Khamis, 11 Oktober 2012

PMR 2012

Sedar atau tidak sudah tiga hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 berlalu.  Bererti sudah beberapa subjek diduduki calon PMR tahun ini.  Bermula dengan Bahasa Melayu dan kemudian diikuti Pendidikan Agama Islam, Bahasa Inggeris dan kemudiannya Geografi, hari ini Sains dan Sejarah.  Cepat sungguh masa berlalu.  Tinggal 2 subjek untuk pelajar yang tidak mengambil Bahasa Arab.  Bererti Isnin ini akan bebas dan merdekalah murid-murid Tingkatan 3 yang selama ini di'penjara'kan oleh pihak sekolah serta ibu bapa.

Demikian rasanya apabila semua orang begitu mengambil tahu tentang pentingnya memberi tumpuan kepada peperiksaan.  Setiap gerak nadi tentunya terfokus kepada peperiksaan penting itu.  Baik anak-anak yang menjadi calon peperiksaan, ibu bapa, kawan-rakan malah saudara-mara, pastinya 'menyambut' kedatangan PMR dengan sejuta debaran.  Malah 'debaran' itu menjadi 'guruh' kecil di hati dan perasaan para guru.  Seluruh guru tentunya.  Murid-murid inilah yang bakal menjadi 'kayu ukur' terhadap kerja kuat guru sepanjang tiga tahun mereka berada di peringkat menengah rendah.  Ketidakupayaan pelajar menguasai akademik seringnya pula disalahkan ke pundak para guru.  Yang tentunya juga tidak cukup 'kaki-tangan' untuk menepis segala bentuk kecaman dan sungutan - datangnya pula dari pelbagai pihak - pentadbir, rakan guru, JPN, PPD malahan KPM juga.  Malah yang tidak tertinggal tentunya para ibu bapa.

Namun, jika demikianlah hebatnya keresahan ibu bapa serta semua pihak dari awal para murid menjejak kaki ke sekolah, pastinya apa pun hasilnya akan berbaloi.  Hakikatnya jika dilihat pada senario kehidupan dewasa ini, tidak ramai ibu bapa yang benar-benar bertungkus-lumus memastikan anak-anak mereka 'menjiwai' setiap kerjabuat mereka - ada yang kerap ponteng sekolah, kerja tidak disiapkan malahan lari ketika kelas diadakan untuk mereka.  Jesteru, tidak hairanlah apabila ada waris yang tidak mengambil tahu ke mana anak mereka 'menghilangkan' ketika peperiksaan penting ini sedang berlangsung.  Sedangkan pada ketika yang sama guru-guru bergelut mencari dan terkapai-kapai membuat keputusan.

Jikalah seandainya semua pihak saling berkerjasama untuk meningkatkan kecemerlangan diri - disiplin, sahsiah, jati diri sudah pasti akademik juga akan menyusul menjadi cemerlang.  Ketidakpekaan ibu bapa yang hanya menyerahkan tanggungjawab 'mengajar dan mendidik' hanya kepada guru, akan menjadikan dunia murid penuh kepincangan.  Kealpaan akan menyebabkan ada murid yang beranggapan PMR hanyalah satu sistem peperiksaan yang cukup menyakitkan tanpa memikirkan kepentingannya kepada masa hadapan.

Kepada seluruh warga guru yang sentiasa meletakkan tanggungjawab mendidik anak bangsa di tingkat paling tinggi - tahniah dan teruskan usaha anda.  Biarlah jika ada sedikit 'insiden' yang berlaku sebagai suatu garis pengajaran yang memberi kita ruang untuk terus berfikir dan berfikir.  Moga Allah SWT akan terus membuka ruang untuk anda menjadi jutawan.  Insya'Allah.  Salam keguruan untuk seluruh guru terutama sahabat guru di SMK Sultanah Bahiyah - lantaran anda insan terhebat yang saya kenal!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...