Lama sungguh cikgu tidak menulis di blog. Hampir 17 hari, sama jumlahnya dengan bilangan kita mengerjakan ibadah puasa. Entahlah, sepanjang puasa ini cikgu sendiri tidak tahu kenapa mata, telinga, tangan malah yang penting pemikiran dan idea cikgu tidak terarah kepada usaha untuk menulis di blog. Setiap kali balik sekolah sekitar 3.00 atau 3.30 ptg (walau pun tidak banyak aktiviti sebenarnya di sekolah), cikgu lebih suka membaca. Kadang-kadang mencuba resepi yang sudah lama tidak dicuba.
Rupa-rupanya puasa ini menjadi bulan dan hari cikgu memahirkan semula aktiviti memasak. Dan kerana usaha itulah juga cikgu tidak terebut-rebut ke bazar Ramadan. Jika dihitung-hitung memasak lebih menjimatkan. Sesekali suami cikgu turut menegur kerana kasihan akan cikgu yang ‘keletihan’ memasak setiap kali balik sekolah. “Bukan ada orang nak makan,” katanya. “Kita 2 orang jer.., baik beli kuih satu dua,” tambah suami cikgu lagi. Namun, pada cikgu memasak suatu kepuasan. Dengan 2 cawan tepung gandum cikgu boleh dapat kuih ketayap 15 biji, kuih cara 35 biji, malah bingka 1 pelengat 8in x 8 in! Mewah sungguh bukan?? Kalau cikgu beli tentu sahaja hampir RM5.00 dengan harga 30 sen sebiji!!
Kadang-kadang terfikir mengapa orang berebut-rebut ke bazar Ramadan. Dengan harga barang yang semakin mahal, kualiti makanan pun belum tentu benar-benar terjamin. Entah.., ini cuma pandangan cikgu sahaja. Sepanjang Ramadan ini rasanya cikgu benar-benar ‘keseorangan’. Anak-anak semuanya di asrama; apabila balik ke rumah hanya dinding dan kamar menjadi teman. Suami cikgu bekerja sampai petang. Jadi malamnya aktiviti cikgu lebih kepada memuhasabah diri – tarawih, mengaji dan juga membaca. Sesekali buat ‘kajian’, belek apa-apa patut. Pagi seawal 4.15 pagi, cikgu sudah bangun untuk menyediakan juadah bersahur (sebenarnya bukan memasak tetapi lebih kepada persiapan untuk bekerja).
Demikian, rutin cikgu sepanjang 17 hari Ramadan ini sehingga cikgu tidak berkesempatan menulis di blog. Terfikir juga, sibuk sangatkah cikgu ini? Atau saja-saja menyibukkan diri….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan