Masa berlalu rasanya begitu cepat dan pantas. Rasanya masih banyak kerja yang belum benar-benar selesai. Namun perjalanan masa dan hari tidak pula berupaya untuk kita menahannya. Sedar atau tidak, mahu atau sebaliknya kini November sudah hampir setengah bulan. Murid-murid dari Darjah 1 hingga Tingkatan 4 sudah pun berangan-angan menyusun pelbagai aktiviti dan program. Ibu bapa ada sesetengahnya pening kepala memikirkan ke mana anak-anak mereka ingin di tempatkan sepanjang cuti yang hampir satu bulan setengah. Pening juga kepada para waris memikirkan langkah penjagaan malahan apa yang harus diberi sepanjang anak-anak memerap di rumah. Jika dibiarkan pasti macam-macam pula aktiviti yang tidak terjangka akan muncul.
Demikian kalutnya ibu bapa dalam merencana pelbagai rancangan untuk kebaikan anak-anak. Ada yang berkemampuan pastinya memilih aktiviti melancong atau jalan-jalan keliling negara atau yang lebih mampu keliling dunia. Bagi yang kurang berkemampuan bolehlah merangka cuti santai bersama ahli keluarga yang lain - menghadiri majlis kenduri, berkelah, mengemas rumah atau mungkin juga ke perpustakaan. Sesekali boleh juga menghantar anak-anak menghadiri kursus pendek seperti memasak, mejahit dan sebagainya sama ada di Kolej Komuniti atau Giat Mara yang berhampiran dengan kadar harga yang cukup murah.
Cuti yang panjang inilah sebenarnya memberi ruang untuk para guru merehatkan diri seketika. Namun, ada juga sekolah yang 'bermurah hati' menyediakan pakej tuisyen selama 1 @ 2 minggu untuk murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 4. Selebihnya da juga guru yang merancang lawatan untuk murid-murid mereka. Secara ringkasnya, ada guru yang sebenarnya belum lagi benar-benar bercuti. Itu belum lagi dikira dengan guru-guru yang terpaksa bertugas untuk menjaga peperiksaan SPM dan STPM atau pun diminta bertugas di sekolah. Nampaknya meskipun ada sesetengah guru yang sudah bercuti namun masih terdapat ramai guru yang masih melunaskan beberapa tugasan meskipun cuti sekolah sudahpun memasuki minggu kedua.
Jika tadi kita milihat ada ibu bapa yang pening memikirkan apa yang seharusnya dilakukan untuk memenuhi masa senggang anak-anak di rumah, sebenarnya para guru juga masih tercari-cari ke mana haluan yang harus dituju untuk merehatkan minda seketika sebelum sesi persekolah 2013 bermula. Apa pun yang berlaku, meskipun kekangan kerja masih menimbun, ambillah masa untuk cikgu-cikgu bercuti bersama-sama keluarga - bercutilah cikgu-cikgu kerana tenaga cikgu masih diperlukan sebaik sesi persekolahan bermula tahun hadapan!!
SELAMAT BERCUTI CIKGU!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan