Isnin, 31 Mei 2010

GURU : MUTIARA HATI KITA

Saban tahun bila tiba hari guru, saya kerap kali diminta menyediakan teks ucapan untuk dibaca oleh anak-anak saya. Pada tahun ini, perkara yang sama berulang lagi kerana puteri bongsu saya diminta menyampaikan ucapan mewakili rakan-rakan pelajar. Berikut teks penuh ucapan yang disampaikan oleh puteri bongsu saya itu...


Terima kasih tuan pengacara majlis.

Yang berusaha Puan Jelipah bt. Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hutan Kampong.
Yang Berusaha Puan Norlia bt. Mohd. Noor., Penolong Kanan Kurikulum.
Yang Berusaha Pn. Saadiah bt. Ayob, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Berusaha Tuan Haji Nasis bin Bakar, Penolong Kanan Kokurikulum,
guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya warga SK Hutan Kampong sekalian.

Assalamualaikum wbh dan salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru kerana memberi kesempatan kepada saya mewakili teman-rakan yang lain untuk berucap menyampaikan sepatah dua kata sempena sambutan Hari Guru 2010 pada hari ini.

Alhamdulillah, Hari Guru datang lagi. Saban tahun, tarikh keramat ini dinanti terutama oleh para guru serta para pelajar. Pelbagai kegiatan dijalankan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan semata-mata untuk mengimbau semula jasa para guru. Sebenarnya, jika kita bijak menilai, semua guru baik di mana sahaja mereka berada menjadi penyumbang utama kepada pembangunan sahsiah dan akademik para pelajar. Teringat saya sebuah sajak yang tidak asing di telinga kita karya Usman Awang yang berbunyi antara lain;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri Berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sebenarnya teman-rakan sekalian, bait-bait sajak ini secara jelas membuktikan walau siapa pun kita pada masa hadapan, adalah dari acuan seorang guru yang tidak pernah mengenal erti putus asa mendidik, membimbing dan mengajar kita. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Malahan budi mereka tidak mungkin mampu kita membalasnya!!

Teman-teman sekalian,
Pada kesempatan ini 16 Mei 2010, marilah kita sama-sama merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala budi yang telah mereka taburkan untuk kita. Kerana kegagalan atau kejayaan kita lahir dari redha seorang guru walaupun dengan mengajar kita sepatah ayat cuma.
Terima kasih cikgu. Terima kasih guru.
Daun selasih daun pandan
Baunya harum wangi terasa;
Berpisah daging dari badan,
Budimu dikenang sepanjang masa.

Selagi ada rindu
Selagi ada waktu
Hari ini milikmu
Selamat Hari Guru!
Sekian, assalamualaikum wbh.


Farah Izzati Mohammad Sobri
Sempena Hari Guru 16/5/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...