Isnin, 18 Jun 2012

PERISTIWA 1 ; PAGI INI

Saya baru sahaja masuk ke Bilik Kaunseling pagi ini. Baru lepas membuka kipas dan juga komputer. Belum pun sempat duduk lagi. Ketika itulah seorang pelajar tiba-tiba masuk ke bilik saya.

" Cikgu, saya nak bagi tahu cikgu ni. Mak saya dah okey sekarang ni. Saya dah tahu kenapa mak saya selalu pukul saya dulu", katanya. Saya merenung wajahnya lama. Lambat benarlah punya otak saya ingin 'memanggil' semula memori tentang pelajar ini.

"Cuba awak duduk dulu. Cerita perlahan-lahan." kata saya cuba memancing pelajar itu selain mengimbau 'siapa' dia dalam keadaan sebegini.

Sebenarnya saya sedikit kaget. Yalah, pagi-pagi didatangi pelajar, tanpa salam terus menghamburkan kata-kata dengan wajahnya yang cukup setia. Pelajar tersebut duduk di kerusi di hadapan saya. Saya turut duduk bersama. Setelah memori saya berjaya menangkap siapa dia, mudah saya berbual dan berinteraksi dengan pelajar ini.

Sebenarnya lebih setahun saya mengendalikan kes pelajar ini. Pernah saya memanggil warisnya datang ke sekolah kerana terdapat lebam-lebam di badan. Kerap juga dia ke bilik saya bercerita dengan jurai air mata. Namun, kasihnya kepada ibunya tidak ada galang ganti. Teringat saya ketika tangannya calar-balar dan saya membawa kesnya ke pengetahuan PK HEM kerana saya rasa ia sudah bukan bidang tugas saya ketika itu. Setiap kali berbicara hanya satu yang dikatanya, "Cikgu, tolong jangan apa-apakan emak saya. Saya sayang mak saya. Saya sanggup hadapi semua ini". Dan kerana itulah simpati saya sentiasa bersama-sama dia. Kerapnya pula saya akan melalui kelasnya pagi-pagi. Sengaja untuk melihat keadaannya pada setiap awal pagi.

Hari ini, apabila dia datang dengan wajah ceria, hati saya turut berbunga. Banyak yang dia ingin ceritakan namun kepuasan sekarang bersarang di hati saya. Kedua-dua ibu dan anak ini sudah bersatu. Si ibu juga sudah mengakui kesilapannya. Saya berasa cukup gembira sebenarnya. Sekurang-kurangnya anak ini sudah boleh diterima oleh ibunya walaupun luka ditinggalkan suami pasti terasa. Hanya kerana raut rupanya yang seiras dengan bekas suami, si ibu selalu berada diluar kawalan ketika berinteraksi dengan dia. Hanya satu doa saya - moga Allah SWT kekalkan kebahagiaan di wajahnya pada hari-hari seterusnya. Insya'Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...