Jumaat, 15 Jun 2012

MAWARDI DAN CUTI


Alhamdulillah ketika cuti sekolah kali ini Mawardi turut bercuti seminggu. Kemeriahan di rumah terasa sungguh bermakna dengan kehadiran semua anak saya. Meskipun cuma seminggu tetapi makna cukup besar buat saya. Sepanjang cuti seminggu ini sebenarnya tidak banyak yang dilakukan Mawardi. Kerapnya Mawardi akan keluar rumah bersama rakan-rakannya yang kerap juga datang ke rumah selain menyiapkan tugasan yang masih tertunggak. Selainnya Mawardi banyak pula membantu menguruskan hal adik-adik apabila saya dan abahnya bekerja.

Kebetulan semua ada di rumah, Mawardi turut mecadangkan kami sekeluarga ke Pulau Pinang. Menaiki Bukit Bendera! Kebetulan saya sendiri sudah lebih 30 tahun tidak menjejakkan kaki ke Bukit Bendera. Begitu juga suami. Apabila ada Mawardi bererti adalah orang yang akan membantu abahnya memandu dalam perjalanan yang agak jauh.
Mawardi sebenarnya sudah boleh diharap dalam kerja-kerja membantu seperti itu. Usianya sudah 21 tahun dan sepatutnya sudah boleh menyelesaikan banyak tugasan sebagai ketua keluarga.

Cuma dewasa ini kebanyakan anak-anak akan terus menyambung pengajian sehingga paling tidak ke usia 23 tahun.
Sesekali dalam cuti yang pajang ini, Mawardi akan menolong saya membasuh kain - paling tidak kain bajunya sendiri. Selain itu, kesempatan cuti yang pajang Mawardi turut mengemas bilik tidurnya. Jika tidak dikemas tidak adalah pula orang lain yang akan membantunya mengemas. Seperti yang saya katakan, masa bekerja saya jarang di rumah pada sebelah siang. Cuma malam sahaja saya di rumah itu pun setelah badan terasa begitu keletihan. Jadi jaranglah saya masuk ke bilik anak-anak saya yang mereka tinggalkan.

Namun sekarang, seperti adik-adik yang lain Mawardi sudah kembali ke UiTM - menyambung pengajiannya dan bakal menduduki peperiksaan pula beberapa minggu akan datang. Seperti anak-anak yang lain, untuk Mawardi saya sering mendoakan agar terus belajar menjadi anak yang matang dan dewasa, belajar dan memahami betapa ibu bapa sentiasa berusaha yang terbaik untuk anak-anak. Tingkatkanlah amalan baik dunia mahupun akhirat untuk mencapai kecemerlangan yang akan dibanggakan baik di sisi masyarakat mahupun di sisi Allah SWT. Doa saya akan tetap mengiringi perjalananmu anak-anakku!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...