Jumaat, 15 Jun 2012

FARHANA DAN CUTI


Cuti sebenarnya sudah lebih seminggu berlalu. Cepat sungguh sedangkan nikmat bercuti itu sebenarnya belum dapat dirasai sepenuhnya. Demikianlah kehidupan selagi kita bernafas dan bekerja. Kita adalah 'hamba' untuk sebuah kehidupan yang kita sendiri warnai. Anak saya Farhana juga begitu. Sejak menyambung pengajian di Multimedia Universiti jaranglah dia berpeluang bercuti lama-lama di rumah. Cuma kali ini cutinya agak panjang berbanding cuti-cuti yang lepas. Adalah lebih kurang 3 minggu bermula 10 Mei hingga 3 Jun.
Sepanjang bercuti itu macam-macam yang dilakukan Farhana. Paling membanggakan saya, minggu pertama Farhana mengambil kesempatan membantu saya mengemas rumah. Yalah..., jarang saya mempunyai ruang masa mengemas. Hari-hari saya banyak dihabiskan di sekolah. Apa yang boleh saya buat apabila balik kerana badan sudah keletihan. Jadi pada minggu pertama Farhana mengemas rumah bermula dari ruang biliknya, dapur sehinggalah ke ruang tamu. Bangga sekejap saya dengan kesungguhan Farhana kali ini.
Pada minggu kedua, kebetulan adik-adik pun belum balik, Farhana mengambil kesempatan menziarahi ibu Allahyarhamah Naimah di Sik bersama-sama rakan-rakannya yang turut bercuti ketika itu. Kemudian timbul pula tabiatnya ingin memasak itu ini. Adalah beberapa jenis masakan kegemaran yang dimasak oleh Farhana ketika cuti kali ini. Memang Farhana sesekali suka juga menyediakan masakan terutama kek dan juga sesekali makanan barat.
Satu yang paling melucukan apabila Farhana cukup kalut ingin mengunting 'blouse' yang ditemui di dalam internet. Akhirnya, saya juga yang terpaksa menyiapkan 'blouse' tersebut kerana manalah Farhana ada bakat dalam bidang jahit-menjahit ini. Hehehe....

Apabila semua adik-beradik balik, termasuk Mawardi yang bercuti selama seminggu, timbul pula minat baru Farhana dan adik-adik. Abang jadi tukang bawa dan mereka tukang ikut. Apa lagi kalau bukan shopping barang-barang keperluan mereka. Macam-macam yang mereka lakukan untuk menghabiskan masa cuti bersama.
Apa pun kini Farhana sudah kembali ke MMU. Menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah Pertama bermula 3 Jun yang lalu. Saya sering mengharapkan agar Farhana akan terus tabah menjalani kehidupannya sebagai mahasiswa. Belajar menghargai setiap apa yang ada dan belajar untuk terus menjadi matang dan dewasa. Mereka adalah anak-anak harapan saya. Yang bakal mewarnai kehidupan pada masa hadapan baik untuk agama, bangsa dan negara. Moga engkau akan terus mencapai kejayaan doa saya akan tetap mengiringi perjalanan hidup kalian!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...