Selasa, 18 Disember 2012

DOA IBUBAPA KETIKA ANAK-ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Sudah lama sebenarnya saya untuk berkongsi doa dan amalan yang diamalkan oleh seorang ibu ketika anak-anaknya  menghadapi peperiksaan. 


KETIKA ANAK-ANAK SEDANG MENJAWAB SOALAN DI DEWAN PEPERIKSAAN.

Ibu atau bapa di rumah pula lakukan amalan ini:-

1. Ambil Wudhuk.

2. Mengadap kiblat.

3. Baca Syahadah - 3x

4. Al- Fatihah - 1x

5. 3 Qul- 1x

6. Surah Insyirah - 1x

7. Selawat Atas Nabi - 10x

8. Baca Surah Yassin - 1x

9. Baca Surah Insyirah 100x.

10. Niat di dalam hati supaya Allah SWT permudahkan anak-anak kita menjawab soalan dengan mudah dan tenang.

Contoh:

Waktu peperiksaan bermula jam 0800 pagi. Ibu atau bapa di rumah boleh mula melakukan. Semuga anak-anak kita dapat menjawab soalan dengan baik serta beroleh kejayaan yang besar.

Sumber:

Amalan ini diberikan oleh seorang guru wanita yang sudah bersara 4 tahun yang lalu iaitu Cikgu Rohana dari Sekolah Menegah Hutan Melintang. Anak-anak beliau kesemuanya telah berjaya didalam akademik. Alhamdulillah kita dapat berkongsi.  Semoga
perkongsian ini dapat membantu semua yang membaca blog saya ini.


Khamis, 6 Disember 2012

TOLONG DOAKAN DIA UNTUK KAMI

Aku cuma punya adik-beradik - setelah kedua ibubapa yang sangat aku cintai meninggalkan kami beberapa tahun lalu.  Dari 8 beradik semuanya, aku cuma punya dua adik - kedua-duanya lelaki, dua kakak setelah seorang meninggalkan aku dan seluruh keluarga pada tahun 2007 serta seorang abang (yang sulung terlebih dahulu pergi kurang lebih 16 tahun dahulu).

Inilah keluarga kecil kami yang di dalamnya penuh mekar dengan kasih sayang.  Tiada yang lebih penting dan utama selain ikatan kasih sayang itu.  Namun, rasanya aku tidak sanggup untuk kehilangan seorang lagi insan yang begitu bererti dalam hidupku - Alimatun Saadah (kakak sulungku yang kini terlantar sakit di Hospital Pulau Pinang).

Terkedu tika melihat badannya dibaluti pelbagai wayar.  Dengan keluhan dan rengekan kecil akibat kesakitan.  Mana mungkin kami adik-beradik berasa senang hati.  Dan tika ini, kesatuan dalam keluarga kami ternyata begitu kental - semua berkumpul dan berkampung untuk mendoakan seorang insan yang kami sayangi.  

Tolong doakan dia untuk kami kerana kami masih memerlukan dia di sisi!!

Isnin, 19 November 2012

PROGRAM SELEPAS PMR 2012

Sebenarnya Program Selepas PMR 2012 sudah lama berakhir.  Bermula dari 17 Oktober 2012 hingga 4 November 2012, pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid.  Tujuan utama adalah untuk menyuntik semangat agar murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan pelbagai aktiviti bermanafaat.  Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar sesuatu - yang pastinya tidak diperoleh ketika berada dalam bilik darjah.  Sesunggunya proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berlaku di bilik darjah, aktiviti-aktiviti luar yang dibuat dengan baik pastinya juga mampu membina jati diri murid dan inilah antara perkara yaang akan diingat oleh individu ketika mereka menginjak dewasa.  Selalunya, kita jarang mengingat apa yang diajar oleh guru sehinggalah usia semakin meningkat.  Namun, kita jarang terlupa malahan kerap pula mengimbau kenang-kenangan ketika beraktiviti bersama teman-rakan di luar bilik darjah.  Proses beraktiviti ini sebenarnya mampu membina keyakinan diri, membentuk sikap dan sifat setia kawan, menjadi lebih patuh dan menghargai masa, mencungkil bakat dan kebolehan serta banyak lagi yang tidak mampu dirungkai sepenuhnya di sini.















Di SMK Sultanah Bahiyah, murid-murid disajikan dengan pelbagai aktiviti - yang mampu mengimbau nostalgia sebaik mereka meninggalkan sekolah kelak.  Perancangan aktiviti selepas PMR disusun dengan teliti agar murid-murid mendapat sebanyak mungkin manafaat - baik berbentuk kerohanian mahupun peluasan ilmu pengetahuan.  kesemua aktiviti tersebut digarap sebaik mungkin bermula dari hari pertama sebaik kertas peperiksaan PMR tamat hinggalah kepada budaya tutup sekolah pada hari terakhir persekolahan.  Alhamdulillah, perancangan yang dibuat itu berjaya menjemput murid agar terus berada di bangku sekolah sehingga ke akhirnya.  





Semoga aktiviti selepas PMR 2012 mampu memberi impak positif kepada seluruh pelajar - berkembanglah menjadi puteri yang disenangi walau di mana anda berada.

Ahad, 18 November 2012

MENANGISI KEKEJAMAN ISRAEL





Setiap kali membuka halaman fb atau akhbar dan majalah dengan pelbagai pos gambar kanak-kanak berlumuran darah, atau cedera di kepala, tangan dan sebagainya, setiap kali itulah sebenarnya mata dan hati cuba mengelak daripada menatapi.  Bukan kerana takut tetapi lebih kepada satu perasaan pilu dan sayu.  Terasa tidak berupaya melihat betapa kanak-kanak yang tidak berdosa dizalimi dan diseksa sebegitu kejam.  Sebenarnya sudah begitu lama..., ya begitu lama mereka terus diseksa dan terseksa.  Hampir 40 tahun atau mungkin lebih.  Namun, kekejaman itu masih berleluasa.  Masih belum puaskah mereka.
Sudah berkali-kali sebenarnya, kita memerima SMS dari pelbagai pihak - memohon pertolongan dengan doa dan solat hajat.  Hanya itulah kudrat yang mampu kita hulurkan buat mereka.  Hasilnya mereka masih terus ditindas, disembelih, ditembak, dikhianati.  Israel ternyata tiada sedikit pun perikemanusiaannya.  Mana rejim barat yang katanya begitu perihatin.  Cukup ambil berat.  Mengapa tika umat Islam di Gaza - yang miskin serba-serbi, yang tiada alatan canggih untuk membalas kembali, dizalimi - tiada tangan-tangan barat yang begitu gah melaungkan kemanusiaan sejagat turun padang membantu?  Atau sekurang-kurangya menghalang kanak-kanak terus terseksa - menjadi yatim piatu??
Kasihan sungguh sebenarnya melihat anak-anak Gaza - merintih dan meraung, menangis dan meratap, menjerit dan menderita.  Bagaimana kita dapat mengesat derita mereka yang begitu lama berterusan.  Hanya kita mampu berdoa-doa dan berdoa yang kadang-kala terlupa pula untuk dibaca pada setiap kali solatnya kita.  Lantaran kita sebenarnya tidak merasa betapa getisnya kehidupan yang perlu mereka lalui saban saat dan ketika.  Sesungguhnya kekejaman Israel untuk merebut tanah kecil Gaza seharusnya terus kita kutuk.  Marilah kita sama-sama berdoa - Moga Allah SWT terus mempermudahkan kesulitan yang mereka hadapi di Gaza.  Kerana doa orang-orang yang terainiya sentiasa diangkat Allah SWT.

Selasa, 13 November 2012

SELAMAT BERCUTI CIKGU



Masa berlalu rasanya begitu cepat dan pantas.  Rasanya masih banyak kerja yang belum benar-benar selesai.  Namun perjalanan masa dan hari tidak pula berupaya untuk kita menahannya.  Sedar atau tidak, mahu atau sebaliknya kini November sudah hampir setengah bulan.  Murid-murid dari Darjah 1 hingga Tingkatan 4 sudah pun berangan-angan menyusun pelbagai aktiviti dan program.  Ibu bapa ada sesetengahnya pening kepala memikirkan ke mana anak-anak mereka ingin di tempatkan sepanjang cuti yang hampir satu bulan setengah.  Pening juga kepada para waris memikirkan langkah penjagaan malahan apa yang harus diberi sepanjang anak-anak memerap di rumah.  Jika dibiarkan pasti macam-macam pula aktiviti yang tidak terjangka akan muncul.

Demikian kalutnya ibu bapa dalam merencana pelbagai rancangan untuk kebaikan anak-anak.  Ada yang berkemampuan pastinya memilih aktiviti melancong atau jalan-jalan keliling negara atau yang lebih mampu keliling dunia.  Bagi yang kurang berkemampuan bolehlah merangka cuti santai bersama ahli keluarga yang lain - menghadiri majlis kenduri, berkelah, mengemas rumah atau mungkin juga ke perpustakaan.  Sesekali boleh juga menghantar anak-anak menghadiri kursus pendek seperti memasak, mejahit dan sebagainya sama ada di Kolej Komuniti atau Giat Mara yang berhampiran dengan kadar harga yang cukup murah.

Cuti yang panjang inilah sebenarnya memberi ruang untuk para guru merehatkan diri seketika.  Namun, ada juga sekolah yang 'bermurah hati' menyediakan pakej tuisyen selama 1 @ 2 minggu untuk murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 4.  Selebihnya da juga guru yang merancang lawatan untuk murid-murid mereka.  Secara ringkasnya, ada guru yang sebenarnya belum lagi benar-benar bercuti.  Itu belum lagi dikira dengan guru-guru yang terpaksa bertugas untuk menjaga peperiksaan SPM dan STPM atau pun diminta bertugas di sekolah.  Nampaknya meskipun ada sesetengah guru yang sudah bercuti namun masih terdapat ramai guru yang masih melunaskan beberapa tugasan meskipun cuti sekolah sudahpun memasuki minggu kedua.

Jika tadi kita milihat ada ibu bapa yang pening memikirkan apa yang seharusnya dilakukan untuk memenuhi masa senggang anak-anak di rumah, sebenarnya para guru juga masih tercari-cari ke mana haluan yang harus dituju untuk merehatkan minda seketika sebelum sesi persekolah 2013 bermula.  Apa pun yang berlaku, meskipun kekangan kerja masih menimbun, ambillah masa untuk cikgu-cikgu bercuti bersama-sama keluarga - bercutilah cikgu-cikgu kerana tenaga cikgu masih diperlukan sebaik sesi persekolahan bermula tahun hadapan!!  

SELAMAT BERCUTI CIKGU!

Jumaat, 19 Oktober 2012

HARI INI HARI JUMAAT

Hari ini hari Jumaat yang rasanya cukup tenang.  Bangun ketika azan subuh belum berkumandang dan ketika itu suami saya sedang membaca al-Quran.  Begitu rutinnya setiap awal pagi.  Bangun, solat dan membaca Al-Quran sebelum pergi berjemaah di surau.

Hari ini hari Jumaat yang cukup mendamaikan.  Selepas selesai membasuh kain, dan kebetulan perut pun terasa sedikit lapar, saya bersama suami dan anak saya Fatin Naimah keluar sarapan bersama.  Jalan-jalan di pasar membeli seekor dua ikan untuk dimasak tengah hari ini.  Ikan 'lampam' masak tempoyak dengan timun.  Mesti sedap!

Hari ini hari Jumaat yang cukup selesa.  Kebetulan pula minda terasa lapang.  Banyak tugasan yang selesai minggu ini.  Terutama Program Selepas PMR dan juga Tokoh Bitara.  Terasa minda tidak pula terbeban.  Cuma ada beberapa tugasan yang belum dimula.  Tapi rasanya jika benar-benar fokus, akan siaplah semuanya dalam beberpa hari ini.  Pelaporan Indeks Persepsi Murid, Minit Mesyuarat kelmarin.  Jangan fikir pasal kerja pagi2 Jumaat yang selesa ini.  Kalau fikir tentu kita akan rasa sedikit terbeban.

Hari ini hari Jumaat dan saya ambil kesempatan melakukan tugas untuk keluarga.  Sebaik habis sarapan menemani suami saya membuat sedikit 'pemeriksaan' keretanya.  Habis aktiviti itu, singgah di rumah mertua saya - menziarahi dan sembang-sembang.  Selesai beberapa tugasan yang berupa tanggungjawab.  Hari ini hari Jumaat dan minda mesti rehat!  Seronok, kan?

Hari ini hari Jumaat dan petang ini saya akan meraikan anak-anak PRS saya.  Yang tentunya datang dengan baju pelbagai warna.  Mereka adalah lambang kejayaan saya - membina dan membentuk jati diri lahir dari sebuah jiwa.  Sebentar lagi saya akan bersama mereka di suatu jamuan yang mereka sendiri uruskan.   di mana?  Hotel Holiday Villa.  

Hari ini hari Jumaat dan saya ingin merakamkan rasa syukur dan tahniah pada semua kerana Allah SWT masih memberi kita ruang untuk terus bernafas.  Moga Jumaat ini adalah Jumaat yang cukup indah untuk kita terus mendapat rahmat Allah juga merehatkan minda sepuas-puasnya....

Khamis, 18 Oktober 2012

BERMULANYA PROGRAM SELEPAS PMR




Setiap kali habis peperiksaan awam, setiap kali itu jugalah para guru bertungkus-lumus mencari idea.  Berhubung dengan teman-rakan malah sesekali mencari maklumat-maklumat terkini di internet.  Demikian kepekaan para guru untuk menarik minat pelajar ke sekolah.  Penjanaan minda dengan teman-rakan pastinya membantu membuka sedikit ruang untuk berfikir malah mencetus idea-idea baru yang boleh dilontar dan diketengahkan untuk kebaikan bersama.  Demikian hebatnya guru berusaha membenteras gejala ponteng dalam kalangan murid sebaik habis peperiksaan awam seperti UPSR dan juga PMR.

Begitu juga kami para guru di SMK Sultanah Bahiyah.  Memandangkan keadaan sekolah yang kerap sibuk dengan pelbagai aktiviti sehingga ke hujung tahun, baik dengan PPD dan juga JPN negeri  ditambah dengan aktiviti sekolah, Jawatankuasa Program Selepas PMR telah menyusun pelbagai aktiviti sejak sebulan lepas.  Seperti biasa objektif program adalah untuk menggalakkan murid terus datang ke sekolah, merasa terpanggil dan mendapat menafaat sepenuhnya melalui pembelajaran di luar bilik darjah.  Maka pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelajar dirancang dan dibincangkan.

Semalam 17 Oktober 2012, bermulalah aktiviti pertama untuk semua murid.  Alhamdulillah, hari pertama kehadiran murid melebih 80% - suatu keadaan yang amat membanggakan.  Pada sebelah awal pagi beberapa taklimat berkaitan disiplin dan peraturan sepanjang program telah dijelaskan, diikuti pula dengan taklimat aktiviti sepanjang 15 hari program, sesi merehatkan minda dengan beberapa permainan dan kemudiannya pemulangan buku teks.  Penat.  Memang cukup memenatkan.

Hari ini semua murid diberi pendedahan Kemahiran Berbahasa.  Bakat murid mencipta dan mengarang cuba diketangahkan.,  ternyata berhasil dan ada murid yang berbakat.  Murid-murid dibahagikan kepada kumpulan nazam dan bahasa berirama.  Sepanjang hari mereka berlatih dan menyanyikan lagu-lagu puisi yang indah dan puitis.  Nampak kesungguhan pada muka murid yang berminat.  Hari kedua aktiviti berlalu dengan pantasnya.

Kini tinggal berbaki 13 hari lagi.  Minggu depan akan bermula fasa kedua program – yang lagi padat dan sendat.  Tentu dan pastinya murid-murid akan terus datang.  Ada senamrobik, sukaneka dan juga eksplorce Rukun Negara.  Ada taklimat Hala Tuju Selepas PMR.  Ada pertandingan gubahan seni dan kraftangan.  Malahan ada pelbagai lagi aktiviti yang pastinya meminta hati murid untuk terus berada di sekolah.  Moga akan lahirlah mereka sebagai pewaris negara dengan idea yang sendat dan padat kerana sesungguhnya guru-guru di SMK Sultanah Bahiyah senantiasa menyayangi anda semua.

Khamis, 11 Oktober 2012

PMR 2012

Sedar atau tidak sudah tiga hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 berlalu.  Bererti sudah beberapa subjek diduduki calon PMR tahun ini.  Bermula dengan Bahasa Melayu dan kemudian diikuti Pendidikan Agama Islam, Bahasa Inggeris dan kemudiannya Geografi, hari ini Sains dan Sejarah.  Cepat sungguh masa berlalu.  Tinggal 2 subjek untuk pelajar yang tidak mengambil Bahasa Arab.  Bererti Isnin ini akan bebas dan merdekalah murid-murid Tingkatan 3 yang selama ini di'penjara'kan oleh pihak sekolah serta ibu bapa.

Demikian rasanya apabila semua orang begitu mengambil tahu tentang pentingnya memberi tumpuan kepada peperiksaan.  Setiap gerak nadi tentunya terfokus kepada peperiksaan penting itu.  Baik anak-anak yang menjadi calon peperiksaan, ibu bapa, kawan-rakan malah saudara-mara, pastinya 'menyambut' kedatangan PMR dengan sejuta debaran.  Malah 'debaran' itu menjadi 'guruh' kecil di hati dan perasaan para guru.  Seluruh guru tentunya.  Murid-murid inilah yang bakal menjadi 'kayu ukur' terhadap kerja kuat guru sepanjang tiga tahun mereka berada di peringkat menengah rendah.  Ketidakupayaan pelajar menguasai akademik seringnya pula disalahkan ke pundak para guru.  Yang tentunya juga tidak cukup 'kaki-tangan' untuk menepis segala bentuk kecaman dan sungutan - datangnya pula dari pelbagai pihak - pentadbir, rakan guru, JPN, PPD malahan KPM juga.  Malah yang tidak tertinggal tentunya para ibu bapa.

Namun, jika demikianlah hebatnya keresahan ibu bapa serta semua pihak dari awal para murid menjejak kaki ke sekolah, pastinya apa pun hasilnya akan berbaloi.  Hakikatnya jika dilihat pada senario kehidupan dewasa ini, tidak ramai ibu bapa yang benar-benar bertungkus-lumus memastikan anak-anak mereka 'menjiwai' setiap kerjabuat mereka - ada yang kerap ponteng sekolah, kerja tidak disiapkan malahan lari ketika kelas diadakan untuk mereka.  Jesteru, tidak hairanlah apabila ada waris yang tidak mengambil tahu ke mana anak mereka 'menghilangkan' ketika peperiksaan penting ini sedang berlangsung.  Sedangkan pada ketika yang sama guru-guru bergelut mencari dan terkapai-kapai membuat keputusan.

Jikalah seandainya semua pihak saling berkerjasama untuk meningkatkan kecemerlangan diri - disiplin, sahsiah, jati diri sudah pasti akademik juga akan menyusul menjadi cemerlang.  Ketidakpekaan ibu bapa yang hanya menyerahkan tanggungjawab 'mengajar dan mendidik' hanya kepada guru, akan menjadikan dunia murid penuh kepincangan.  Kealpaan akan menyebabkan ada murid yang beranggapan PMR hanyalah satu sistem peperiksaan yang cukup menyakitkan tanpa memikirkan kepentingannya kepada masa hadapan.

Kepada seluruh warga guru yang sentiasa meletakkan tanggungjawab mendidik anak bangsa di tingkat paling tinggi - tahniah dan teruskan usaha anda.  Biarlah jika ada sedikit 'insiden' yang berlaku sebagai suatu garis pengajaran yang memberi kita ruang untuk terus berfikir dan berfikir.  Moga Allah SWT akan terus membuka ruang untuk anda menjadi jutawan.  Insya'Allah.  Salam keguruan untuk seluruh guru terutama sahabat guru di SMK Sultanah Bahiyah - lantaran anda insan terhebat yang saya kenal!!

Jumaat, 5 Oktober 2012

KUATKAN SEMANGATMU ANAKKU

Dingin pagi Jumaat terasa amat.  Kebetulan pula hujan yang turun sejak subuh menyebabkan teasa begitu malasnya diri untuk meninggalkan keempukan tilam.  Tambahan sepanjang minggu mulai Ahad sehinggalah semalam Khamis, tidak berhenti-henti dengan mesyuarat dan perjumpaan.  Hujan yang turun dan cuti hujung minggu terasa ingin pula dimanafaatkan sepenuhnya.  Lepak, guling-guling sambil membaca semuka dua artikel dari majalah Solusi yang belum sempat dikhatam.

Deringan telefon yang menjerit berkali-kali menyebabkan otak memaksa diri untuk bangun.  Sebaik mencapai handphone yang baru dicas, si pemanggil sudah menghentikan panggilannya.  Tertanya-tanya pula di lubuk hati, siapakah yang menelefon seawal ini kerana jam belum menunjukkan pukul 7.00 pagi.  Pasti ada yang penting, jika tidak mana mungkin ada pemanggil yang sengaja menghubungi seawal ini.  Sebaik melihat pada skrin telefon tertara nama yang cukup sinonim dengan diri.  Seorang sahabat dari tempat bertugas.  Tidak pula mengambil masa yang lama, jejari dengan pantas mendail semula.  Namun panggilan saya pula yang tidak berjawab.

Dingin pagi yang tadi mengajak diri bermalas-malas bertukar kepada kerisauan dan sejuta pertanyaan.  Mengapa pula Ustazah Norazlin menelefon sebegini awal.  Pasti ada sesuatu yang penting.  Dalam hati berkata-kata, sekali lagi telefon saya berdering.  Tidak pula saya menunggu lama, segera panggilan itu saya jawab.

Memanglah benar kata orang, setiap kali telefon berbunyi pada waktu-waktunya yang tidak sepatutnya pasti ada berita yang dibawa.  Dan selalunya pula berita itu adalah berita yang menyediahkan.  Tiba-tiba terbayang di ruang mata saya wajah anak murid saya yang berada di Tingkatan 5 itu.  Kerap juga sebenarnya dia berada di bilik saya semenjak di Tingkatan 4 lagi.  Dia agak rapat sebenarnya dengan saya.  Selalu bercerita dan kerap pula berkongsi apa sahaja yang dirasa dan dihadapinya.  Cuma kebelakangan ini, ya kebelakangan ini dia kelihatan sedikit berubah.  Penyakit ibunya yang sudah sampai ke tahap kritikal menjadikan dia seorang yang cukup pendiam.  Kadang-kala dia juga tidak hadir ke sekolah kerana kesibukan menjaga ibunya yang sakit.  Saya sememangnya bersimpati dengannya.  Dengan usianya yang muda dan ketika peperiksaan SPM makin menghampir.  Tiba-tiba Allah SWT menguji dengan mengambil ibunya kembali.

Terbayang di mata saya wajah anak murid saya itu - dengan matanya yang cantik, dengan senyumnya yang manis menawan.  Saya takut jika kesedihan ini akan menghilangkan segala-gala yang ada pada wajahnya.  Cuma saya hanya mampu berdoa agar ibunya di tempatkan bersama-sama orang yang solehah.  Saya juga hanya mampu berdoa agar anak saya itu akan tabah dan kuat menghadapi setiap yang berlaku itu.  Sesungguhnya kasih-sayang Allah itu tiada batasnya.  Saya tahu dan dia juga perlu tahu bahawa Allah sangat sayangkan ibunya.  Kuatkan semangatmu, saya sentiasa bersedia dan sentiasa ada untuk kamu.  Tolong jangan lupa itu!! 

Selasa, 2 Oktober 2012

KESIBUKAN

Semakin sekolah menghampiri cuti akhir tahun terasa pula kesibukan dengan pelbagai aktiviti di sekolah semakin ketara.  Bermula pertengahan September hingga ke saat saya menulis di blog ini, saya terus merasakan kesibukan dan terasa pula bagaikan masa yang ada tidak mencukupi.  Sepanjang minggu ini bermula Ahad 30 September, setiap hari ada sahaja mesyuarat dijalankan.  Ini bermakna sepanjang minggu ini terpaksalah saya balik petang - 5.00 atau 5.30 petang!

Selalunya pula apabila sampai di rumah, keupayaan badan sudah berada di tahap yang maksimum.  Hinggakan hendak menjengah dapur pun sudah tidak bermaya.  Syukurlah kerana suami saya cukup bertimbang rasa.  Maka sepanjang waktu itu dapur saya kerapnya berubah-ubah dari satu kedai ke kedai yang lain! 

Dalam kekalutan mengurus pelbagai aktiviti, terdapat pula beberapa aktiviti selingan yang diselit bersama.  Esok 3 Oktober 2012, kami akan menerima 80 orang guru-guru Bimbingan dan Kaunseling dari Kuala Muda Yan.  Terfikir jauh di sudut hati, apalah yang menarik yang ingin kami persembahankan untuk mereka.  Tiadalah apa yang istimewa untuk mereka kongsikan.  Namun, atas nama arahan daripada PPD Kota Setar maka kami bersedia menerima kunjungan tersebut - 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'.   Andai ada kekurangan di mana-mana, tinggalkan di pagar sekolah kami, jika ada pula kelebihan yang boleh dikongsi maka bawalah balik untuk kebaikan semua pihak.

Selain kekalutan menerima tetamu, Sabtu 6 Oktober 2012 sekolah kami dan saya serta beberapa orang guru terpilih pula menjadi jawatankuasa untuk Program Ekplorasi DMS bersama Berita Harian.  Demikianlah kesibukan sekolah, ditambah pula dengan aktiviti selama 15 hari sebaik tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan bermula dari 9 - 16 Oktober 2012.  Ini bererti Program selepas PMR akan bermula selama 15 hari bermula 17 Oktober 2012 hingga 8 November 2012.

Sepanjang kekalutan tersebut, saya sangat-sangat berharap agar seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah diberi kekuatan dan kesihatan untuk terus menempuh hari-hari yang mendatang termasuk kekuatan anak-anak murid kami untuk berhadapan dengan tiga peperiksaan beasar iaitu PMR, SPM dan juga STPM.  Moga anda akan terus berjaya walaupun kesibukan itu terus menerjah kami para guru kerana sesungguhnya kesibukan itu hanyalah sebahagian warna-warna kehidupan untuk kita terus berjaya.  Insya'Allah!

Selasa, 18 September 2012

IZINKAN SAYA BERBICARA DENGAN HATI


Izinkan pada kesempatan ini saya meluahkan sesuatu. Bukan untuk membuka pekong di dada. Jauh sama sekali melahirkan rasa benci atau cemburu. Tidak sama sekali. Cuma apabila ada ruang waktu untuk berfikir, saya sering mengajak diri berfikir - lebih positif. Kadang waktu, dalam mencari sekelumit kebenaran saya sering terkeliru. Sampai ada ketikanya saya bagai tidak mengenali diri sendiri. Betulkah saya sedang berperanan seperti itu. Benarkah saya punya rasa tidak puas hati dan rasa cemburu yang tinggi? Rasanya saya bukanlah orang seperti itu. Saya cuba, ya sebolehnya bersikap adil pada semua orang dalam semua keadaan.

Izinkan pada kesempatan ini saya berbicara. Bukanlah pula bicara saya ingin mengaibkan orang tertentu. Cuma, kadang-kala saya terfikir, mengapa dalam kita mengejar sesuatu kita sanggup pula menggunakan pelbagai kaedah dan cara. Tanpa kita fikirkan risiko dan kesannya pada insan-insan di sekeliling kita. Yang tentunya juga berperanan menyumbang walaupun sekelumit cuma untuk membangunkan kita. Hipokritlah kita jika terus mendabik dada menyatakan 'kitalah insan hebat yang melakukan semua perkara, sedangkan tanpa sokongan orang keliling kita mungkin jatuh menyembah bumi?" Entahlah, barangkali Allah SWT memberi saya cukup banyak akal untuk berfikir, sehingga perkara sekecil zarah pada orang lain dianggap besar oleh saya. Saya barangkali terlalu 'kekampungan'. Yang kerap memikirkan 'perasaan' dan 'hati' orang sehingga terlupa bahawa di sekeliling saya begitu banyak insan yang ragamnya pelbagai.

Izinkan saya pada ketika ini membuahkan rasa. Bukanlah rasa itu lahir dari rasa dendam dan marah. Cuma terbetik sedikit rasa kekecewaan yang tentunya lahir dari hati yang dalam. Bukan sayalah orangnya yang 'berjasad-dengki' dengan kejayaan orang lain. Atau rasa 'iri' dengan anugerah yang diterima orang lain. Malah jika diberi kesempatan untuk menyokong, saya pastinya akan memberi sokongan untuk memudahkan laluan orang-orang yang signifikan dengan saya menuju ke puncak - tidak kira siapa pun dia. Asalkan orang itu pada saya sentiasa ikhlas baik dalam persahabatannya mahupun dalam pekerjaannya. Hanya keraguan itu timbul apabila ada elemen 'pijak-memijak', 'injak-menginjak' tanpa memikirkan soal hati orang lain. Kerana pada saya janji Allah itu pasti dan tentunya tidak bisa kita mungkiri. Siapalah kita untuk menidakkan apa yang telah disuratkanNya untuk kita. Demikian juga halnya dengan rezeki - mana mungkin kita menerima rezeki yang bukan dijanjikanNya untuk kita.

Izinkan saya pada kesempatan ini memohon keampunan. Barangkali saya begitu perasa. Sehingga setiap apa juga yang berlaku merobek jiwa. Bukan sayalah orangnya yang ingin meletakkan semua perkara di dalam hati andai perkara itu tidak menepati sedikit pun sasaran hati. Cuma saya menjadi keliru dalam banyak perkara. Maafkan saya andai andaian dan tafsiran ini menepati sesiapa kerana bukan saya orangnya yang bermaksud untuk melukai. Apa pun harapan saya hanya satu - jangan buat semua perkara dan menghalalkan semua cara walaupun kita tahu perkara dan cara kita itu salahnya sudah pasti. Kerana sesungguhnya rezeki Allah itu tidak terletak hanya pada tingginya pangkat dan banyaknya gaji namun apa yang paling penting adalah 'kekayaan hati!!'

Izinkan saya menyatakan pada kesempatan ini - RUGILAH KITA SEKIRANYA KITA MISKIN HATI!!

Sabtu, 8 September 2012

RESUME

Ramai pelajar kadang-kadang tercari-cari contoh untuk menyediakan resume apabila ingin memohon pekerjaan atau ketika ingin menyambung belajar. Berikut saya sertakan contoh resume yang saya sendiri sediakan ketika saya ditawarkan jawatan sebagai Jurulatih Kokurikulum di Universiti Utara Malaysia pada tahun 2008. Moga perkongsian ini mampu memberi manafaat buat semua.

BIODATA DIRI

Nama : HALIJAH BINTI MAHMUD: No. Kad Pengenalan : 770329-08-5522

Tarikh Lahir : 30 Mac 1967 Pekerjaan : Kaunselor Pelajar Jantina : Perempuan

Tempat Lahir : Kg. Berala, Kati, 33020 Kuala Kangsar, Perak.

Alamat tempat tinggal : 49, Taman Cahaya, Hutan Kampong, 05350 Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Alamat tempat bertugas : SMK Sultanah Bahiyah, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, 05350 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Alamat surat menyurat : 49, Taman Cahaya, Hutan Kampong, 05350 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Email : hally3003@yahoo.com

Motto diri : Setiap kejayaan perlu melalui usaha yang berterusan bersandarkan prinsip 5 D (Disiplin, Daya Usaha, Dedikasi, Diskusi dan Doa)

Status : Berkahwin Nama Suami : Mohammad Sobri b. Daud; Pekerjaan : Penyelia BERNAS

Anak Empat orang (1 lelaki dan 3 perempuan)

1. Ahmad Mawardi b. Mohammad Sobri (18 Tahun); Pekerjaan: Pelajar UiTM Merbok.

2. Farhana bt. Mohammad Sobri (15 Tahun); Pekerjaan : Pelajar SMK. Agama Kedah

3. Fatin Naimah bt. Mohammad Sobri (12 Tahun); Pekerjaan : Pelajar SK. Hutan Kampong

4. Farah Izzati bt. Mohammad Sobri (10 Tahun); Pekerjaan : Pelajar SK. Hutan Kampong

KERJAYA DAN PENGALAMAN

Pekerjaan : Kaunselor di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, Jln. Htn Kampong, Alor Setar. Kedah Darul Aman. Kepakaran : Bimbingan dan Kaunseling (DG 41); Kelulusan : Sijil Perguruan Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru, Johor; Bac. Edu (Hons) Guidance & Counselling -UUM)

Pengalaman Dari Tahun 1989 Hingga 2008

  • Guru Kementerian Pelajaran Malaysia
  • SRK. Bukit Bintang (1) Kuala Lumpur.
  • SRK. Jalan Batu (L), Kuala Lumpur.
  • SK. Jabi, Pokok Sena, Kedah Darul Aman.
  • SK. Tuanku Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.
  • SK. Haji Abu Bakar, Alor Setar, Kedah.
  • SMK. Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Penglibatan :

  • Penggubal Soalan Percubaan Bahasa Melayu (UPSR) Peringkat Negeri Kedah (1998 – 2005)
  • Penggubal Soalan Kepong Bahasa Melayu (UPSR) Peringkat Daerah Kota Setar (1998 – 2005)
  • Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK. Jabi (1992- 1994)
  • Guru Pembimbing Hari Kanak-Kanak Sedunia 1992
  • Kerani Penyemak Daftar Pemilih P.005 Jerlun (1999 )
  • Juru Hebah Kejohanan Sukan MSSD Kota Setar (1996 – 2005)
  • Juru Hebah Kejohanan Sukan MSSK Negeri Kedah (1998 – 2005)
  • Guru Pemimpin Persatuan Tunas Puteri SK. Jabi (1990-1996)
  • Guru Pemimpin Persatuan Tunas Puteri SK. Tuanku Abdul Halim. (1996-2002)
  • Guru Pemimpin Persatuan Puteri Islam SK. Hj. Abu Bakar, Alor Setar, Kedah. (2003-2005)
  • Setiausaha Agong Kehormat Persatuan Guru Pelatih, Maktab Perguruan Mohd. Khalid (1987- 1988)
  • Pemberita, Majalah Saujana Maktab Perguruan Mohd. Khalid (1986- 1987)
  • Ketua Pengarang Berita MPMK, Maktab Perguruan Mohd. Khalid (1986- 1987)
  • Fasilitator Minggu Pengurusan Pelajar, Maktab Perguruan Perlis, Perlis (2006)
  • Setiausaha Kem Kaunseling PKPG UUM (2006)
  • Timbalan Setiausaha Seminar Kaunseling Peringkat Kebangsaan (2007)
  • AJK Sponsor Program Lawatan Ilmiah Ke Universitas Gadjah Mada Yogyakarta, Indonesia.(2007)
  • Fasilitator Program Jejak Menara, UUM (2008)
  • Ahli Persatuan Kaunseling Malaysia
  • Penceramah bebas program motivasi dan Kepimpian

Penglibatan berkaitan akademik :

  • Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Bimbingan dan Kaunseling - MPPP (2004)
  • Kursus 14 Minggu Bimbingan dan Kaunseling IPDA (1994)
  • Kursus Penulisan Remaja ’87 PPJ/DBP (1987)
  • Urusetia Pertandingan Seni Jauhi Dadah Daerah Kota Setar Kedah (1995)
  • Kursus Latihan kejurulatihan Dalam Kemahiran Pendidikan Pencegahan Dadah Zon Utara -JPN Kedah (1995)
  • Kursus Pengukuhan dan Perubahan Matematik Tahun 4 - JPN Kedah (1995)
  • Kursus Pengukuhan dan Perubahan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 - JPN Kedah (1998)
  • Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 6 - JPN Kedah (1999)
  • Kursus Motivasi Peringkat Lanjutan Fasa 2 - JPN Kedah (1995)
  • Seminar Pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Rendah - JPN Kedah (1999)
  • Seminar Akta Kanak-Kanak 2001 - Negeri Perlis (2004)
  • Kolokium Wanita Pemadam 2002 - Kebangsaan (2002)
  • Bengkel Pengenalan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak Dalam Komuniti - Kebangsaan (2003)
  • Kursus Orientasi Kurikulum (Semakan) KBSR - JPN Kedah (2003)
  • Kursus Penyelanggaraan Mesin Braille (1991)
  • Kursus Kemahiran Mendengar dan Komunikasi di MPSAH (2003)
  • Setiausaha Seminar Pendidikan Pencegahan Dadah MPPP (2004)
  • Setiausaha Pengurusan Pelajar 2005 MPPP (2005)
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang – Peringkat Negeri Kedah (1994)
  • Kursus Kemahiran Mendianos dan Subordinat MPPP (2005)
  • Seminar Pendidikan dan Pencegahan Dadah - KUKUM (2006)
  • Bengkel Pantun Melayu - UUM (2006)
  • Seminar Kaunseling Peringkat Kebangsaan - PKPG B&K UUM (2007)
  • Seminar Wacana Ilmu Kaunseling - UUM & UGM (2007)
  • Wacana Pemantapan Profesionalisme Keguruan - UUM (2008)

Kajian

  • Burnout Dalam Kalangan Guru di SK. Hj. Abu Bakar, Alor Setar, Kedah.
  • Masalah Remaja di Daerah Kota Setar.
  • Meningkatkan Amalan Etika Profesion Perguruan Dalam Kalangan Guru-Guru Di SK. Bandar Baru Darul Aman.

Rujukan :

  1. Dr. Noor Azniza Ishak

Penyelaras Program Kaunseling dan Psikologi

Jabatan Siswazah Kaunseling dan Psokologi

Kolej Sastera dan Sains

Universiti Utara Malaysia

06010, Sintok Kedah.

No. Telefon : 04 – 9283892

2. En. Azemi Shaari

Pensyarah, Kolej Sastera dan Sains

Universiti Utara Malaysia

06010, Sintok Kedah.

No. Telefon : 04 – 9283490

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...