Sebenarnya Program Selepas PMR 2012 sudah lama berakhir. Bermula dari 17 Oktober 2012 hingga 4 November 2012, pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid. Tujuan utama adalah untuk menyuntik semangat agar murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan pelbagai aktiviti bermanafaat. Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar sesuatu - yang pastinya tidak diperoleh ketika berada dalam bilik darjah. Sesunggunya proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berlaku di bilik darjah, aktiviti-aktiviti luar yang dibuat dengan baik pastinya juga mampu membina jati diri murid dan inilah antara perkara yaang akan diingat oleh individu ketika mereka menginjak dewasa. Selalunya, kita jarang mengingat apa yang diajar oleh guru sehinggalah usia semakin meningkat. Namun, kita jarang terlupa malahan kerap pula mengimbau kenang-kenangan ketika beraktiviti bersama teman-rakan di luar bilik darjah. Proses beraktiviti ini sebenarnya mampu membina keyakinan diri, membentuk sikap dan sifat setia kawan, menjadi lebih patuh dan menghargai masa, mencungkil bakat dan kebolehan serta banyak lagi yang tidak mampu dirungkai sepenuhnya di sini.
Di SMK Sultanah Bahiyah, murid-murid disajikan dengan pelbagai aktiviti - yang mampu mengimbau nostalgia sebaik mereka meninggalkan sekolah kelak. Perancangan aktiviti selepas PMR disusun dengan teliti agar murid-murid mendapat sebanyak mungkin manafaat - baik berbentuk kerohanian mahupun peluasan ilmu pengetahuan. kesemua aktiviti tersebut digarap sebaik mungkin bermula dari hari pertama sebaik kertas peperiksaan PMR tamat hinggalah kepada budaya tutup sekolah pada hari terakhir persekolahan. Alhamdulillah, perancangan yang dibuat itu berjaya menjemput murid agar terus berada di bangku sekolah sehingga ke akhirnya.
Semoga aktiviti selepas PMR 2012 mampu memberi impak positif kepada seluruh pelajar - berkembanglah menjadi puteri yang disenangi walau di mana anda berada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan