2 Feb. 2021 (Selasa)
Sendirian di pejabat memberi ruang
seluas-luasnya melunaskan beberapa tugasan yang tertangguh sejak seminggu
lepas. Sepanjang minggu lepas adalah
minggu yang sibuk dengan pelbagai kursus dan bengkel online. Ditambah
pula dengan beberapa tugas yang tiba-tiba muncul. Macam lipas kudung terpaksa terkejar-kejar
untuk menyiapkan semuanya satu-satu agar tidak terlepas deadline.
Minggu ini di hujung minggu juga agak
sibuk. Pagi Sabtu 30 Jan. 2021, sedang menyiapkan
beberapa tugasan akhir Legasi_abah tiba-tiba dikejutkan dengan berita kematian
kakak sepupu sebelah suami. Pagi Ahad,
ketika di pejabat dapat pula berita, kakak sulung dimasukkan ke hospital Kuala Kangsar. Sepanjang tempoh PKP ini sudah beberapa kali
kakak sulungku itu dikejarkan ke hospital.
Sekali lagi pada pagi Isnin 1 Feb. 2021
mendapat pula khabar suami Kak Ani (Abang Amir) yang memelihara anakku Farah Izzati
sejak kecil ditimpa kemalangan. Allah,
sepanjang tempuh tiga hari, tiga berita diterima. Semoga mereka yang sedang diuji dengan
kesakitan akan diberi kesembuhan oleh Allah SWT.
Malam ini, sambil menyiapkan sajak untuk
dimuatkan dalam antologi Hujan Januari aku ambil sedkiit masa untuk mencatat
dan menulis. Sebenarnya aku sendiri
tidak tahu apa yang patut aku tulis sepanjang berada di hadapan laptop
ini. Cuma kuajak tangan menari dan aku
berharap agar tariannya akan memberi sedikit erti kepada para pembaca.
Hari ini sekali lagi kita menerima berita PKP
akan bersambung sehingga 18 Feb. 2021.
Kadar jangkitan Corona Virus dalam kalangan masyarakat masih mencecah
angka 4. Satu angka yang pasti
membimbangkan semua orang. Banyak aktiviti
tidak dapat berlangsung secara bersemuka.
Jika ada pun perlu menjaga jarak dan mengikuti SOP seperti mana yang
ditetapkan.
Memakai mask ketika berada di luar rumah sudah
menjadi kewajipan bagi semua orang orang yang tidak memakai mask ketika berada
di luar dianggap luar biasa kerana tidak mematuhi undang-undang dan mungkin dianggap
sebagai kebal. Begitulah, berubahnya
kehidupan kita sekarang,
Kita tidak tahu bilakah wabak ini dapat
ditangani dengan berkesan dan dapat dihapuskan.
Pelbagai andaian dibuat sehingga ada yang berkata, dunia hanya akan bebas
sepenuhnya dari wabak ini pada tahun 2022 atau mungkin 2023. Masya’Allah, satu jangka masa yang lama dan
pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu.
Rasanya, tanggungjawab membenteras wabak ini
tidak hanya terletak di tangan Kementerian Kesihatan. Tetapi lebih kepada sikap masyarakat yang
prihatin dan patuh pada setiap arahan. Jika
semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing sudah pasti semua ini boleh
diatasi dengan lebih berkesan dan lebih cepat lagi.
Namun, setiap orang punya kekangan dan alasan
masing-masing. Pasti ada banyak sebab
mengapa sesetengah pihak tidak dapat mengikuti sepenuhnya arahan yang
ditetapkan kerajaan. Apa pun,
berfikirlah dengan waras kerana masa depan negara bergantung sepenuhnya pada
sikap kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan