Memandangkan masyarakat Melayu
lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati
selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu medium untuk mereka
mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi mental
mahu pun fizikal. Sesuai dengan peranan
komunikasi yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun juga memainkan peranan
yang sama terutama untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan
sehari-harian. Beberapa contoh pantun di
bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih terperinci bagaimana pantun amat
berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira yang dialami oleh seseorang, meninggalkan
perasaan seronok dan riang terutama di kalangan kanak-kanak serta menimbulkan
unsur-unsur jenaka dalam kehidupan. Contohnya;
Anak kera pandai meniti,
Anak ayam disambar helang;
Tidak terkira besarnya hati,
Melihat ibu sudah pulang.
Rawa bangun jalan berliku,
Penuh onak makanan badak;
Gelak senyum rupa kakakku,
Melihat nenek duduk berbedak.
(Ismail
Hamid, 1987, hal. 236-237)
Selain itu, pantun juga
digunakan dalam interaksi antara individu terutama untuk menguji minda
seseorang. Selain dapat mencabar
ketangkasan seseorang berfikir, pantun dalam konteks ini juga dapat mengeratkan
lagi hubungan silaturrahim diantara individu kerana ia disampaikan dalam besuasana
santai. Contohnya dalam perbualan di antara
seorang ayah dengan anak, datuk dengan cucu atau pun sesama rakan sebaya. Ini dapat dilihat terutama sekali dalam
pantun teka-teki seperti pantun yang diberikan di bawah ini;
Kalau tuan tombak
rencana,
Ambil gantang
sukatkan pulut;
Kalau tuan bijak
laksana,
Apa binatang tiada
perut?
(Mohd. Yusof Md. Nor, 1984. hal. 84)
Sehari-hari adik
ditatih,
Dibawa dia ke rumah
abang;
Berapa tinggi terbang
Cik Putih,
Ke kerbau juga atau ke
kubang.
(Dussek dalam Harun Mat Piah, 1989,
hal. 347)
Bagi
melengkapkan fungsi pantun sebagai alat hiburan, pantun selain digunakan dalam acara
berbalas pantun sesama anggota masyarakat, pantun turut juga dinyanyikan sama
ada oleh kanak-kanak, pasangan teruna dan dara yang sadang asyik masyhuk dalam
alam percintaan mahu pun oleh golongan rang tua. Di dalam nyanyian rakyat contohnya seperti
lagu “Rasa Sayang” dan “Suriram” contohnya, penggunaan pantun sebagai lirik
lagu ternyata dapat memberikan hiburan yang tidak sedikit kepada seluruh masyarakat
Melayu.
Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang
semakin manis.
Tinggilah tingggi si
matahari (suriram)
Anak kerbau mati
tertambat (suriram)
Sudahlah lama hamba
mencari – sayang
Baru sekarang hamba
mendapat.
Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang
semakin manis.
Dualah tiga kucing
berlari (suriram)
Mana nak sama si
kucing belang (suriram)
Dualah tiga sudah
kucari – sayang
Mana nak sama abang
seorang.
(Utusan Pengguna,
Jan-Feb. 2008, hal. 14)
Selain pantun digunakan sebagai
lirik lagu dalam lagu-lagu rakyat, berikut diketengahkan pula beberapa rangkap
pantun yang begitu popular digunakan sebagai sebahagian daripada lirik lagu
sehingga menjadi siulan anggota masyarakat dan masih segar dinyanyikan oleh
pelbagai lapisan masyarakat berdasarkan kedudukannya.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
(Dipetik
dari filem Gurindam Jiwa)
Timang tinggi-tinggi,
Sampai pucuk atap;
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.
Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk adik pandai,
Upah minum susu.
(Ismail
Hamid, 1987, hal. 243)
Secara keseluruhannya, pantun telah
berjaya memainkan peranannya sebagai alat hiburan dalam
kehidupan masyarakat Melayu dengan memasukkan beberapa unsur lain bagi
memastikan nilai-nilai estetika di dalam pantun terus terpelihara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan