Sabtu, 16 Jun 2012

HIDUP KEMBALI BERDUA APABILA CUTI BERAKHIR


Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik cuti sekolah selama 2 minggu sudah pun berakhir. Sesi persekolahan bagi semester kedua 2012 sebenarnya sudah pun bermula seama seminggu. Cepat sungguh. Sebaik sahaja selesai mengikuti kursus Penataraan Psikometrik di Regency Hotel, saya dan sekeluarga terus bergerak ke Kuala Lumpur. Memandangkan kekangan masa, Farhana terpaksa pulang sendirian ke MMU bagi meneruskan perjuangan dan mendaftar diri untuk mengikuti kursus Ijazah Pertama dalam bidang perakaunan. Saya dan keluarga menyusul 3 hari selepas itu untuk menyelesaikan semua perkara yang berkaitan termasuk menghantar barang. Perancangan awal, Mawardi akan turut serta terpaksa juga dirombak saat-saat akhir memandangkan ketika itu kuliah Mawardi sudahpun bermula. Semuanya gara-gara saya perlu menghadiri taklimat dan kursus berkaitan psikometrik pada tarikh yang sama 3 Jun 2012.

Sebenarnya perjalanan ke Kuala Lumpur kali ini memenatkan sungguh. Singgah di Kuala Kangsar sempat menyambut abang saya yang baru selesai menunaikan umrah pada malamnya lebih kurang jam 2 pagi. Berbual-bual seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Cyberjaya jam 8.30 pagi. Sebaik sampai di Kuala Lumpur, sempat juga berjumpa dengan adik saya Abdul Rahman. Berbual-bual dalam masa 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke MMU. Petangnya setelah selesai semua urusan kami meneruskan pula perjalanan ke rumah anak buah saya Nadirah di Kajang untuk mengambil barang-barang Farhana yang ditinggalkan di situ sebelum cuti 3 minggu bermula. Malamnya selepas membawa Irah dan rakan serumahnya menikmati sate Kajang, kami merehatkan diri di sebuah hotel di Kajang.

Kami bergerak meninggalkan Cyberjaya selepas Farhana selesai mengikuti kuliah pada hari Khamis. Kebetulan kuliahnya hanya 1 subjek sahaja dan Farhana mengambil keputusan untuk mengikut saya dan suami balik ke Kuala Kangsar (kembali semula ke Cyberjaya bersama adik saya yang dipanggil Acik pada pagi Ahad 7 Jun 2012). Sebaik kami sampai di kampung, sibuk pula membantu abang saya yang membuat sedikit kenduri kesyukuran lantaran beliau dan keluarga baru kembali dari menunaikan umrah.

Malam itu kami tidur dengan keletihan setelah menempuh perjalanan Alor Setar, Kajang dan Kuala Kangsar yang begitu panjang dan memenatkan. Sebaik bangun paginya (yang agak terlewat daripada biasa), kami bersiap-siap pula untuk balik ke Alor Setar. Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan tambahan Fatin dan Farah perlu berada di sekolah masing-masing sebelumjam 6.00 petang Sabtu ( Jun 2012).

Apabila kedua-dua puteriku itu kembali ke sekolah masing-masing, maka bermulalah episod kehidupan seperti sebelumnya - kembali berdua. Terasa begitu sunyinya rumah tanpa suara anak-anak yang selama lebih 2 minggu ini bergema di mana-mana. Sunyinya kehidupan hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun, perlulah saya dan suami sentiasa bersikap pasrah lantaran keluarnya anak-anak daripada rumah adalah atas tuntutan fardu kifayah. Moga mereka akan mencipta kejayaan demi kejayaan dalam sebuah kehidupan tanpa melupakan batasan agama. Insya'Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...