan Satu Lagi Sejarah Dalam Dunia Kaunseling. Saya Dengan Segala Hormatnya Menjemput Saudara Mokhtar Mohd. Yusuf Untuk Menyerahkan Borang-Borang Permohonan Keahlian Persatuan Kaunseling Malaysia (Pekama) Dan Persatuan Kaunseling Univesiti Utara Malaysia Kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi. Dipersilakan.
Terima Kasih Saudara Mokhtar Dan Terima Kasih Yang Berbahagia Dato’.
Saudara-Saudari Sidang Dewan Sekalian, Sebagai Tanda Penghargaan Dan Terima Kasih Atas Komitmen, Nasihat Serta Kepercayaan Yang Diberikan Kepada Mahasiswa Pkpg Untuk Menjayakan Program Ini, Majlis Dengan Segala Hormatnya Mempersilakan.
Yang Berusaha Prof. Madya Haji Azmi Shaari, Dekan Fakulti Pembangunan Dan Sumber Manusia. Dipersilakan.
Yang Berusaha En. Azemi Bin Shaari Selaku Penasihat Majlis Kita Pada Malam Ini Untuk Menyampaikan Cenderamata Kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nordin Kardi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Dipersilakan.
Majlis Merakamkan Ucapan Terima Kasih Kepada En. Azemi. Dan Yang Berbahagia Dato’dr. Nordin Kardi. Terima Kasih.
Tuan-Tuan, Puan-Puan Hadirin Sekalian,
Ke Pekan Sudah, Ke Maran Pun Sudah,
Cuma Ke Tenum Sahaja Yang Belum;
Ucapan Sudah, Pelancaran Pun Sudah,
Makan Dan Minum Sahaja Yang Belum.
Gulai Cendawan Hidangan Masakan,
Rasanya Enak Tidak Terperi;
Sidang Dewan Dipersilakan Makan,
Jangan Dibiar Perut Berbunyi.
Sidang Dewan Yang Dihormati,
Isnin, 6 Februari 2012
NIKMAT SIHAT
Pun begitu ada ketikanya apabila diserang sedikit ‘kesakitan’ saya selalu pula berfikir bahawa banyak sungguh nikmat yang dikurniakan Allah sehingga tidak terhitung jumlahnya. Antaranya adalah nikmat sihat. Nikmat Allah yang satu ini amat kurang kita beri perhatian. Ramai di antara kita kurang memberi perhatian untuk menjaga kesihataan ketika sihat. Apabila ddiserang sesuatu penyakit contohnya demam berpanjangan seperti saya, barulah kita sedar betapa mahalnya nilai kesihatan itu dalam kehidupan. Maka tidak hairanlah mengapa ada orang yang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan semula nikmat sihat yang pernah mereka kecapi sebelum ini.
Orang yang sakit sanggup melakukan apa sahaja. Termasuk mengeluarkan wang bagi membiayai perubatannya agar sihat kembali. Ketika sakit sebeginilah selalunya akan timbul keinsafan tentang pentingnya menjaga kesihatan tubuh – betapa mahalnya harga sebuah tubuh yang sihat berbanding perkara yang lain. Bagai saya pula, ketika sakit beginilah selalunya otak dan pemikiran menerawang jauh – mengenang kerja-buat yang masih menunggu dan perlu diselesaikan. Jikalah ada doktor yang boleh memberi ‘suntikan’ untuk sembuh segera; sudah pasti saya akan berjumpa dengannya.
Barangkali kerana itulah juga Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan umatnya tentang hal ini. Sabda Rasulullah bermaksud: “Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu kerananya iaitu kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Al-Bukhari). Sudah jadi lumrah dunia, kebiasaannya orang sihat jarang memikirkan tentang sakit. Namun kita juga harus ingat bahawa tubuh yang sihat tidak memberi makna apa-apa sekiranya kita lupa kebesaran Allah.
Oleh kerana itulah, saya sangat berharap agar kesihatan saya kembali pulih secepatnya. Agar dapat pula saya melangsaikan tugas-tugas yang tertunggak sebelumnya.
Jumaat, 3 Februari 2012
KUNCI SEBUAH KEJAYAAN
Sebenarnya seseorang individu yang berjaya mengurus diri dan masa dengan baik pasti akan berupaya menjadikan kehidupannya lebih sempurna, teratur dan juga sistematik. Orang yang ingin berjaya akan sentiasa tampil sempurna, menarik dan berkeyakinan tinggi malahan berupaya juga menyempurnakan tugasan yang diamanahkan kepadanya dalam kuantiti kesalahan yang dapat diminimumkan.
Oleh itu belajarlah mengurus diri dan masa denagan baik dan berkesan kerana pengurusan diri dan masa yang sempurna menjadi wadah untuk mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang dalam kehidupan. Tanyalah kepada orang-orang terdahulu yang telah berjaya mencipta nama – jawapan mereka pasti DISIPLIN DIRI yang berupaya mengubah saya hingga ke tahap ini! Lalu apa lagi yang perlu kita nanti? Ubah diri untuk mengubah nasib kita di masa hadapan!!
DIARI SEORANG PESARA 3
Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...
-
Sebagai seorang guru kadang-kadang kita hairan mengapa pencapaian akademik para pelajar kita ada yang semakin merosot. Atau barangkali ke...
-
Anak saya Fatin Naimah dan Farah Izzati sering terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan pidato ketika di sekolah rendah. Sebagai gala...
-
Indah berbalam si awan petang, Berarak di celah pepohon ara; Pemanis kalam selamat datang, Awal bismillah pembuka bicara. Yang Berusaha ...