Selasa, 10 Jun 2025

PENANTIAN ITU SEBENARNYA SAKIT

Hari ini merupakan Hari Raya Aidil Adha yang ke-empat.  Hari terakhir menunaikan ibadah qurban bagi mereka yang melaksanakannya pada kali ini.  Selalunyam apabila tiba hari-hari perayaan seperti ini, semua kita pasti ternanti-nanti kepulangan dan kedatangan orang-orang yang hampir dengan kehidupan seharian kita. 

Seorang ibu pasti menanti kepulangan anak-anak.  Seorang nenek pula menunggu ketibaan cucu-cucunya.  Seorang tua menanti kedatangan tetamu, sahabat handai malahan yang paling utama saudara-mara berkunjung tiba.  Siapa pun kita dan dalam keadaan apa pun kehidupan seharian yang kita lalui, kehadiran mereka terutama pada hari-hari berbahagia ini merupakan sesuatu yang besar maknanya.

Namun, berapa ramai ibu-bapa, anak-anak malahan saudara-mara yang kecewa sehingga kadang-kala menjentik rasa kecewa di hati kerana orang yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba.  Tertarik dengan luahan beberapa orang warga emas, malah keluh-kesah ibu bapa berikut  saya cuba senaraikan beberapa perasaan yang mungkin dialami oleh seseorang yang mengharapkan kedatangan  mereka disayangi tetapi bayangan pun tidak kelihatan sehingga  saat akhir:

Kecewa – Harapan yang tinggi hancur apabila orang yang ditunggu tidak muncul.

Sedih – Rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dan meluangkan masa bersama orang yang dirindui.

Terkilan – Merasa hati tidak puas atau tidak tenang kerana rancangannya tidak menjadi kenyataan.

Sunyi – Merasa kesunyian yang mendalam, lebih-lebih lagi jika sudah bersedia menyambut kedatangan tersebut.

Marah – Rasa marah atau geram, terutamanya jika tiada alasan yang munasabah diberikan.

Hampa – Seolah-olah kehilangan sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Tersinggung – Merasa diri tidak dihargai atau diutamakan.

Bimbang – Tertanya-tanya jika sesuatu yang buruk berlaku kepada individu tersebut.

Kesal – Menyesal kerana terlalu berharap atau telah membuat persediaan lebih awal.

Rindu yang tidak terubat – Rasa rindu yang semakin mendalam kerana pertemuan yang diharapkan tidak berlaku.

Saya abadikan kesemua perasaan itu dalam bait-bait sajak di bawah andai mampu membuka hati-hati kita yang tertutup untuk terus mencintai mereka yang sentiasa mengabadikan doanya tanpa diminta.

"Di Ambang Penantian"

Di sudut hati aku menanti,
Dengan harap yang tak bertepi,
Langkahmu ku tunggu sabar,
Bersama waktu yang makin pudar.

Telah ku hampar senyum dan rindu,
Dihiasi doa di setiap waktu,
Namun yang datang cuma sepi,
Menyapa lembut, menikam hati.

Kecewa mengetuk pintu jiwa,
Terkilan berbisik tanpa suara,
Rindu menjerit dalam diam,
Mengharap hadir yang tak datang.

Apakah diriku tidak cukup penting?
Atau sekadar bayang yang kau tinggalkan?
Marahku terpendam dalam duka,
Kesalku larut dalam tanya.

Sunyi menemani malamku panjang,
Hampa menyelubung bagai kelam,
Namun kumasih menggenggam sabar,
Meski pedih menusuk kupendam menjadi sabar.

Andai kau tahu rasa di dadaku,
Pasti takkan kau janji lalu kaulupa,
Namun biarlah setiap detik ini kubelajar reda,
Bahawa tidak semua hadir itu kan jadi nyata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NOSTALGIA ZAMAN REMAJA DAN KANAK-KANAK

Inilah sebahagian cerita zaman kanak-kanak dan remajaku.  Cerita yang pastinya mampu mengulang-imbau sejarah kehidupan ketika meningkat rema...